You are currently browsing the monthly archive for April 2008.

Salam Kamunting,

Saya kerap musafir seminggu dua ini.

Streamix di rumah pula beronar seminggu dua ini.

Lama sudah saya tak hilang barang berharga.

Minggu ini, laptop saya hilang..

Daripada bersedih, saya fikir lebih baik senyum sendirian.

Kerana saya masih mampu tersenyum dalam rasa teruk ini.

Semoga saya mampu menangani semua keadaan yang lebih teruk.

Sehari dua lagi saya kembali, insya Allah.

He he, senyumlah. Brahim Ali bergaduh dengan Karpal Singh pulak.   

 

Salam Kamunting,

Sudahkah anda membaca buku ‘Dari Beirut ke Jerusalem’, sebuah cerita benar oleh Dr Ang Swee Chai? Jika belum, saya segera menyarankan anda membacanya, samada dalam edisi asalnya, ‘From Beirut to Jerusalem’ atau edisi Bahasa Melayu yag diterbitkan oleh HARAKAH.

Saya menemunya di celah – celah lambakan buku di dalam kereta Toyota Unser Ustaz Riduan Mohd Nor semasa dalam perjalanan bersamanya memberi kuliah ugama di sekitar Lembah Kelang pada awal tahun ini. Ustaz Riduan yang baru sahaja menyiapkan dan menerbitkan buku barunya, ‘Makkal Sakhti’ yang beberapa kali dipunggah masuk ke Pesta Buku Antarabangsa di Kuala Lumpur baru – baru ini dek lakunya adalah rakan seperjuangan saya yang telah banyak meghasilkan buku – buku Islami yang bagus – bagus.

Tak hairanlah semasa menaiki keretanya, saya terpaksa mengalih, membetul dan menyusun buku – buku yang berselerakan di dalam keretanya. Hari itu, pandangan saya hinggap di buku tebal lebih 400 muka surat itu. 

Beliau memuji buku itu selepas saya menyatakan pandangan saya, sebaik membelek – belek helaiannya,  bahawa buku ini mesti bagus isinya. Beliau yang belum habis membaca buku itu terus menyarankan saya membacanya juga. Saya menyeluk saku dan menghulurnya RM20 rasanya. “Anta beli lain. Tak cukup halalkan.” Beliau menjampuk, “Mampus aku!” Kereta meluncur laju dan saya terus menatap buku itu.

Ia sememangnya sebuah buku yang cukup menarik dan bagus untuk dibaca. HARAKAH menerbitkannya sempena 25 tahun tragedi pembunuhan beramai – ramai rakyat Palestin di kem Sabra dan Shatila yang menyayatkan. Ia menjadi parut yang menghantui umat Islam seluruh dunia dan menjadi lambang kekejaman dan kerakusan Yahudi di bumi Palestin yang terjajah.

Saya bercadang segera menulisnya di sini seusai membacanya. Tetapi Pak Lah memalu gendang perang, Islam vs Islam Hadhari. Saya segera memakai baju perang pilihan raya dan terus lupa menulisnya.

Dr Ang Swee Chai adalah seorang penganut Kristian yang lahir di Pulau Pinang sebelum berhijrah bersama suaminya ke England dari Singapura. Sifat perihatinnya kepada isu – isu kemanusiaan telah berkembang subur di dalam fitrah ciptaan Tuhannya, lalu melorongnya ke medan kebajikan dan kemanusiaan sejagat. Beliau dengan pelbagai anugerah keperwiraan adalah seorang wanita contoh untuk kehidupan hari ini yang penuh kezaliman, penganiayaan dan tanpa belas kasih.

Beliau memuji Islam dan penduduk Palestin, terutama pejuangnya yang berjuang mempertahankan bumi Palestin daripada penjajahan Yahudi terlaknat. Apabila beliau memuji, tiada yang dapat memesongkan rasa ikhlas dan tulusnya. Berani adalah sifatnya yang hilang daripada jiwa umat muslim hari ini. Jika ada, ia adalah untuk pejuang Islam di bumi Palestin hari ini.

