You are currently browsing the monthly archive for Julai 2007.

Nazri Umno itu, bila diminta komen perokok tak boleh jadi calon wakil rakyat Pas, dia jawab, “rubbish.”

Najib Umno itu, entah apa – apa isytihar negara rentahannya ini negara Islam!

Pak Lah Umno itu, cuti – cuti Malaysia jadi cuti – cuti Pak Lah.

Muhammad Taib Umno itu, ingatkan puteri raja saja, putera raja pun nak kebas juga?  

Khir Toyo Umno itu, bila Salahuddin minta penjenayah rakyat itu mesti dijejaki, dia jawab, ” Itu bukan isu.. Itu bukan caranya..”

Azalina Umno itu, tanpa perlu tudung – tudung, dengan relaksnya berkata, ” Atlit wanita tak perlu pakai tudung.”

 Ini, sekadar melepas rasa benci.. ( moga keturunan kita dijauhkan.. ) 

Salam Kamunting,

Kalau dia masih hidup, maka umurnya sekarang 101 tahun. Tua sangat. Tapi dia sudah pun kembali kepada tuhannya hampir 60 tahun lepas. Jasadnya. Adapun namanya, jika dunia ini masih bertahan 1000 tahun lagi, maka ia pasti kekal 1001 tahun lagi.

Dia pencinta RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam, maka baginda pasti mencintainya juga. Justeru dia hampir memperolehi semua apa yang diperolehi baginda, kecuali nubuwwah ( kenabian ). Namanya dijulang setinggi – tingginya oleh para pencintanya di dunia. Apabila para malaikat turut mencintainya, maka sampailah namanya penuh gilang gemilang di lapis langit ke tujuh, di singgahsana pertemuan dua kekasih sebenar di malam mikraj itu.

Al Imam Hasan Al Banna meninggal dunia dalam usianya 43 tahun. Muda terlalu muda untuk meninggalkan pengikutnya yang terlalu menyayanginya. Ramai meratapi kematiannya. Di sebalik jeriji besi pemerintah kusi besi di zaman itu dan juga di luarnya. Dia ditembak mati agar dia mati selama – lamanya. Tetapi malang sekali, suaranya tak mati. Suaranya terus bergema menerawang menghantui kezaliman duniawi sambil menggamit cahaya kebenaran sehingga kini. 

Beliau adalah mujaddid. beliau adalah seribu ulama. Kerana itu, beliau pergi dengan seribu ulama menggantikan tempatnya menyebarkan apa yang dikehendaki Allah untuk ugamaNya.

Tajdid adalah sunnah yang pasti untuk ugama Islam. Agama ini mesti kekal secantik dan seasli ia cantik dan asli di tangan RasuluLlah dahulu. Tiada lagi jalan, tiada lagi tali dan tiada lagi ugama selepasnya buat manusia mengenal dan menyembah tuhannya.

Sepanjang zaman, umat Muhammad sentiasa sahaja ditemani perjalanan mereka dengan para mujaddidin yang dihantar Allah untuk memperbaharui fikiran, iman dan amal mereka pada ugama mereka. Khalifah Umar bin Abdul Aziz memulakanya. Kemudian berderetanlah nama – nama ulama agung dalam sejarah umat ini.

Kita mengenali mereka pada sirah perjalanan dan pengajaran mereka. Untuk Al Imam Hasan Al Banna, kita turut mengenal wajahnya pada keasliannya. Lihatlah wajahnya, Allah melakarkan keindahan hebat yang terlukis dan terukir dalam seri wajahnya itu.

Beliau dikeluarkan untuk umat yang sedang tewas kepada kekufuran yang melanda dunia Islam secara total. Beliau menubuhkan Al Ikhwan Al Muslimin di Mesir sebaik sahaja benteng terakhir Islam, kerajaan khilafah di Turki runtuh berkecai. Saat itu, umat tersadai dalam bahtera karam dihempas gelora jahiliyah abad 20 yang mengganas seganasnya. Umat Islam sedang merentas laluan yang belum pernah dilalui sebelumnya.

Kita namakannya sebagai syumuliyyatul Islam ( Islam yang syumul ). Itulah tajdid Al Imam. Musuh menembak Islam bertalu – talu. Islam berkecai dalam kepingan – kepingan yang akhirnya hanyut dan terpisah – pisah dibedal arus ganas. Umat yang kelemasan bergayut pada kepingan mana yang mampu digapai. Sesetengahnya terus lemas ditelan badai.

Dalam tempoh yang sukar, mereka hidup di atas bahagian – bahagian yang terpisah itu. Dalam kepompong itu mereka hidup. Itulah Islam yang mereka fahami. Jika itu, tiada yang melanda kecuali perasaan putus asa, kekecewaan dan ketewasan menghadapi kehidupan.

Al Imam Hasan Al Banna datang membawa bahtera baru. Naiklah, inilah Islam yang syumul. Inilah bahtera kekuatan dan kemenangan yang dinantikan.

Dakwah dan seruannya itu cukup untuk cukup merimaskan jentera kekufuran. Kerana itu, dalam tempoh yang segera, beliau dihapuskan. Pembunuhnya bukan sembarangan. Pembunuhnya adalah pakatan kekufuran sedunia.

Biarkan pembunuh itu membunuh. Mati adalah kesudahan semua. Lunaknya, bagi pejuang Islam, kematian itulah kehidupan yang diimpikan. Al Imam telah mengecapinya. Kita sedang mengimpikannya.

Itulah catatan sekadar melepas rasa cinta. Kita para pejuang Islam hampir – hampir tidak mampu untuk melepas diri daripada legacy beliau. Kita terlalu mencintainya kerana kita tahu dia terlalu mencintai Allah dan Allah pasti mencintainya. Hasan Al Banna, dia mengajar kita mencintai Allah. 

Tuhan kami, kami menagih cintaMu. Biarkan dan lepaskan kami dalam ketagihan..

