Salam Kamunting,
Saya acap kali dijemput menghadiri program pelajar, terutama pelajar universiti tanah air kita. Ada kalanya kehadiran mereka ramai juga, ada kalanya terlalu sedikit sehingga tak perlu pun saya yang bersuara rendah ini bergantung pada mikrofon untuk bersyarah.
Ada juga, anak - anak muda yang ‘direman’ bertahun – tahun di dalam akta AUKU ini datang secara berkumpulan ke Pulau Melaka untuk menziarahi ayahanda Tuan Guru, lalu berborak panjang dengan saya di masjid Pulau Melaka, jika ayahanda tiada di rumah.
Saya sebagai abang mereka suka juga meluang masa untuk berkenalan dan bersoal jawab dengan mereka. Ini mungkin kerana saya juga, di masa zaman remaja saya, amat suka jika abang – abang senior yang bergelar pemimpin muda masa itu meluang masa mereka untuk kami sebagai adik – adik mereka. Kami merasa cukup diraikan.
Paling saya tak lupa ialah kunjungan saya ke kampung Rusila untuk menziarahi Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang. Saya masa itu dalam umur 20 tahun balik bercuti dari India, tempat saya belajar. Saya menunggu sehingga solat Asar sehinggalah beliau melihat saya di bucu kanan saf depan. Senyumannya membangkitkan saya daripada rasa teragak – agak untuk mendekatinya. Saya mendekatinya, bersalam dan memperkenalkan diri.
Saya perasan daripada senyum dan sapanya seolah – olah beliau telah pun mengenali saya, sedang saya belum pun pernah bersalam, apatah bercakap dengannya sebelum ini. Saya sedari kecil adalah seorang pemalu. Saya jadi takut dan teragak – agak dengan semua orang – orang tua, apatah para pemimpin yang saya hormati.
Dato Seri adalah sahabat ayahanda. Semua orang tua yang menjadi sahabat ayahanda akan saya hormati selama – lamaanya, insya Allah. Tak kiralah dia ulama macam Dato Seri, atau orang biasa – biasa macam Razak abas (Abe Jak) yang cerita dan isu mengenainya boleh didengar dalam pelbagai versi.
Senyuman dan ramah Tuan Guru menenangkan kekagetan saya. Saya dipelawa naik ke rumah beliau. Lama juga beliau berada di dalam sehinggalah beliau keluar dengan hidangan nasi pelbagai lauk yang menyelerakan. Beliau mempelawa saya dan kawan saya, Ustaz Mohamad Zahiruddin Mohd Zain untuk makan. Beliau dah makan, katanya.
Saya masih ingat betapa terujanya saya dijamu Tuan Guru. Saya terasa terlalu kerdil, malu dan bersalah untuk dilayan sebegitu. Saya makan seperti bersantap di hadapan raja. Rasanya tak pernah saya alami perasaan itu kecuali semasa saya makan santapan pengantin baru di hadapan mertua saya pada hari perkahwinan saya beberapa tahun kemudian. Tekak saya jadi sempit tiba – tiba. Antara nak telan nasi atau nak telan isteri, mana tahu tertelan mertua!
Saya menziarahi Tuan Guru dengan membawa pelbagai soalan sekitar gerakan Islam terutama kaitannya dengan gerakan pelajar. Selalunya saya biasa mendapat penjelasan mengenainya daripada guru saya yang juga sahabat karib ayahanda Tuan Guru, Ustaz Haji Yahya Othman. Beliaulah mursyid saya dan hampir keseluruhan anak – anak gerakan Islam di Kelantan masa itu.
Daripada beliaulah, saya banyak mengenali kekananan Tuan Guru Dato Seri dalam perjuangan gerakan Islam di Malaysia.
Rupa – rupanya, persoalan saya hari itu adalah persoalan sama yang ditanya kepada saya sebagai senior oleh adik – adik di universiti yang terlibat di dalam gerakan Islam hari ini.