Saya beberapa kali menitiskan air mata. Semuanya menghibakan. Malu, rasa bodoh, rasa hina dan rasa bersalah menghantui diri. Saat membacanya adalah saat – saat jiwa menjadi hidup dan basah.

Jika ada rasa terkilan, maka ianya adalah untuk Dr Ang Swee Chai sendiri. Saya hanya berkata, jikalah beliau seorang muslim, pasti Allah tidak mensia -siakan kerja besarnya di dunia ini. Setiap kali terhenti membaca, saya memdoakan hidayah untuknya.

Bacalah. Saya akan membeli beberapa naskhah lagi sebagai hadiah buat teman terdekat.     

 

Salam Kamunting,

1)

Semasa kecilnya, seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan ras, dengan penuh rasa  bangga mengiringi pemergiannya dengan doa dan harapan kejayaan untuknya moga dia berjaya pula di masa depannya mengukir nama negara di mata dunia sebagai seorang anak Malaysia yang cemerlang dan terbilang.

Pesan itu pula berkata, jika seluruh manusia berkumpul dan mencipta segala usaha dan doa untuk menyampaikan manfaat apa-apa kepadamu, nescaya mereka pastikan gagal kecuali dengan izinNya jua. Jika pula seluruh manusia berkumpul dan mencipta segala usaha dan doa untuk menyampaikan mudharat apa-apa kepadamu, nescaya mereka pastikan gagal kecuali dengan izinNya jua.

Hari ini dia rebah dan tercampak di lembah hina, di luar kotak usaha, doa, impian dan jangkaan. Doa dan harapan kita tersasar daripada kehendakNya. Siapalah kita?

Adakah kita membalasnya dengan sumpah seranah terhadapnya, atau kedua ibu bapanya, atau persekitarannya pula agar kita pun seiring kehendakNya itu?

Ketahuilah, kehendakNya tiada yang mampu memintas. KehendakNya adalah bebas dan tanpa batas. Kita lemah menekaNya kecuali sering terbabas daripada lurus jalanNya.

Kembalilah kepada doa. Doa adalah ikhtiar jua. Doa adalah penyerahan dan iman. Doa adalah kesukaanNya bahawa hambaNya mengenaliNya dengan sesungguhnya.

Doa bukanlah tali buat menariknya keluar dari lembah hina. Doa hanyalah nyanyian tasbih dan puji-pujian seorang hamba atas segala sarat kehendakNya. Doa hanyalah siulan rasa syahdu seorang hamba di hadapan agung inginNya.

Semoga Allah membuka dan mendepa rahmatNya ke atasnya dan kita jua.   

 

2)

Semasa gagahnya, dialah pahlawan dan dialah jagoan menentang Islam, apatah pejuangnya. Jasanya untuk negara adalah besar sedang balanya untuk negara adalah lebih besar.

Kerananya banyak sekolah ugama ditutup dan ditinggalkan. Kerananya ramai pejuang kebenaran disumbat ISA dan dikerjakan. Kerananya pembaziran wang negara menjadi hidangan mata sang marhaen.

Kini, dia telah tua. Esok dia akan mati. Dia masih juga tunjuk gagah. Dia terus menyerang sebagai mana dulunya. Dulu menyerang rakyat, kini menyerang pemimpin pengganti pilihannya dulu.

Dulu, dunianya dipenuhi kebencian terhadap Islam dan pejuangnya. Dunianya mengikatnya daripada mengukur diri di hadapan tuhannya.

Kini, dia telah tua. Esok dia akan mati. Tetapi duniawinya terus mengikatnya dan membelitnya. Dia terus bercakap untuk membaiki dan merawat UMNOnya.

Kita doakanlah untuknya, bukan untuk UMNO. Jika UMNO segar kembali, kuatlah permusuhannya terhadap Islam. Banyaklah balanya menimpa umat.