Peranan Ibnul Qayyim ( mazhab Hambali ) di dalam memperjelaskan siasah syar’iyyah

Hakikatnya, saya tidak mendapati daripada kalangan ulama kita sepanjang zaman, tokoh yang bercakap mengenai siasah syar’iyyah dan memperjelaskannya dengan baik serta membezakan politik yang adil yang diterima syariah daripada politik yang zalim yang ditolak syariah seperti mana Al Imam Ibnil Qayyim rahimahuLlah ( 751H ) di dalam dua kitabnya iaitu I’laamul Muwaqqi’iin dan Atturuqul Hukmiyyah.

Eloklah kita nukilkan kata -katanya yang cukup bernas ketika menta’liqkan kata – kata Al Imam Al Hambali Abul Wafa’ Ibnu Aqil ( 513H ) – Ibnu Taimiyyah menyifatkannya sebagai salah seorang cendekiawan dunia – di dalam bukunya Atturuqul Hukmiyyah:

Kata Ibnu Aqil ( di dalam Al Funun ) : Telah diterima keharusan beramal dengan siasah syar’iyyah di dalam pemerintahan. Inilah hukum yang pasti. Tiada seorang imam kecuali akan menyatakannya.

Berkata Syafi’e: Tiada politik kecuali yang menepati syara’.

Kata Ibnu Aqil: Politik ( syar’ie) ialah suatu tindakan yang dengannya manusia akan lebih dekat kepada kebaikan ( as shalah ) dan lebih jauh daripada kerosakan ( al fasad ), sekali pun ia tidak pun dilakukan RasuluLlah dan tiada pun diturunkan wahyu mengenainya.

Jika ‘menepati’ ( dalam qaul Syafi’e tersebut) itu bermaksud tidak bercanggah dengan syara’, maka ia betul. Tapi, jika ia bermaksud tiada politik kecuali apa yang disebut oleh nas syara’, maka ia salah sekali, bahkan kita seolah – olah menyalahkan tindakan para sahabat sendiri.

Para khulafa’ rasyidin telah menjatuhkan hukuman bunuh, bahkan memotong mayat pesalah ( yang tidak pun melakukan kesalahan hudud ), suatu yang tidak dinafikan oleh para pakar hadis. Tindakan Uthman mengarahkan pembakaran Al Quran selain mushafnya adalah cukup sebagai bukti tindakan sahabat adalah berpegang dan berdasarkan maslahat ummah. Begitu juga tindakan Sayyidina Ali membakar golongan zindiq di dalam lubang besar.

Ibnul Qayyim menta’liq: Inilah tempat kegelinciran dan kesesatan. Ia adalah tempat yang sempit dan medan pertempuran yang sukar.

Satu golongan meringan – ringankan: Mereka menafikan hukuman dan melupuskan hak lalu membiarkan golongan fasik dan jahat melakukan kerosakan. Mereka menjadikan syariah itu sempit dan tidak berperanan menjaga maslahat manusia lalu memerlukan hukuman daripada sumber lain.

Mereka sendiri menutup pintu jalan – jalan mengenal kebenaran dan pelaksanaannya sedangkan mereka sendiri mengetahui kebenarannya. Hujah mereka, ianya bertentangan dengan kaedah- kaedah syariat. Demi Allah, ia langsung tidak bertentangan dengan ajaran Rasul sekalipun ia bertentangan dengan kefahaman mereka sendiri terhadap syariah. Faktornya:

1) Kurang memahami syariat.

2) Kurang memahami hal semasa/kenyataan.

3) Saling samar antara keduanya.

Apabila pemerintah melihat keadaan ini, sedang rakyat memerlukan pengarahan, maka mereka melakukan kerosakan yang berleluasa berdasarkan tindakan politik sendiri. Keadaan akhirnya menjadi semakin kronik sehingga menyukarkan tindakan menyelamat.

Golongan kedua pula adalah sebaliknya. Mereka melampau sehingga membenarkan siasah syar’iyyah yang nyata bertentangan dengan hukum Allah dan rasulNya.

Kedua – dua kumpulan ini memahami Islam secara salah. Sesungguhnya Allah mengutus rasulNya dan menurunkan kitabnya agar manusia menegakkan keadilan yang dengannya langit bumi tegak. Jika telah zahir tanda – tanda keadilan maka disitulah syariat Allah dan ugamanya. Tidak mungkin Allah menentukan satu- satu jalan keadilan kemudian menafikan jalan lain yang lebih jelas keadilannya dan jalan pelaksanaannhya.

Allah telah menerangkan maksud syariatnya iaitu menegakkan keadilan di kalangan hambanya. Maka, mana – mana jalan yang menghasilkan keadilan, jadilah ia daripada sebahagian ugama dan tiada pertentangan antaranya.

Benarlah Ibnul Qayyim. Beliau menjelaskan bahawa keaiban itu bukanlah pada syariat, tetapi pada mereka yang menutup setiap jalan yang membawa kebaikan kepada manusia, menyempitkan apa yang diluaskan Allah, lalu menghapuskan kebaikan yang banyak untuk manusia.

Juga keaiban itu adalah pada mereka yang membuka segala – galanya tanpa berhenti di sempadan Allah dan berikat dengan nas – nas Al Quran dan sunnah. Kita melihat ramainya golongan ini di zaman kita ini. Mereka memperindahkan apa yang mereka mahu untuk para pemerintah. Mereka menjadikan syariah itu seolah – olah tepung yang boleh diuli bila – bila masa mengikut kemahuan mereka dan tuan – tuan mereka.

Yang benar ( al haq ) adalah di tengah – tengah antara 2 kumpulan ini.

Ibnul Qayyim menta’liq lagi : Maka tidak harus dikatakan bahawa politik yang adil itu bertentangan dengan syara’. Ia malah menepatinya, bahkan satu juzu’ daripadanya. Kami menamakannya ‘siasah’ berdasarkan istilah kalian, sedangkan ialah sebenarnya keadilan Allah yang terzahir melalui tanda – tanda dan alamat – alamat di dalam siasah itu.

