You are currently browsing the monthly archive for Disember 2007.

Salam Kamunting,

Selepas peristiwa berdarah di Masjid Merah yang menyaksikan pembunuhan ratusan umat Islam di Pakistan akibat kekejaman dan tindakan ala ‘ budak suruhan Amerika’ oleh presiden Pervez Musharraf Julai lepas, saya menulis sedikit mengenainya ( klik di sini untuk menyatakan kerisauan dan ketakutan yang bakal membakar keamanan di sana. Musharraf dengan sengaja menebuk lubang untuk fitnah yang bakal merebak.

Hari ini beliau menyaksikannya dan seluruh dunia menyaksikan fitnah yang menakutkan itu. Selepas pembunuhan bekas presiden, Benazir Bhutto di tangan pengebom berani mati yang pastinya didesak oleh rasa putus asa dengan kehidupan yang menekan dan menghimpit di sana itu, adakah kita boleh mengandaikan suasana kehidupan di sana akan kembali harmoni dengan cepat? Tidak sama sekali! Api fitnah sedang marak dan ia akan terus bergerak dengan cepat sekali.

Dalam tempoh masa terdekat ini, kita mungkin menyaksikan pembunuhan demi pembunuhan yang mungkin mencecah ratusan atau ribuan mangsa yang tidak berdosa. Semuanya umat Islam, saudara seakidah kita.

Ketidak puasan adalah terhadap Musharraf kerana dialah yang dilihat sebagai punca segala pergolakan di Pakistan. Beliaulah yang diburu. Tetapi tabiat fitnah adalah di luar kawalan. Ia merebak seperti api yang membakar di hutan yang dibantu angin kuat yang datang dari pelbagai arah yang sukar diramal. Apabila Musharraf gagal diburu, fitnah itu senang sahaja menerkam mangsanya yang lain. Dengan ratusan umat Islam terbunuh selepas peristiwa di Masjid Merah itu, semalam ia memuncak dengan pembunuhan bekas presiden yang sedang berusaha dalam kempen pilihan rayanya itu untuk mengembalikan kebebasan yang hilang di tangan Musharraf, diktator yang sentiasa patah tumbuh hilang berganti di dunia Islam yang sedang sakit hari ini.

Fitnah adalah peringatan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam kepada umatnya di akhir zaman. Fitnah disinonimkan dengan dekatnya kejadian kiamat dan kehancuran dunia untuk selama – lamanya dengan kehadiran alam akhirat yang dijanjikan Tuhan. Peperangan dan pembunuhan menjadi mudah kerana gagalnya manusia mengawal bahang fitnah yang sedang menyala dengan rakus sekali. Ia menjadi lebih dahsyat apabila fitnah itu meruncing di dalam kalangan umat Islam sendiri, seperti yang berlaku di Pakistan, Iraq dan bumi Palestin hari ini. Umat Islam adalah saksi Allah di bumi ini. Itulah peranan yang hilang dalam kehidupan akhir zaman hari ini.

Apabila Nabi ‘rahmatan lil ‘alamin’ itu menyebut dan mengingatkan kita dengan kemunculan fitnah demi fitnah yang melanda dunia akhir zaman ini, maka adakah ianya hanya menjadi sekadar ingatan yang  ditunggu dengan mata terkedip – kedip, atau di sana ada tali yang dihulur dan ada bantuan yang meleraikan kekusutan itu daripada baginda? Ya, sudah pasti baginda memberikan kita penyelesaian dan penawar yang membahagiakan. Baginda adalah rahmat untuk seluruh alam.

Ia adalah kembali kepada Al Quran dan Hadis sepenuhnya. Kembali memilih jalan yang lurus. Setiap detik adalah masanya.. Semalam, hari ini dan setiap masa adalah masanya memilih jalan yang lurus.

Kembali kepada Al Quran dan Hadis Nabawi bererti tunduk kepada kedua – duanya walau apa keadaan sekalipun. Kedua – duanya kesucian itu didatangkan untuk menunjuki, mengarah, menegah, menganugerah dan menghukum manusia, lalu manusia mesti mematuhi dan tunduk kepadanya. Apabila mereka tunduk, maka disitulah terhasilnya penyelesaian yang pada mulanya dilihat rumit dan sukar sekali. Ia tidak sukar di sisi Allah kerana Dialah Pemudah dan Penyukar segala sesuatu. Segala kejadian adalah dengan kehendak dan izinNya. Segala arahan, larangan dan hukumannya adalah demi kebahagian manusia di dunia dan ia pastinya penuh keberkatan, bersambung ke akhirat.

Allah mengharamkan darah setiap muslim. Ucapan kalimah syahadah menjadikan darah yang mengalir dan menadikan kehidupan pengucapnya itu mulia dan dimartabatkan ketuanannya. Atas segala kesalahannya, bunuh dan darah tetap kebal daripada ditumpahkan, sehinggalah si muslim itu melanggar apa yang dikira ‘hak’ yang mesti dibalas setimpalya. Contohnya, bunuh tanpa hak dibalas bunuh jua. Bagaimana digambarkan pembunuhan sesama muslim, sedangkan mereka itu adalah bersaudara? Setiap muslim adalah saudara kepada yang lain.

Begitu sesama muslim, begitulah kita sesama manusia tanpa mengira ugama. Kita daripada bapa yang sama. Maka manusia seluruhnya adalah bersaudara.Sama tetapi dibezakan oleh sesetengah kita yang kufur dengan Allah sebagai tuhannya. Islam melarang pembunuhan sesama manusia tak kira apa ugamanya. Tetapi oleh kerana ikatannya yang sudah menjadi longgar atas sebab kekufuran sesetengah mereka, lalu memutuskan talian kukuh persaudaraan sejati ( persaudaraan Islam lebih kukuh daripada persaudaraan darah dan kemanusiaan), maka tidak peliklah pembunuhan boleh berlaku di antara muslim dan bukan Islam. Perubahan hukum berlaku. Jihad difardhukan demi menjaga kesucian martabat darah muslim yang bersaudara daripada ditumpahkan oleh penderhaka kepada Allah Sang Pencipta.

Justeru pembunuhan Benazir Bhutto adalah haram dan terlarang oleh ugama Islam. Kesalahannya bukan dibayar dan dihukum dengan darah. Bahkan jika beliau bersalah, beliau tidak boleh diISAkan sama sekali sehinggalah dihakimi di mahkamah keadilan Islam. Itulah kemuliaan manusia, apatah jika dia seorang muslim.

