Salam Kamunting,

Dalam tulisan saya terdahulu pasal ‘kewujudan’ anasir Syiah dalam PAS, saya menyebut dua tiga perkara. Saya tandakan Tanah Melayu kita ini adalah bumi muslim Ahlus Sunnah Wal Jamaah berdasarkan galur sejarah kedatangan Islam ke sini. Maka, jadilah kita orang Melayu menikmati Islam yang benar tanpa bersumbat dan berserabut dengan mazhab – mazhab sesat yang lain seperti Syiah dan selainnya.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah dianuti majoriti besar umat Islam di dunia ini. Ia mengumpulkan dan menyatukan pelbagai kelompok dan mazhab umat Islam yang pelbagai. Ia menjadi garis penentu di antara hidayat dan kesesatan di antara kumpulan – kumpulan yang berkumpul di atas nama Islam.

Apabila sebahagian kumpulan Syiah yang sesat itu diterima sebagai benar, maka ia pun segeralah diterima pakai di dalam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Namanya kekal Syiah juga. Syiah yang betul dan diterima.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah himpunan hidayat tertinggi yang dikongsi para ulama Islam yang telah menerima Islam melalui pewarisan yang penuh rapi dan disiplin. Islam diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya melalui garis putih yang memuncak sinarnya. 

Islam dijaga serapinya agar ia sampai ke hujungnya pada hari kehancuran dunia dalam keadaan selamat dan asli untuk diterima oleh umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang terakhir sebelum kejadian qiamat besar.

Adalah mustahil untuk umat manusia menjaga keaslian sesuatu ajaran yang terpaksa menempuh perjalanan masa ribuan tahun tanpa dimasuki dan dicalari unsur – unsur luar yang pasti  mencacatkannya. Justeru hari ini, tiada lagi yang asli daripada ajaran, pemikiran dan agama terdahulu dalam sejarah ketamadunan manusia.

Agama Yahudi dan Nasrani adalah antara contoh agama besar yang terpaksa bertarung dengan kecacatan dan unsur luar yang merosakkan terus keasliannya, lantas dinyahkan daripada menjadi petunjuk samawi yang betul dan benar.

Tiada lagi yang asli hari ini daripada ajaran terdahulu. Kalau ada, maka ia adalah satu mukjizat agung yang tak terfikirkan. Ia mukjizat kerana ia di luar kemampuan dan kuasa manusia untuk menjaganya kecuali ia mestilah daripada Tuhan yang menciptakan langit, bumi dan sekeliannya. Tuhan yang menguasai segala – galanya. Tuhan ar Rabb, tuhan al Ilah. Yang diakuri dan Yang disembah.

Anda tahukan bahawa ia adalah al Quran, sumber pertama kepada agama al Islam. Tiada lagi yang asli kecuali al Quran. Ia mukjizat agung di hadapan manusia yang kerdil dan lemah. Maka tiada yang asli daripada ajaran dan ugama kecuali al Islam. Islam ugama suci dan asli.

Asli bukan kerana kita yang menjaganya. Yang menjaganya adalah Allah sendiri. Allah menjamin penjagaan al Quran daripada sisiNya sendiri. Ini tersebut dan bertakhta di dalam al Quran.

Bagaimana Allah menjaganya?

Pertama, Allah mengutuskan untuk dan bersama al Quran penghulu segala anbiya’. Dia nabi yang maksum daripada kesalahan. Dia membaca al Quran agar dihafazi dan dijaga bacaannya satu persatu agar ianya menjadi kitab ‘tanpa syak’ ( la raiba fihi ). Dia mengajar dan mensyarahkan maksud al Quran ( as sunnah atau al hikmah ) kepada generasi pertamanya ( sahabat ) agar difahami sebaik – baiknya maksud dan kehendak Allah sendiri yang menurunkannya. Dia mendidik dan menyucikan jiwa mereka daripada kesyirikan, syubhat dan syahwat agar mereka nantinya menjadi pewaris unggul yang melorongkan ugama suci ini kepada generasi yang seterusnya.

Kedua, Allah membekalkan untuk al Quran dan as Sunnah dengan pewaris unggul daripada kecintaan dan harapan nabiNya itu, iaitu para sahabat raddhiaLlahu anhum. Begitulah seterusnya sehinggalah kesaktian ini kekal terjaga melalui persaksian nabawi bahawa 300 tahun pertama adalah generasi unggul yang menjadi saksi sepanjang zaman terhadap keaslian dan kejituan al Quran.

Ketiga, Allah dengan hikmatNya yang agung menambahkan sengat dan bisa keaslian kitabNya dengan keupayaan umat Islam dalam tempoh emas itu untuk menjadi bangsa celik huruf pertama di dunia. Menulis dan membaca adalah perisai seterusnya selepas aqal dan iman yang bersih dan suci.

Katakanlah, selepas semuanya tertera dalam kitab yang ditulis dan disalin, bolehkan ugama ini dinyahkan daripada menjadi sumber yang asli dan ajaran yang asli juga? Aqal yang akur akan berkata, tidak sama sekali!

Keempat, Allah membekalkan untuk umat ini dengan sekumpulan pejuang daripada ummat nabiNya yang hidup dan mati mereka adalah untuk Islam dan al haq. Merekalah para ulama dan merekalah para mujahidin yang benar dan berani. Merekalah untuk sepanjang zaman berkerja keras dan memerah mujahadah menjaga keaslian ugama daripada penyelewengan penyeleweng dan takwilan mereka yang menyesatkan.