RasuluLlah menolak untuk bertindak ke atas kesalahan tohmahan ( tanpa bukti ). Tetapi baginda juga pernah menghukum kesalahan seumpamanya tatkala tampak tanda – tanda syak pada tertuduh.

Maka sesiapa yang melepaskan setiap tertuduh dengan alasan tiada bukti nyata, sedang dia mengetahui kesohorannya dalam jenayah ( seperti mencuri ) dan berkata, ” Saya tidak akan menghukumnya kecuali dengan kehadiran dua saksi yang adil.”, maka ia sebenarnya menyalahi siasah syar’iyyah.

RasuluLlah, juga khulafa’ selepasnya pernah menahan bahagian harta ghanimah tentera mereka yang menyorokkannya. Baginda turut membakar segala barangannya.

RasuluLlah juga bertekad membakar rumah mereka yang meninggalkan solat jumaat dan solat jamaah.

RasuluLlah juga menggandakan denda ke atas orang yang menyembunyikan binatang yang terlepas daripada tuannya.

Baginda mengarah dipecahkan bekas – bekas arak, juga bekas yang dimasak daging haram di dalamnya. Kemudian baginda memansuhkannya, lalu mengarah agar dibasuh sahaja.

Itulah beberapa contoh siasah baginda yang thabit daripada hadis – hadis yang sahih. Ini diikuti para penggantinya selepasnya. Antaranya:

Sayyidina Abu Bakar membakar golongan homoseks agar mereka merasakan kepanasan di dunia sebelum kepanasan di akhirat.

Umar pula membakar kedai arak dengan segala isinya, bahkan beliau juga membakar perkampungan yang menjual arak.

Beliau membakar istana Saad ibni Waqqas kerana ia menghalangnya daripada mengurus rakyatnya.

Beliau juga mengarahkan para sahabat mengurangkan perbincangan mengenai hadis nabi tatkala melihat ianya menyibukkan mereka daripada Al Quran. Ini siasahnya dan pelbagai lagi tindakan politiknya demi kemaslahatan umat.

Semasa zaman Uthman pula, beliau menghimpunkan umat Islam di atas satu huruf ( qiraat ) sahaja dan melarang mereka daripada tujuh huruf ( qiraat ) yang dibenarkan RasuluLlah. Ini apabila beliau dan para sahabat melihat berlaku perselisihan padanya, lalu melihat kebaikan pada berpegang pada satu huruf sahaja.

Semasa zaman Ali pula, beliau mengarahkan golongan zindiq rafidhah agar dibakar, sedang beliau mengetahui sunnah RasuluLlah hanya membunuh orang kafir. Tetapi apabila beliau melihat kerosakan yang besar, maka dijadikan hukuman itu lebih besar ( membakar ) sebagai pengajaran keras.

Salam Kamunting,

Dah baca cerita Musharraf membunuh rakyatnya di Pakistan? Apa yang anda rumuskan?

Semalam akhbar Utusan siar gambar tentera Amerika ( 20an ) yang hangus lebih 90% tubuhnya akibat serangan bom di Iraq. Apa yang anda rumuskan?

Dunia keliru.. Untuk apa semua ini?

Katakanlah, Allah mengizinkan keadilan di dunia walau di negara kekufuran. Tetapi Allah tidak mengizinkan keadilan di bumi muslimin yang menolak Al Quran!

Negara barat mengecapi keadilan yang kita tagihkan untuk kita di dunia muslim. Lihat pencapaian mereka dan lihat kejelikan dunia kita..

Musharraf bongkak. Payah sangatkah pemerintah negara besar itu nak selesaikan isu di sebuah masjid? Golongan ulama bersatu nak tolong beliau selesaikan isu dengan aman. Mereka lebih arif sebab pemberontak adalah daripada kalangan mereka, ulama juga. Musharraf menolak kecuali kekerasan.

Berlaku pembunuhan. Hasilnya, berlaku pembunuhan berterusan.. dan sampai bila?

Penyelesaian bodoh daripada ketua negara yang zalim. Negara barat ketawa sebab seronok melihat kita terus diperintah pemerintah yang zalim lagi bodoh.

Kita dihina bila kita tolak Al Quran. Allah lempar kita ke sudut itu. Pilih samada kamu kufur terus atau terima Islam 100%.

Tiada peluang bagi kita memperohi keadilan selagi ketua kita adalah MUNAFIK.

Amerika adalah syurga dunia kekufuran. Rakyatnya dan blok Eropah mengecapi keadilan dan keselesaan yang tiada di tempat lain termasuk di negara muslimin. Dulu mereka gelap kerana mereka tidak berilmu sebagaimana kerajaan Islam Andalus yang hebat itu. Hari ini mereka berilmu dan ilmu telah memandu mereka kepada keadilan yang sememangnya hak kita.

Kita pula menyembah Allah dalam jahil, bahkan bongkak.

Baki lagi, Amerika dan sekutunya hilang suatu yang besar. Mereka hilang Allah yang memandu dan menunjuki. Ilmu tanpa Allah hanya memandu di dunia, sedang Allah yang memberi ilmu itu memandu kita sampai akhirat.

Maka, Amerika adalah dunia matlamat hidupnya. Mereka hidup untuk dunia. Merancang untuk dunia dan hidup mati untuk dunia yang penuh keliru ini. Hasilnya, rakyatnya terpaksa mengecap pahit manis hidup di dunia. Satu pihak berseronok dengan harta bertimbun – timbun ( Pak Lah tidak cari harta bertimbun – timbun… ), satu pihak dihempap harta yang ditimbun.

Salah seorangnya adalah tentera muda Amerika itulah.. dia hanya boleh bertanya, mengapa aku jadi mangsa? Itulah kegelapan yang tiada lampu suluhnya. Mereka tiada Allah yang menyuluh.

Musharraf memerangi Allah. Allah berkata ( Hadis Qudsi ): ” Barang siapa memerangi waliku, maka Aku laungkan peperangan ke atasnya.”

Di Malaysia, siapa memerangi Ustaz Ibrahim Libya sehingga sejarahnya itu berulang kembali di Masjid Merah di Pakistan itu. Masjid itu adalah sejarah Memali lepas. Siapa memerangi Allah?

