You are currently browsing the monthly archive for Mei 2008.

Salam Kamunting,

Kali pertama saya menjabat tangan saudara Ezam Mohd Nor adalah di Kem Kamunting. Seusai saya melangkah keluar dari bilik khas tempat saya menziarahi kekanda saya, Ustaz Nik Adli di kem neraka ciptaan UMNO itu, saya terserempak dengan satu wajah yang begitu mudah dicam melalui perkenalan saya lewat akhbar dan majalah.

Beliau bersama seorang lagi tahanan yang saya agak keliru juga pada mulanya. Seorang lelaki dengan rambut yang mengurai panjang macam jenis sosialis macam Hisyamudin Rais, tapi rapi dengan wajah tampak begitu bersih dan tenang macam islamis macam budak ‘usrah’.  Sebaik mengecapi suasana gembira pertemuan singkat luar jangka itu, saya mengambil masa beberapa minit di luar kem untuk mengingati bahawa lelaki itu adalah YB Tuan Haji Saari Sungib, tokoh hebat yang hentian akhir perjalanan dakwahnya adalah sebagai aktivis PAS yang cukup unik dan multazim.  

Saya bayangkan itu adalah kemuncak ‘pencarian’ beliau dan saya meyakini pilihannya itu adalah tepat dan berpetunjuk. Saya suka untuk bersama – sama menumpang orang – orang hebat sepertinya.

Adapun saudara Ezam, perjalanannya tampak belum berhenti. Dari sirah dan umur perjuangannya sekitar 10 tahun ini, beliau telah memilih untuk balik asal. Kini beliau kembali kepada UMNO.

Samada Tuan Haji Saari Sungib tak sempat khatamkan untuknya siri buku ‘Risalah Usrah’nya itu di kem neraka tersebut, ataupun memang saudara Ezam tak dapat mengukur ketinggian nilai persahabatannya dengan abangnya itu, kedua – duanya bagi saya adalah betul belaka.

Saya tak kenal Ezam. Saya mengenali dan mengaguminya daripada jauh. Kiranya, saya kurang layak untuk menulis mengenainya hari ini. Saya pendekkan, moga saya tidak tersasar pula selepas dia yang telah pun tersasar.

Yang terakhir saya diberitakan pasal Ezam adalah selepas pilihan raya umum ke 12 baru – baru ini. Saya rasa ia tepat dengan tindakan Ezam hari ini. Dulu, Ezam melakukan sesuatu yang terpuji pada anggapan pencinta keadilan dan pembenci kezaliman. Hari ini, ketika beliau sudah diangap berpaling tadah, saya masih mengharapkan tiada apa yang runtuh daripada amal baiknya dulu.

Tetapi itu hanya Allah yang maha tahu. Maka saya menyendiri dan kaku sekali untuk menempelak dan mencercnya. Moga rahmat Allah terus mengekori pergerakan Ezam dalam UMNO. Dia budak baik, bagi saya.

Ezam, walaupun memberitahu bahawa sebab beliau kembali kepada UMNO adalah kerana inisiatif ‘islah’ Pak Lah membaiki negara yang nampak betul -betul dan tak berlakon lagi, tetapi saya fikir itu bukanlah sebab utamanya. Ya, ia sebab tapi ia bukan sebab utama. 

Saya gagal membayangkan betapa orang yang bersungguh – sungguh menggerakkan GERAK memerangi rasuah yang menjadi musuh utama negara itu begitu mudah menerima pembaikian dan reformasi yang Pak Lah lakukan selepas pilihan raya baru – baru ini. Ia hanyalah pengumuman pembentukan yang belum pun dilihat hasil dan sudahnya. Ezam sudah masak untuk cukup memahami apa itu janji – janji UMNO.

Bagaimana dibayangkan keberanian Ezam merempuh segala caci maki, kata nista, celaan dan cercaan pemuji dan pemujanya dahulu  yang menghujaninya sepanjang penyeberangannya kembali kepada UMNO itu adalah semata – mata kerana kata janji Pak Lah yang tak terbukti pun lagi itu? Sukar saya membayangkan logik tindakan Ezam itu.

Kerana itu saya hanya merasa tenang dengan sebab yang lain daripada apa yang Ezam isytiharkan.

Beberapa ketika selepas pilihan raya, Ezam diberitakan membayangkan betapa Malaysia tidak mungkin sama sekali berPMkan Dato Seri Anuar Ibrahim. Itu kerana senario politik selepas pilihan raya baru – baru ini seperti membenarkan telahan yang sukar itu mungkin bakal menjadi kenyataan. Ezam tidak dapat menerima hakikat ini.

