You are currently browsing the monthly archive for Februari 2008.

Salam Kamunting,

Ceramah memperkenalkan calon semalam bertukar kepada ceramah memperkenalkan wakil rakyat baru bagi DUN Kijang. Saya merasa teruja kerana diberi peluang untuk turut bersama YB Wan Ubaidah binti Omar, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan dan calon Parlimen Pengkalan Chepa, Dato Hj Abdul Halim bin Abdul Rahman berceramah dan menyatakan rasa syukur kepada Tuhan yang memberi kemenangan mudah kepada pejuangNya di dalam pilihan raya kali ini.

YB Kak Ubai yang mewakili parti Islam PAS telah menang tanpa bertanding setelah ‘kad merah’ dilayangkan ke atas calon daripada BN sebelum pertarungan berlangsung lagi semasa hari penamaan calon semalam. ( Untuk keterangan lanjut dan gambar – gambar, sila ke blog rakan saya, peguam Nik Bahrom Nik Abdullah ( di sini  ) yang terlibat secara langsung mengemukakan bantahan semalam dan blog pemuda Pengkalan Chepa kendalian Saudara Ruzely Abdullah ( di sini ) yang turut bersama pada hari bersejarah itu.

Selepas menyatakan rasa syukur kepada Allah, saya memilih untuk berkongsi rasa gembira bersama hadirin yang di dominasi golongan muslimat dengan menyatakan bagaimana Allah dengan hikmat dan kasih sayangNya telah menukar angin rahmatNya kembali bertiup ke DUN Kijang, DUN paling hijau di Malaysia ( DUN Chempaka yang diwakili ayahanda Dato Tuan Guru terganggu kekuatannya dengan undi pos kem tentera ) dengan sokongan padu masyarakatnya terhadap PAS selepas menghiburkan pejuang Islam di Johor, negeri paling biru di Malaysia dengan sokongan padu rakyatny kepada UMNO dengan kemenangan tanpa bertanding calon PAS di DUN Senggaram pada pilihan raya umum tahun 2004. 

Menurut Dato Hj Abdul Halim Abdul Rahman, kemenangan tanpa bertanding kali ini adalah rekod kepada PAS Kelantan. Sebelum ini PAS Kelantan pernah mencatat rekod hebat dengan kemenangan PAS di DUN Meranti ( kini diwakili YB Ustaz Hj Nassurudin Hj Daud ) yang mengalahkan UMNO dengan hilang wang pertaruhan ( deposit ).

Jikalah tidak kerana peranan SPR yang ‘berakhlak tinggi’ menggunakan budi bicara menatang UMNO pada hari penamaan calon semalam, takbir penyokong PAS di perkarangan pusat penamaan calon semalam pasti bergema lebih gagah dan tuntas lagi dengan kemenangan tanpa bertanding oleh ayahanda YAB Tuan Guru di DUN Chempaka. SPR semalam bagai malaikat yang menyambut selamat bayi kecil yang terjatuh dari buaiannya.

Nampaknya, jika kaedah SPR dipakai guna, tanda tangan tidaklah penting dan muktamad lagi dalam segala urusan di Malaysia. Jika urusan memerintah negara pun tak perlukannya, apatahlah lagi urusan lain yang lebih kecil.  

Ia seperti kata Presiden PKR, Datin Sri Hajjah Wan Azizah bahawa beliau tidak takutkan Ustaz Firdaus, tetapi beliau lebih takutkan SPR! 

Saya kemudian memanjangkan ucapan dengan turut melahirkan keyakinan bahawa kemenangan mudah ini akan memberi nafas dan kekuatan kepada PAS untuk mematikan serangan jahat UMNO yang terus menerus mendakwa PAS meminggirkan wanita  serta sumbangan dan peranannya di dalam politik dan pembangunan negara. Saya cuba meringkaskan jawaban bagaimana wanita Islam turut berperanan besar sebagaimana begitulah pengajaran yang dianjurkan Islam bahawa kebangunan umat Islam hendaklah dengan kerja sama antara lelaki dan perempuan.  

Hari ini serangan oleh UMNO menggunakan isu wanita tidak lagi setajam dan sehebat serangan mereka 10 tahun yang lampau. Kejayaan PAS diharap membuka lembaran ke arah meyakinkan umat dengan kekuatan Islam untuk menerajui Malaysia. UMNO terus memburuk dengan kejahatannya terhadap Islam dan Tuhan mereka sendiri.

