You are currently browsing the monthly archive for Mac 2008.

Salam Kamunting,

AlhamduliLlah, saya selamat tiba ke tanah air dari perjalanan jauh lebih 24 jam yang meletihkan. Saya berlepas dari United Kingdom pada jam 1 tengahari, dua hari lepas ( jam 9 malam waktu Malaysia ) dan selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Kota Bharu  jam 11.30 malam semalam. Perjalanan agak lama kerana transit di Dubai selama 8 jam.

Kerana jadual yang bertembung, saya terpaksa membatalkan tiket dan terlepas peluang bersama YAB ayahanda Dato MB ke negeri Kedah Darul Aman untuk menyertai perhimpunan besar rakyat Kedah meraikan kemenangan gerakan Islam PAS memerintah negeri Kedah dalam pilihan raya umum baru -baru ini. 

Saya hanya mampu mengikuti perhimpunan itu secara live melalui internet bersama sahabat – sahabat di UK walaupun agak terganggu siarannya. Tahniah rakyat Kedah dan semoga Allah memudahkan jalan untuk umat Islam kembali kepada Islam yang menyelamatkan kehidupan manusia di bumi ini. Tiada erti kemenangan jika tiada hidayah dan inayahNya yang bertambah – tambah.

Saya seminggu di United Kingdom, negara yang menjadi impian saya untuk lawati. Pertama, saya belum pernah menjejak kaki di bumi Eropah. Kedua, saya ingin mengenali negara yang pernah menjajah negara saya beratus tahun sehingga berjaya memunahkan dan melahirkan anak Melayu yang  menyanjungi barat sehingga menolak agama sendiri. Mereka kini bertompokan di dalam UMNO.

Saya banyak membaca mengenai barat, tetapi seminggu di sana melumatkan puluhan buku yang saya baca dan menjadikan saya lebih faham. Semestinya dua minggu adalah lebih baik dari seminggu untuk saya lebih memahami dunia barat. Saya harap akan terus memperolehi peluang ke sana lagi. Saya juga mengimpikan untuk sampai ke Amerika, negara boneka Yahudi itu.

Sentiasa kalah dengan kesejukan, saya sentiasa menggigil setiap kali keluar rumah, hotel dan kereta. Saya menumpang di rumah rakan – rakan yang bekerja di sana. AlhamduliLlah, saya mengenali sahabat – sahabat baru yang cukup baik dan mesra sehingga terus mengelopakkan rasa kasih dan sayang yang menghangatkan. Sebahagian mereka seusia saya lebih kurang dan sebahagian lagi jauh lebih muda sehingga saya mula ‘sedar diri’, aku ni dah masuk kategori tua rupa – rupanya.

Semua mereka akan menjadi golongan profesional negara suatu hari nanti. Saya seronok sekali berkenalan setiap hari dan setiap kali menemui mereka. Mereka semua mencintai Islam dan begitu tinggi cita – cita dan perjuangan mereka untuk melihat Islam bangkit kembali di Malaysia. Di bumi Mat Saleh yang telah merosakkan otak orang – orang tua mereka, mereka hidup seperti ikan berenang di laut masin, cekal berpegang teguh dengan Islam yang menyelamatkan kehidupan di bumi.

Dengan berita kemenangan Islam di Malaysia yang masih terlalu segar, sudah pasti perbualan, perbincangan dan borak – borak kami menjadi begitu segar. Daripada yang bekerja dan belajar di Kota London, Manchester, Sheffield dan Dublin di Ireland sehinggalah Aberdeen dan Dundee di Scotland, saya belajar banyak sekali daripada mereka mengenai kebangkitan Islam dan tuntutannya. Mereka menjadi guru saya sebagaimana mereka sudi menamakan saya sebagai guru mereka semasa di sana.

Paling menarik, saya menemui ramai juga yang mengenali saya ( fikrah saya ) melalui blog saya ini. Saya perasan dan perasan itu menyeronokkan.. kan?