Kita doakanlah untuknya agar dia diberi hidayat. Agar dia tahu masanya kini adalah untuk kuburnya yang menanti. Masanya kini adalah anugerah dariNya agar dia kembali kepadaNya menyuci diri daripada segala karut marut perbuatannya menghambat pejuang Islam di bumi ini.

Tuhanku, leraikan belitan duniawi yang memagari dirinya daripada menginsafi hidupnya. Tiada rakyat Malaysia kecuali menginsafi jasanya untuk negara. Sejukkan hatinya yang kepanasan itu dengan simbahan hidayat dan nur Mu di bumi yang gelap tanpa cahaya Mu ini.

 

3)

Mereka marahkan PAS kerana babi itu. Mereka marahkan PAS kerana mahu membenarkan babi itu hidup lebih selesa sebelum dimakan oleh pemakannya.

Mengapalah UMNO ini? Semua kehidupan menjadi hina di sisi mereka. Membela si marhaen miskin pun dimarahi. Membela babi pun dimarahi. Adakah kemuliaan hidup hanya dengan membongkok diri menyokong UMNO?

Adakah babi menjadi hina hanya kerana kita dilarang memakannya? 

Jika begitu, hinalah wanita yang haid hanya kerana kita dilarang mendekatinya?

Begitukah ilmu Islam yang difahami UMNO?

Padanlah. Kehidupan sentiasa hina di sisi UMNO kecuali apabila membongkok diri pada UMNO sahaja.

( Penternakan babi secara tradisional merosakkan kehidupan manusia dan alam sekitar. Kalau pun keselesaan hidup babi itu tidaklah mendesak, tetapi umat Islam lebih terdesak untuk hidup selesa tanpa ancaman penternakan babi yang merosakkan.) 

Inilah kepingin saya sejak dahulu. Penternakan babi mestilah dimodenkan demi keselesaan hidup di negara tercinta.

Lebih baik menghina manusia berperangai babi daripada menghina babi yang memang babi.

     

 

 

  

Salam Kamunting,

Saya masih ingat, saya pernah bertanya ayahanda semasa saya di alam menengah persekolahan di hujung 80an dulu perihal ‘raja’. Maksudnya, apa pandangan Islam terhadap institusi beraja dalam pemerintahan Islam? 

Yang mendorong saya nak tahu sangat jawabannya masa itu ialah bacaan saya terhadap buku al Allamah Abul A’la al Maududi mengenai sistem khilafah Islamiyyah yang bertunjangkan pemerintahan khulafa’ rasyidin yang empat itu. Saya rasa sedang membaca buku yang berat dan hebat sekali. Semestinya sistem khilafah jauh lebih hebat berbanding selainnya.

Kemudian, Kelantan pula masa itu ada krisis besar antara istana dan kerajaan yang memerintah yang berakhir dengan jatuhnya kerajaan BN pimpinan Tan Sri Mohamad Yaakob kepada kerajaan PAS pimpinan ayahanda dalam pilihan raya umum 1990.

Hujung jawaban yang saya mahukan ialah mungkinkah sultan atau raja boleh wujud jika PAS memerintah Malaysia? Malah, jika memerintah Kelantan, di mana istana dan sultan?

Itu soalan saya masa itu. Cukup jelas dan fitrah. Alam remaja yang bersih dan semulajadi dengan rasa ingin tahu dengan satu jawaban yang pasti tanpa belit – belit, putar – putar dan kabur yang dibayangi rasa takut dan berhati – hati.

Saya masa itu adalah seorang remaja muslim yang mahukan khilafah Islamiyah bertapak kembali di dunia dan di negara saya juga. Saya masa tu adalah seorang remaja yang menolak sistem pemerintahan demokrasi sekular untuk mengatur hidup umat Islam di Malaysia. Masa itu, saya penuh dengan idealisme seorang muslim yang lurus sekali.