Kita menuntut Pak Lah menyatakan kekesalan dan kesilapan tindakan kerajaan di Memali. Jika tidak, Umno akan terus hitam sejarahnya dengan para ulama.

Tiada ulama yang mendukung Umno kecuali ulama yang jahat.

Selamat menonton kezaliman Umno di bumi bertuah ini. Atau, selamat berjuang menolak kepimpinan zalim ini. Pilihlah, semoga Allah menunjuki..

Salam Kamunting,

Kiranya genaplah sebulan saya menulis di blog ini. Hah, jadi satu kerja pulak. Tak nak tulis, nak tulis. Tak tulis, kena tulis. Nak tulis, letih..

Saya dah lama tak menulis. Lama sangat. Dulu, masa di menengah Maahad Muhammadi, saya acap juga menulis. Saya masa tu jadi ketua lajnah penerbitan badan dakwah. Kami buat majalah bulanan yang seadanya saja. Bila kawan – kawan puji tulisan saya, saya lagi naik angin nak menulis.  Kena make ko pong, kata orang Kelantan. Maksudnya, macam belon bila dipam. Bila dipuji – puji, kembang terangkat hidung jadinya. Di makan perasan.

( Ini penyakit jiwa. Pejuang Islam yang asyik seronok dipuji, biasanya akan lupa hakikat kelemahan diri. Akhirnya dia kecewa jika ditegur, luntur bila dibelasah, panas bila dinasihati. Jadi, jaga – jagalah diri bila dipuji. Ada tiga rangkap doa Nabi SallaLlahu alaihi wa sallam untuk menghindar penyakit ini. Tuan Guru Hj Abdul Hadi pernah baca doa ini dalam satu muktamar dulu ( 10 tahun? ) sambil menyebut, “Ini doa Tuan Guru Nik Abdul Aziz minta saya baca dan sebut dalam muktamar ini sebagai ingatan bersama.” )

Saya menaip kadang – kadang sampai jam 3 pagi. Seronok campur ikhlas campur perasan. Akhirnya saya terganggu dalam tidur saya. Makhluk jin datang mengganggu. Tak boleh lelap kadang – kadang sehingga menjelang subuh. Bertarung dengan jin. Macam cerita Tamar Jalis jadinya, kalau saudara yang sezaman saya boleh ingat!

Saya menjadi tak keruan. Takut dan keliru. Macam – macam fatwa  daripada orang yang saya tanya. Jin nak berkawanlah. Anta bakal jadi tok bomohlah. Akhirnya saya mengadu kepada ayahanda. Dia diam  lama juga. Kemudian dia kata, tak cukup tidur agaknya. Jawaban itu manalah memuaskan hati saya.. Tak thrill langsung!

Itu sehinggalah ilmu membuka hakikat kebenaran. Tubuh yang lemah akan diserang dari luar dan dalam. Dari luar makhluk halus bernama kuman dan bakteria menyerang. Dari dalam makhluk halus bernama jin menyerang. Semuanya mengambil peranan bila tubuh letih, apatah apabila akal dan emosi turut terganggu.

Akal yang sihat adalah pada tubuh yang sihat.

Rupa – rupanya tidur itu sejenis ubat pada tubuh. Masing – masing kita perlu menjadualkan keperluan tubuh untuk tidur. Di medan Badar, Allah mengurniakan mengantuk dan tidur sebelum para pejuang Islam memulakan peperangan yang dahsyat menentang tentera kufur. Mereka bangkit dengan tubuh yang sihat dan semangat yang hebat, lalu mereka memperohi kemenangan gemilang.

Walaupun saya agak lama menerima gangguan itu ( hatta di India pun ) sehingga saya dah jadi tak takut lagi, ia memberi ilmu yang berguna mengenai hakikat kewujudan makhluk itu. Ramai sahabat saya daripada kalangan ustaz yang dah jadi bomoh jin. Saya tidak dan tak berminat lagi. 

Dikatakan jin di Malaysia amat mengenali dua orang. Paling ditakuti oleh mereka ialah Dato Dr Harun Din. Paling dihormati oleh mereka ialah Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz. Sebut nama yang pertama, menggigil para jin. Sebut nama yang kedua, lemah gemalai pula jadinya.. Dikatakan..

Cuma ada sekumpulan jin yang tak reti takut dan tak reti hormat. Namanya jin Umno.. Bukan saja manusia, golongan jin juga berlindung diri daripada kejahatan mereka. WaLlahu a’lam.

Pengundi hantu tu kah? Atau penajanya?

Panjang pula cerita jin nih. Itulah saatnya saya terlalu aktif menulis. Saya berhenti menulis bila belajar di India. Saya banyak membaca dan tiada dorongan menulis. Kami pelajar Malaysia tak sampai 50 orang. Siapalah nak baca tulisan saya. Adalah satu dua artikel yang saya hantar ke majalah Muslimah di Malaysia masa tu.

Bila dah berhenti, payahnya nak mula. Mampukah blog ini mengasah kembali senjata yang dah tumpul berkarat ini?

Terima kasih saya ucapkan pada sahabat – sahabat lama dan baru yang memperkenalkan blog saya ini melalui pautan di blog masing – masing. Terima kasih jiwokelate ( jange dok bejiwo sangat lawe umno deh..), penarik beca ( acap -acaplah tarik beca dekat parlimen nuh, biar umno serabut ), Dhuat79 ( menarik juga blog hero tamil ni.. :) ), mudin001 ( nama ke betul – betul tok mudin ni?), zamri – indhibat.net ( bila boleh jumpa ya? ) dan lain – lain yang banyak membantu melariskan ‘ masanya memilih jalan yang lurus’ ini.

Juga pada komentar sahabat dan kenalan yang dekat dan jauh. Murid – muridku yang kembali berhubung. Moga kalian diberi kekuatan merentas perjalanan yang jauh dan beronak ini.