Di akhir ucapan, saya menyeru para hadirin yang merupakan para pengundi di DUN Kijang agar menjadikan kemenangan ini sebagai inspirasi untuk terus berjuang dan berkempen sepanjang tempoh pilihan raya ini demi kemenangan Islam di Kelantan. Ia sama sekali tidak boleh menjadi sebab untuk rehat dan alpa di tengah – tengah medan yang tengah memuncak. 24 jam hidup adalah untuk menumbangkan UMNO dan pemikiran jahatnya yang meracuni akidah umat Islam di negara tercinta.

Kemenangan ini adalah kemenangan moral yang menaikkan semangat pejuang Islam seluruh negara, khususnya Kelantan sendiri. BN Kelantan, seperti kata Cikgu Azmi Mohd Nor, Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa telah mengalami kelukaan akibat kekalahan memalukan ini. BN mungkin bangkit bagai harimau luka. Ia boleh mengganas dan apabila UMNO mengganas, jangan diharap neraka, bala dan dosa boleh menyekat mereka.

Selamat berjuang di medan jihad pilihan raya. Mengundi PAS adalah wajib. Tidak mengundi adalah dosa. Mengundi UMNO lagi – lagilah.

Semoga Allah membuka hati seluruh umat Islam untuk memahami PAS dan perjuangannya. PAS adalah untuk Islam dan umatnya selama mana ia berjuang untuk Islam.  

  

Salam Kamunting,

Pilihan raya umum ke 12 kian menghampiri dengan seluruh kekuatan tertumpu kepada hari penamaan calon. Bahangnya semakin panas dengan berita – berita politik yang sentiasa hangat dan merimaskan.

Seluruh parti politik yang akan bertanding termasuk PAS sebenarnya tengah menempuh fasa pertama yang sentiasa sukar. Ia adalah menamakan bakal calon yang akan bertempur di medan pilihan raya. Walaupun calon bukanlah faktor utama secara umumnya, tetapi ia adalah wajah depan dan fenomena yang menjadi penentu kepada kekuatan parti seluruhnya.

Di Kelantan, menamakan calon amatlah sukar. Bukan hanya UMNO yang hidup matinya berjuang untuk bersyurga dengan kemewahan palsu duniawi, PAS juga turut menempuh saat yang sukar dan merimaskan. Ia sukar sekali sekalipun PAS adalah sebuah parti politik Islam dan juga sebuah gerakan Islam.

Politik sentiasa sukar dan memeritkan. Ia bertambah sukar apabila ia semakin memuncak. Sukarnya politik di luar, sukar lagilah politik di dalam. Menangani syaitan dan nafsu di dalam adalah lebih sukar daripada menangani musuh kuffar di luar walaupun ia pecah dan memuncak di luar.

Itulah yang Allah tunjukkan untuk umat ini dengan memulakan percakaran dalaman bermula di zaman Khalifah ‘Uthman ibn Affan, kemudian Ali dan seterusnya di zaman Muawiyah radhiaLlahu anhum. Daripada merekalah kita mengambil iktibar da petunjuk. Ucapan mereka, pendirian mereka dan tindak tanduk mereka. Merekalah yang dipilih Allah untuk menunjuki kita jalan – jalan pilihan di saat kita diuji dengan pertelingkahan dalaman sesama sendiri.

Ia tentunya sukar sekali untuk dilepasi kecuali dengan kekuatan perjuangan dan petunjuk yang hebat. Maksud firmanNya: “Dan barang siapa yang berjuang di jalan Kami, pasti Kami tunjukinya jalan – jalan Kami.”

( Semasa saya belajar di India, Maulana Andzar Syah Kasymiri, pakar al Hadith di sana pernah dalam selorohnya menyebut bahawa di akhir zaman ini, usahkan dunia politik terus berpecah – belah dan bertelagah, jamaaah Tabligh yang merupakan jamaah akhirat pun berpecahan dan berbalahan juga. Beliau merujuk kepada krisis dalaman jamaah tersebut masa itu.)

Menentukan calon dalam pilihan raya, terutamanya di Kelantan yang diperintah oleh PAS menjadi sukar atas beberapa faktor, setengahnya benar dan setengahnya sebaliknya.