Justeru, sistem raja berpelembagaan di negara saya ini sedikit mengganggu kelincahan aksi pemikiran saya masa itu menuju sistem khilafah yang unik itu. Bila dah kusut, saya jemba ayahanda dan bertanya, adakah raja boleh ada dalam Islam?

Ayahanda relaks menjawab, ” Kenapa tidak boleh? Sayyidina Muawiyah memulakannya di dalam Islam.” 

Mudahnya jawaban. Ia adalah pangkal jawaban yang mula memperkenalkan saya dengan ketuanan para sahabat RasuluLlah radiaLLahu anhum di dalam membina sunnah kehidupan umat Islam sepanjang zaman dalam semua hal. Itulah sahabat di sisi Ahlu as Sunnah wal Jamaah.

Sayyidina Muawiyah, dengan arahannya agar anaknya, Yazid ditabal bagi menggantikannya sebagai khalifah Islam telah menamatkan era sistem khilafah yang dikira terbaik dan menepati pengajaran Islam yang sebenar. Arahannya terpaksa diterima dan diakuri secara terdesak oleh umat Islam termasuk para sahabat yang masih ramai pada masa itu.

Tindakan beliau bukanlah keputusan terbaik, lalu menambahkan nilai sisitem khilafah terdahulu atau menyinarkan sejarah umat Islam selepasnya. Bahkan, ia telah memalapkan sejarah Islam yang unggul di zamannya dan khulafa’ rasyidin sebelumnya. Di zaman pemerintahan anaknya itu, fitnah peperangan sesama umat Islam gagal dikawal kecuali dengan kekerasan yang menumpahkan darah yang haram ditumpahkan.

Tetapi sistem beraja itu diterima pakai oleh umat Islam. Ia berlarutan dan berkembang di dalam sejarah pemerintahan Islam di seluruh dunia. Para ulama menerimanya dan tiada yang memberontak melawannya dengan tujuan membatalkan sistem beraja dan mengembalikannya kepada sistem asal  yang diamalkan oleh zaman sahabat yang pertama.

Raja digelar khalifah dan sistemnya digelar sistem khilafah juga. Umat Islam seluruh dunia disatukan di dalam satu pemerintahan khilafah. Apabila kesultanan Uthmaniyyah Turki jatuh di tangan bapa sekular, Kamal Ataturk yang menjadi sekutu kuat barat di awal abad 20, kita umat Islam  mengisytiharkannya sebagai berakhirnya riwayat panjang ‘khilafah Islamiyah’ dunia Islam.

Sayyidina Muawiyah adalah hujah, tetapi beliau bukanlah satu – satunya hujah. Sejumlah hadis yang banyak daripada Baginda sallaLlahu alaihi wasallam yang menceritakan perihal aspek politik umatnya selepasnya adalah menggambarkan dan menegaskan kewujudan pemerintahan yang tidak berteraskan sistem khilafah rasyidah yang pertama itu. Lahir pemerintah yang adil dan lahir juga pemeritah yang zalim.

Baginda menuntut ketaatan umatnya ke atas pemerintah yang dibai’ah walaupun mereka melakukan kezaliman selagi mereka tidak melakukan bentuk kekufuran yang nyata dan terang. Baginda melarang pemberontakan ke atas pemerintah yang zalim yang boleh mencetuskan pertumpahan darah sesama umat Islam. Adalah sukar digambarkan kezaliman yang berterusan dan disabari di dalam pemerintahan yang dipilih oleh syura.

Ini menegaskan kesahihan kewujudan pemerintahan yang tidak dipilih secara syura sebagai mana ianya menjadi amalan mesti di dalam sebuah sistem khilafah rasyidah.

Allah sendiri menceritakan perihal kerajaan Nabi Sulaiman yang agung yang menaiki takhta pemerintahan yang diwarisi daripada ayahandanya Nabi Daud alaihimas salam. Dia memuji kebesaran kerajaan Balqis yang akhirnya tunduk sujud kepada tuhan Sulaiman. Dia menganugerahkan Nabi Yusuf alaihissalam dengan kedudukan tinggi di dalam kerajaaan Mesir waktu itu.