Adalah jelas Ezam telah bertindak keluar daripada parti Keadilan atas sebab tidak berpuas hati dan tidak lagi mempercayai kepimpinan Dato Seri Anuar Ibrahim. Dan kepada orang – orang tertentu, Ezam seperti ‘membongkar’ apa yang baginya dia tahu dan orang lain tak tahu mengenai Anuar. Kenyataan umum Ezam, Dato Seri adalah hipokrit.

Justeru beliau tidak segan untuk menyatakan betapa beliau menyesal tak sudah – sudah berjuang mempertahankan ‘hak’ bekas pemimpin idolanya itu. Ia tak tertebus sehinggalah beliau kena kembali berpatah arang menentang idolanya itu.

Ezam masuk UMNO kerana mahu menghalang Dato Seri Anuar Ibrahim kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas Pak Lah.

Inilah sebab utama. Justeru Pak Lah yang leceh sangat janjinya itu menjadi lebih baik di sisi Ezam berbanding Dato Seri Anuar Ibrahim.

Ini ketenangan yang saya rasai, mengapa Ezam melakukan apa yang disifatkan sebagai ‘terjunan maut’ terhadap karier politiknya oleh kebanyakan pengamat politik hari ini. Tidakkah  UMNO hari ini bagai bumi dilanda gempa? Siapa masuk, maut menanti. Kerana itu, Tun Mahathir yang selalu cerdik itu keluar dari bumi UMNO dengan lompatan bergalah.

Betulkah Ezam, saya tinggalkan perbahasan untuk andalah. Tak salah anda membahaskan.

Berjayakah Ezam, kita nantilah. Tak salah kita menanti.    

Bagaimana jika menang dan bagaimana jika kalah, anda ulaslah sendiri. Tak salah saya malas nak ulas.

Biarlah apa pandangan anda, saya tetap kata Ezam budak bagus dan budak baik. Budak baik tak semestinya betul tindakannya selalu, apatah kalau baik jenis betul bendul. Tapi Ezam bukan jenis ini. Jenis betul bendul tak mungkin diberi kepercayaan memimpin, apatah dalam dunia politik yang penuh mangsa dan pemangsa. Ezam adalah pemimpin yang ada karisma. Dulu. 

Saya tinggalkan anda di sini. Cuma, pakailah yang terakhir ini.

Berjuanglah untuk Islam. Anda akan beroleh petunjuk yang betul. Berjuanglah untuk akhirat. Anda akan diberi kehidupan yang benar dan abadi. Berjuanglah di belakang RasuluLlah, anda akan menikmati perjuangan anda selama – lamanya.

Ezam telah berjuang habis – habisan untuk Dato Seri Anuar Ibrahim. Dia cuba menikmati perjuangannya itu. Dia gagal. Dato Seri tak pun membela dan menyayanginya. Lama dia merana. Hari ini, Ezam cuba keluar daripada dukanya.

Semua tahu dia keluar dengan memilih jalan salah. Samada DSAI itu betul atau salah, Ezam telah pun salah. Beliau tersadung lagi.

Mengapa?

Allah berfirman, ” Dan orang – orang yang berjuang di jalan Kami, pasti kami tunjukkan mereka jalan – jalan Kami.”

Banyak – banyak jalan tuhan, UMNO ‘confirm’ jalan thaghut.

Bila Ezam pilih UMNO, Ezam budak baik yang tersesat lagi. Ezam kena patah balik. Seribu kali patah balik ke jalan Allah lebih baik daripada istiqamah terus di jalan UMNO. Semoga Allah mengekori Ezam dengan rahmatNya yang luas. Semoga PAS sentiasa memimpin kepada politik Islam yang bersih dan tulus.

 

 

Salam Kamunting,

Saya belum menulis pasal Syiah apa – apa pun. Hanya sekali saya sentuh, iaitu ketika perang Lubnan – Israel yang terakhir dulu. Saya sebut, usah hiraukan Sunni – Syiah. Mereka adalah tentera tauhid seperti kita tengah menentang sebesar – besar tentera kufur di muka bumi. Saya sebut apa yang disebut oleh Al Qaradhawi masa mengulas isu perang tersebut.

Seawal saya menulis di blog, saya terus diminta menulis mengenai Syiah dalam PAS. Saya katakan, nantilah. Saya tak minat dan saya tak suka campur perihal yang panas – panas, sedang ianya tidaklah sebesar tujuan dan matlamat saya menulis di blog ini. Blog saya adalah untuk PAS dan dakwahnya, selain untuk membaham Islam Hadhari sehingga sesatnya itu tidak lagi difahami secara sesat oleh umat Melayu di negara kita sehingga kedua – duanya jadi sesat. 

AlhamduliLlah, saya fikir saya telah menyumbang sesuatu di blog ini. Saya memiliki peminat yang menjadikan blog saya sebagai bacaan tetapnya ketika berlayar di internet. Ada 10 orang pun cukup, inikan lebih berganda – ganda daripada itu.