Parti terpaksa memilih yang terbaik untuk menjadi calon. Calon yang berkaliber akan menarik undi yang lebih ramai dan memikat pengundi untuk meyakini dan mempercayai manifesto yang dilancarkan demi memudahkan rakyat memahami misi perjuangan parti.

Di sini adalah biasa berlaku pertembungan dan percanggahan yang perlu ditangani dengan sebaiknya. Ada orang yang merasakan dirinya layak lalu cuba menonjolkan dirinya. Ada yang merasakan dialah pilihan ramai lalu membesar – besarkan kelayakannya. Ada yang menghebohkan kekurangan orang lain dengan harapan namanya timbul. Ada yang melakukannya terang – terang dan ada yang berlapik – lapik. Ini adalah penyakit yang perlu diubati dan dinyahkan saja. Parti tidak mampu menghalangnya timbul di saat pilihan raya kerana di saat inilah kesucian dan kekotoran hati itu diuji.

Tetapi selalunya pertembungan berlaku kerana kerenah para penyokong yang akan melebihkan pilihan masing – masing. Mereka kadang – kadang beriya – iya meyakinkan sesama mereka bahawa mereka lebih mengenali calon berbanding pimpinan atas. Di sini unsur sentimen, keilmuan, kebolehan, kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya bercampur aduk. 

Pilihan adalah ijtihad. Parti tidak memiliki keupayaan memilih yang setepatnya. Jika betul, lumayanlah kesannya. Jika tidak, ia tak akan buruk semuanya. Pilihan jamaah Islam dipenuhi keberkatan.

Calon satu hal tetapi calon bukanlah segala – galanya. Ada sesuatu yang lebih penting.

Kita namakannya jentera pilihan raya. Kekalutan dan pergeseran menentukan calon akan mudah diubati kesakitannya apabila jentera parti utuh dan bersatu. Kekalutan biasanya di peringkat atas. Jenteralah yang akan memastikan penapisan yang berkesan. Jika jentera pilihan raya yang dibentuk lemah, kekalutan tadi akan merebak ke bawah dengan cepat dan tanpa kawalan. Saat itu kesusahan pasti berlaku.

Perpecahan dalaman adalah senjata berkesan yang akan digunakan musuh sepenuhnya.

Saya, samalah dengan kepimpinan lain mengimpikan perpaduan jentera. Ia adalah kekuatan bagai benteng dan kubu yang kukuh dan utuh. Kita menang dengan pertolonganNya dengan sebab kesatuan yang kita bina. Musuh sentiasa mudah berpecah belah, tetapi tanpa kekuatan sendiri yang diredhaiNya, kita pasti gagal menggamit kemenangan daripadaNya.

Politik adalah kerja utama khilafah. Politik Islam memudahkan pembinaan diri manusia sebagai hamba Tuhan. Bukankah ramai manusia dihumban ke neraka kerana pemimpin? Manusia ditipu kerana mereka menipu diri mereka sendiri. Manusia dizalimi kerana mereka menzalimi diri mereka sendiri.

Semoga Allah menyatukan kekuatan jentera Islam seluruhnya demi kemenangan dan ridha daripadaNya. Allahu Akbar wa LiLlahil Hamd. 

Salam Kamunting,

Untuk masuk syurga Tuhan, kita hanya perlukan satu kalimah yang mengembirakanNya. Untuk dihumban ke neraka Tuhan ( ‘iyazan biLlah ), manusia cukup hanya dengan satu kalimah yang memurkakanNya. Allah, begitulah kuasa, kehendak dan mahuNya yang penuh hikmat dan haq.

Di dalam Islam, yang kecil sangat menjadi sangat besar jika ianya besar disisiNya. Yang besar sangat – sangat boleh jadi sangat – sangat kecil jika ianya kecil disisiNya.

Dosa kecil yang dilihat kecil dan remeh oleh manusia akan jadi besar dan berat akibatnya di sisiNya. KebengisanNya tiada diduga. Dosa besar yang dilihat besar dan ditakuti oleh manusia akan jadi kecil dan ringan saja di sisiNya. KeampunanNya tiada diduga. 

Kerana itu, walaupun ada dosa kecil dan ada dosa besar, ia mestilah sentiasa besar di sisi hambaNya. Murka Tuhan besar semuanya. Seorang raja, sekilas murkanya adalah bala! Inikan Allah yang maha berat murkaNya. Ia bukan Mahafiraun, bahkan Dialah Allah yang Maha – Maha.