Asas pemerintahan khilafah Islamiyah ialah adil. Adil bermaksud taat kepada Allah dan al Rasul. Adil bermaksud mengambil al Quran dan al Hadis sebagai pedoman teratas. Selagi ketaatan kepada Allah dan al Rasul berlaku, di situlah keadilan dan di situlah khilafah Islamiyah walaupun dipenuhi kecacatan.

Kemudian, keadilan itu dipelihara dan dijamin sedari awal melalui pemilihan ketua dan khalifah secara syura oleh sekumpulan ulama yang diterima keilmuan dan keadilannya oleh umat Islam. Kemudian, keadilan itu juga dipelihara dan dijamin melalui bai’ah dan ketaatan ke atas khalifah itu oleh seluruh umat Islam. Selagi sistem syura dan nasihat berlaku, disitulah khalifah dipelihara dan terkawal daripada kecacatan dan kezaliman.

Justeru, sistem pemerintahan beraja atau kesultanan bukanlah suatu yang asing di dalam Islam dan sistem khilafah yang dibangunkannya. Ia diterima dengan sedikit kegelisahan terhadap unsur – unsur kegelinciran daripada keadilan yang agak longgar dan mudah berlaku. 

Tetapi ia boleh menjadi teguh dan betul apabila pemerintahan itu menjadikan syura sebagai sistem terpakai di dalam pemerintahannya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah pelopor yang membenarkan betapa keadilan Islami boleh tertegak di dalam sistem beraja. Baginda mengamalkan syura sepenuhnya dengan memilih ahlinya yang terbaik. Sejarah kerajaan Islam seluruh dunia juga membuktikan keadilan dan kesaksamaan sebagai mana tuntutan ugama terlaksana denan jayanya.

Ada raja adil dan ada juga raja yang zalim. Yang adil ditaati dan yang zalim dinasihati. Pemberontakan adalah haram selama mana tiada pemberontakan terhadap Allah dan al Rasul.

Di Malaysia ada dua bentuk pemerintahan. Satu sistem raja yang diwarisi daripada sejarah Islam terdahulu dan satu lagi sistem kerajaan rakyat yang ditiru daripada sistem demokrasi sekular barat. Kedua – duanya disatukan melalui sistem raja berpelembagaan dan kerajaan berparlimen yang saling mengikat kekuasaan antara keduanya.

Raja adalah payung ugama. Ia menjaga kedaulatan al Quran dan al Hadis. Kerajaan rakyat pula adalah pelindung perlembagaan sekular negara. Perlembagaan negara pula menaungi kedaulatan al Quran dan al Hadis. Ini menjadikan kedua – duanya tiada kedaulatan yang hakiki, bahkan langsung tiada kedaulatan. Islam itu tertinggi dan tiada yang boleh lebih tinggi daripadanya.

Inilah sistem raja berpelembagaan.

Ustaz – ustaz UMNO sering menuntut ketaatan umat Islam ke atas pemerintahan BN. Menukar kerajaan BN yang diterasi UMNO adalah salah, derhaka, berontak dan batil. Betulkah?

Ada tiga jawaban mudah untuk dakwaan batil mereka itu:

Pertama, Adakah pemerintahan BN adalah khilafah yang ditaati? Jawabannya tidak. Sebab, perlembagaan sekular negara menaungi al Quran dan al Hadis. Ini bererti UMNO menolak ketaatan kepada Allah dan al Rasul. Ia mengenepikan kedua – duanya sedangkan itu adalah syarat utama sebuah khilafah yang ditaati. UMNO adalah payung sekular, bukan ugama.

Kedua, kerajaan rakyat yang dicedok daripada sistem demokrasi barat membenarkan pertukaran pemimpin dan pemerintahan melalui pilihan raya. Diangkat melalui pilihan raya dan diturunkan melalui pilihan raya. Mengapa pula hukum Islam dipakai untuk menjalankan sistem jahiliyah ini? Inikah Islamisasi? Inikah Hadhari?