Jika beliau bersalah di Pakistan, Abdullah bin Ubay lebih bersalah di Madinah saat hidup bersama RasuluLlah. Beliau melakukan kerja fitnah dan kerosakan yang hampir sekali menggugat kestabilan kerajaan pimpinan baginda sendiri. Isteri baginda difitnah lebih dahsyat daripada fitnah yang menimpa DSAI beberapa tahun lepas di Malaysia. Tetapi hukuman berlaku tanpa pertumpahan darah. Kenapa? Sebab, Abdullah bin Ubay adalah seorang muslim walaupun beliau seorang penipu yang diketahui jelas penipuan syahadahnya.

Apatah jika dilihat kesungguhan Benazir Bhutto pulang berjuang untuk mengembalikan hak dan kebebasan rakyat yang dicabuli oleh Musharraf bertahun – tahun lamanya, maka pastinya beliau dirindui rakyatnya yang hidup tertekan. Semoga Allah mengampuni dosa – dosanya atas kebaikan yang beliau sumbangkan untuk negara dan rakyatnya. Sesungguhnya Allah tiada terhad keluasan keampunanNya.

Begitulah Islam meletak hukuman bagi memastikan kedamaian dan keharmonian dalam dunia Islam. Tiada jihad ke atas sesama muslim sehinggalah berlaku pemberontakan yang membakar kedamaian dan keharmonian itu. Saat itu, darah pemberontak menjadi halal. Ini dunia Islam. Undang – undang sebuah kerajaan Islam.

Di negara kita dan di negara – negara umat Islam hari ini, walaupun ianya diperintah oleh muslim yang berotak penjajah yang menolak ketuanan Al Quran sebagai perlembagaan kehidupan dan negara, hukum ini terus berjalan. Pemberontakan atas alasan ugama sekali pun adalah salah dan terlarang. Teras hikmahnya adalahmengelak pertumpahan darah dan fitnah yang pasti lebih merosakkan dan menghancurkan kehidupan umat Islam. Ini sehinggalah berlaku dan menjadi nyata dan terang kekufuran pihak pemerintah. ‘Kufrun bawah’.

Contoh adalah seperti pemberontakan Sultan Aurengzeb ( digelar Umar Abdul Aziz India ) ke atas ayahandanya sendiri, Raja Akbar ( pembina Taj Mahal ) dengan menangkap, mengurung dan merampas kuasa kerajaan Islam India yang dipenuhi kecemerlangan dan keadilan selepas itu. Aurengzeb mengambil pandangan ulama selepas melihat kezaliman dan ‘kufr bawah’ ayahandanya yang tidak dapat dibendung lagi, lalu ulama memfatwakan keharusannya.

Justeru pemerintah tidak boleh membunuh rakyatnya sesuka hati tanpa hak. Kezaliman pemerintah pula ( hatta jika mereka membunuh sekalipun) mestilah dibalas dengan kesabaran, nasihat dan keberanian yang dipenuhi hikmah yang tinggi. Keharmonian dalam dunia Islam mestilah dijaga agar fitnah yang ditakuti bahangnya itu dielakkan.

Kezaliman wajib ditentang tetapi bukan dengan pertumpahan darah. Hak adalah milik pemerintah sebagai mana ia juga milik rakyat. Yang dizalimi adalah lindungan Allah manakala penzalim adalah teman syaitan dan pembantunya.

Ingat, PAS yang menjadi pembangkang kepada kerajaan pimpinan UMNO sering dituduh sebagai pemberontak di negara umat Islam. Kita menafikan sekeras – kerasnya. PAS mengharamkan penentangan bersenjata di negara sendiri. PAS telah dizalimi dan saatnya yang tertentu, ahlinya ditembak dan dibunuh, lalu tidak diadili seadilnya. Ingat peristiwa Memali yang menyaksikan pembunuhan ala Masjid Merah itu. Pernahkah PAS memfatwakan pembalasan dengan pembunuhan juga. Tidak!

Lihat pula tembakan yang dilepaskan oleh pihak pemerintah yang hampir membunuh dua ahli PAS di Terengganu baru – baru ini yang dikecam semua pihak sebagai zalim, kejam dan dilihat ‘lebih memartabatkan nyawa babi’ ( kebetulan semasa dengan isu babi di Melaka), apakah PAS bertindak melulu dan membalasnya dengan kekerasan juga? Tidak!

Lihat lagi provokasi murahan, bahkan menghinakan oleh pemerintah dengan memanaskan isu perkauman yang cukup merbahaya, adakah PAS melatah? Tidak!

Bahkan hari ini, PAS dilihat menjadi pelindung golongan mustadafin daripada bangsa India yang dizalimi pemimpin mereka yang bejat dan membejat, Datuk Sammy Velu.

Suasana aman dan sentosa di negara kita yang dikecapi seluruh rakyat hari ini, di sebalik penyalah gunaan kuasa oleh pihak pemerintah ( cukup dengan kewujudan Akta ISA dan Akta Polis sebagai bukti) adalah merupakan sumbangan besar PAS dan rakan – rakan pembangkang yang lain. Kerakusan UMNO menggunakan kuasa tanpa bataslah yang ditakuti di negra kita.

Bilang, siapa takutkan PAS? PAS adalah rakan semua. Yang menakutkan MCA, MIC dan komponen BN terhadap PAS adalah UMNO sendiri yang menabur ‘periuk api’ memburuk – burukkan PAS dengan tuduhan yang mengarut dan bohong. Hakikatnya PASlah yang dicari demi perdamaian dan keamanan. Ingat, ketika peristiwa hitam 13 Mei, bangsa Cina di Kelantan yang diperintah oleh PAS masa itulah yang paling rasa aman dan selamat berbanding di negeri lain. Tidakkah mereka hanyalah minoriti yang terlalu kecil di Kelantan yang mudah saja dilanyak? Tetapi PAS adalah sebuah harapan kepada keadilan dan kebenaran di negara ini. Dulu dan hari ini juga. Kemudian, Tidakkah UMNOlah yang mengajak PAS untuk bersatu di bawah payung Perikatan di saat terdesak itu?