Hari ini saya akan sentuh mengenai Syiah. Sentuhan, bukan tamparan. Bukan tamparan, tetapi sentuhan yang mengubati seperti si ibu mengusai rambut si anak yang kepanasan demam, atau sentuhan yang meredakan seperti pak imam lebai mengusap kepala si budak yatim yang kematian sandaran hidupnya.

Saya jadi semacam bila mendengar cerita sekumpulan peminat ( penganut mungkin? ) mazhab Syiah menggunakan nama PAS untuk mengadakan program yang turut mempromosi Syiah dan ajarannya di Kota Bharu baru – baru ini. Kemudian saya lihat ianya diulas pendek oleh timbalan bos saya, Ustaz Nasrudin Tantawi di dalam blognya yang turut meminta saya jangan tak ambil tahu. Ambil tahu dan bertindak.

Saya fikir sebelum saya bertindak, saya tulis dulu. Itu tanda ambil tahu dan tanda akan bertindak, insya Allah.

Syiah cerita lama. Selama cerita Ahlis Sunnah wal Jamaah lebih kurang. Tetapi di Malaysia, ia cerita baru. Ia tak datang ketika mazhab Ahlus Sunnah datang ke Tanah Melayu bersama penyebaran dakwah Islamiyah pada hari pertamanya dulu.

Maka di sisi masyarakat Melayu, ia tiada kesohoran langsung sehinggalah ianya menjadi tersohor mendadak – dadak dan begitu tiba – tiba sekali sebaik selepas revolusi Khomeini di Iran. Macam mudahnya Islam masuk Tanah Melayu dulu, nampaknya mudah juga mazhab Syiah bertapak di Malaysia. Bezanya, ia meresap mudah kepada segelintir umat Melayu, bukan semuanya.

Cumanya tak mudah sangatlah kali ini. Melayukan bangsa jenis mudah – mudah. Mudah berkira macam cerita Pulau Batu Putih. Kalah pun, kira win winlah. Mudah terima macam WPI. Tergadai tanah pun, terima sajalah demi pembangunan. Mudah lupa macam macam – macam dah yang Melayu telah lupa daripada sengsara dek kerakusan ahli politik mereka. Mudah memaaf dan mudah mengangguk. Paling jelas, mudah meniru. Jadi, apa pelik jika Syiah menjadi tersohor dengan begitu tiba – tiba.

Cumanya, kali ini nampaknya taklah mudah sangat. Syiah hanya meresap dan diterima segelintir yang sedikit sekali. Tetapi saya tak kata ia tak bahaya. Syiah bahaya sekali. Ia merosak dan memunahkan akidah suci yang dibawa oleh nabi kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam untuk umatnya yang sederhana dan sempurna.

Justeru ia jadi sukar untuk masuk ke Malaysia. Sebab ia melibatkan akidah yang telah difahami lebih awal oleh para ulama dan tok – tok guru di negara kita. Ia sejarah lama. Maka bukan payah untuk mengenali Syiah dan ajarannya. Berlambak di dalam kitab – kitab turath yang lama – lama.

Ia tidak seperti fahaman – fahaman baru seperti sekularisme dan nasionalisme yang memang tidak dibincang panjang – panjang, malah kadang – kadang tak tersebut pun dalam kitab – kitab dahulu kala yang beratus – ratus tahun dulu. Maka ia mudah diterima masyarakat Melayu walaupun akidahnya, apa bezanya dengan Syiah. Sama – sama sesat dan salah. Semuanya jenis Ayah Pin juga.

Syiah payah masuk dan diterima sebab pertahanan telah lama dibina kitab – kitab dan para ulama. Sekularisme mudah masuk dan diterima sebab pertahanan baru dibina oleh kitab – kitab dan para ulama kita. Maka di negara kita, sesat kerana fahaman sekularisme jauh mendahului sesat kerana Syiah dan ajarannya.

Lebih malang, sesetengah yang melawan Syiah di negara kita hari ini mendukung sekularisme pula atau bersekongkol dengannya pula. Sunnah lawan Syiah tu ya. Sunnah lawan sekularisme pun ya. Sekularis lawan Syi’ie buat apa? Sesat lawan sesat bukan bawa hasil hidayah apa – apa pun. 

Syiah menyalahi ajaran Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam perkara – perkara besar yang menyentuh akidah. Ia dimasukkan dalam kelompok ajaran – ajaran sesat yang pernah tumbuh melata dalam sejarah kehidupan umat Islam sepanjang zaman. Kebanyakan ajaran – ajaran sesat ini ghaib ditelan zaman. Setiap masa adalah Allah mengutuskan daripada kalangan hambanya yang beriman para ulama yang bermati -matian menentang kesesatan dan penyelewengan dalam beragama.