Orang mukmin, dosa ibarat gunung yang menimpa. Menggerunkan. Orang munafik, dosa hanyalah lalat yang hinggap di hidung. Menyerabut saja.

Pilihan raya umum ke 12 di negara kita membuka tirai. Natijahnya adalah masa depan negara. Negara adalah kita dan anak – anak kita juga. Negara yang baik diselubungi ampunan Tuhan. Negara yang buruk diambang kemurkaan Tuhan.

Pilihan raya nilai kiranya pada undi yang diberi. Satu diri satu undi. Seorang ulama atau cendekiawan memiliki satu undi, samalah dengan seorang bodoh dungu atau pelacur.

Satu undi si alim yang menolak negara ke kemurkaanNya adalah sebab kepada murka dan nerakaNya. Satu undi si pelacur yang menarik gembira dan ridhaNya adalah sebab untuk mengetuk ridha dan syurgaNya.

Setiap pekerjaan adalah berbekas di sisiNya. Dia Maha Halus dan Maha Seni.

Justeru bergerak adalah memberi bekas sebagaimana diam juga memberi bekas. Samada anda mengundi atau tidak, itulah tindakan dan anda kenalah tunggu akibat baik dan buruknya tindakan itu di sisiNya.

Berdiam membiarkan kebaikan berterusan adalah pahala yang didamba, manakala berdiam membiarkan kejahatan berterusan adalah dosa yang mesti ditanggung. 

Dua undi pada pilihan raya 2004 telah menyelamatkan Kelantan daripada jatuh kepada pendukung faham sekular yang menolak negara kepada murkaNya. Kekurangan tiga undi itulah yang menjadikan UMNO Kelantan separuh gila selama empat tahun menanggung keperitan kekalahan kepada Islam dan pejuangnya.

Dua undi itulah yang menyelamatkan kerajaan Islam Kelantan. Jika sebaliknya, anda pastinya telah melihat di Kelantan kedai 7 eleven dipenuhi botol – botol arak untuk tegukan anak remaja Melayu. Anda pastinya telah menyaksikan tiada lagi erti halal dan haram dalam perbendaharaan negeri. Anda akan menyaksikan kemaksiatan yang tidak dihiraukan, malah digalakkan.

Anda pastinya kehilangan qudwah dan contoh yang hebat sebuah pemerintahan Islam yang ulama adalah pemandunya. Tidakkah dalam malu – malu dan enggan, kerajaan pusat telah meniru Kelantan dalam beberapa tindakannya selepas ditibai dan dibantai habis – habisan? Ingat cuti 2 hari seminggu? Tidakkah Kelantan hampir lumat digiling? Ingat cuti bersalin 60 hari? Tidakkah Kelantan hampir lunyai dipajan? Ingat sistem pajak gadai Islam yang kini diterima pakai oleh bank – bank konvensional?

Justeru anda harus faham dan akur bahawa satu undi nilainya adalah seribu undi. Satu undi mampu mengubah landskap politik negara. Pak Lah bermaharaja lela dalam tidurnya menaikkan harga minyak dan barang dan mengagihkan kekayaan negara kepada sesama keluarganya kerana kuasa undi yang memberinya keselesaan penuh. Itu baru dalam tidurnya! Jika beliau celik, habis pejuang disumbat ISA agaknya.

Jangan bangkitkan Pak Lah daripada tidurnya! Harimau dalam lalinya disangkarkan. 

Kerusi pembangkang yang banyak di parimen mampu menyekat Pak Lah daripada bertindak sesuka hati membodohkan rakyat. Kekuatan penentangan dan nasihat yang baik di parlimen akan membri rakyat kesedaran untuk berfikir dan berubah demi maruah dan jati diri.

Undilah PAS untuk kedaulatan Islam.

I’tizar: Terima kasih kepada sahabat – sahabat yang memberi komentar yang bagus – bagus yang memerlukan penjelasan saya. Saya mohon untuk menangguhkannya sehinggalah selepas pilihan raya nanti. Insya Allah, saya akan menjawabnya selepas itu. Anda bolehlah terus memberi, sementara saya dan yang lain membacanya dahulu.  