Tiadalah tuduhan terhadap PAS selain untuk menghalalkan segala gerak laku zalim dan buruk pemerintah hari ini. Allah memelihara hizbuLlah yang berjuang untukNya daripada fitnah yang melata di bumi muslimin hari ini.

Salam Kamunting,

PAS menguasai Kelantan untuk kali kedua sejak tahun 1990 lalu. Tahun depan ( seminggu lagi ), umurnya akan sama dengan umur pemerintahan PAS di Kelantan kali pertama dulu. Oleh kerana pemerintahannya untuk kali kedua adalah lebih terkini, lebih bertenaga, lebih sensasi dan lebih mudah dan dekat dicapai, maka perbandingan pencapaiannya dengan UMNO lebih diguna pakai. Ada betulnya juga. Yang baru boleh memansuhkan yang lama jika ianya dilihat bertentangan. Kesalahan lepas mungkin telah dibaiki. Maka, UMNO pun tidak banyak merujuk kepada pemerintahan PAS di Kelantan kali pertama dulu kecuali sedikit. Kami dah baiki, kata PAS. Yang buruk pergi bak buih – buih yang menghilang. Yang baik bermanfaat kekal bertahan di bumi tuhan.

Justeru serangan daripada UMNO dan unsur – unsur yang tak sehaluan dengan PAS adalah terhadap pelaksanaan Islam oleh PAS di Kelantan hari ini. Ia samada dengan tujuan mengatakan UMNO lebih baik, atau UMNO-PAS sama sahaja, atau PAS gagal. Hujungnya adalah untuk menghukum PAS sebagai pembohong dan mempermainkan Islam untuk kepentingan kelompok atau peribadi pemimpinnya sahaja. Maka PAS perlu ditolak demi kepentingan ugama, nusa dan bangsa tercinta. 

Sudah pasti PAS terpaksa mempertahankan diri. PAS berusaha membuktikan mereka jauh berbeza daripada UMNO, lebih baik, benar dan berjaya melaksanakan Islam di Kelantan melalui kuasa yang diamanahkan oleh rakyat itu. PAS mempertahan, menerang dan menyerang juga.

Inilah suasana berterusan yang mewarnai kancah politik negara pasca 90. Kelantan terus hidup dalam ‘perang hujah’ yang tak pernah dijemukan. Terang, gelap dan gerhana adalah silih berganti. Sehingga kini, PAS dilihat terus berjaya mempertahankan diri walaupun kekadang serangan bertali arus ke atasnya cukup untuk mampu menewaskannya. Walaupun menang kalah bukan ukuran pembuktian benar atau salah, tetapi di situlah suka dan di situlah duka perjuangan bertapa, hinggap dan terbang lalu.

Berhujah adalah sebahagian dakwah. Islam berhujah dan dihujah. Begitulah Islam hidup di dunia ini dan begitulah para rasulnya hidup berkelana di bumi tuhan. Akidah adalah bahawa Islam benar selama – lamanya. Jika penghujah Islam itu gagah, maka Islam yang benar itu akan menang dan mudah memenangi hati manusia. Jika sebaliknya, Islam yang benar itu akan kalah dan sukar sekali memenangi hati manusia. Tetapi jika penghujahan di medan yang tidak sama rata, unsur luar itu mungkin tidak memihak kepada hujah yang menang. Menang tetapi tetap ditolak manusia.

Penghujah Islam yang tak pernah kalah ialah para nabi. Mereka berhujah dengan talian wahyu dari langit. Mereka tidak boleh kalah kerana mereka adalah hujjah mutlak Allah ke atas manusia. Allah memaksumkan mereka daripada kesalahan demi tujuan inilah. Tetapi kebanyakan hujah mereka yang benar dan menang itu ditolak jua oleh manusia. Manusia memilih untuk terus hidup sesat atas sebab – sebab dan unsur – unsur luar yang mencampuri dunia penghujahan yang sepatutnya adil dan saksama.

Kuasa yang memeras, ketakutan yang menghantui, tipu daya yang menjerat, kebodohan sendiri yang mengongkong dan kepentingan diri dan kelompok yang memagari adalah antara unsur – unsur luar yang memperleceh hujah yang benar, lalu menolak manusia ke lembah yang penuh hina yang membunuh martabat diri sebagai insan yang dimuliakan Allah ke atas segala makhluk.

Selepas para nabi, maka medan terbuka luas antara menang dan kalah untuk Islam. Ia benar dalam menang dan ia tetap benar walau kalah. Menang kerana ianya benar dan benar itu menang secara fitrahnya. Kalah pula kerana penghujahnya kalah walaupun Islam tetap benar. Jika penghujah Islam berilmu, mereka akan menang semudahnya. Islam teman ilmu dan musuh kejahilan. Jika penghujah Islam itu jahil, ia mungkin kalah lalu Islam pun jadi kalah juga walalupun ia sememangnya benar.

Inilah akidah yang benar. Umat yang menolak Islam kerana kalah berhujah adalah salah dan terkutuk sekali. Mereka menjadi ragu – ragu  terhadap Islam semata – mata kerana kecetekan sendiri. Tidakkah mereka telah diajar Tuhan untuk terus dan tetap bertanya kepada ahli ilmu jika mereka tidak mengetahui?

Justeru Islam hidup dalam dunia penghujahan memartabat kebenaran dan al haq. Ia bergantung pada hujah para nabi di awalnya dan ia terus bergantung kepada hujah penganutnya dalam perkelanaannya di dunia ini. Kemenangan berhujah adalah kekuatan terbaik untuk memikat manusia kepada Islam walaupun mereka dikelilingi halangan penuh ranjau berduri daripada musuh – musuh Islam. Maka penganut Islam diwajibkan berilmu demi kemenangan Islam. Jika tidak, Islam boleh rebah dalam kealpaan umat sendiri.

Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS mestilah menjadi kekuatan dan isi penghujahan untuk Islam. Ia menang atas nama Islam. Undi diberi kerana rakyat dijanjikan dengan pelaksanaan Islam yang benar. Islam hari ini karam kerana faktor utamanya, iaitu qudwah dan contoh sudah hilang. Islam di awangan tanpa berpijak di bumi nyata. Maka ia senang sekali dihujah sebagai omongan, angan – angan, janji manis di bibir dan macam – macam lagi yang menjadikan Islam sukar membuktikan kekuasaan hujahnya ke atas manusia. 