Paling menarik, saya sempat berlabuh di Newcastle ( Kota Bharu ). Saya bayar mahal juga untuk masuk dan mengopak habis stadium bola sepak Newcastle tempat Micheal Owen yang saya minati bermain. Kami diberi taklimat hampir dua jam sambil ditunjuki pelbagai bilik dan tempat yang cukup mengkagumkan bagaimana mereka mengurus sukan bola sepak yang kini sudah menjadi ugama baru dunia barat yang kontang.

Mereka seminggu sekali akan masuk stadium menggantikan gereja. Tuhan mereka adalah pemain pujaan mereka, tidak lagi Nabi Isa al Masih.   

Sekejap tadi saya terbaca cadangan oleh pengganti Datuk Khir Toyo yang menerajui negeri termaju di Malaysia untuk menjadikan bola sepak Selangor diurus secara yang begitu profesional. Hah, sampai beginikah Barisan Alternatif? Satu persatu nak kena ajar dan baiki kerosakan di zaman BN.  

Nampaknya kita sudah terlalu lama dibekukan otak oleh BN. Sampailah masa kita berubah dengan berani.

Musafir itu meletihkan, tetapi letih lagi perjuangan ini. Musafir itu menyeronokkan, tetapi seronok lagi perjuangan ini. 

Perjuangan adalah kehidupan seorang musafir di bumi Tuhan.

  

Salam Kamunting,

Biarlah saya jadi seperti anda kalian para pembaca yang budiman, untuk mendengar, membaca dan memerhati, daripada dekat atau jauh, dalam atau luar, bagaimana kawan – kawan seperjuangan, juga musuh – musuh di medan juang memutuskan lalu bertindak dan mengurus segala kekalutan yang sedang berlaku kesan daripada ‘tsunami politik’ yang mengejutkan negara dalam pilihan raya umum ke 12 baru – baru ini.

Setiap hari saya, mungkin seperti anda juga, melompat – lompat dari satu dahan ke satu dahan yang lain mencari – cari berita – berita dan ulasan – ulasan terkini dalam dunia maya internet ini melalui blog – blog yang kini sudah menjadi senjata ampuh untuk memecah tembok tebal yang dibina pemerintah bagi menghalang barisan pembangkang daripada sampai kepada rakyat.

Pertengahan 90an dahulu, sewaktu penggunaan internet mula popular di Malaysia, kami yang tengah belajar di al Azhar, Mesir turut menyertai perbahasan hangat mengenai baik buruk internet yang digambarkan dengan bermacam – macam unsur negatif yang mungkin merosakkan akhlak dan cara hidup rakyat Malaysia. Kebanyakan kami melihatnya sebagai kejayaan proses globalisasi barat yang bertujuan meruntuhkan kebangkitan dunia Islam.    

Oleh kerana waktu itu negara Mesir masih jauh daripada penggunaan teknologi maklumat berbanding negara kita, kedatangan pimpinan PAS yang kerap mengunjungi para penuntut di sana telah banyak membantu meleraikan kekusutan perbahasan.

Internet adalah seperti tv. Ia baik dan ia juga buruk. Jika tidak kerajaan yang mengawalnya, anda boleh mengawalnya sendiri. Jika anda tahu menggunakannya, ia mempunyai sejuta kegunaan yang tiada diperolehi kecuali melaluinya. Begitulah lebih kurang jawaban para pimpinan PAS yang cuba menjelaskan bagaimana sikap dan pendirian parti mengenai kebebasan berinternet di Malaysia.

Saya banyak mendiam diri. Mendengar dan cuba memahami. Susah juga nak faham.

Pertama, saya masa tu baru saja pandai sentuh – sentuh komputer. Masa belajar di India, saya langsung jauh daripadanya. Saya belajar di universiti sistem pondok yang jauh sekali daripada tempias pembaharuan. Selepas reti sikit – sikit, saya dalam ceramah saya kepada mahasiswa dan mahasiswi Azhariyyin acap kali merangsang mereka untuk mahir berkomputer. Jika mahu membina jati diri seorang ustaz/ustazah, belajarlah komputer, kata saya. Akhirnya, ketika tiada lagi Azhariyyin yang buta komputer, saya masih lagi rabun komputer sampai sekarang.