Salam Kamunting,

Mereka sepanjang masa bertanya saya, ” Adakah PAS akan kekal memerintah Kelantan?” Saya biasanya menjawab, “Ya, insya Allah. Itulah yang rakyat Kelantan mahukan.” Biasanya saya juga menambah sebelum beredar daripada soalan itu, ” Cuma UMNO terlalu mahu menang. Apabila mereka terlalu mahu menang, mereka meninggalkan Allah di kelam pandangan iman lalu mengenderai syaitan untuk memerangi PAS. Mereka menipu dan membeloti rakyat dan agama. Kepada Allahlah kita mengadu, berserah dan pasrah.” 

Biasanya tiada daripada kalangan mereka yang membantah jawaban saya. Pertama, ia adalah jawaban yang sama mereka terima daripada orang lain. Kedua, mereka tahu sangat UMNO dan tipu jahatnya.

Mengapa rakyat Kelantan akan terus memilih PAS untuk mengurus kehidupan mereka di Kelantan? Anda perhatikan kehebatan rakyat Kelantan di bawah:

1-  Agama adalah nyawa dan maruah diri mereka. Anda akan melihat bagaimana Islam terlalu mengawal pergerakan dan tingkah laku mereka dalam segala aspek. Oleh kerana PAS dikenali lama sebagai parti ugama, sedang UMNO pula dikenali sebagai parti dunia, sekular, kuasa, wang dan dendam, maka mudah sekali rakyat Kelantan memilih PAS tanpa syak dan ragu.

2-  PAS memiliki pemimpin ugama sebagai qudwah yang diikuti. Hampir tiada ulama besar di Kelantan untuk diminta fatwa dan nasihat kecuali mereka menyokong PAS dan perjuangannya. Rakyat Kelantan akan mudah merasa bersalah dan berdosa untuk memilih UMNO kerana mereka merasakan mereka tidak bersama dan tanpa restu para ulama.

3-  Politik adalah kopi ‘O’ rakyat Kelantan. Di sini, kopi diteguk di kedai – kedai makan untuk melawaskan perdebatan dan perbincangan perihal politik setempat dan tanah air. Dengan kesedaran politik yang tinggi, di samping isu – isu negara yang tidak menyokong kerajaan BN, adalah tidak sukar untuk rakyat Kelantan terus mengundi PAS lagi.

4-  Pembanguna fizikal di Kelantan tidak meruntuhkan binaan rohani sebagaimana begitulah senarionya di negara kita. Di Malaysia, kesima nafsu terhadap pembangunan fizikal  telah meruntuhkan jiwa, akhlak dan ugama. Di Kelantan, kerancakan pembangunan fizikal tidak kehilangan arah dan kawalan. Malah, rakyat sedar bahawa kerajaan PAS menerapkan isi dan keberkatan di dalam pembangunan fizikal.

5-  Berakar dari bawah, segenap lapisan rakyat merasai kewujudan sebuah kerajaan berkebajikan yang cuba melaksanakan amanah kuasa dengan kehendak ugama. Sentuhan hangat daripada pihak penguasa dan rasa selamat dan dilindungi menjadi satu daya yang kuat untuk mereka terus memberi sokongan dan dukungan kepada PAS untuk terus memerintah Kelantan.

6-  PAS kian diyakini kekuatan dan kemampuannya. 18 tahun memerintah Kelantan menjadikan PAS kuat dan mampu. Akhirnya kekuatan dan kemampuannya diyakini dan diterima rakyat tanpa rasa kekok, ragu dan rimas. PAS terbukti berjaya membuktikan ISLAM BOLEH!

7-  Rekod PAS bersih daripada penyelewengan dan rasuah oleh BPR sepanjang pemerintahannya. Ini secara kasarnya menakjubkan kerana rakyat sering menyaksikan medan politik negara yang penuh comot dengan rasuah dan penyelewengan.

8- PAS, khususnya jentera pemudanya adalah rakan anak muda. Adalah diyakini anak – anak muda Kelantan begitu selesa dengan kepimpinan pemuda PAS di setiap peringkat yang sentiasa turun padang memberi khidmat dan bantuan bagi memenuhi keperluan dan kebajikan mereka.

9- Hubungan baik dan intim antara kerajaan negeri dengan istana. Istana Kelantan yang menjadi payung agama dan rakyat jelata sentiasa di hati rakyat. Apabila hubungan di antara kedua – duanya dilihat baik dan selesa, rakyat Kelantan akan turut rasa selesa dan sejahtera.

