Salam Kamunting,

Sempena kedatangan bulan Rajab yang mulia, saya terjemahkan satu artikel khas oleh asy Syeikh al Qaradhawi berkaitannya. Semoga manfaatnya besar kepada para pembaca blog ini. Saya juga dengan penuh rendah diri memberikan sedikit komentar untuk lebih menjelaskan. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, blog saya bukanlah blog fiqh Islami. Sekadar melayan rasa perlu. Untuk permasalahan fiqh, rujuklah ke laman yang lebih pakar dan khusus.

Adakah Rajab bulan Allah?

Benarkah bulan Rajab adalah bulan Allah sebagaimana didendangkan di dalam ceramah dan khutbah Jumaat oleh sesetengah pendakwah bahawa ianya dinukilkan daripada hadis nabawy yang berbunyi, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.”? Apakah hukum meriwayatkan dan menyebarkan hadis yang tidak benar daripada ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam?

Asy Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi menjawab:

Tiada satu pun nas berkenaan bulan Rajab kecuali yang menjelaskan kemuliaannya sebagai salah satu daripada 4 bulan yang haram ( al asyhur ul hurum ) sebagaimana di dalam Al Quran ( at Taubah: 36 ) iaitu Rajab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Bulan – bulan haram adalah penuh kelebihan.

Tiada satu pun Tihadis yang sahih warid daripada RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam yang menyatakan kelebihan bulan Rajab secara khusus kecuali satu hadis yang hasan: Bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam paling banyak berpuasa di bulan Syaaban. Lalu baginda ditanya mengenainya. Baginda menjawab, ” Ia ( Syaaban )adalah bulan di antara Rajab dan Ramadhan yang dilalaikan oleh manusia ( kelebihannya ).”

Maka, difahami daripada sabda itu bahawa bulan Rajab mengandungi kelebihan yang telah jelas diingati berbanding Syaaban.

Adapun hadis, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan ummatku.”, maka ia  adalah satu hadis yang munkar ( tak dikenali )dan dhoif jiddan ( terlalu lemah ), bahkan kebanyakan ulama hadis menyifatkannya sebagai sebuah hadis maudhu’ ( palsu ).

Tiada harganya daripada sudut ilmiah mahupun ugama.

Demikianlah segala hadis yang diriwayatkan berkaitan bulan Rajab bahawa sesiapa yang solat sekian maka untuknya sekian dan siapa beristighfar ( di bulan Rajab ) sekali maka untuknya sekian, maka itu semua adalah melampau – lampau dan pembohongan ke atas ar Rasul.

Antara tanda nyatanya pendustaan dalam hadis – hadis tersebut ialah wujudnya perihal kelebihan atau ancaman azab yang melampaui batas. Para ulama berkata, sesungguhnya janji manis dengan pahala yang besar atas amalan baik yang kecil dan janji buruk dengan azab yang pedih atas amalan dosa yang kecil adalah antara tanda bahawa ianya adalah hadis yang dusta dan palsu.

Ini sebagaimana dendangan periwayatan palsu bahawa baginda bersabda, “Sesuap yang dimasukkan ke dalam perut orang yang lapar adalah lebih baik daripada membina seribu buah masjid.”

Hadis – hadis yang diriwayatkan mengenai kelebihan bulan Rajab adalah daripada kategori ini. Adalah menjadi kewajiban ulama untuk menyedari kepalsuan hadis – hadis sebegini dan mengingatkan manusia daripadanya.

Telah warid ( datang ) daripada baginda, ” Barang siapa yang meriwayatkan satu hadis yang dia tahu kebohongannya, maka dia termasuk daripada kalangan yang berbohong juga.”

Tetapi biasanya seseorang itu tidak tahu bahawa dia sedang meriwayatkan hadis yang palsu. Justeru adalah menjadi kewajibannya untuk tahu dan mengambil hadis – hadis daripada sumbernya yang betul.

Di sana terdapat kitab – kitab hadis yang muktamad ( dipegang ) dan terdapat kitab – kitab yang khusus menyatakan mengenai hadis – hadis yang lemah dan palsu seperti‘al Maqasid al Hasanah’ oleh as Sakhawi, ‘Tamyiz al Thayyib min al Khabith lima yaduru ‘ala alsinati an nas min al hadith’ oleh Ibn ad Diba’, ‘Kasyf al khafa wa al ilbas..’ oleh al ‘Ajluni dan banyak lagi yang sayugia diketahui oleh para khatib dan penceramah ugama.

Mereka mesti menekuninya sehingga tidak lagi meriwayatkan kecuali hadis – hadis yang dipercayai kesahihannya. Hadis – hadis palsu ini sebenarnya adalah antara penyakit yang meracuni thaqafah Islamiah kita umat Islam. Ia tersebar melalui lidah para penceramah, buku – buku dan cakapan awam sedangkan ia adalah dusta dan anasir perosak dalam agama kita. 

Adalah sayugia kita menyucikan dan menjernihkan thaqafah Islamiah kita daripda hadis – hadis jenis ini.

Terjemahan dari laman http://www.qaradawi.net

 

Komentar: 

Telah datang bulan Rajab yang mulia. Menggandakan ibadah di bulan ini adalah digalakkan. Kelebihannya adalah kerana ia termasuk daripada 4 bulan yang haram ( dimuliakan Allah ) sebagaimana disebut di dalam Al Quran. Ia mulia sejak terciptanya langit dan bumi lagi.

Ibadah puasa di bulan ini adalah digalakkan. Ia menjadi muqaddimah kepada sambutan kedatangan Ramadhan al Mubarak. Ia menjadikan kita lebih bersedia untuk menyambut juadah pahala dan rahmat pengampuan  tuhan yang lebih besar di bulan tersebut.

Berpuasalah pada hari – hari terpilih seperti Isnin dan khamis dan teruskan sehingga Ramadhan. Tambahkan bacaan Al Quran dan ibadah – ibadah lain. Insya Allah, keselesaan akan lebih terasa di bulan Ramadhan nanti.

Di negara kita, penyebaran hadis – hadis yang palsu dan dusta masih banyak berlaku termasuk hadis – hadis berkaitan kelebihan Rajab. Ia mungkin tanpa disedari disebabkan kejahilan dan kurangnya pendedahan pengajian ilmu hadis di kalangan penceramah ugama. Apapun, ia tetap satu kesalahan besar jika dipandang ringan. Asy Syeikh al Qaradhawi memberi peringatan yang jelas akan bahaya ini dan mencadangkan penyelesaiannya. Justeru setiap kita mesti ambil cakna terutama para ilmuan ugama.

Ayuh, bersegeralah melakukan ketaatan dan kebajikan di bulan mulia ini. Hayatilah juga peristiwa al isra’ wa al mi’raj.

Baca juga: Hukum bertepuk tangan

About these ads