Akulah guru yang membakar diri bagai lilin… he he. ( bolehlah suka – suka ya, sebab menang besarrr. Bodoh aku kalau tak borak besar – besar )

Kedua, dalam kepala saya masa itu, internet bererti wayang gambar kecil yang dibawa masuk ke rumah dengan gambar – gambar dan adegan – adegan lucah dan liar yang bersilang – silang menerjah masuk ke kepala saya. Masa tu saya tak tahu nak bezakan antara internet dan parabola. Kata orang, internet dan parabola tu adik – beradik saja. Kata orang politik sekarang, macam mertua dan menantu. Sama – sama tak boleh diharap! 

Jadi, saya masa itu boleh kata samalah dengan kebanyakan ustaz – ustaz muda lain, dalam hati kata haram! Di luar kelu lidah nak kata haram.. Sebabnya, tak faham dan tak reti peranan internet.

Hari ini, tak ada lagi orang nak tanya hukum berlayar di internet. Tanya atau marah, ertinya jakunlah tu..

Tetapi Khairi Jamaludin pernah kata bloggers adalah monyet. Orang jakun biasalah bertempur dengan monyet di hutan berebut pisang. Orang tak jakun melihat bloggers sebagai pejuang kebebasan yang diimpikan manusia merdeka.

Ayahanda pula kata mana – mana yang lawan Islam dan pejuangnya ( termasuk islamic bloggers ) adalah orang utan!

Hari ini, internet menjadi pangkalan maya gerakan Islam untuk melancarkan dakwah Islamiyyah dan menangkis serangan musuhnya. Dari hari ke hari, medannya semakin luas dan tanpa sempadan.

Pilihan raya umum ke 12 2008 kali ini dilihat cukup berbeza berbanding sebelumnya. Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dan kegagalan mereka di sepanjang tempoh kempen dilihat berpunca daripada senjata baru yang digunakan pembangkang. Internet dan bloggers adalah antara senjata utama mereka. Ia melumpuhkan peranan besar televisyen dan akhbar yang dikuasai pemerintah untuk memikat dan memukau rakyat.

Rakyat sudah celik. Kerajaan masih buta. Saya rabun komputer saja.   

Salam Kamunting,

Tahun 2008 adalah tahun menang dan menang. Allah mengurniakan sesuatu yang kita tidak pernah jangkakan. Dia memberi kita melebihi apa yang kita harapkan daripadaNya. Apabila Dia mahu memberi, Dia tidak perlu merujuk kepada apa yang kita minta. Dia adalah Tuhan dengan kehendakNya yang bebas dan penuh kuasa.

Kemenangan adalah daripada Allah. Kemenangan Islam adalah demi hidayat dan taufik untuk manusia. Ia bukan kemenangan duniawi yang sementara dan penuh tipu daya iblis, bahkan ia adalah kemenangan yang benar dan hakiki. Di dunia kita gembira dan di akhirat kita bergembira. Tiada kemenangan kecuali kemenangan Islam dan tiada kehidupan kecuali kehidupan akhirat.

Sahabat dari negeri Kedah menjemput saya bertandang ke negeri Kedah. Begitulah sahabat dari negeri Perak, apatah negeri Selangor Darul Ihsan yang di tengahnya adalah Wilayah Persekutuan yang menjadi jantung Malaysia. Di tanah kontang merekah itu, sudah ada oasis yang ditemui. Ia wahah yang subur dan nyaman. 