10- UMNO terlalu lemah. UMNO tiada pemimpin contoh, tiada pemimpin muda harapan, tiada jasa besar sebagai pembangkang, tiada janji yang menyelerakan rakyat dan tiada sebab untuk diberi peluang dan harapan. Di hadapan, rakyat melihat kecelakaan bakal mengiringi UMNO jika mereka melangkah masuk ke tampuk Kota Darul Naim sekal lagi. 

Itulah 10 jika anda mahukan 10 yang sempurna dan ringkas. Asasnya, PAS lebih mendekati kehendak ugama, sedang UMNO hanyalah memperlakukan ugama sekehendak nafsunya. Asasnya, PAS lebih baik persembahannya berbanding UMNO. Asasnya, rakyat Kelantan cukup matang untuk menghukum kezaliman dan kepalsuan.

Tahniah rakyat Kelantan! Allahu akbar wa liLlahil hamd.

     

Salam Kamunting,

Pilihan raya umum ke 12 kelihatannya dah semakin menghampiri masanya. Pak Lah dan seluruh rakyat Malaysia telah hampir menamatkan teka – teki ‘demokrasi pak nujum’ apabila masing – masing mengisyaratkan bahawa pilihan raya sudah semakin hampir. Hanya masa yang masih belum tunduk pada sesiapa termasuk Pak Lah. Masa tunduk pada ketentuan Tuan yang menciptanya, Allah.

Jika Pak Lah memiliki lebih kewarasan, sudah pasti beliau tidak akan berseronok dan berbodohan melihat rakyatnya bernujum – nujuman mencongak tarikh pilihan raya. Tapi nasib umat Islam yang tengah fana dalam dunia fatamorgana jahiliyah barat, mereka terpaksa akur barat jauh lebih waras dari pemimpin dunia Islam kita hari ini, khasnya Pak Lahlah.

Anda sedang menyaksikan Puan Hilarry Clinton dan Tuan Barrack Obama, juga saingan Rebublikannya sedang bertarung dalam dunia demokrasi yang cukup hebat dan menakjubkan. 

Manusia sudah tua umurnya. Ia budak – budak di zaman Nabi Adam, remaja di zaman Nabi Nuh, pemuda di zaman Nabi Ibrahim, dewasa di zaman Nabi Musa ( alaihimus salam ) dan kini sudah cukup tua di zaman Nabi Muhammad ( sallaLlahu alaihi wasallam ). Kerana itu, kerana manusia menghampiri ajal akhirnya, maka dunia kita adalah dunia yang tengah mendekati hari kehancurannya. Hari kiamat. Dunia ini buat kehidupan manusia. Bila manusia diajalkan, dunia pun diajalkan juga.

Kerana sifat tua umat ini yang mengumpul timbunan pengalaman gelojak remaja, kehangatan dan semangat masa muda di samping kematangan kedewasaan, Allah memilih untuk umat ini Al Quran sebagai mukjizat agung utusanNya itu, bukan sekadar keajaiban yang lahir daripada tubuh Baginda semasa hayatnya.

Ia adalah mukjizat ilmu dan kewarasan berfikir. Allah tahu umat Muhammad tersedia dengan akal yang matang dan sarat ilmu. Dia tahu kita akan menolak hidup dalam dunia khurafat tanpa akliah dan bukti yang pasti daripada segala ilmu yang digapai.

Justeru dunia hari ini menerima sistem syura anjuran Islam bahawa hujjah yang baik didengar dan diterima pakai melalui perantaraan mereka yang berilmu dan matang. Mereka menerapkannya dalam sistem demokrasi, sistem pemerintahan pilihan dunia hari ini, walaupun mereka melanggarnya pada asasnya bahawa syura itu mesti berteduh di bawah lingkaran kekuasaan dan kebenaran Tuhan Pencipta.

Amerika dan negara – negara di Barat berusaha menjadikannya demokrasi bebas yang mengimpikan keadilan untuk sesama mereka ( bukan sejagat ), sedang kita di dunia Islam melaungkan keadilan sejagat, walhal diri sendiri masih bertompok dengan kebodohan dan kebengapan. 