Ustaz – ustaz UMNO ini, bukan setakat jahil, buat lawak bodoh pula.

Ketiga, adakah mereka menamakan penukaran pemimpin melalui pilihan raya sebagai pemberontakan yang terlarang itu? Jika begitu sebagaimana yang didakwa, ini menambahkan lagi kejahilan di dalam memahami hukum ugama.

Mereka harus faham bahawa pemberontakan bermaksud usaha menukar pemerintahan Islam secara keras menggunakan senjata yang mungkin mencetuskan pertumpahan darah. Sedikit pengenalan terhadap sistem pilihan raya sudah cukup menafikan dakwaan mereka.

Dalam pilihan raya negara kita, bukan kata darah, dakwat pun Tan Sri Rasyid takut nak sentuh…

Jika anda bertanya, jika UMNO menolak al Quran dan al Hadis, mengapa PAS tidak memberontak? Tidakkah UMNO bukan khilafah Islamiyah?

Saya jawab, ya. Pemerintahan UMNO bukan khilafah. Ia menolak al Quran dan al Hadis. Justeru UMNO menzalimi Allah, al Rasul dan seluruh umat Islam. Tetapi pemberontakan di dalam negara Islam hanya sah apabila pemerintah melakukan kekufuran yang nyata dan terang yang mungkin meruntun rakyat kepada kekufuran jua.

UMNO bukan jenis ini. Ia memperakui solat dan syahadah. Selagi ini, selagi itulah nasihat dan kesabaran.

Tidakkah PAS menegur, membantah, menasihat dan merawat? Tidakkah inilah dendangan ulama terdahulu terhadap pemerintah yang zalim?

Tidakkah PAS terus bersabar dengan penindasan, penipuan dan penghinaan? Tidakkah inilah hidangan ulama terdahulu daripada pemerintah yang zalim?

Bagaimana dengan raja kita?

Raja adalah payung ugama. Ia adalah institusi yang menjaga ugama Islam yang sudah diikat – ikat oleh perlembagaan sekular jagaan Pak Lah, Najib, Zaid, Ku Li, Masyitah dan lain – lain pahlawan UMNO.  

Ia institusi pemerintahan yang lebih mulia dan lebih dekat dengan Islam berbanding UMNO. Ia menjadi harapan kekal umat Islam untuk mempertahankan Islam dan keadilan dari dulu sehingga kini.

Kesultanan Melayu Islam adalah paling berjasa kepada umat Melayu sepanjang sejarahnya.

Tidakkah Melayu sebelum Islam adalah Hindu dan tanpa petunjuk? Tidakkah Melayu menjadi Muslim setelah rajanya memeluk Islam? Tidakkah Islam memasuki Tanah Melayu dan jiwa raga Melayu tanpa peperangan? Tidakkah raja Melayulah yang memastikan Islam bertapak di Tanah Melayu tanpa pertumpahan darah?

Inilah jasa kekal kesultanan Melayu. Jika kita ingat, kita pasti mensyukuri kesultanan Melayu. Jika sultan ingat, sultan pasti terus mendaulatkan Islam.   

Tinggalkan UMNO. UMNO tidak ada jasa untuk Islam. Jika ada saham, saham mereka hanya untuk MELAYU.

Kesultanan bukanlah sistem terbaik dan pilihan dalam Islam. Tetapi ia jauh lebih baik daripada sistem sekular yang menolak Islam. Kesultanan terdedah kepada keadilan dan kezaliman. Jika PAS diberi kuasa, sistem beraja pasti hidup dengan jaminan keadilan yang lebih baik.

Di sana Melayu bolehlah lena di Kelantan mahupun di Pulau Pinang. Islam menjaga mereka.

   

  

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

April 2008
I S R K J S A
« Mac   Mei »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 154 other followers