Berjalanlah ke bumi Johor. Bukan hanya sahabat – sahabat di Johor yang menikmatinya, bahkan saya masih tercengang – cengang dengan keputusan yang dipersembahkan rakyat Johor untuk seluruh rakyat Malaysia. Jika saya sampai di sana, saya tidak mahu berceramah dan berkuliah dahulu. Saya hanya mahu mencium tangan orang Johor. Tahniah, hanya itu yang saya mahu lafazkan untuk rakyat yang berani mengubah persepsi, budaya dan adat lapuk demi Islam tercinta.

Saya hanya mengenali Paroi kerana di situ ada stadium tempat pasukan bola sepak Kelantan berkunjung menentang pasukan Negeri Sembilan dalam liga bola sepak Malaysia. Hari ini, sahabat saya YB Mohamad Taufek bin Abdul Ghani pasti menjemput saya untuk melaung kalimah takbir kemenangan di stadium itu. Tahniah orang Negeri Sembilan. Anda mengejutkan yang sedar dan yang tidur. Khairi terkejut beruk ( monyet )!

Dari bumi Kelantan yang kembali dengan seribu kekuatan sampailah ke bumi Johor yang mencipta kejutan, berjalanlah anda di bumi hijau tuhan. Allah mengurniakan kegembiraan buat seluruh pejuang dan pencinta Islam di seluruh dunia.  

Apabila datang pertolongan dan kemenangan daripada Allah, lalu engkau menyaksikan manusia berbondongan datang kepada ugama Tuhan, maka bertasbihlah kepada Tuhan dengan menyucikan dan memujiNya serta pohonlah keampunan daripadaNya.

Kegembiraan mestilah dengan bersyukur kepadaNya. Bersyukur adalah dengan kembali mengingatiNya. Ingatlah Allah, Allah akan mengingati kita.

Jangan pendekkan kegembiraan dan kemenangan ini dengan leka dan lalai daripada mengingatinya.

Marilah kita memperbanyakkan tasbih, tahmid dan istighfar. Teruskan bertakbir.. Allahu Akbar!   

Salam Kamunting,

Saya menulis dari Kelantan. Sepanjang tempoh kempen pilihan raya berlangsung saya tetap di sini dan tak keluar – keluar lagi, bahkan tumpuan saya adalah di Pengkalan Chepa, pangkalan dan kubu PAS terkuat di negara kita.

AlhamduliLlah, saya telah dapati apa yang saya tulis dan bimbangkan sebelum ini mengenai fasa pertama tempoh pilihan raya yang memeritkan, iaitu saat menentukan dan menamakan calon yang akan bertanding telah berjaya dilepasi oleh PAS. Selepas penamaan calon selesai, jentera nampaknya bersatu sekali walaupun kekemasannya tidaklah  sekata kekuatannya di antara Majlis Tindakan DUN (MTD) sejumlah 45 buah itu.

Saya lihat dan fikir masa itu, ayahanda Tuan Guru Pesuruh Jaya PAS Kelantan agak sukar membuat pilihan dan keputusan. Saya menyaksikan kekalutan itu sampai saya terus memendam sampai sekarang hasrat saya untuk turut mencadangkan beberapa tokoh yang menjadi pilihan saya. Biasalah, cadangan dan percaturan bertubi – tubi dari luar ( akar umbi ) dan dalam ( pimpinan ) mengasak ayahanda lalu meletihkannya.

Mujurlah, berkat doa semua pejuang, keadaan menjadi reda sungguh selepas hari penamaan calon tersebut. Saya mendapat khabar ada dua kumpulan yang berselisih panas akhirnya berjaya disatukan dan kedua – dua pemimpin itu saling berpelukan dan bermaafan, lalu mereka turun padang bersama. Begitu juga dengan perselisihan dengan PKR yang tampak sukar di awalnya, akhirnya lerai apabila calon yang bertanding mendapat restu kedua – dua pihak.