Ketika tarikh pilihan raya seharusnya menjadi hak rakyat ( hak manusia ) untuk mengetahuinya lebih awal demi persediaan rapi untuk mendengar dan menilai daripada semua pihak yang mencabar dan mendakwa, kerajaan kita kekal dalam dunia sempit yang memalukan dengan menjadikannya hak eksekutif dan ekslusif seseorang yang bergelar Perdana Menteri. Perdana Menteri menambah bodoh rakyatnya dengan ‘melantik’ mereka sebagai nujum – nujum Pak Belalang yang mengail -ngail dalam lautan ketentuan Tuhan masa.

Semacam Perdana Menteri berkata, “Sebelum pilihan raya berlangsung, pastikan rakyat membodoh diri dahulu.” Ia mahu memastikan betapa kepentingan ruang masa khas yang luas untuk persediaan rakyat mendengar dan menilai itu menjadi tidak penting dan tak perlu pun. 

Inilah bentuk demokrasi Malaysia hari ini. Demokrasi tempang yang dipaksa kita melaluinya atau kita, jika enggan, usahlah bicara pasal politik dan pemerintahan! Atau jika degil, selamat datang ke Kem Kamunting!

Akhirnya selepas puas jenuh menabur dedak di halaman rakyat dan menanam onak dan dedalu di laluan pembangkang, Pak Lah nampaknya pasrah pada apa yang dibimbanginya sebelum menemukan apa yang dicarinya.

Perjalanan mencari asy Syafi’ie dan al Ghazali terus sirna, mengendur dan menghilang dipancar sinar-XX al Khairi an al Hadhari. 

Pilihan raya kali ini kelihatan sukar. Dengan tempoh empat tahun Pak Lah mempersembahkan rentak tari politik yang penuh keliru dan tidak bersengat, rakyat kelihatan agar sukar memilih berbanding pilihan raya 2004.

Untuk memilih BN, rakyat tidak yakin dengan kestabilan ekonomi dan sosial yang dijanjikan. Keyakinan harga barang akan terus naik dan keadaan sosial yang bertambah parah tentunya menakutkan mereka untuk terus mengundi BN.

Mungkin rakyat, dek asyik dilalikan dengan umpan hiburan dan janji manis sudah tak cukup masa untuk menilai keadilan yang dialpakan untuk mereka dan kezaliman yang dikenakan terhadap pihak pembangkang hatta dengan isu – isu kekejaman akta ISA dan akta – akta lain yang membebankan, tetapi isu ekonomi dan jenayah sosial mungkin menyentuh isi batin mereka. Mereka tentunya sukar menerima BN boleh menyelesaikannya.

Mungkin rakyat, dek kejahilan berterusan dalam pengajaran ugama dan tuntutannya masih enggan memberi masa emas mereka untuk berfikir tentang masa depan mereka dan ugama mereka walaupun umat Islam terus parah dilanda kemurtadan, samada secara terbuka atau tanpa sedar. Tetapi isu ekonomi yang lembap dan penyakit sosial yang bertambah – tambah mungkin menyentuh hati nurani mereka. Mereka tentu tidak yakin lagi dengan BN untuk menyelesaikannya.

Pak Lah mengelirukan sekali. Ia mengelirukan Islam dengan Islam Hadharinya. Ia mengelirukan jiwa rakyat dengan kelembutannya. Ia mengelirukan pengundi dengan janji – janji manisnya. Ia mengelirukan masa depan Malaysia seluruhnya.

Rakyat sudah tidak yakin dengan Pak Lah, tetapi majoriti besar rakyat juga belum berfikir untuk mengundi pembangkang sebagai alternatif. Rakyat masih tidak mahu lagi memberi masa emasnya untuk menilai pembangkang dan mengenalinya. Memilih pembangkang bererti memilih PAS atau secara umumnya, memilih pakatan alternatif.    

Pakatan pembangkang masih di peringkat awal kematangan. Di kalangan umat Islam, sesetengahnya enggan menerima PAS melakukan yang betul untuk membina barisan alternatif dengan semua pihak termasuk bukan Islam. Mereka mencela atas alasan PAS menggadai ugama  dan maruah. Di kalangan bukan Islam, sesetengahnya masih melihat PAS dengan kaca mata hitam dan tidak bersedia membuangnya. Mereka fobia dengan negara Islam yang sering dikelirukan UMNO dan pakatannya.