Islam agama suci. Ia dijaga tuhannya untuk manusia akhir zaman agar mereka tidak keliru untuk memperolehi hidayat dan petunjuk. Umat ini penuh pancaroba ujian hidupnya di akhir zaman. Justeru ia memerlukan cahaya yang terang bersuluh untuk memudahkannya menggapai petunjuk dalam kegelapan. Maka cahaya itu dijaga sebaiknya. Itulah Islam yang dijanji kesuciannya oleh Allah, tuhan Maha Penyayang.

Justeru apabila lahir ajaran – ajaran yang menyesatkan daripada kalangan umat sendiri, ia segera dilenyapkan. Itulah yang berlaku dalam sejarah. Ada yang datang sekejap dan ada yang lebih lama. Hari ini sekejapnya macam ajaran Ayah Pin. Lama sedikit macam ajaran al Arqam. Lama lagi macam ajaran sekularisme yang dipimpin Pak Lah hari ini. Adakah sekularisme takkan hilang? Tidak, ia akan hilang dilipatan sejarah yang menunggu. Tak sekular tak hilang di dunia. Saudaranya, komunisme dah pun luluh hancur.

Dalam banyak – banyak itu, ajaran Syiah boleh kira paling lama. Ia cukup liat dan sukar dilenyapkan. Ia menjadi nanah yang agak lama untuk disembuhkan daripada umat ini. Macam penyakit dalam tubuh, walau ada ubat, tetapi tak semuanya cepat dan sempat disebutkan, malah kadang – kadang membawa maut.

Mengapa Syiah sukar lenyap? Malah, tapaknya tampak kukuh kembali hari ini?

Jawabnya, kerana ia bersandar pada sandaran yang kukuh sekali dan tumbuh di semaian yang subur sekali.

Sandarannya cinta Ahlul Bait. Cinta ahli keluarga RasuliLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Tapak semaiannya adalah sejarah dan peristiwa penganiayaan terhadap mereka yang begitu menyayatkan hati setiap muslim. Ia tumbuh demi cinta dan pembelaan terhadap keluarga Rasulullah.

Apa anda tahu tentang cinta? Anda tahukan. Cinta itu buta dan cinta itu gila. Cinta itu suci dan cinta itu air mata. Cinta membakar keapian dan cinta menyiram salju kesyahduan.

Samada cinta itu suci atau terlarang, anda ternganga mendengarnya. Hati anda terbakar sekali atau hati anda jadi basah kesyahduan. Tak kiralah cinta nabi Allah Yaakob atau cinta Zulaikha pada nabi Allah Yusuf alaihimassalam. Kedua – dua kisahnya adalah epik kehidupan.

Begitulah Syiah. Daripada rasa cinta dan dendam mereka membina diri dan membakar kesucian. Ia buta dalam cinta. Dalam syiah ada cinta bertompok, kecewa melata, dendam kesumat, benci membara dan tuduh – menuduh. Semua terbakar menjadi akidah yang sia – sia.  

Mazhab berdasarkan sentimen dan perasaan. pemujaan dan pentaqdisan. Mazhab yang pernah kerananya  dulu pernah menjadikannya satu agama seperti Yahudi dan Nasrani. Tidakkah mereka mentaqdiskan Isa dan Musa juga selain keluarga mereka.

Begitulah bayangan ajaran Syiah. Ayat – ayat cinta terlarang, lalu bersujud mereka pada sejadah yang cemar dan jelek.  

Mereka berkembang dalam sejarah menjejerkan rasa dan perasaan ini. Maka ia diterima demi cinta yang didakwa suci dan benar.

Iman boleh kerana sentimen, tetapi ia punah nantinya jika tiada ilmu yang benar dan hakiki.

Di negara kita, anda lihat bagaimana ia masuk. Tidakkah ia bermula dengan hangat revolusi, tetapi kini ia kembali kepada asalnya demi gendang dan paluan yang lebih kuat dan bergelombang. Ia kembali kepada nama – nama Ali, Fatimah, Hasan dan Husain serta nama – nama daripada sebuah keluarga paling suci dalam kehidupan manusia. Pastinya ia menggamit rasa penuh perasaan.

Ia pun tumbuh di negara kita. Hari ini ia adalah mazhab kecil. Mazhab sesat yang kerdil tetapi ia telah bertapak dan apabila ia bertapak ia akan jadi barah yang sukar diubati dan dihilangkan. Rasa cinta dan dendam menarik dengan kuat dan kejap sekali.

Ketika kita kuat, ia tak terhalang. Ketika kita lemah hari ini, bagaimana mudah untuk kita menghalangnya? 