UMNO nampaknya tewas di sini. Pak Lah dan Dato Sri Najib nampaknya terpaksa berulang – alik ke Kelantan dengan acap sekali ( tidak sebagaimana zaman Tun Mahathir ) bagi menyatukan jentera BN yang berpecah – belah. Ia nyata sekali sampai siaran televisyen pun menyiarkan ucapan Dato Sri Najib yang mengingatkan ketiga – tiga pemimpin BN Kelantan yang bertelagah agar bersatu. Pak Lah pula sampai dua kali datang dalam minggu terakhir ini. 

Musim pilihan raya adalah musim bekerja untuk Islam. Anda tidak dapat melihat bagaimana semua kita mampu berfungsi untuk kemenangan Islam sebagaimana di musim pilihan raya sebegini. 

Daripada seorang ketua dan pimpinan yang merancang, mengarah dan memantau, kemudian jentera penerangan yang berceramah, berkempen dan melancar propaganda, kemudian jentera di akar umbi yang bergerak dari rumah ke rumah, mencula, membekal, mengawal selia keselamatan kampung, pos dan markaz, menampal poster, menaikkan bendera, mencipta pelbagai kreativiti yang memukau dan menarik perhatian sehinggalah perang sms dan siber, semuanya membuktikan peranan muslim untuk Islam adalah dalam kemampuan dan benar belaka.

Allah pasti tidak mensia – siakan amalan soleh hamba – hambaNya yang berjuang di jalanNya. Dialah Tuhan di langit dan di bumi.

PAS membentuk jentera jihad pilihan raya yang hebat. Pada setiap kali pilihan raya umum, jentera jihad ini ditambah berganda – ganda dengan fungsi yang pelbagai berbanding keadaan biasa sebelum pilihan raya. Di Parlimen Pengkalan Chepa, jentera di peringkat Unit – unit Peti Undi ( UPU ) sahaja hampir mencecah seribu orang. Jika skala sama dipakai di parlimen lain, maka Kelantan sahaja membariskan barisan pejuang yang tersusun seramai 15 ribu orang. Justeru jentera PAS seluruh negara pasti mencecah 100 ribu orang yang bergerak dengan arahan dan tindakan yang satu dan tersusun.  

Sesungguhnya Allah cukup suka melihat hambaNya berjuang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun bagai satu binaan yang kukuh. Mereka semua bekerja tanpa upah yang wajib. Upah mereka, mereka tagih di akhirat nanti.

Bagaimana PAS memperolehi kekuatan ini?  Pastinya kerana hasil perjuangan yang lama dan konsisten. Jika dulu PAS berada di tepian yang dijanggali, kini PAS sudah di arus besar setanding seteru utamanya, BN yang berpaut penuh pada jentera kerajaan dan jentera parti yang mesti diupah dan disuap wang dan janji manis sebelum dan selepas bekerja.

Menyatukan umat adalah kewajiban ugama yang utama. Melorong mereka ke medan perjuangan Islam adalah kewajiban juga. Menyusun mereka di dalam barisan jentera adalah kewajiban seterusnya. Kemudian gerakkan mereka untuk bertindak demi Islam yang disayangi.

Bila jentera ini bergerak, musuh menjadi kaget, takut dan gerun. Menggerunkan musuh adalah ibadat yang hebat.  

Saya yakin rakyat Kelantan akan terus mengundi PAS untuk memberi laluan kepada cara hidup Islam diterapkan dalam kehidupan mereka. Saya yakin rakyat Kelantan akan menolak BN demi menutup laluan kepada usaha – usaha menjahanamkan segala hasil usaha yang dibina oleh PAS selama semenjak 18 tahun yang berlalu. Rakyat Kelantan samada yang berada di negeri Kelantan atau di luar Kelantan cukup prihatin dengan perkembangan politik negara. Mereka ada kekuatan untuk membuat pilihan sendiri dan mereka tidak terdesak untuk dijual beli undi mereka demi habuan yang menghinakan. Satu undi adalah maruah dan  amanah agama.