Walaupun ketakutan terhadap pemerintah BN adalah benar, manakala ketakutan terhadap pembangkang hanyalah berkait persepsi dan tanggapan, tetapi itulah hakikat yang akan diterima pakai oleh rakyat hari ini yang telah dikenyangkan dengan dedak dan keseronokan berhibur dan ditakutkan dengan hukuman kemelaratan dan kemiskinan oleh pihak kerajaan.

PAS melalui usahanya masih gagal bertindak meyakinkan umat Islam dan rakyat secara umumnya bahawa mereka mampu memerintah dengan adil dan Islami.

Umat Islam perlu didahulukan dengan keyakinan terhadap kemampuan ugama sendiri untuk mentadbir sebelum meyakinkan mereka dengan PAS. Apabila mereka tidak memahami Islam dan kewajiban mereka terhadap ugama, bagaimanakah digambrkan mereka akan memberi perhatian serius terhadap tawaran PAS yang hanya dikenali sebagai pengganggu yang tak pernah serik untuk kalah.      

Beratus tahun umat Melayu ditanam akidah sekularisme oleh penjajah barat sebelum UMNO datang memugar dan menyuburkannya selepas kemerdekaan. Mereka tak tahu pun sekular itu adalah isu akidah yang pasti akan membakar segala amalan baik dan soleh jika ianya menyalahi Islam. Bagaimanalah mereka akan tahu walhal begitulah sistem pendidikan negara yang diterapkan sedari kecil dan begitulah berjalannya sistem pemerintahan negara yang mengawal kehidupan mereka.

Kemudian, PAS berdepan pula dengan sesuatu yang lebih mencabar yang mesti diladeni sebaiknya. PAS berdepan dengan kumpulan – kumpulan Islam lain yang masih kabur atau menolak PAS untuk memerintah. Walaupun sebahagian menerima baik PAS sebagai rakan perjuangan, bahkan sebagai ketua yang mengetuai, tetapi masih kedapatan yang menolak dan membantah.

Ada yang menolak PAS kerana dilihat sanggup bertenggek di julai sistem demokrasi barat yang menyesatkan. Ada yang menolak mentah – mentah sistem pilihan raya kerana ianya bukan daripada sistem Islam. Ada yang menghukum PAS sebagai pengganas atau pemberontak ( bughah ) kepada kerajaan Islam yang ada. Ada yang menolak PAS kerana tegurannya kasar, tak berakhlak dan tak berhikmah terhadap kerajaan sedangkan itulah kewajiban dan car menasihati pemerintah.

Ada yang melihat mengundi hanyalah harus hukum agamanya dan sunat hukum sekularnya! Ada yang mengelak daripada dicemari politik dunia jahiliyah hari ini. Ada yang kerjanya menghimpun dail – dalil ugama yang boleh dieksploitasi untuk menolak dan menyerang PAS.

Kesukaran menyatukan kefahaman di antara kumpulan – kumpulan Islam pastinya menyusahkan jalan untuk menemukan rakyat dengan keyakinan terhadap parti PAS. 

PAS dan pembangkang sukar memenangi Malaysia walupun tidak mustahil. Politik adalah usaha memenangi persepsi rakyat dan pemerintahlah yang lebih mudah memenanginya dengan kewujudan jentera propaganda yang cukup.

Rakyat yang jahil sukar untuk menolak kezaliman ke atas diri mereka kerana kejahilan dan ketakutan yang dipaksakan. Mereka tidak pula bersedia menuntut keadilan kerana alasan yang sama.

Hakikatnya PAS sebagai gerakan Islam sudah dikira berjaya dan menang jika mereka dapat memberi kesedaran ugama kepada rakyat. Kejahilan terhadap kewajiban ugama adalah musuh rakyat yang dipelihara UMNO.

Jika begitu, ketika kita melawan UMNO, hakikatnya kita sedang melawan kejahilan rakyat. Rakyat yang tahu tidak akan mengundi UMNO kerana UMNO sudah cukup jijik dalam dunia sekularnya.

Di akhirat nanti manusia dihumban ke neraka kerana diri sendiri yang menzalimi diri sendiri. Jika pun yang diikut ( pemimpin ) menjadi sebabnya, hakikatnya,tidakkah manusia masing – masing telah diberikan kekuatan akal untuk menentukan pilihan diri dengan bantuan cahaya Ilahi? 

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Februari 2008
I S R K J S A
« Jan   Mac »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
2526272829  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 153 other followers