 

Salam Kamunting,

Jarum jam dinding di depan saya menunjukkan waktu pukul 2.10 pagi. Saya ambil keputusan menulis di blog ini selepas mata saya semacam terkena penangan kopi radix HPA yang sungguh terkenal itu. Walau saya diulik isteri sekalipun, saya fikir tidak mudah terulik dan lena. Mata saya nyata lebih segar daripada tubuh sendiri.

Kopi ‘radix’, selepas kopi ‘tok guru’ adalah minuman kegemaran saya sebelah petang. Minuman kegemaran saya sejak kecil adalah tea ‘o’ panas. Sebelah pagi mesti milo panas. Isteri saya kata, dia terpaksa berlatih dan try an error bertahun – tahun untuk mahir membuat tea ‘o’ dan milo panas, kena dengan selera lidah dan mulut saya. Bila kopi segera ( 2 dalam 1 sampai 10 dalam 1) diperkenalkan, dia hanya perlukan sehari sahaja untuk mahir selera saya. Apa taknya, pastikan air panas secawan cukup, selera saya segera datang.

Masa kecil, walaupun kopi itu sedap, tetapi rumah ( ayah ) saya tak buat kopi. Saya lekat kegemaran ayahanda saya, tea ‘o’. Bila selera tiada, tea ‘o’ akan membukanya. Tea ‘o’ nampak mudah, tapi payah untuk ummp dengan selera saya. Akhirnya, tiada yang menjiwai selera saya selain isteri tersayang.

Isteriku, walau ku miliki empat isteri, kaulah di tempat pertama di hatiku..    ( Jawab isteriku, itulah bahasa standard  lelaki sejak beribu tahun.. he he )

Apapun saya kini berusaha untuk banyak minum air mineral. Saya terpaksa percaya, air mineral adalah terbaik untuk kesihatan diri.

Tadi saya balik lewat, jam 1 pagi lebih. Saya baru habis menghadiri mesyuarat agung Dewan Pemuda PAS kawasan Pengkalan Chepa kali ke 30 yang bermula selepas solat maghrib tadi. Saya tak tahu ada PAS kawasan lain bermesyuarat agung pada sebelah malam kecuali DPPPC sahaja. Itu amalan kami semenjak beberapa tahun lepas. Kami bertuah sebab dewan tempat kami bermesyuarat agak selesa, bahkan mungkin paling selesa bagi para pendukung PAS di Malaysia.

PUTIK ( Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan ) terletak di Pengkalan Chepa, betul – betul di depan padang Lapangan terbang Sultan Ismail Petra. Orang kata, Datuk Seri Anuar Musa dan anak buahnya akan segera berpaling ke kiri atau ke kanan setiap kali kapal terbang MAS dan Air Asia mendarat demi mengelak pantulan cahala bulan yang memancar cantik dari dinding bangunan PUTIK yang ditekatkan dengan lakaran bulatan hijau putih yang besar dan dicahayai lampu di tengah malam.

Bulan besar itu adalah ucapan salam dan selamat datang rakyat Kelantan ke negeri bertuah Serambi Mekah ini kepada seluruh pelancong luar yang memasuki Kelantan melalui jalan udara ini. Hanya yang berotak biru sahaja yang berat hati menyambut salam PUTIK. Mat saleh bertopi biru nampak senyum saja.

Lokasi PUTIK tampak agak kena untuk tujuan promosi ( termasuk membunuh ego UMNO ). Tetapi ia agak jauh ke utara Kelantan dan ke hujung pesisir pantai Sabak ( tempat tentera Jepun mula mendarat di Tanah Melayu era penaklukannya dulu ). Justeru dewan besar PUTIK yang merupakan dewan besar tercantik dan tercanggih yang pernah dibina oleh PAS jarang digunakan.

Yang acap menggunakannya kamilah. PUTIK seperti jadi milik kami pemuda PAS Pengkalan Chepa. Dewan besarnya kami gunakan untuk program – program besar kami sperti mesyuarat agung, seminar peperiksaan, motivasi dan lain – lain. Masjidnya biasa kami gunakan untuk mengadakan usrah pemuda kawasan dan perjumpaan dengan pemuda – pemuda PAS cawangan. Padang hijaunya yang tak berapa besar itulah tempat riadhah saya dan rakan – rakan di sebelah petang. Kadang – kadang kami membarbeku di sini juga.

Jadi, kami selesa menggunakannya samada di sebelah malam atau siang. Jadilah mesyuarat agung Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa yang saya adalah ketuanya diadakan di sebelah malam tanpa apa – apa yang tidak selesa. Kami boleh menamatkannya lebih awal atau memanjangkanya hingga ke larut malam. Permit Pak Lah tidak kami perlukan kerana ini rumah kediaman kami.

Dua yang tak patut Pak Lah kacau; Kediaman dan blog. Dua yang patut Pak Lah kacau; Khairi dan Najib. Kacau, jangan tidur.

Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa adalah kecintaan saya. Saya mengetuainya selepas 4 tahun saya pulang daripada pengajian di luar negara. Umur saya waktu itu 31 tahun. Sekarang sudah 7 tahun berlalu. Di medan inilah saya belajar mengenal kehidupan dan perjuangannya. Kawan – kawan saya ramai sekali di sini. Saya menikmati sokongan padu mereka. Ketika senang kami saling menikmatinya dan ketika susah merekalah pembantu saya.

Pernah seorang sahabat baik luar kawasan mengingatkan saya dengan kerenah politiking dalaman parti yang mungkin memangsakan saya. Saya spontan menjawab, jika saya jatuh di sana, saya tidak akan jatuh di sini. Itulah tahap keyakinan saya dengan apa yang telah saya semai di tanah yang saya adalah tuannya.

Saya usahakan sedaya upaya apa yang saya pelajari mengenai dakwah dan fiqhnya di sini. Dakwah adalah cinta, kata murabbi saya, Ustaz Yahya Othman yang mengulangi apa yang telah disebut oleh para ulama dan murabbi di medan dakwah. Ukhuwwah atau persaudaraan Islam adalah kekuatan yang meyakinkan. Anda tidak akan tumbang selagi anda bersandar kepadanya.

Pedang adalah kekuatan. Tetapi pedang akan longlai dan terlucut kecuali di tangan pemilik akidah yang sahih dan ukhuwwah yang hangat.

Saya lakukan di DPPPC apa yang bagi saya boleh mengikat dan memperteguhkan ikatan persaudaraan sesama kami. Kami berkenalan, berborak, berjamu, berbelanja, berlarut malam, beriadhah bersama, berbaik dan bertengkar bersama – sama. Kami cari duit dan kami membelanjakannya beramai – ramai. Kami berusrah dan berqiamul lail bersama – sama.

Kemudian, di sinilah saya praktikkan amalan syura. Setiap kami tiada yang malu memberi pandangan walaupun mereka malu untuk berucap. kami pernah berbalah hampr sejam memilih kuih terbaik untuk jamuan program besar kami. Hasilnya, kuih pilihan kami dipuji habis sedapnya!

Saya memilih untuk tidak memilih hak sebagai ketua kecuali sedikit. Setiap Dewan ada jawatan kuasa hariannya yang lebih kecil dan ekslusif. Di DPPPC, saya menidurkannya ( ganti mematikannya ). Setiap urusan saya akan selesaikannya dengan memanggil mesyuarat penuh. Kami bukan berjauhan pun. Dari hujung ke hujung kawasan adalah sekitar setengah jam perjalanan kereta. Dekat dan mudah sahaja untuk bertemu.

Hasilnya lumayan. Kami saling rindu untuk sentiasa bertemu , berbincang dan berprogram. Hasilnya hebat, duit tabungan kami semakin hari semakin meningkat. Saya lantik daripada yang tidak terpilih dalam mesyuarat agung sahabat yang pandai cari duit, wang dan harta apa – apa saja.

Jika anda mahu sesuatu, mahirinya atau berkawan saja dengan yang memahirinya. Anda pasti dapat.

Jadi, DPPPC penuh dengan kemahiran yang saya tiada memilikinya tetapi saya memliki hasilnya. Daripada yang pandai ‘membakar’ sehinggalah yang pandai ‘menggoreng’ dan ‘menyira’. Kalau dah tak boleh jadi nasi, bisa sahaja kami tukarkannya kepada bubur yang sedap sekali.

DPPPC ada kaki ceramah, kaki lawan, kaki kritik, kaki bola, kaki masak, kaki PASTI dan kaki projek.

Saya tidak fikir DPPPC ada loyar buruk atau lidah bercabang atau batu api atau kaki pukul.

Inilah DPPPC yang saya ketuainya sejak 7 tahun lepas. Saya mencintainya kerana saya tenang bersahabat dan berjuang di sini. Saya mencintainya kerana kami saling mencintai sesama kami dan perjuangan ini. Semuanya kami mengharapkan keredhaanNya bahawa kami telah melakukan yang termampu untuk menjadikan PAS betul – betul bagus dan baik untuk menjadi sebuah gerakan Islam yang unggul untuk masa depan umat Islam di Malaysia.

Mesyuarat Agung DPPPC kali ke 30 yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berhormat Che Abdullah bin Mat Nawi, exco kerajaan Negeri Kelantan dan ADUN Wakaf Baharu tadi telah berlalu dengan suasana yang agak tenang dan penuh ceria. Kami baru lepas berpenat lelah berjuang di dalam pilihan raya umum ke 12 baru – baru ini yang menyaksikan kemenangan besar gerakan Islam dan pembangkang.

