Salam Kamunting,

Mereka sepanjang masa bertanya saya, ” Adakah PAS akan kekal memerintah Kelantan?” Saya biasanya menjawab, “Ya, insya Allah. Itulah yang rakyat Kelantan mahukan.” Biasanya saya juga menambah sebelum beredar daripada soalan itu, ” Cuma UMNO terlalu mahu menang. Apabila mereka terlalu mahu menang, mereka meninggalkan Allah di kelam pandangan iman lalu mengenderai syaitan untuk memerangi PAS. Mereka menipu dan membeloti rakyat dan agama. Kepada Allahlah kita mengadu, berserah dan pasrah.” 

Biasanya tiada daripada kalangan mereka yang membantah jawaban saya. Pertama, ia adalah jawaban yang sama mereka terima daripada orang lain. Kedua, mereka tahu sangat UMNO dan tipu jahatnya.

Mengapa rakyat Kelantan akan terus memilih PAS untuk mengurus kehidupan mereka di Kelantan? Anda perhatikan kehebatan rakyat Kelantan di bawah:

1-  Agama adalah nyawa dan maruah diri mereka. Anda akan melihat bagaimana Islam terlalu mengawal pergerakan dan tingkah laku mereka dalam segala aspek. Oleh kerana PAS dikenali lama sebagai parti ugama, sedang UMNO pula dikenali sebagai parti dunia, sekular, kuasa, wang dan dendam, maka mudah sekali rakyat Kelantan memilih PAS tanpa syak dan ragu.

2-  PAS memiliki pemimpin ugama sebagai qudwah yang diikuti. Hampir tiada ulama besar di Kelantan untuk diminta fatwa dan nasihat kecuali mereka menyokong PAS dan perjuangannya. Rakyat Kelantan akan mudah merasa bersalah dan berdosa untuk memilih UMNO kerana mereka merasakan mereka tidak bersama dan tanpa restu para ulama.

3-  Politik adalah kopi ‘O’ rakyat Kelantan. Di sini, kopi diteguk di kedai – kedai makan untuk melawaskan perdebatan dan perbincangan perihal politik setempat dan tanah air. Dengan kesedaran politik yang tinggi, di samping isu – isu negara yang tidak menyokong kerajaan BN, adalah tidak sukar untuk rakyat Kelantan terus mengundi PAS lagi.

4-  Pembanguna fizikal di Kelantan tidak meruntuhkan binaan rohani sebagaimana begitulah senarionya di negara kita. Di Malaysia, kesima nafsu terhadap pembangunan fizikal  telah meruntuhkan jiwa, akhlak dan ugama. Di Kelantan, kerancakan pembangunan fizikal tidak kehilangan arah dan kawalan. Malah, rakyat sedar bahawa kerajaan PAS menerapkan isi dan keberkatan di dalam pembangunan fizikal.

5-  Berakar dari bawah, segenap lapisan rakyat merasai kewujudan sebuah kerajaan berkebajikan yang cuba melaksanakan amanah kuasa dengan kehendak ugama. Sentuhan hangat daripada pihak penguasa dan rasa selamat dan dilindungi menjadi satu daya yang kuat untuk mereka terus memberi sokongan dan dukungan kepada PAS untuk terus memerintah Kelantan.

6-  PAS kian diyakini kekuatan dan kemampuannya. 18 tahun memerintah Kelantan menjadikan PAS kuat dan mampu. Akhirnya kekuatan dan kemampuannya diyakini dan diterima rakyat tanpa rasa kekok, ragu dan rimas. PAS terbukti berjaya membuktikan ISLAM BOLEH!

7-  Rekod PAS bersih daripada penyelewengan dan rasuah oleh BPR sepanjang pemerintahannya. Ini secara kasarnya menakjubkan kerana rakyat sering menyaksikan medan politik negara yang penuh comot dengan rasuah dan penyelewengan.

8- PAS, khususnya jentera pemudanya adalah rakan anak muda. Adalah diyakini anak – anak muda Kelantan begitu selesa dengan kepimpinan pemuda PAS di setiap peringkat yang sentiasa turun padang memberi khidmat dan bantuan bagi memenuhi keperluan dan kebajikan mereka.

9- Hubungan baik dan intim antara kerajaan negeri dengan istana. Istana Kelantan yang menjadi payung agama dan rakyat jelata sentiasa di hati rakyat. Apabila hubungan di antara kedua – duanya dilihat baik dan selesa, rakyat Kelantan akan turut rasa selesa dan sejahtera.

10- UMNO terlalu lemah. UMNO tiada pemimpin contoh, tiada pemimpin muda harapan, tiada jasa besar sebagai pembangkang, tiada janji yang menyelerakan rakyat dan tiada sebab untuk diberi peluang dan harapan. Di hadapan, rakyat melihat kecelakaan bakal mengiringi UMNO jika mereka melangkah masuk ke tampuk Kota Darul Naim sekal lagi. 

Itulah 10 jika anda mahukan 10 yang sempurna dan ringkas. Asasnya, PAS lebih mendekati kehendak ugama, sedang UMNO hanyalah memperlakukan ugama sekehendak nafsunya. Asasnya, PAS lebih baik persembahannya berbanding UMNO. Asasnya, rakyat Kelantan cukup matang untuk menghukum kezaliman dan kepalsuan.

Tahniah rakyat Kelantan! Allahu akbar wa liLlahil hamd.

     

About these ads