Ini keyakinan saya berdasarkan apa yang saya renungi dan teliti daripada perkongsian saya dengan rakyat Kelantan di mana – mana. Hari ini, beberapa hari menjelang pilihan raya berlangsung, keadaan seperti mahu segera mengesahkan apa yang saya yakini. Laporan yang datang daripada pelbagai sumber mengesahkan PAS akan memperolehi kemenangan besar di Kelantan dalam pilihan raya kali ini. BN akan kalah lagi sebagaimana sebelumnya. Itulah yang saya perolehi daripada dalaman parti, daripada dalaman BN juga dan kajian luar yang lebih berwibawa.

Tetapi Malaysia bukanlah negara yang adil. Ia bukan negara yang menghormati kuasa rakyat. Rakyat hanyalah hamba abdi yang mesti melutut kepada kehendak pemerintah. Rakyat hanyalah patung – patung yang akan diperkudakan sekehendaknya oleh parti yang memerintah. 

BN tekad merampas Kelantan. Mereka mesti menang walau apa cara sekali pun. Kemenangan di Kelantan adalah ubat kepada kekalahan BN di negeri – negeri lain yang semakin hilang daripada kawalan BN. Bangsa India telah bangkit memberontak melawan kerajaan BN yang mereka sifatkan menganak – tirikan mereka. Ini kebangkitan penuh bersejarah.

Di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan lain – lain menyaksikan kebangkitan terbuka rakyat berbangsa India dan Cina yang beraninya mengalahkan keberanian penyokong PAS sendiri. Kawan – kawan saya yang kaki berceramah melaporkan kebangkitan bangsa India dan Cina yang tidak segan – segan lagi menamakan BN sebagai punca kerosakan negara. Malah, lebih mengkagumkan, mereka menerima PAS dan kepimpinan ulama juga!

Ayahanda Tuan Guru memberitahu saya bahawa wakil India di Kuala Lumpur telah meminta kebenaran ayahanda untuk baju mereka dicetak dengan gambar ayahanda bersama dengan Mahatma Gandhi! Inilah pemimpin agung manusia, kata mereka. Ah, apa ini selain keyakinan mereka kepada ISLAM BOLEH! 

Saya melihat satu gambar seorang wanita India memakai baju pada hari penamaan calon di Selangor yang tertulis ‘ Saya India, saya Hindu, Saya mahukan kepimpinan ulama ‘. Apabila PAS tidak lagi ditakuti oleh bukan Islam, PAS sebenarnya sudah pun menang selepas puluhan tahun berjuang memecahkan tembok kebal yang dibina UMNO untuk memisahkan bukan Islam daripada PAS.   

Adakah UMNO menikmati ini daripada bangsa non muslim selama mereka menjalin kerja sama?

BN akan nekad merampas Kelantan. Dengan pengumuman terbaru pembatalan penggunaan dakwat kekal oleh SPR, maka ia mengesahkan BN dalam kesempitan dan terdesak sekali.

Semasa saya menulis, laporan sampai bahawa bas – bas yang membawa pengundi hantu ( pengundi bukan rakyat Kelantan yang diselinap masuk oleh pendaftaran SPR bagi mengabsahkan undi mereka di Kelantan selain pengundi lebih satu undi ) telah mula memasuki Kelantan. Polis telah bertambah – tambah di Kelantan dengan ribuan SB bergerak di segenap pelusuk negeri. BN tidak berceramah lagi di Kelantan sepanjang tempoh berkempen. Pelik. Mereka hanya melakukan kerja – kerja yang cukup tersembunyi dan menyepi daripada dunia demokrasi. 

SPR dan segala jentera kerajaan sedang siap  sedia menyerang Kelantan dari atas dan bawah, depan dan belakang.

Kami yakin kami menang, tetapi kami yakin mereka akan merampas kemenangan kami dengan sejahat – jahat cara.  

Jika tidak kerana kerana kami diajar lama dengan kuasa Allah dan bantuanNya kepada para pejuangNya, pasti sudah kami keletihan menghadapi Pak Lah, Khairi, Tan Sri Abdul Rasyid dan lain – lain pengganas ini.