Kelantan adalah amanah Islam. Islam mesti dilaksanakan semampunya dengan amanah kuasa yang diperolehi. Di Kelantan, Islam mesti dilihat mampu mentadbir, menyelesai, memakmur dan memartabatkan kebenaran. Inilah amanah yang jika dipikul sebaiknya, besar menggununglah pahala dan ganjaran Allah ke atas pemegang amanah itu. Jika sebaliknya, maka sebaliknyalah balasannya. Wal ‘iyazu biLlah.

Saya berusaha menekuni usaha penghujahan oleh PAS umumnya dan pemimpin PAS Kelantan secara khususnya. Sudah pasti penghujahan perihal Kelantan memerlukan ‘pelaksanaan dan praktikal Islam’ sebagai isinya. Semakin Islam dilaksanakan, semakin kuatlah PAS berhujah, lalu menang, lalu diterima.

Jika ditolak juga, maka ia adalah bukan kerana Islam atau penghujahnya, tetapi faktor luar yang memburu seperti paksaan, tekanan, tipu daya, kebodohan, dungu, degil  dan macam – macam lagi. Allah tidak membebankan PAS dengan faktor di luar kemampuannya.

Saya yakin kemenangan berterusan PAS semenjak 17 tahun lalu di Kelantan banyak difaktorkan oleh keyakinan rakyat Kelantan terhadap hujah dan bukti hidup dan praktikal yang membenarkan tawaran PAS untuk melaksanakan Islam di Kelantan. Ia mungkin bermula dengan contoh dan qudwah peribadi ketua penghujahnya iaitu ayahanda Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, diikuti pemimpin – pemimpin PAS yang lain. Kemudian diikuti dengan pelaksanaan Islam dalam dasar, polisi, dakwah dan amal kebajikan yang ditawarkan kepada rakyat yang terangkum dalam konsep amal makruf nahi munkar.

Jika pun ada sekumpulan yang melihat PAS belum menunaikan amanat Islam sepenuhnya, mereka tetap memilih PAS kerana PAS jauh lebih baik dan lebih benar daripada UMNO yang menjadi lawan tetapnya kini. Mungkin kumpulan inilah menjadi penentu kemenangan PAS dalam PRU 2004 lalu yang sengit sekali pertembungannya.

Penghujahan memang memenatkan. Jika ianya secara ilmiah ia penat tetapi menyeronokkan. Jika ianya berbentuk serangan yang sembrono dek kebencian, dendam, kedegilan dan bermuka – muka, maka ianya menyerabutkan dan terasa tidak berguna. Tetapi begitulah Islam apabila diserang. Tiada undang – undang digunakan. Matlamatnya Islam mesti dinyahkan. Matlamatnya PAS mesti dikalahkan. UMNO cukup suka cara ini. PAS terpaksa menghadapinya.

Bayangkan betapa sabarnya RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam berhujah dengan sebodoh – bodoh, sedegil – degil dan sekeras – keras umatnya, Abu Jahal dan labu labinya di Mekah.

Saya menulis entry ini selepas menjawab komen – komen ‘leceh’ oleh saudara xx-dervish-xx ( klik di sini) perihal pelaksanaan Islam di Kelantan. Seorang kawan blogger menasihatkan agar tidak melayan semua komen daripada pembaca yang kurang bermutu. Meletihkan dan tiada untungnya, katanya. Betul jugalah, tetapi saya tidak lagi mahu mengguna pakai nasihat itu.

Apa pun, berhujah untuk Islam sentiasa bermanfaat. Ku dambakan rahmat dan kekuatanMu, Tuhanku..

  

Salam Kamunting,

Beberapa kali hati saya tergerak untuk menulis sedikit mengenai kedatangan bulan Zulhijjah yang mulia ini, tetapi keadaan tidak mengizinkan untuk saya segera menulis. Mungkin keadaan musim tengkujuh yang cuacanya agak meresahkan dengan andaian kejadian banjir yang pastinya menggamit kesusahan dan kekalutan yang bakal dialami oleh mangsa banjir di Kelantan dan di Pengkalan Chepa khususnya, telah memalingkan saya daripada melaksanakan hajat di hati ini. Tetapi akhirnya, Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah telah ‘berjaya’ memalingkan wajah saya untuk kembali melaksanakan apa yang saya hajatkan itu.

Pak Lah melakukan kerja terkutuk di bulan Zulhijjah yang mulia. Akta rimba ISA mengaum dan mencakar lagi. Mangsanya kali ini adalah penganjur utama perhimpunan HINDRAF yang terdiri daripada masyarakat India rakyat Malaysia yang sedang menuntut keadilan di atas apa yang mereka sifatkan sebagai peminggiran secara halus rakyat berbangsa India di negara ini oleh kerajaan yang memerintah.

Bulan Zulhijjah adalah termasuk bulan – bulan mulia yang empat yang disebut oleh Allah taala di dalam Al Quran. Ia adalah bulan haram sebagaimana adanya tanah haram di bumi ini. Haram bererti kemuliaan dan kehormatan. Bulan – bulan haram adalah Muharram, Rajab, Zulqaedah dan Zulhijjah. Bulan Zulhijjah adalah kemuncaknya dengan kefardhuan ibadah haji di tanah haram Mekah.

Allah mengharamkan bulan – bulan yang empat ini seawal penciptaan langit dan bumi lagi ( lihat  At Taubah ayat 36 ). Ertinya tiada seorang nabi pun yang diutuskan kecuali mereka akan mengajarkan umat mereka tentang kemuliaan dan kehormatan bulan – bulan yang agung ini. Kerana itulah, di sebalik selaput kejahilan dan kelalaian yang panjang yang menyelubungi masyarakat jahiliyyah di Mekah di saat RasuluLlah sallaLlahu alaih wasallam diutuskan, bangsa Arab memuliakannya sungguh – sungguh dengan saling menghalang daripada melakukan kerosakan dan kezaliman.

Peristiwa bersejarah perjanjian Hudaibiyah yang mengubah landskap politik Islam di zaman kenabian di antara kerajaan Islam Madinah dan kerajaan musyrikin Mekah misalnya, termeterai adalah banyak diakibatkan oleh kesedaran mendalam kedua – dua pihak terhadap kesalahan dan kejelikan peperangan di bulan mulia itu, walaupun kaum musyrikin hampir – hampir sahaja melanggar peraturan zaman – berzaman itu kerana kebencian dan kemarahan yang meluap terhadap Islam. Jika tidak kerana ketakutan terhadap baiah agung para sahabat terhadap nabi mereka, sudah pasti mereka melanggarnya.