Akhirnya, khas buat saudara Dinsman yang begitu positif terhadap sanggahan keras saya terhadap tulisannya pasal lakonan watak RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Ingatkan dia nak bagi penumbuk, rupa – rupanya perangsang yang menyeronokkan dan menyegarkan untuk saya kembali menulis.

Selamat buat semua. Moga Allah menyusun kita di safNya.

Lawan Umno sampai orang tahu kita lawan Umno.

Lawan Islam Hadhari sampai malaikat tahu kita lawan Islam Hadhari.

Lawan Munafiqin sampai mereka tahu kita lawan mereka.

Lawan, lawan dan lawan sampai tuhan tahu kita lawan, lawan dan lawan.

Semalam hari ketujuh kelahiran cahaya mata kurniaan Allah yang ketujuh. Saya terpaksa tangguhkan majlis aqiqah kerana saya di Kuala Lumpur menghadiri mesyuarat yang saya tak boleh tak hadir sebab saya sendiri yang letak tarikhnya.

Saya dilantik ketua saya, YB Salahudin Ayub untuk mengepalai Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda Pas Pusat menggantikan Ustaz Nasrudin Tantawi yang diamanahkan mempengerusikan Akademi Kepimpinan Pemuda ( AKP ) yang dipegang Ustaz Idris Ahmad sebelum ini. Ustaz Idris pula dah naik pangkat dalam kepimpinan Pas Pusat. Moga maju jaya dalam perjuangan..

Nampaknya kepimpinan pemuda sungguh laku bila dah tamat tempoh khidmat dalam pemuda. Mereka diberi tempat yang baik dalam Pas Pusat melalui undi yang agak popular. Bilanglah sendiri jumlah mereka. Takkanlah tak kenal.

Saya jumpa ayahanda baru – baru ni dan nyatakan hasrat untuk menarik diri daripada jawatan tertentu dalam pemuda sebab keserabutan yang menimpa. Adalah itu ini punya hal yang buat saya rasa senak kepala. Dia tanya jawatan – jawatan saya. Saya beritahu. Ayahanda memang tak ambil tahu pasal jawatan saya. Saya pun tak beritahu.

Dia larang. Katanya jawatan adalah amanah. Bila dah diberi amanah jangan mudah – mudah dilepaskan. Kepayahan, keserabutan dan fitnah adalah rencah perjuangan. Abaikan, katanya. Dia berikan beberapa petunjuk yang berguna untuk saya jadi panduan dan ingatan.

Sebenarnya saya dah agak jawaban itu. Saya dah fasih pandangan ayahanda. Saja nak dengar sendiri untuk diri saya. Ayahanda sebut beberapa nama pimpinan yang jumpa dia nak berhenti juga. Isunya sama. Serabut. Jawabannya samalah. Rupa – rupanya ramai pimpinan yang nak tarik diri macam saya.

Ramai yang nak berhenti, ramai lagi yang nak bertanding, termasuk saya.. heh, heh. Saya fikir dalam kedua -duanya, pasti ada yang ikhlas dan pasti ada yang tak ikhlas. Ada yang jumpa sebut tak nak jadi wakil rakyat, tapi di luar sana orang memang tahu dia melobi nak jadi wakil rakyat. Jenis ni, ikhlaskah ya? Janganlah tersalah hukum pada ikhlas seseorang.

Tapi, ramainya yang menghukum tanpa ilmu..

Apapun, ikhlas itu ada tandanya. Nifaq itu ada tandanya. Kufur itu ada tandanya. Tanda itu kerjanya mengelak kekeliruan. Orang mukmin dipermudahkan Allah mengenali tanda – tanda dalam kehidupan ini. Tiada yang mengenal Dajjal itu nanti selain mukmin sebenar kepada Allah.

Saya sms isteri saya nama anak kami. Nak confirm nama dan ejaannya sekali di hari ketujuh. Kami pilih nama, Nik Ahmad Saif Mudzaffar bin Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz bin Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Mamat bin Raja Abdullah … sampai ( sebagaimana salasilah yang ada pada saya) kepada Raja Jembal, raja yang pernah memerintah Kelantan semenjak abad 18 dulu. 

Atas pada Raja Jembal itu ada nama – nama keturunan saya yang ngeri juga bunyinya. Macam nama keturunan India lama. Ada kajian lain oleh pengkaji sejarah yang menyambungkan keturunan saya terus kepada RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasalam.

Saya tanya ayahanda. Dia kata, dia tak tahu.

Mereka berkata, apalah ada pada nama? Saya berkata, pada nama ada pedang yang dikurnia kemenangan. Insya Allah, anak saya akan melibas musuh Islam bagai pedang yang ditempa untuk kemenangan. Awaslah keris Umno yang tak berguna itu..

Sebaik – baik nama adalah Abdullah..  ( maksud hadis nabi )

Seburuk – buruk perangai adalah Abdullah bin Ubay..

Di abad 15 hijrah ini, yang mengubah nama Islam kepada Islam Hadhari pun namanya Abdullah.

Apa ada pada nama?

Siapa nak jawab?

Politik di sisi para fuqaha ( ahli fiqh )

Para ulama fiqh banyak menyentuh perihal politik ketika membicarakan hukum takzir ( hukuman yang tidak ditentukan oleh nas ).

Politik di sisi ulama Maliki dan Syafie.

Mereka berselisih di antara menyempit dan meluaskan medan siasah syar’iyyah melalui pemakaian sumber al mashalih al mursalah. Mazhab Syafie dilihat paling sempit dan keras pandangan mereka. Ini dapat dilihat di dalam penulisan Imam Al Haramain ( Al ghiyasi ) yang tidak mengharuskan sebarang tambahan melampaui had yang telah dinaskan syara’ dan juga Al Imam Al Ghazali ( Al Mustashfa ) yang melihat al mashlahat al mursalah sebagai satu sumber dasar yang kabur.

Bagaimanapun Al Imam Al Qarafi ( ulama Maliki ) cuba menjelaskan di dalam kitabnya ( Tanqih al fusul ) bahawa sebagaimana mazhab lain, mazhab Syafi’e juga menerima al mashalih al mursalah. Inilah pendapat yang diterima secara tahqiq.