Ia adalah persoalan kesatuan dan perpecahan yang melanda umat Islam hari ini, termasuklah perpecahan yang melanda gerakan Islam yang diharapkan perpaduan berputik daripada mereka.
Paling atas ialah persoalan ta’addud jamaah atau berbilang – bilang jamaah.
Jika begitu, saya mengandaikan persoalan ini akan terus memanjang polemiknya ke masa depan yang tidak diketahui hujungnya sehinggalah Allah menyatukan kembali umat kesayanganNya ini.
Saya yakin di sebalik kepayahan dan kesukaran untuk menemui jawaban terbaik untuk penyatuan umat Islam hari ini, kesatuan umat umat akan segera dicapai. Janji – janji Allah kepada umat Islam adalah jelas bahawa Allah akan memberi kemenangan Islam yang semakin dekat kepada hambaNya di muka bumi.
Kemenangan tidak akan tercapai kecuali melalui kesatuan dan perpaduan. Justeru perpaduan adalah mendahului kemenangan, atau ia datang beriringan.
Hari ini, anda sedang dihidangkan dengan aksi pelbagai daripada penyeru – penyeru kepada kesatuan umat Islam. Yang kekok dan pelat akidahnya, sering menyebutnya dengan nama kesatuan Melayu.
Saya fikir, jika kita semua sudah sedar bahawa perpecahan adalah sebab utama kita di jauhi daripada mencium haruman kemenangan dan ketuanan, maka masanya semakin dekat untuk umat kembali bersatu.
Peluang gerakan Islam adalah terbuka. Di sisi mereka ada jawaban emas untuk umat. Jangan cemarinya dengan tetek – bengek perseteruan yang diwarisi daripada sejarah lampau. Tatangilah ubat mujarab ini sepenuh hati.
Saya suka mengambil peluang bertemu dengan mereka untuk menyemaikan benih – benih kesedaran ke arah kesatuan umat yang lebih benar dan sunnah di sisi agama. Semoga saya berjaya menyempurnakan sebahagian kewajiban yang terbelenggu di pundak ini.
( Saya tersapu beberapa komentar secara tak sengaja. Saya mohon kemaafan daripada anda. Bagus kiranya anda menulisnya kembali. )


6 comments
Sumber komen-komen untuk artikel ini
Mei 15, 2008 pada 3:46 am
kebenaran_jelas
assalamualaikum ustaz.baru terjumpa blog ustaz ni..saya antara rakyat Malaysia dekat UK yang ikut program bersama ustaz. Perihal berbilang jemaah lama dah bermain dalam kepala saya, tambah2 saya baru mengerti kewajipan berjemaah.
Ada sesetengah orang menyatakan PAS sudah hilang amalan usrah kerana terlalu asyik dgn kerenah urusan politik Malaysia. Adakah ini keadaannya ni Malaysia sekarang? Kelantan lah kalau besar sgt Malaysia. Kerana jika ini betul, golongan tadi beranggapan lebih baik memencilkan diri menambah ilmu agama di dada dahulu baru lompat ke dunia politik. Saya bertanya melalui skop seorang anak muda.
Sekiranya tidak keberatan, sukalah saya kalau ustaz ada masa nk tulis sikit2
Mei 15, 2008 pada 2:03 pm
bulanmasa
Salam,
Snouck Hungronge kata, nak kalahkah Islam, Barat kena hilangkan 3 perkara dari umat Islam;
1. Islam sebagai ideologi politik,
2. Ukhuwwah Islam,
3. Konsep jihad,
Lalu Barat pun menanamkam perkara berikut;
1. Sekulerisme
2. Nasionalisme
3. Jihad itu jahat
Bersatunya umat Islam bukan sekadar dalam perasaan, solat dan haji, tetapi juga dalam persoalan kepimpinan dan kehidupan bernegara,
Sudah sampai masa kita tinggalkan konsep nation state
dan kembali hidup di bawah naungan KHILAFAH
Mei 15, 2008 pada 7:12 pm
ummuhanah
salam ustaz,
ziarah saya mencari berita, cerita dan ubat luka sebenarnya..