Tuhanku, tolong kami pejuangMu. 

   

Salam Kamunting,

Jika Malaysia hari ini adalah negara Islam, bolehkah pilihan raya diadakan dengan umat Islam diberi pilihan untuk memilih antara Islam dan fahaman – fahaman selain Islam? Jawaban adalah mudah. Umat Islam tiada pilihan itu. Memilih selain Islam adalah keluar daripada Islam samada secara rasmi atau tidak.

Jika begitu, mengapa negara Malaysia hari ini mengadakan pilihan raya dengan memberi peluang kepada umat Islam memilih antara Islam dan fahaman – fahaman selainnya yang sekular? Jawaban adalah mudah. Malaysia bukan negara Islam. Malaysia tidak terikat dengan hukum di atas. Pemerintah tidak pernah merasa bersalah melanggar hukum tersebut kerana itu hanyalah hukum untuk setiap muslim, masyarakat muslim dan negara yang muslim. Adapun Malaysia, hukum itu tidak mengikat kerana Malaysia bukanlah negara Islam.

Islam adalah pilihan Allah yang satu. Maka setiap muslim terbatas pada pilihan Tuhannya itu. Dia tidak boleh memilih lagi selain Islam. Memilih selainnya adalah mengingkari, menderhaka dan melawan pilihan dan kehendak Allah. Maka dia telah keluar daripada Islam. Samada disahkan atau tidak, di sisi Allah dia telah murtad daripada Islam.

Ini adalah jelas dan muhkam dalam kenyataan al Quran, al Hadis dan kitab – kitab para ulama yang muktabar. Ia adalah ijma’ seluruh umat Islam.

Pilihan raya untuk memilih Islam atau selainnya dalam masyarakat Islam adalah tertolak dan salah. Ia ganjil bahkan mengarut. Justeru ia langsung mengesahkan Malaysia hari ini bukan negara Islam. Ia hanyalah negara umat Islam yang diperintah oleh pemimpin umat Islam yang sakit akhlak di zahirnya dan sakit akidah di batinnya. Umat Islam yang dipimpin oleh pemimpinnya yang sakit akan turut sakit. Sakit akhlak an sakit akidah. Sakit akidah membawa kepada murtad yang ditakuti.

Allah menamakannya Islam, sedang mereka menamakannya Islam Hadhari.

Allah menyuruh kepada Islam dan al Quran, sedang mereka menyuruh kepada sekular dan barat.

Allah memuliakan ulama, sedang mereka pula memerangi para ulama.

Mereka pula mahu merawat Kelantan, sedang yang sakit adalah mereka sendiri.

Mereka menawarkan Dato Awang Adek untuk Islam di Kelantan, sedang Kelantan sudah pun dipimpin seorang Tuan Guru untuk Islam di Kelantan.

Tidakkah ini terbalik?

Justeru pilihan raya di negara kita untuk umat Islam bukanlah pilihan untuk memilih yang mana satu. Ia buka pilihan, bahkan penegasan untuk menerima dan menonjolkan Islam di mata umat yang sedan sakit.

Oleh kerana hanya PAS yang menawarkan Islam untuk umat dan negara, maka ia adalah pilihan raya untuk mengundi PAS demi menegaskan keyakinan dan penerimaan kita kepada Islam dan penolakan kita terhadap sistem jahiliyah yang ada di bumi Malaysia. Pilihan selepas itu adalah sekular yang ditolak Islam. UMNO sekular dan pemerintah hari ini adalah sekular dasar mereka.

Kita diminta untuk memilih dalam pilihan raya ini antara Islam dan sekular. Tidakkah ini keceluparan terhadap Allah dan penghinaan terhadap RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam?    

Sebab itu mengundi PAS adalah wajib. Hanya PAS yang berani memerangi kebodohan ini secara langsung dan berdepan.

Kenali PAS cintai PAS sokong PAS undi PAS.

  

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mac 2008
I S R K J S A
« Feb   Apr »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 155 other followers