Begitulah kemuliaan bulan Zulhijjah yang mulia itu terus dihidupkan dengan kefardhuan ibadat Haji ke atas umat Islam. Ia sebagaimana jugalah dihidupkan kemuliaan bulan Ramadhan dengan kefardhuan ibadat puasa ke atas mereka. Ia adalah antara syiar – syiar besar ajaran Islam yang mesti diagungkan. Barang siapa mengagungkan syiar – syiar Allah, sesungguhnya itu adalah menjadi ketandaan sifat taqwa di dalam diri ( Lihat Al Haj ayat 32 ). Kerana itu, umat Islam disunatkan melakukan ibadat puasa di bulan ini sebagai tanda kemuliaan dan kesyukuran.

Jika kita mentelaah secara lebih mendalam akan hikmat pensyariatan hari raya Eidul Adha dan amalan – amalan ibadah haji di Mekah, ternyata ia dipenuhi dengan tuntutan ke arah pengorbanan, kesabaran dan cinta terhdap Allah tuhan yang mencipta, selain tuntutan ke arah kesatuan, muafakat dan kehormatan sesama umat manusia. Ia adalah nostalgia daripada cerita Nabi Ibrahim dan keluarganya alaihimus salam. Maka bulan Zulhijjah adalah terlalu tinggi kemuliaannya di sisi Allah.

Bulan Zulhijjah menggamit ingatan terhadap penghijrahan Nabi Ibrahim dan isterinya ke Mekah, kelahiran Nabi Ismail yang penuh tragis bersama ibunya Siti Hajar, kisah pembenaran cinta seorang nabi terpilih terhadap kekasihnya sang pencipta dengan penyembelihan anaknya sendiri yang masih kecil, pembinaan kaabah dan seruan agung untuk manusia mengimarahkan bumi tanah haram ini. Ia turut menggamit cerita kedatangan tentera Abrahah untuk meruntuhkan kaabah dan pertolongan Allah yang mengalahkan tipu daya musuh.

Tambahlah lagi dengan suasana kehadiran jutaan umat Islam yang berbondongan ke bumi haram di bulan yang haram ini yang pastinya mengingatkan mereka dengan sirah Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang penuh pengajaran dan panduan. Nostalgia ini pastinya menjadi hidup sekali dengan menghayati perjalanan perlaksaaan ibadat haji yang bagai memberi nafas yang menyegarkan untuk umat Islam mengingati sejarah agung tersebut. Amalan Tawaf, sa’ie, wukuf, melontar, mengorban binatang ternakan, bercukur dan menziarahi masjid Madinah cukup menyentuh hati setiap tetamu Allah di musim haji itu.  

Kita dituntut sekali memuliakan bulan ini. Kita umat yang sentiasa dituntut menjadi saksi kebenaran, keadilan dan kesederhanaan di bumi ini. Jika kita melakukan dengan penuh kesedaran dan ketaqwaan, sudah pasti orang – orang bukan Islam akan turut terkesan dengan suasana aman dan makmur di bulan ini.

Tetapi kita gagal melaksanakannya dalam kehidupan kita hari ini. Ibadat haji dan Hari Raya Korban tidak dimanfaatkan kesannya yang besar itu melalui pendedahan dan penghayatannya.

Apabila Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi bersuara dalam kenyataannya di dada akhbar bahawa beliau sama sekali tidak akan menyesal dan rasa bersalah jika beliau menanda tangani surat penahanan melalui akta rimba ISA, lalu dilaksanakan dan dikotakan janjinya itu selang beberapa hari, maka inilah perlanggaran terbuka terhadap kesucian dan kehormatan bulan yang mulia ini. Ia dilakukan dengan begitu hodoh sekali oleh orang pertama Malaysia ini yang pastinya begitu diharapkan sekali kebaikan dan kesungguhannya memelihara kesucian ugama Islam ini.

Inilah kemalangan dan tragedi yang merosakkan Islam di sisi masyarakat bukan Islam sementelahan pula penggunaan akta ini dilaksanakan ke atas penganut ugama Hindu yang sedang mengapikan kemarahan yang sepatutnya diredakan dengan penuh hikmah.

Islam dan PAS yang mendukungnya menolak ISA sepenuhnya. Ia lambang kezaliman dan wajah huduh undang – undang yang kering daripada keadilan dan keberkatan. Sejahat mana perbuatan manusia, Islam menuntut pembuktian sebelum penghakiman dibuat. Menteri adalah menteri, bukan turut menjadi hakim juga.

Pak Lah menghina lambang dan syiar Islam yang mesti diagungkan. Pak Lah adalah Perdana Menteri yang direntap sifat taqwa di dalam dirinya. Apa peliknya, nama Islam yang didatangkan dari langit lapis tujuh itu pun telah diubahnya. Apa peliknya? Apa peliknya?

( Selamat Hari Raya Korban untuk semua umat Islam. Semoga Allah mengampuni kita semua. Dan jangan lupa untuk turut melaksanakan ibadat korban. Besar sungguh pahalanya.)

Salam Kamunting,  ( dedikasi sepanjang masa buat mangsa dan keluarga mangsa kezaliman akta rimba ISA di bumi Malaysia. Semoga Allah melimpah kurniaNya ke atas mereka menghancurkan UMNO sehancur – hancurnya )

Seperti ditelah ramai, atau seeloknya saya berkata, seperti membenarkan sunnah Allah ke atas para pejuangNya di bumi ini, akhirnya penganjur perhimpunan BERSIH ditangkap dan diseret ke muka pengadilan yang dicomoti kezaliman dan kehinaan. Tujuannya, ‘membersihkan’ BERSIH daripada kebersihan dengan menyimbah kekotoran ke atasnya.

Abang Mad Sabu ditangkap lagi. Tiada siapa terkejut jika beliau ditangkap kerana beliau sentiasa di depan mendepani kezaliman. Beliau adalah lambang keberanian dalam PAS. Keberanian adalah sifat yang hilang daripada jati diri umat ini. Apabila beliau menempatkan dirinya di kerusi ‘kehormat’ itu, tiada siapa dapat menafikan betapa beliau dikurniakan sesuatu yang hebat oleh Allah taala.