Imam Al Haramain di dalam kitabnya itu ( buku ini memetik beberapa petikan daripada buku Al Ghiyasi ) sebenarnya banyak menumpukan kepada kebimbangannya terhadap kelonggaran di dalam pembinaan hukum syara’ melalui penggunaan akal yang melangkaui bidang yang dibenarkan sehingga membuka peluang kepada golongan yang jahil ( seperti pemerintah ) untuk bertindak sesuka hati dengan bertopengkan syariat.

Adapun mazhab Maliki, mereka menerima al mashalih al mursalah dan tidak melihatnya bertentangan dengan syara’, bahkan dipenuhi dalil – dalil yang menunjukkan para sahabat menggunakannya tanpa menoleh kepada semata – mata dalil nas Al Quran dan Hadis.

Contoh – contoh amalan para sahabat yang menggunakan kaedah siasah syar’ieyah ( baca tindakan politik ) tanpa duluan dalil daripada iktibar dengan nas;

penulisan al mushhaf/Quran di zaman Abi Bakar, memilih sendiri Umar sebagai pengganti khilafah, penubuhan jabatan – jabatan di zaman itu. Umar mewartakan wang dinar Islam, pemakaian kalendar sendiri ( Hijriyyah ), membina sistem penjara dan lain – lain. Begitu juga tindakan Uthman mewajibkan pegangan umat Islam terhadap mushaf Al Qurannya dan membakar yang lain.

Semua ini adalah tindakan oleh para pemerintah yang berdasarkan maslahat awam ( politik )yang tiada di zaman RasuluLlah dan tiada dalam nas.

Yang penting ialah kita tidak bertembung dengan sebarang nas yang pasti dan juga sebarang kaedah/usul yang telah disepakati.

Mazhab Hambali bolehlah dikira paling ringan dan luas fahamannya dalam penggunaan Al Mashalih Al Mursalah sebagaimana akan kita ikuti dalam perbincangan oleh Ibn Al Qayyim nanti.

Politik di dalam fiqh Hanafi

Ulama mazhab Hanafi banyak sekali berbicara mengenai siasah syar’iyyah ketika mensyarahkan hadis Rasulullah mengenai hukum hudud ke atas perbuatan zina dan tindakan RasuluLlah membuang daerah pesalah lelaki yang belum berkahwin ke tempat yang jauh selama setahun. Mereka menafsirkan tindakan Rasulullah itu sebagai siasah syar’iyyah atau tindakan politik. Maka para pemerintah dibenarkan menggunakan siasah syar’iyyah jika ia mendorong kebaikan dan tidak mendatangkan fitnah.

Di sini mereka berbicara mengenai politik dan pemakaiannya. Paling masyhur ialah ulama Hanafi terkenal Ibn Abidin di dalam hasyiahnya yang masyhur ( Raddul Muhtar Alad Durril Muhtar ).

Antara pandangannya ialah ( Siasah tidak hanya khusus kepada soal zina sahaja, bahkan di dalam semua jenayah. Itu terserah kepada imam/pemerintah … seperti menghukum bunuh ahli bidaah yang dibimbangi penyebaran bidaahnya walaupun ia belum boleh dihukum kafir… Siasah bermaksud mencari kebaikan untuk rakyat dengan menunjuki mereka jalan yang selamat di dunia dan akhirat… Ia digunakan secara lebih khusus jika bertujuan menggertak dan mendidik sekalipun dengan hukuman bunuh seperti tindakan bunuh ke atas pencuri dan homoseks jika mereka melakukannya secara berterusan… Nyata kepadamu bahawa takzir/siasah syar’iyyah itu adalah menjadi penjamin kepada tindakan/hukum politik… Di sini para qadhi/hakim adalah sama dengan pemerintah di dalam menggunakan siasah syar’iyyah ).

Nampaknya para fuqaha Hanafi melihat bahawa politik hanya berkait dalam soal hukuman dan pendidikan sahaja. Kerana itu mereka melihat persamaan antara siasah dan takzir.

Pada pandangan tarjihan saya ( Al Qardhawi), politik lebih luas maknanya daripada takzir. Ia melangkaui soal adat dan muamalat juga seperti pentadbiran, ekonomi, hubungan berkait kemasyarakatan, perlembagaan dan luar negara.

Takrif Al Imam Ibnu Aqil tentang siasah: Semua tindakan pemerintah yang mendekatkan rakyat kebada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan, sekalipun tanpa hukum syara’/nas, dengan syarat ia tidak bertentangan dengan syara’.

Salam Kamunting, 

Pagi tadi saya sempat hadir di majlis perasmian Pusat Rawatan Haemodialisis Keluarga Bahagia di pinggir Kota Bharu dalam DUN Tanjung Mas yang turut dihadiri  wakil rakyatnya, YB Rohani Ibrahim, satu -satunya wakil wanita di DUN Kelantan.

Majlis dirasmikan oleh YB Dato Hj Husam bin Hj Musa yang menggantikan ayahanda Tuan Guru Dato yang masih berehat di rumah selepas keluar HUSM. Dato’ Hj Husam nampaknya berpengetahuan baik soal sains kesihatan. Beliau mengupas mengenai nilai nikmat kesihatan kurniaan Allah yang perlu disyukuri manusia. Kajian – kajian dan terokaan sains kini yang menyerlahkan keajaiban penciptaan tubuh menggambarkan kebesaran, keagungan dan kasihan belas Allah pada manusia.

Saya kata beliau berpengetahuan ( saya lihat dia juga pemimpin ulat buku Pas Kelantan ) kerana itu bukanlah bidangnya. Beliau kelihatan tidak kekok bercakap soal kesihatan dan sains sedang di depannya beberapa doktor pakar yang turut mendengar. Rasanya, tinggi markah beliau kalau diberi.

Saya ni bekas bakal doktor..