Dalam dunia Islam yang kelam hari ini, Islam tetap dengan cahayanya yang bersinar – sinar untuk terus memberi petunjuk dan memimpin ke arah kejayaan dan kebahagian umat manusia.

Inilah disiplin Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Disiplin yang mencipta sistem yang bersifat mukjizat.

Islam adalah al Quran melalui nabi, kemudian para sahabat, kemudian para tabi’ie dan para ulama muktabar selepas mereka. Ia adalah sistem rapi yang disadur unsur amanah, adil, benar dan kemukjizatan. Allah menetapkannya sebagai ‘laluan sutera’ menuju al Quran sebagai rujukan yang asli, suci dan benar. Tiada kegelinciran dan penyelewengan kecuali dihapuskan oleh sistem ciptaanNya ini.

Pelanggaran terhadap sistem ini akan merosakkan Islam dan rujukannya. Ia akan menghanyutkan Islam dalam nafsu manusiawi yang penuh kekotoran dan kecelaan.

Menerima al Quran dan menolak nabinya, jadilah seperti si Kasim Ahmad dan labu labi kesesatannya.

Menerima nabi dan menolak sahabatnya, jadilah seperti Syiah dengan cinta bertompok dendam melatanya.  

Sekarang anda mesti memahami bagaimana kesesatan Syiah bermula. Bermula sesatnya daripada pangkal dan terasnya. Allah bekalkan penyebaran ugama ini dengan ribuan para sahabat nabi yang mulia yang sengaja diciptakan dan dipilih dengan hikmat rabbaniNya untuk menjadi pewaris agama yang pertama daripada nabiNya.

Syiah menidakkan mereka. Syiah menyempitkan laluan dengan mengerat – ngerat para sahabat dengan api kebencian, permusuhan, dendam, cercaan dan  pelaknatan.

Mencerca para sahabat, termasuk para sahabat agung adalah ketandaan yang sukar dihapuskan daripada mazhab Syiah.

Apabila seribu sahabat menjadi seratus, bayangkan bagaimana kerosakan di dalam pembinaan sumber keaslian Islam.

Apabila Abu Hurairah yang dikenali sebagai periwayat terbanyak sumber ugama daripada nabinya dicincang lumat – lumat oleh Syiah, maka bayangkan bagaimana sempitnya jalan yang dibuka untuk Islam dan umatnya menerima yang asli daripada nabinya. Justeru Syiah terpelanting jauh daripada menerima keabsahan sebagai mazhab yang benar dan diterima Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Di sisi Sunni, rujukan selepas al Quran adalah kitab hadis Bukhari dan Muslim ( sesahih – sahih kitab selepas al Quran ) yang mengumpulkan hadis – hadis terpilih dan terbaik keasliannya daripada nabinya. Syiah menolaknya. Anda bayangkan berapa jaraknya jauh Ahlus Sunnah dan Syiah?

Anda mungkin bertanya, tidakkah Syiah membina rujukannya dengan sistemnya sendiri? Saya jawab, ya. Yang penting, ia takkan sama. Bila tak sama, ia sukar bertemu.

Anda bertanya lagi, bagaimana boleh ada daripada kumpulan Syiah yang diterima Ahlus Sunnah? Saya jawab, sebab mereka tak sama sesama mereka dan sebahagiannya mendekati kita dalam perkara – perkara besar dan akidah. Maka mereka diterima.

Soalan tambahan anda mungkin, tidakkah rujukan mereka tak sama dengan kita? Bagaimana mereka boleh dekat dengan kita? Saya jawab, ya. Bahkan, rujukan dan pengajaran mereka sesama mereka pun tak sama. Selagi Allah dan al Rasul itu di tempat pertama, adalah pendekatan yang didambakan. Adalah persamaan yang ditemui.

Mereka menerima sebahagian sahabat dan para tabi’ien selepasnya. Mereka menerima Ahlul Bait. Di situlah ada pertemuan. 

Soalan besar anda, jadi Syiah bukan kafir? Saya jawab, selagi mereka ahli syahadah ( menerima Allah dan rasul sebagaimana kita ahlus Sunnah ) mereka bukan kafir. UMNO sesat dengan ideologi kebangsaannya. Sesat tak mesti menjunamkan terus ke lembah kekufuran.

Gelap itu macam – macam. Redup, suram, kelam, malap, hitam. UMNO biru gelap. Bila ada hadhari, ia jadi biru gelap pekat. Kufur itu yang hitam terus tanpa tanda putih. Mungkinkah sebahagian UMNO jenis ini, hanya Allah yang tahu, atau Dia memberitahu kita.

Cerah pun macam – macamkan? Kalaulah cerah kita seputih bulan mengambang, itulah iman yang hebat daripada kurniaanNya.

Tidakkah ada fatwa mengkufurkan Syiah? Ya, ada kumpulan Syiah sampai ke sudut itu. Justeru tidak benar meranapkan dan menghumban Syiah dalam satu lembah.

Begitulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ia bertapak di Tanah Melayu sedari awalnya tanpa gangguan ajaran – ajaran lain termasuk Syiah.

Syiah terkeluar akibat penolakannya terhadap sistem rabbani yang memandu ke jalan yang asli dan lurus. Justeru ia digolongkan sebagai sebahagian kumpulan Islam yang sesat.

Saya berhasrat menulis mengenai PAS-Syiah dan usaha taqrib antara sunni-syiah selepas ini, insya Allah.

About these ads