Alahamdullilah…farmasi ustaz ni banyak ubat juga rupanya…saya suka orang ubat ni
Rasulullah gambarkan dalam hal ikatan cinta dan kasih sayang sesama mukminin seumpama badan yang satu, bila satu bahagian sakit, maka akan terasa sakitlah bahagian-bahagian yg lain. Baginda juga mengatakan ukhuwwah mereka seumpama satu binaan bangunan, yang saling kuat menguatkan diantara satu sama lain.
wahai semua kekasih saya di jalan Allah…
Islam telah mempersaudarakan kita dengan persaudaraan yg sangat indah…..mengapa makin di suburkan rasa sengketa dan keperbezaan yg tak sudah-sudah…..
sakitnya melihat perpecahan ummah…ramai yg turut meratapinya,
janganlah dibiarkan makin ramai hati yg menangis…menangis…kerana kesatuan ummah yg payah…malah ada yang menjual jiwa dan nyawanya kerana ummah…raikanlah mereka ini..
masih ada yg muda dan merangkak di luar sana…dengan segala kepayahan ingin mengecapi manisnya tarbiyyah…dakwah…jihad…dan ukhuwwahfillah…jangan bantutkan perjalanan mereka dengan kerasnya hati kita…bilakah luka pertelagahan ummah ini akan sembuh ??
pesanan seorang guru…agar sentiasa diamalkan “doa Rabitah” ini,
Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji untuk mendaulat dan menyokong syariaátMu, maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya…eratkanlah Ya Allah akan ikatannya…eratkanlah…
guru meminta saya membayangkan wajah ‘semua kekasih saya dijalan Allah”…ketika mengulangi “fawathiqillahuma rabithotaha
semoga kita semua tidak menjadi orang yg berputus asa untuk terus berusaha menyatukan ummah….Allahuakhbar !
Mei 21, 2008 pada 7:17 am
bulanmasa
Salam buat kebenaran_jelas,
Berbilang jamaah….Islam tak marah
Yg Islam marah tak berjemaah
Atau lebih tepat ;
….wajib menghancurkan semua bentuk kekufuran,
….termasuk konsep pasaran bebas, demokrasi dsbgnya
….dan wajib menegakkan syariat Islam,
….menegakkan syariat Islam menuntut tegaknya Khilafah atau negara Islam,
….memenuhi kewajipan tersebut tidak mungkin bersendirian,
….oleh itu wajib berjuang secara berjemaah
Tiada Kemuliaan Tanpa Islam,
Tiada Islam Tanpa Syariat,
Tiada Syariat Tanpa Khilafah,
Jun 1, 2008 pada 8:15 am
nikabduh
Salam Kamunting,
kebenaran-jelas,
Politik adalah medan tanfiz jihad di negara kita. Ia sentiasa memuncak kerana begitulah tabiat jihad memercukan ugama.
Usrah adalah bekalan kekuatan. Mungkin dalam satu sudut, usrah dalam PAS tidaklah dalam keadaan yang baik. Biarkan politik itu terus bergerak. Usrah perlu dibaiki dan dimantapkan, PAS pasti lebih hebat di depan hari.
Insya Allah, ana akan tulis pasal ini.
Ogos 21, 2008 pada 11:59 pm
hilmi_unitamal
Pas patut memimpin perubahan…perbezaan pendapat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan…usrah,tarbiah mesti terus dilaksanakan. Politik juga mesti dijalankan dan tidak boleh dipisahkan kerana semua itu adalah ajaran islam yang sempurna…mudah2an Allah sentiasa menunjukkan kita jalan kebenaran dan mengistiqamahkan kita semua…amin…