Salam Kamunting dan salam Ramadhan,
Saya keluar hospital 3 hari lepas setelah 4 hari dimasukkan ke wad 10 HRPZ Kota Bharu. Sebelumnya saya sudah tak bermaya beberapa hari di rumah kerana keletihan yang agak teruk. Ia ujian di bulan Ramadhan yang belum pernah saya lalui. Saya masih keletihan dan hari ini saya mula kembali berpuasa selepas rehat lebih seminggu. Harapnya kekuatan saya bertambah baik agar saya mampu untuk terus melaksanakan ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini.
Kesihatan adalah nikmat yang tak terperi. Ia bagai kehidupan itu sendiri. Kita tidak akan menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik. Kerana itu, saya hampir – hampir karam di awal Ramadhan ini. Bagaimana harus saya berseronok beribadah di bulan mulia ini tanpa kesihatan yang baik?
Badan saya terasa panas. Bila kipas berpusing, kulit saya terasa sengal - sengal kesejukan. Bila saya tarik selimut, kerimasan pula melanda – landa. Kemudian hidung saya seperti kehilangan petunjuknya. Semuanya berbau hamis, hapak, hanyir dan entah apa lagi. Saya terasa loya dan mula muntah – muntah. Masa berbuka puasa, juadah berbuka yang beraneka seperti hanya satu rasa, tawar dan meloyakan.
Semasa di hospital, lebih 10 botol air dimasukkan ke dalam tubuh tetapi saya terus rasa loya dan mual. Lebih seminggu saya dihimpit kesempitan. Saya terganggu dengan mimpi dan igauan yang membosankan. Saya keluh kesah tak mampu melelapkan mata. Buruk lagi, saya seperti lupa berada di bulan Ramadhan. Bila saya mengambil makanan, saya tawarkan kepada rakan di sebelah. Bila mereka senyum dan berkata, puasa, barulah saya sedar berada di bulan Ramadhan.
Akhirnya kesihatan saya beransur – ansur pulih. Terima kasih para doktor dan terima kasih rakan – rakan yang mendoakan. Pasti saya tak lupa jasa isteri saya yang bersama – sama saya sepanjang masa memberi apa yang saya tak terfikirkan. Kelembutan itu satu kekuatan. Hari ini saya dah terasa kesihatan menyapa tubuh saya. Saya rasa sihat dan terasa mahu bersalam dengannya.
Saya mengalami luka – luka dalam perut. Pada hari akhir di hospital, doktor mengesahkan saya juga diserang denggi. Tapi, keadaan dah baik.
Cukuplah kesakitan itu sebagai pengajaran dan ibrah Ramadhan saya tahun ini. Saya terasa ketinggalan. Ruginya tertinggal. Semoga Allah mengampuni saya dan kita semua. Sudah lama saya tak tadarus Al Quran.


10 comments
Sumber komen-komen untuk artikel ini
September 29, 2007 pada 11:44 pm
cakapaje
Assalamu’alaikum Ustaz,
Setiap hari ana menjenguk untuk membaca yang terbaru, rupanya Ustaz kurang sihat. Alhamdulillah, kesihatan Ustaz bertambah baik; semoga Ustaz sihat sepenuhnya.
Wassalam
Oktober 1, 2007 pada 8:20 am
Li
Salam,
Semoga Ustaz semakin sihat dan bahagia selalu. Takbir.
Oktober 1, 2007 pada 12:50 pm
Zaharah
Salam.
Ustaz, semoga cepat sembuh seperti keadaan asal. Saya doakan yang baik-baik untuk ustaz dan keluarga.
Hmm…sakit itu selalunya datang tanpa kita sangka. Selepas ini, kerja keras, kerja keras juga, tetapi kesihatan perlu diutamakan. Sementalah kita kekurangan tenaga pada saat2 negara kita tenat dengan permasalah sosialnya, tambah pula dah dekat nak pilihanraya ni, harap ustaz utamakan kesihatan.
Sampaikan salam terima kasih kepada suri ustaz yang setia berjasa.
Salam akhir ramadhan
Oktober 1, 2007 pada 4:48 pm
syaikhan ubaid
salam ukhuwah & salam perjuangan
mudah-mudahan ALLAH
merahmati ustaz….amin
insyALLAH ade mase
time raya nanti
ana nk tepon ust & ust Nik Adli
lastly…
send my regards to ust Nik Adli,
ustzh Sles Monira,abg Ariff & sekeluarga
Oktober 1, 2007 pada 6:08 pm
dhuat79
Ustaz cuba amalkan madu.Insyaallah ianya berkesan.Sawda(jintan hitam) ker
Oktober 3, 2007 pada 1:21 pm
CAHAYA PETUNJUK
Alhamdulilah, ustaz sudah pulih semula… betul seperti yang dikatakan oleh kak zaharah, ustaz perlu menjaga kesihatan ustaz dalam keadaan yg pada saya ‘teruk sangat’. Moga ustaz panjang umur, kami masih memerlukan pejuang2 seperti ustaz.. ( patut la Ramadhan tahun nie ustaz tak datang masjid tayyibin)…….lesu rasanya kerana asakan jais yg tak benar tazkirah semasa terawih…tak seperti tahun lepas ustaz2 yg hebat2 dijemput untuk memberi tazkirah…So ustaz kena jaga kesihtan betul2 k …..
Oktober 3, 2007 pada 1:38 pm
RIDWANTO UTM
semoga ustaz sembuh sepenuhnya…amin
Oktober 3, 2007 pada 9:36 pm
nikabduh
Salam Ramadhan,
Terima kasih atas doa dan nasihat. hari ini dah semakin sihat walaupun gagahnya masih tak kembali. Ya, kadang – kadang kita leka dengan perihal kesihatan tubuh dan penjagaannya. Apabila berlaku, barulah terasa betapa nikmatnya kesihatan.
Ayahanda bila ditimpa masalah jantung hari tu, dia kata, sekarang, bila dah telah tua sangat, baru terasa hebatnya kesihatan yang baik! Maksudnya, kebaikan adalah bila kita dari semasa ke semasa terus bertambah – tambah dapat merasa dan mensyukuri nikmat Allah.
Beliau terus menambah azam jaga kesihatan dalam usia 75! Kita pula semakin hari semakin kendur untuk bekerja..
Doakan semoga saya dapat terus bekerja untuk Islam! Seperti kalian juga.. amin.
Oktober 4, 2007 pada 12:00 am
cakapaje
Salam kembali Ustaz,
Alhamdulillah. InsyAllah kami doakan. Sampaikan salam saya – kami – pada ayahanda Ustaz.
Oktober 4, 2007 pada 12:25 pm
albazrah
Alhamdulillah, Ustaz sudah sembuh. Saya terfikir bertuahnya ustaz diuji dengan sakit. Secara percuma, segala dosa berguguran. Kesabaran dan redha ustaz dan keluarga pula menggandakan pahala, dan anugerah Allah pula mengalir seumpama Ustaz terus-terusan beramal. Hebatnya kurniaan Allah.