Saya selalu mengimpikan untuk jadi berani sepertinya. 

Jika saya diberi sifat berani itu, saya tahu sayalah paling dibenci Umno. Umno membenci Melayu yang berani. Sebabnya mereka tahu berani itu adalah tanda keimanan yang teruji. Umno membenci Melayu yang imannya kuat. Jika iman Melayu kuat, bankraplah produk Islam Hadhari yang dikilangkan di kilang Umno, tempat mencetak dan menghasilkan produk – produk bidaah, khurafat dan maksiat terhadap Allah dan RasulNya. 

RasuluLlah sallaLlahu alaihi wa sallam dibenci sangat – sangat oleh Abu Jahal dan sekutunya yang memusuhi Islam. Maka suka sangatlah saya jika saya dibenci Umno sebenci – bencinya, walaupun Umno bukanlah Abu Jahal dan sekutunya di Mekah. Paling tidak, saya dapat merasa – rasakan betapa hebatnya keberanian, kesabaran, istiqamah dan penentangan RasuluLLah terhadap musuh – musuh Islam sampai baginda dibenci sebenci – bencinya.

Saya sangat benci pada ceramah saya sendiri jika saya mampu mengungkapkan keindahan Islam dan mencetus kecintaan terhadapnya, tetapi saya gagal mengungkapkan keburukan Umno dan mencetus kebencian terhadapnya. RasuluLlah menawarkan kemanisan iman kepada pencinta Allah dan RasulNya sebagaimana kemanisan itu juga milik mereka yang membenci kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan.

Umno paling layak dibenci kerana Umnolah ibu kekufuran, kefasikan, kezaliman dan kemaksiatan di bumi tercinta ini. Ibu kekufuran kerana Umnolah pembawa virus kufur fahaman politik suku agama suku. Ibu kefasikan kerana Umnolah memunah ranahkan kefahaman umat terhadap Islam dengan menaja Islam Hadharinya yang penuh fitnah itu. Ibu kemaksiatan kerana Umnolah pengembang aktif aktiviti anti ketamadunan insani seperti budaya rasuah, salah guna kuasa, gejala sosial, dadah dan sebagainya. Ibu kezaliman kerana Umnolah penentang para pejuang di jalan Allah dengan mengsyar’iekan akta rimba ISA yang ditolak oleh semua manusia yang berakal dan insaf.

Antara kelebihan Abang Mad Sabu ialah kebolehannya mencetuskan kebencian terhadap Umno di hati para pendengar ceramah dan pidatonya. Saya kepingin sangat nak jadi sepertinya. Kepingin sangat – sangat. Bagi saya, itu kurnia Allah yang cukup besar.

Bila saya membenci Umno, iman saya jadi kuat dan bagus sekali. Ia jadi kuat dan bagus sekali juga bila hati saya disapa rasa syahdu cinta pada Allah dan RasulNya. Benarlah kemanisan iman itu adalah pada mencintai dan membenci juga. 

Pejuang Islam kena berani, kena sabar, kena istiqamah dan kena lawan kezaliman dan kebatilan. Pejuang PAS yang mendukung Islam kena berani, kena sabar, kena istiqamah dan kena lawan Umno yang mendukung kezaliman dan kebatilan di dalam negara tercinta ini. Jika tidak, sampai bila pun Islam tidak akan menang. Jika tidak, sampai bila pun Umno akan terus hidup dan memerintah manusia dengan kebatilannya itu. Kena tolong Allah, barulah Allah turun kita. Jika Allah tolong, tiada lagilah Umno untuk menyekat dan mengatasi.

Di negara kita ini, PAS paling disayangi dan PAS juga paling dibenci. Ia disayangi tentulah kerana keberanian, kesabaran, ketekunannya memperjuangkan ketuanan Islam dan penentangannya terhadap Umno, parti yang menentang Islam yang benar. Ia pula dibenci tentulah kerana sebab yang sama juga. Pencinta Islam menaruh harapan kepada PAS, manakala pembenci PAS pula menanti – nanti kehancuran PAS.

Itulah sunnah perjuangan. Dipuji dan dicaci. Ditatang dan ditentang. dijulang dan dipalang. Bukan Islam namanya jika disayangi semua dan bukan Islam namanya  jika dibenci semua. Siapa lebih handal daripada RasuluLLah sendiri?

Ayahanda acap juga menyebut hikmat daripada Imam Khomeini, “Jika kerja anda disukai Amerika, maka itu tanda anda salah.” Agaknya, abang Mad Sabu yang suka sangat dengan Iran tempat berjuang Imam Khomeini itu mengambil dan menghayati hikmat ini. Saya pun cukup beriman dengan hikmat ini.

Kerana itu saya menentang Umno. Abang Mad, bertahanlah. Kak Norma, bersabarlah. Anak – anak dan keluarga, berbanggalah.

Wahai pejuang, jika anda kedekut, berdermalah. Jika anda penakut, lawanlah Umno. Itulah ubat untuk berani.

Wahai pejuang Islam, beranilah demi ridha Allah. Allahu akbar..

     

Salam Kamunting,

Untuk manfaat bersama, elok saya ‘memaksa’ anda membaca komen daripada saudara Slasher ke atas tulisan saya ‘mengapa mengundi PAS adalah wajib’  dan juga ke atas saya dan peribadi saya sebagai seorang anak seorang menteri besar.  Anda harus membacanya kerana inilah komen terbaik yang saya terima setakat mengendalikan blog ini. Sup gear box untuk saya, sebagaimana pernah saya tulis di awal saya membina blog ini.

Walaupun saudara Slasher turut merujuk kepada tulisan saya di dalam blog lain yang mungkin tidak difahami dan disedari oleh kebanyakan anda, saya terimanya sebagai sebahagian rencam serangan yang terpaksa diterima. Ingat, anda tengah membaca blog seorang anak menteri besar. Jangan main – main woo..

Baca dan usahlah anda menjawabnya bagi pihak saya. Saya sungguh berselera untuk menjawab dengan baik buat kefahaman bersama, khususnya saudara Slasher sendiri. Bila? tunggulah, insya Allah.