Pusat rawatan ini yang diuruskan oleh sahabat baik saya, Dr Rosli Allani  Abdul Kadir adalah dengan usahasama Akademi Keluarga Bahagia dan sebuah syarikat swasta dari Kuala Lumpur yang mengendalikan beberapa cawangan pusat rawatan seumpamanya di seluruh negara.

Kos rawatan yang terlalu tinggi bagi pesakit buah pinggang yang terpaksa menjalani rawatan ini menjadi pendorong kepada pembukaan pusat rawatan ini yang lebih berorientasikan kebajikan. Beberapa pakej kebajikan yang ditawarkan sudah pasti akan menarik ramai pesakit ke sini. Saya diberitahu, seorang guru ugama juga akan ditugaskan di sini untuk memberi nasihat – nasihat ugama yang terlalu berguna untuk semua.

Dr Rosli Allani adalah bekas pakar saraf di HUSM. Beliau berhenti dan kini beliau adalah pengerusi Lajnah Antara bangsa Dewan Pemuda Pas Pusat. Tahniah. Saya tumpang tuah beliau di Lujnah Kebajikan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan. Terima Kasih.

Salam Kamunting,

Terima kasih Tuhanku. Pujianku dan pujian alam untukMu biarlah sejumlah pujianMu atas diriMu sendiri. Takkan mungkin ku capai segala kewajiban junjung kasihku padaMu.

Ayahanda selamat keluar hospital 2 hari lepas selepas 3 hari berehat di bawah pengawasan berterusan para doktor. Terima kasih kepada semua warga HUSM yang terlibat memberi perkhidmatan yang baik dan penuh rasa kasih kepada seorang Tuan Guru yang mentadbir negeri dengan penuh pujian keadilan.

Seorang ulama salaf, ketika melihat dari jauh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz disambut kedatangannya oleh rakyatnya dengan penuh kehebatan, berkata kepada para murid disampingnya, ” Jika kamu mahu mengenali orang yang dikasihi Allah di bumi ini, lihatlah bagaimana Allah menambat hati manusia untuk menghormati dan menjunjung orang yang dkasihiNya.”

Semoga Allah merahmati ayahanda dan orang – orang yang mencintainya  dan para ulama. 

Malam sebelumnya, saya pula selamat menimang cahaya mata yang ditunggu – tunggu. Anak lelaki ke lima daripada tujuh sinar cahaya kurniaanNya. Syukurlah isteri saya kembali sihat selepas menempuh rentetan tiga saat kegetiran yang dahsyat yang saya tak mampu kecuali mulut yang tak henti – henti mencari dan menanti belas kasih tuhanNya.

Sepanjang menemani saat – saat beberapa kelahiran, inilah pertama kalinya saya sejuk berpeluh melihat kesakitan yang tak mampu saya kongsi selain menunjuk rasa simpati yang hanya isteri yang tengah kesakitan menagihnya demi menguatkan semangat dan kekuatan diri.

Doktor Siti yang memang terkenal di bibir para ibu di sekitar Kota Bharu dengan kepakaran dan keberaniannya seperti terkedu kelu dengan kesusahan yang beliau sendiri terpaksa lalui. Panjang kalimat – kalimat syukur saya dengar dari lidahnya yang kelihatan cuba menahan pucat yang dilindunginya.

Kerana pucatnya yang jarang saya lihat, bayangkan pula pucat saya ini. Ibu saya, matanya saat itu merenung saya seolah – olah  berkata, ” anakku, lihatlah jasa isterimu, seorang ibu, seorang perempuan.” Bagaimana harus saya jawab..

Aduhai kita ini selalu menyusahkan.. masa lahir, ibu kesakitan kerana kita. Masa membesarkan, ibu kepeningan kerana kerenah kita. Bila kita mati, semua orang kesusahan. Jika baik, susahnya dicari pengganti. Jika jahat ( wal iyazu biLlah ), susahnya nak hilangkan kesan jahat kita..

Nasib baik ada kerajaan Kelantan bagi kifalah kematian. Senang hati rakyat Kelantan semuanya. harapkan Umno, baik lagi harapkan burung hantu jaga kubur.. 

Saya ingin membina keluarga bahagia. Saya mengharapkan isteri yang hebat. Tetapi keinsafan ini membisik dan menyapa bahawa isteri saya mengharapkan kehebatan saya sebagai suami dan ayah melebihi pengharapan saya. Kita lelaki, selalu dibalut keegoan jantan kita ini, sedang isteri, dalam lemah seorang perempuan dia bekerja dan sujud kepada kita.

Aduhai, besarnya jasa ibu. Aduhai, besarnya jasa isteri.

Para suami, jauhilah memarahi isteri.

Dulu saya bengis juga pada isteri. Saya kemudian belajar erti kehidupan. Nilainya pada pengorbanan. Tiada yang berkorban untuk saya selepas ayah bonda selain isteri saya.

Lalu saya berhenti memarahi isteri. Saya mencium dahinya dan saya berkata, “abang tidak akan lagi memarahi sayang.”

Kerja saya bila balik ialah.. terima kasih yang, maafkan abang.

Selepas berlalu beberapa masa, isteri saya memarahi saya. Katanya, dia tidak seronok tidak dimarahi suami!! Aaaa..

Saya tak tahu, sampai bila pelajaran hidup ini akan berhenti..

Anak – anak kami,

Nik Ahmad Shah Waliyullah,  Nik Mus’ab Umairi,  Nik Nurana Nazeehah,  Nik Izzuddin Qassam,  Nik Zati Maisuri,  Nik Abdul Mun’im dan Nik …. ( hari ke tujuh saya tulis )

Salam Kamunting,

Sabtu lepas saya turut hadir dalam majlis pelancaran Hari Belia Kelantan yang disempurnakan ayahanda Tuan Guru di Balai Islam Lundang, Kelantan. Program anjuran J/K belia, wanita dan sukan kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh YB Abdul Patah Mahmood itu turut menampilkan program baru iaitu penganugerahan tokoh belia peringkat negeri dalam 4 kategori iaitu tokoh belia keusahawanan, khidmat masyarakat, ulama muda dan NGO.