Kami menikmati sokongan padu anak – anak muda yang telah mengundi dan melakar majoriti besar untuk Islam di Pengkalan Chepa khususnya. Purata undi saluran muda di seluruh UPU Parlimen Pengkalan Chepa adalah 69.7%. UPU Semut Api di DUN Kijang mengungguli carta dengan 82% anak muda telah mengundi PAS.

Ketika BN berslogan ‘cukuplah 18 tahun pemerintahan PAS’, mereka menterjemahkannya dengan hanya 18 orang undi muda untuk UMNO daripada setiap 100 orang.

Syabas, tahniah dan terima kasih anak muda Pengkalan Chepa! Anda melakar majoriti besar untuk Islam.

Terima kasih juga buat sahabat – sahabat AJK, unit amal dan semua yang telah berpenat lelah menjayakan mesyuarat agung DPPPC kali ini. Semoga Allah melengkapkan keseronokan ini dengan petunjukNya yang terang benderang menerangi kegelapan duniawi. 

Sentiasalah jenguk – jenguk ke blog DPPPC.

( Saya teruskan ringkasan buku bacaan saya ini selepas terhenti seketika disebabkan kesibukan menghadapi pilihan raya umum baru –  baru ini. Semoga ia menjadi ilmu yang segar untuk dihayati pembaca di blog ini.  )

Bab Kedua

Hubungan antara agama dan politik di sisi ulama Islam dan golngan sekular

Apabila kita telah pun memahami maksud ad din dan as siasah sebagaimana di atas, maka bolehlah kita memahami hubungan antara kedua -duanya.

Adakah kedua – duanya saling bertentangan sehingga tak boleh bersama, atau saling berkaitan sehingga tak mungkin dipisahkan antara kedua – duanya, atau lebih merupakan hubungan persefahaman dan persepakatan sebagaimana berpakatnya dua individu yang berbeza fahaman untuk saling hidup bersama?   

Pandangan golongan sekular

Golongan ini tidak melihat selain pertentangan dan pemisahan. Agama satu perkara, manakala politik adalah musuhnya. Sumber, tabiat dan tujuan saling berbeza. Agama itu daripada Allah, manakala politik adalah daripada manusia. Agama adalah suci manakala politik adalah kotor. Maka sayugialah ugama dibiarkan untuk ahlinya manakala politik untuk ahlinya jua.

Mereka menolak pemikiran kesyumulan dan kesempurnaan Islam. Mereka mahu akidah tanpa syariat, ibadat tanpa muamalat, dakwah tanpa daulah dan kebenaran tanpa hak.

Mereka ini akhirnya telah membentuk kesan pemikiran dan tindakan bahkan terus menjadikannya tumpuan mereka, antaranya:

1) Mengingkari fikrah kesyumulan Islam.

2) memisahkan ugama daripada politik dan begitulah sebaliknya.

3) Mencerca para pendakwah kepada pelaksanaan syariah Islamiyyah dengan tohmahan dan gelaran ‘Islam politik’.

4) Mendakwa ugama mengikat politik dengan teks nas – nas yang tidak selari dengan maslahat dan kepentingan umat. Justeru umat akan hilang kebaikan yang banyak.

5) Menumpukankan perbahasan mengenai politik antara kejumudan dan kemajuan.

Kita akan membincanginya pada fasal seterusnya, insya Allah.

 

Salam Kamunting,

Saya acap kali dijemput menghadiri program pelajar, terutama pelajar universiti tanah air kita. Ada kalanya kehadiran mereka ramai juga, ada kalanya terlalu sedikit sehingga tak perlu pun saya yang bersuara rendah ini bergantung pada mikrofon untuk bersyarah. 

Ada juga, anak – anak muda yang ‘direman’ bertahun – tahun di dalam akta AUKU ini datang secara berkumpulan ke Pulau Melaka untuk menziarahi ayahanda Tuan Guru, lalu berborak panjang dengan saya di masjid Pulau Melaka, jika ayahanda tiada di rumah.

Saya sebagai abang mereka suka juga meluang masa untuk berkenalan dan bersoal jawab dengan  mereka. Ini mungkin kerana saya juga, di masa zaman remaja saya, amat suka jika abang – abang senior yang bergelar pemimpin muda masa itu meluang masa mereka untuk kami  sebagai adik – adik mereka. Kami merasa cukup diraikan.

Paling saya tak lupa ialah kunjungan saya ke kampung Rusila untuk menziarahi Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang. Saya masa itu dalam umur 20 tahun balik bercuti dari India, tempat saya belajar. Saya menunggu sehingga solat Asar sehinggalah beliau melihat saya di bucu kanan saf depan. Senyumannya membangkitkan saya daripada rasa teragak – agak untuk mendekatinya. Saya mendekatinya, bersalam dan memperkenalkan diri.