Cuma, oleh kerana saudara Slasher agak tegang dan sinis sekali dengan gurauan saya dalam entry terakhir ‘dari kota belud (2)’ perihal ‘dengki berpahala’ saya tu, sukalah kiranya saya merujukkan beliau kepada hadis RasuluLlah…  “Tiada boleh berdengki kecuali dalam 2 perkara… ” Ulama menamakannya sebagai ghibthah. Saya membalas tindakan guru saya itu dengan berlumba mengejar ilmu BMnya agar saya mahir dalam Bahasa Melayu saya. Akhirnya berbaloi. Itulah ghibthah namanya. Pahala beb…

Kesannya, inilah kemahiran saya sebagai pengendali blog dalam Bahasa Melayu yang ramai sekali peminatnya. Fuh, seronoknya kena puji..

Nasib baik ada kamu Slaher.. Kalau tak, hampir lupa diri saya.. Hidung kembali kempis :) .  Terima kasih atas komen panjang anda tu. Moga ada ganjaran Allah. 

Salam Kamunting,

Sebenarnya bukan dari Kota Belud lagi tapi dah di Kota Bharu dah, tepi jendela rumah, cari DiGi punya coverage. Kira tak apalah tajuk tu, sebab sama – sama KB juga. Biasalah, masa belajar buat karangan BM di alam menengah dulu, tajuk lain, isi lain pula jadinya. Pas juga BM saya. Masa SPM hari itu, saya pelajar terbaik BM di Maahad Muhammadi (L). Haa, jangan main dengan saya.. Anak orang Pas, mesti pas punya exam. 

Tapi guru BM saya Umno hangit. Ingat satu hari, dia lihat buku PI saya yang saya balut dengan gambar Imam Khomeini. Dia renung dan tenung tajam sekali lalu tersembul kemarahannya, ” Mengapa tak tampal kat dahi?” Aduh, tajamnya sembilu. Hati, jantung, sanubari, paru – paru dan semua apa yang ada di dada saya rasanya tercedera habis. Sakit wooo.. Nak jawab, cikgu aku ( dua – dua, takut dan hormat ). Tak nak jawab, Umno hangit. Mana boleh diam dengan Umno? Akhirnya saya memendam rasa. Lama sekali. Pendam bertukar dendam!

Dendam berbalas akhirnya. SPM keluar result, BM sayalah yang terbaik di kalangan rakan – rakan yang bersaing. Lukaku sembuh serta - merta. Tengok anak orang Pas, dendam pun dapat pahala. Siapa ajar kalau tidak ayah aku yang kuat Pas itu ( baca kuat Islam ). Kalau Umno berdendam, huh, Altantuyalah jadinya.. 

Ha, kan dah lari isinya. Tak apalah, tajuknya pun memang dah lari. Sekarang kita masuk balik ke jalan yang lurus.. Cuma sebelum tu ambil ini. Satu, guru saya tu ikut cerita, akhirnya tinggalkan Umno. Alhamdulillah. Berkat ilmu dia yang banyak dicurahkan untuk kami, anak – anak orang Pas dan Umno juga. Guru selamanya adalah guru. Kedua, jangan kata saya Syiah!! He he..

Saya ke Sabah atas jemputan Dewan Pemuda Pas Negeri Sabah untuk program dua hari di sana. Ingatkan di Kota Kinabalu, tapi sebaik selesai beri tazkirah Asar kepada adik – adik para pelajar di Sekolah Politeknik dekat situ, saya terus di bawa ke Kota Belud untuk bersama sepenuhnya dengan barisan pemuda dan pemudi pelapis Pas di sebuah perkampungan Islam yang agak jauh ke pedalaman perjalanannya. Ini kali kedua saya sampai ke Kota Belud, juga Sabah. Walaupun jadual ceramah yang ketat agak mengganggu suara saya, tetapi keseronokan dapat bersama barisan harapan masa depan Pas Sabah tidak dapat saya bayangkan. Sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia saya semasa di alam tarbiyah pelapis dulu.

Mereka meminta alamat blog saya. Saya berikan sambil berkata dalam jenaka saya, ” Nantilah ustaz tulis habis perihal perangai kamu yang buruk – buruk dalam blog tu.” Sebenarnya, manalah ada selain wajah anak – anak Sabah yang begitu ceria dan gemilang sekali azam mereka untuk menjadi pendukung perjuangan Islam di bumi bawah bayu bertuah itu. Selalu saja saya berceloteh dengan mereka, ” kahwinlah dengan ore Kelate.” Alangkah indahnya jika Kelantan dan Sabah bersatu hati.. Mereka tersengih – sengih, entah faham entah tidak maksud saya. Terlajak faham, teruk saya jadinya..

Negeri Sabah dalam sejarahnya sungguh hebat. Kesultanan Sulu yang gagah perkasa dalam sejarah penentangannya terhadap penjajah Sepanyol di Kepulauan Filipina yang tak pernah berjaya menjajah mereka pernah juga menjamah dan menguasai bumi Sabah. Ia adalah sejarah yang jika digarap dengan sempurna dan sebaiknya pasti mampu menjadi pencetus kebangkitan Islam di Sabah. Dengan warna warni suku kaum yang pelbagai ( saya dimaklumkan ada lebih 30 suku kaum ) di sana, saya yakin Islamlah yang akan memeriahkan kesatuan rakyat Sabah. Ayuh, bangkitlah anak – anak Sabah. Allah memberkati perjuangan kamu menegakkan kalimahNya di bumi sejuk yang cukup indah ini.

Sempat saya dari kejauhan Kota Belud melihat Gunung Kinabalu yang tersergam gagah sekali di ufuk sana. Ia seperti mananti – nanti, bahkan mendayu – dayukan lagu dan seruan suci kebangkitan Islam. Ah, saya kepingin sekali mendakimu buat membina kekuatan diri. Saudaramu, Gunung Stong di Kelantan telah pun kudaki. Sampai masanya, insya Allah.

Sabah negeri yang rancak sekali gerakan kristianisasinya. Ia adalah sambung – menyambung sejarah kristianisasi semenjak zaman penjajahan. Himpitan kemiskinan dan selaput kejahilan yang tebal memudahkan proses dakyah tersebut. Saya dan sesiapa saja antara kita pasti merasa sedih dan bersalah sekali untuk meremehkan suasana yang menyayatkan itu. Setiap kita mesti menyumbang segala yang ada dan termampu demi keselamatan iman saudara – saudara kita di sana. Tuah negeri Sabah adalah apabila ia bercantum dengan Malaysia, bukan negara Filipina, negara Kristian di Asia Tenggara. 