AlhamduliLlah, walaupun majlis agak ringkas, ia cukup menarik. Selain ucapan ayahanda MB yang memberi petunjuk dan arahan yang berguna walaupun terpaksa bertongkat keletihan, saya tertarik dengan idea penganugerahan tersebut. Saya kira wajar para belia yang berjaya dalam semua bidang ditonjolkan sebagai contoh yang berguna kepada generasi muda hari ini yang banyak sangat cabaran hidupnya.

Program diakhiri dengan para hadirin dihiburkan dengan persembahan dikir barat oleh pendikir terkenal dan berjaya, En Halim Yazid. Saya duduk sampai habis mengikuti persembahannya hampir sejam. Macam orang lain, kadang – kadang lirik dan lagu yang bagus oleh penyanyi yang berbakat boleh menyebabkan saya menitis air mata.  Semalam tergenang juga air mata saya mendengar Encik Halim mendendang lagu nasihat untuk anak perempuannya yang berjaya ke U baru baru ni. lebih kurang nasihatnya, “…dok jauh tempat ore, Yati jange lupa pakai tudung.” Dikir Barat bagi saya cukup bagus untuk dikembangkan kekuatannya sebagai medium dakwah khususnya di Kelantan.

Setakat hari ni, lagu Mawi belum menyentuh hati sanubari saya. Entah.. serabut adalah..

Hari yang sama, pesta sukan PASTI kebangsaan diadakan di Padang Perdana, Kota Bharu. Saya terkilan juga lewat menghadirinya sehingga tak sempat mengikuti perlawanan akhir bola sepak budak – budak PASTI yang cukup hebat khabar bunyinya. Yang menarik, ada pemain cilik itu yang boleh menggelecek macam orang tua gayanya. Bayangkan pemain terbaik kejohanan dua hari itu mampu menjaringkan hingga 10 gol. Ronaldo pun tak boleh buat 2 hari 10 gol!  

Saya minat bola tapi taklah bisa main bola. Minat tak perlu syarat tu. YB Taqi ajak ke Bukit Jalil minggu depan tengok Malaysia main. Jomlah sama – sama, saya tak masuk lagi stadium besar tu. Boleh reki – reki tempat, mana tahu Pas boleh ceramah di situ satu masa nanti. Saya minat Akmal Rizal. Tapi yang saya minat asyik cedera.. Akmal, Michael Owen..  Masa kecil, di padang saya namakan diri saya Kenny Daglish.. kah, kah.

Tahniah untuk Cikgu Azrin, Pengerusi PASTI Pusat. Tak lupa YB Zaki dan Cikgu Nuri yang telah berjaya membawa PASTI terus ke depan. Juga semua urusetia yang terlibat. Kerajaan Negeri banyak memberi bantuan. Tahniah, PASTI pasti unggul, insya Allah.

Saya sempat jumpa YB Salahuddin, bos saya yang berwajah serius itu. Beliau kalau bercakap pasal PASTI pun serius juga. Beliau meminta saya cari sumbangan untuk pembinaan perpustakaan mini di pejabat Pemuda Pas Pusat di pejabat Pas Pusat yang baru dan besar itu. Idea itu dia kemukakan pada saya bulan lepas. Saya amat bersetuju. Sebabnya pasal bukulah. Pejuang Islam mesti jadi ulat buku. YB pun ulat buku juga pada amatan saya.

Banyak beliau minta, sikit saja saya bagi. RM 12,000.00 kos buat raknya sahaja. Kalau ada yang nak bagi derma, eloklah sangat. Ini iklan dan kempen saya pada anda. Seronok dapat pahala, diangkat darjat, dihapus dosa dan dimasukkan dalam syurganya.

Seminggu sebelum itu saya menggantikan YB Ustaz Hassan Mahmood, Exco Kerajaan Negeri melepaskan ekspedisi berbasikal kelab remaja berbasikal MPKB BRI dari KB ke Tumpat. Diperjalanan mereka akan bergabung dengan kelab remaja berbasikal Pasir Mas yang dilepaskan pada masa yang sama dari bandar Pasir Mas. Hambir 150 peserta menyertainya. Tahniah pada Jabatan Pembangunan Islam MPKB BRI yang berjaya menubuhkan satu demi satu kelab – kelab remaja di Kota Bharu. Kelab Kancil, Kelab Kuda, motorsikal, basikal, skuad hisbah dan lain – lain.

Saya menulis mengenai remaja belia dan program Kerajaan Negeri untuk mereka. Kita sebenarnya di antara program – program mengisi belia kita dengan cara hidup Islam dan ancaman – ancaman yang terancang daripada musuh Islam untuk menghancurkan Islam dan belianya. Kuatnya serangan musuh. Kerajaan Negeri, walaupun memiliki kekuatan, tetapi kita terpaksa mengakui Kerajaan pusat Hadhari Umno yang sesat itu terlalu kuat untuk disekat penguasaan mereka ke atas remaja.

Hiburan melampau terhidang 24 jam. Kita mungkin mampu menyekat 4 jam daripadanya. 20 jam lagi hanya menasihati dan menegur Umno agar mereka tahu anak – anak Islam hanyut kerana mereka.

Tapi, adakah Umno faham ini? Saya tak nampak. Pemimpin Umno terlalu busuk otak dan akhlak mereka. Mereka lebih artis daripada artis. Bersama kita berfikir untuk pemuda remaja belia kita. Moga Allah menunjuki.   

Oh ya, ayahanda seperti saya sebut di awal tadi, keletihan hari itu. Bertongkat. Petangnya, beliau minta ke hospital untuk berehat. Letih dan sakit lutut katanya. Sehingga pagi ini, beliau masih berehat di sana. Sihat stabil. Doakan untuknya.

Juga untuk ore rumah saya. Aduh, bilalah baby nak mai nih. dah 10 hari saya batal program jauh nak bersama tunggu cahaya mata baru. Doakan semua selamat.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Julai 2007
I S R K J S A
« Jun   Ogo »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 156 other followers