Salam Kamunting,

Bahagian ketiga

Setelah anda memahami bagaimana Pas berjaya meyakinkan ahli dan penyokongnya dengan dua hukum yang telah disebutkan di atas, iaitu kewajiban memilih Islam di dalam politik kenegaraan dan kewajiban menyertai pilihan raya untuk memilih kerajaan, maka Pas dengan penuh optimis menggerakkan segala kekuatannya untuk meledakkan satu hukum penyudah di dalam perjuangannya di arena politik Islam di dalam negara demokrasi sekular Malaysia ini iaitu kewajiban mengundi Pas di dalam pilihan raya demi memastikan kedaulatan dan ketuanan Islam sebagai  rujukan utama perundangan negara. Hanya parti Pas yang secara jelas tanpa selimut menuntut pembentukan sebuah Negara Islam.

Bagaimanakah Pas menampilkan hujahnya di dalam misi mengambil alih pemerintahan negara  bagi membenarkan keabsahan hukum dan fatwa tersebut seterusnya mengikat penyokongnya dengan kewajiban tersebut? Mari kita meneliti penghujahan berikut:

1 )  Pas satu – satunya gerakan Islam yang menyertai pilihan raya.  

Adalah jelas sepanjang sejarah pilihan raya di Malaysia, Pas kekal sebagai satu – satunya parti politik Islam yang berterusan menyertai pilihan raya untuk mendaulatkan Islam dalam negara. Walaupun tidak dinafikan kewujudan beberapa gerakan dan kumpulan Islam yang berjuang untuk menegakkan ketuanan Islam dalam negara, tetapi parti Paslah menjadi satu – satunya gerakan Islam yang menyertai pilihan raya secara langsung. 

Dengan medan yang kosong dan bebas daripada kekeliruan sesama sendiri, adalah jelas umat Islam yang diwajibkan menerima sistem dan perundangan  Islam dalam politik kenegaraan tiada lagi pilihan dan hak selain menyokong dan mengundi Pas dalam pilihan raya yang menjadi satu -satunya cara yang aman dan dibenarkan dalam sistem demokrasi hari ini.

2 )  Pas satu – satunya parti politik yang bercita – cita menegakkan negara Islam.

Selain bebasnya medan pilihan raya daripada kekalutan kekeliruan sesama gerakan Islam, ia juga menonjolkan Pas sebagai satu – satunya parti politik yang menjadikan pensyariatan Islam sebagai matlamat dan agenda utama politiknya. Apabila Pas bersendirian di medah siasah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup, adalah jelas sokongan umat Islam mestilah diberikan kepada Pas demi memastikan kejayaannya di dalam pilihan raya, seterusnya menguasai tampuk pemerintahan dengan keadilan dan kesejagatan Islam.

Tidak mengundi bererti mengekalkan pemerintahan sekular sedia ada untuk terus mengekalkan penolakan terhadap Islam. Mengundi selain Pas yang sememangnya berjuang bukan untuk Islam pula juga memberi erti yang sama selain secara terbuka menolak sebuah gerakan yang tanpa syak berjuang untuk Islam.

Justeru mengundi Pas adalah menjadi kewajiban ugama yang tidak dapat ditolak lagi oleh isu – isu kecil seperti hak kebebasan memilih dalam pilihan raya, kecondongan kepada individu tertentu dan sebagainya.

3 )  Pas adalah sebuah parti dan gerakan Islam yang menyeru kepada kesyumulan Islam.

Syarat utama sebuah gerakan Islam ialah seruannya mestilah kepada Islam yang syumul dan menyeluruh. Memecahkan Islam kepada juzuk – juzuk kecil adalah satu jenayah agama. Memfokuskan amal Islami kepada aspek – aspek tertentu dengan mengabaikan hak dan tuntutan aspek – aspek baki adalah satu kepincangan dan kekurangan yang boleh mencetus fitnah dalam memahami Islam yang sebenar.

Pas melepasi garisan ini. Ia adalah sebuah gerakan yang menyeru kepada Islam yang sempurna dan menyeluruh. Apabila ia bergerak cergas di dalam politik negara, ia turut campur tangan  dan memiliki sentuhan Islami dalam segala aspek kehidupan. Apabila Pas, samada menyeru, menilai, mengukur atau memberi pandangan, maka ia mengambil kira semua aspek ugama tanpa mencacatkan wajah Islam dengan pandangan  yang tempang.

Pas memiliki individu yang pakar dan sepenuh masa di dalam dakwah ibadah dan masjid, ekonomi dan kewangan, sosial dan kebajikan marhaen, kehakiman dan perundangan, pendidikan dan motivasi, kesihatan dan kesejahteraan, budaya dan bahasa sebagaimana ia memiliki kepakaran sepenuhnya dalam gelanggang politik negara dan antarabangsa.

Justeru memilih Pas dalam pilihan raya adalah wajib kerana dakwahnya kepada Islam yang menyeluruh. Lawan Pas dalam pilihan raya, Umno pula bukan hanya sempit pandangannya terhadap Islam, malah telah bermain – main dan mempersendakan Islam dengan nama Islam Hadhari yang penuh fitnah dan kekeliruan kepada masyarakat.

4 )  Umno adalah parti kebangsaan sekular yang menolak Islam sebagai sumber hukum.

Lawan Pas dalam pilihan raya adalah Umno, sebuah parti yang ditubuhkan dengan bertunjang, bersandar dan berpayungkan dasar kebangsaan kemelayuan sekular yang menyimpang daripada tuntutan syara’. Sekularisme adalah musuh utama Islam selepas syaitan dan iblis. Sebagaimana dasar sekular yang memisahkan ugama daripada negara ditolak mentah oleh Islam, begitulah jua dasar nasionalisme yang menjadi kembarnya.

Adalah diketahui secara mudah dalam pengajaran ugama Islam bahawa berbangsa – bangsa adalah ciptaan Allah dengan tujuan saling mengenal dengan keistimewaan masing – masing dan saling menghormati demi kewajiban bersatu di bawah Islam sebagai wadah dan cara hidup. Berbangsa – bangsa adalah keindahan dan  keunikan yang membibit rasa hormat dan kasih sayang demi sebuah penyatuan padu umat manusia. 

Apabila Umno menjadikannya sebagai satu ideologi yang mengurung dan memisahkan antara bangsa – bangsa yang telah diikat teguh dengan kesatuan ugama dan kesemula jadian tadi, maka Umno dengan jelas bergerak menyimpang daripada tuntutan syara’. Tambahan pula, ideologi kebangsaan yang diagungkan itu adalah ciptaan barat yang dibawa ke dunia Islam demi memecahkan kesatuan yang telah lama dibina oleh kerajaan khilafah suatu masa dahulu. Kebangsaan adalah terlalu asing dan tertolak dalam sejarah Islam. Umno menerimanya daripada barat yang memusuhi Islam.

Inilah lawan Pas sepanjang pertembungan dalam pilihan raya. Ia adalah dua buah parti politik melayu Islam yang cukup berbeza dan bertentangan. Ia berlaku secara terpaksa atas sebab keingkaran satu kumpulan untuk menerima Islam, bahkan berkeras, malah berbangga dengan ideologi nasionalisme tersebut.

Justeru mengundi Pas adalah kewajiban ugama yang mesti ditunaikan. Mengundi Umno sebaliknya akan melangsungkan kesinambungan umat Islam hidup bernaung dalam dunia sekular terlarang.

About these ads