Saya perasan daripada senyum dan sapanya seolah – olah beliau telah pun mengenali saya, sedang saya belum pun pernah bersalam, apatah bercakap dengannya sebelum ini. Saya sedari kecil adalah seorang pemalu. Saya jadi takut dan teragak – agak dengan semua orang – orang tua, apatah para pemimpin yang saya hormati.

Dato Seri adalah sahabat ayahanda. Semua orang tua yang menjadi sahabat ayahanda akan saya hormati selama – lamaanya, insya Allah. Tak kiralah dia ulama macam Dato Seri, atau orang biasa – biasa macam Razak abas (Abe Jak) yang cerita dan isu mengenainya  boleh didengar dalam pelbagai versi.

Senyuman dan ramah Tuan Guru menenangkan kekagetan saya. Saya dipelawa naik ke rumah beliau. Lama juga beliau berada di dalam sehinggalah beliau keluar dengan hidangan nasi pelbagai lauk yang menyelerakan. Beliau mempelawa saya dan kawan saya, Ustaz Mohamad Zahiruddin Mohd Zain untuk makan. Beliau dah makan, katanya.

Saya masih ingat betapa terujanya saya dijamu Tuan Guru. Saya terasa terlalu kerdil, malu dan bersalah untuk dilayan sebegitu. Saya makan seperti bersantap di hadapan raja. Rasanya tak pernah saya alami perasaan itu kecuali semasa saya makan santapan pengantin baru di hadapan mertua saya pada hari perkahwinan saya beberapa tahun kemudian. Tekak saya jadi sempit tiba – tiba. Antara nak telan nasi atau nak telan isteri, mana tahu tertelan mertua!

Saya menziarahi Tuan Guru dengan membawa pelbagai soalan sekitar gerakan Islam terutama kaitannya dengan gerakan pelajar. Selalunya saya biasa mendapat penjelasan mengenainya daripada guru saya yang juga sahabat karib ayahanda Tuan Guru, Ustaz Haji Yahya Othman. Beliaulah mursyid saya dan hampir keseluruhan anak – anak gerakan Islam di Kelantan masa itu.

Daripada beliaulah, saya  banyak mengenali kekananan Tuan Guru Dato Seri dalam perjuangan gerakan Islam di Malaysia.

Rupa – rupanya, persoalan saya hari itu adalah persoalan sama yang ditanya kepada saya sebagai senior oleh adik – adik di universiti yang terlibat di dalam gerakan Islam hari ini.

Ia adalah persoalan kesatuan dan perpecahan yang melanda umat Islam hari ini, termasuklah perpecahan yang melanda gerakan Islam yang diharapkan perpaduan berputik daripada mereka.

Paling atas ialah persoalan ta’addud jamaah atau berbilang – bilang jamaah.

Jika begitu, saya mengandaikan persoalan ini akan terus memanjang polemiknya ke masa depan yang tidak diketahui hujungnya sehinggalah Allah menyatukan kembali umat kesayanganNya ini. 

Saya yakin di sebalik kepayahan dan kesukaran untuk menemui jawaban terbaik untuk penyatuan umat Islam hari ini, kesatuan umat umat akan segera dicapai. Janji – janji Allah kepada umat Islam adalah jelas bahawa Allah akan memberi kemenangan Islam yang semakin dekat kepada hambaNya di muka bumi.

Kemenangan tidak akan tercapai kecuali melalui kesatuan dan perpaduan. Justeru perpaduan adalah mendahului kemenangan, atau ia datang beriringan.

Hari ini, anda sedang dihidangkan dengan aksi pelbagai daripada penyeru – penyeru kepada kesatuan umat Islam. Yang kekok dan pelat akidahnya, sering menyebutnya dengan nama kesatuan Melayu.

Saya fikir, jika kita semua sudah sedar bahawa perpecahan adalah sebab utama kita di jauhi daripada mencium haruman kemenangan dan ketuanan, maka masanya semakin dekat untuk umat kembali bersatu.

Peluang gerakan Islam adalah terbuka. Di sisi mereka ada jawaban emas untuk umat. Jangan cemarinya dengan tetek – bengek perseteruan yang diwarisi daripada sejarah lampau. Tatangilah ubat mujarab ini sepenuh hati.

Saya suka mengambil peluang bertemu dengan mereka untuk menyemaikan benih – benih kesedaran ke arah kesatuan umat yang lebih benar dan sunnah di sisi agama. Semoga saya berjaya menyempurnakan sebahagian kewajiban yang terbelenggu di pundak ini. 

( Saya tersapu beberapa komentar secara tak sengaja. Saya mohon kemaafan daripada anda. Bagus kiranya anda menulisnya kembali. )

 

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2008
I S R K J S A
« Apr   Jun »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 155 other followers