Bacakan Islam dan iman di sana. Ajarkan Islam dan iman di sana. Sucikan jiwa mereka di sana. Kristian hanya memberi mereka kenyang di perut, sedang kita mampu mengeyangkan perut dan hati jantungnya sekali. Islam lebih berhak untuk seluruh rayat Sabah.

Sabah negeri yang ramai sekali guru – guru ugama dari Semenanjung, terutama dari Kelantan sendiri. Seperti yang saya dengar sendiri, saya doakan agar pujian – pujian yang dihambur oleh  rakyat Sabah ke atas para guru ugama dan juga seluruh pendidik dari Semenanjung yang banyak sekali menyebarkan ilmu Islam di sana akan berterusan dan memberi nafas yang menguatkan.

Walaupun begitu, saya begitu sedih dengan berita dan cerita yang tidak enak berkaitan para pendidik ini. Sesetengah mereka langsung tidak menjadi qudwah dan ikutan yang baik masyarakat di sini. Sebaliknya mereka telah mencemarkan dakwah dan kemeriahannya di sana. Mahu saja saya ketuk – ketuk kepala mereka. Alangkah besarnya dosa mereka apabila membiarkan kejahilan terus menghantui.

Pas yang dah agak lama bertapak di Sabah perlu mencari pendekatan terbaik untuk Sabah dan rakyatnya. Saya yakin jika Pas banyak menumpu kepada dakwah dan kebajikan di sana, itulah yang terbaik. Nama Pas akan lebih manis dan harum berbanding tumpuan kepada isu – isu politik yang kadang – kadang tidak membekas bah tidak berkesan.

Anak – anak Sabahlah yang akhirnya akan mengepalai dakwah Islamiyyah di negeri sendiri. Kita doakan. 

Salam Kamunting,

Saya di Kota Belud, Sabah menumpang PC sahabat baru, cikgu Azrul untuk menulis di blog ini. Tengahari tadi saya tiba di Kota Kinabalu disambut cikgu Anuar Ali, Ketua Dewan Pemuda Pas Sabah yang berpesan sungguh – sungguh agar saya bawakan bersama vcd ‘Himpunan Bersih’ yang tengah tup -tup meletup itu. Saya bawa beratus – ratus. Tujuan saya agar rakyat Sabah turut dapat merasa nikmat menjawab cabaran tuan yang berkata: ” Saya pantang dicabar.”

Terima kasih Datuk Tony Fernandes yang memudahkan saya sampai ke Sabah dengan ‘besi terbang’ now everyone can flynya itu. Terima kasih itu samalah terima kasih saya pada mendiang Tan Sri Lim Goh Tong yang telah memudahkan rakyat Kelantan menyeberangi Sungai Kelantan lewat jambatan terpanjang di Malaysia ( masa itu ) iaitu Jambatan Sultan Yahya Petra yang disiapkannya puluhan tahun lepas.

Terima kasih itu samalah dengan terima kasih ayahanda saya, MB Kelantan pada Pak Lah, PM Malaysia yang sedia mengECERkan  wang negara yang banyak itu ke Kelantan yang selalu saja sebelum ini disisih, ditinggal dan dicemuh itu. 

Terima kasih yang benar yang tidak menghanyutkan diri dalam kesesatan orang yang berkebajikan di dunia sambil melupai tanggung jawab sebagai hamba tuhannya di dunia ini. Setiap muslim, sifatnya mengenang budi dan berbudi pada semua makhluk, lebih – lebih lagi pada yang berbudi di dunia ini, apatah untuk akhiratnya.

Mendiang Tan Sri berbudi dengan kebaktiannya yang banyak, tetapi muslim mana boleh berterima kasih pada budaya buruk berjudi, arak dan perempuan yang ditajanya di bukit Genting itu? Pak Lah berbudi dengan kebaktiannya yang banyak itu, tetapi muslim mana yang boleh berterima kasih pada akidah batil Islam Hadhari dan budaya rasuah dan salah guna kuasa yang ditaja dan dijajanya di bumi Malaysia ini?

Maharaja Firaun berbakti dan berbudi pada kemuncaknya dengan membesarkan dan memelihara Nabi Musa alaihis salam di istana kebesarannya itu, tetapi Nabi Musa mana boleh berterima kasih pada ajaran batil dan perbuatan zalim Firaun yang mengaku dirinya sebagai tuhan lalu memperhambakan Bani Israil?

Begitulah, terima kasih saya pada empunya Air Asia yang banyak berjasa pada orang yang tak kaya macam saya ini ( orang Pas sekarang dah boleh naik kapal terbang macam orang Umno yang kaya – kaya itu ). Tetapi bagaimana saya boleh membiarkan kebiadabannya memaksa wanita – wanita muda Melayu Islam menyelak kain sampai terdedah segala yang terlarang daripada pandangan mata lelaki, juga wanita? Hilang habis ketandaan seorang muslimah pada hisymah dan kehormatannya, sebagaimana tanggal habis segala adat ketimuran yang dilukiskan oleh agama Islam yang bertapak lama di dunia sebelah timur.

Begitulah, terima kasih sesama makhluk penuh batasan dan ikatan. Betullah, sebaik – baik kalimah adalah AlhamduliLlah. Segala pujian dan segala terima adalah kepada Allah. Allah secara mutlaknya tempat kita menghambur puji dan terima kasih.

Maka janganlah kalimat sakti AlhamduliLlah itu tenggelam dan pecah terurai dalam kalimat berhantu AlhamduliPakLah itu!  Beringatlah wahai insan yang insani pada kecelakaan bakal menimpa penganut Islam Hadhari bawaan Umno itu. Murka Allah tiada bentengnya kecuali bentenganNya jua.

Begitulah kegembiraan saya setiap kali berpeluang ke Sabah dan Sarawak juga. Saya suka kedua – dua negeri ini, tetapi saya pun tak tahu lagi mengapa saya suka sangat ke sini. Isteri saya pun dah cemburu semacam dengan saya kerana tak pernah ajak dia bersama. :)  Ishh ishh, orang perempuan ni, tak sama tapi serupa saja!

Ingat – ingat saudara Muhtar Suhaili… :)

( Ah, saya dah senyum dalam mengantuk ni, nanti merapu pula jadinya.. Saya sambung lagi )  

    

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Disember 2007
I S R K J S A
« Nov   Jan »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 153 other followers