You are currently browsing the monthly archive for November 2008.

Salam Kamunting,

Beberapa jam dari sekarang, saya dan isteri akan berangkat ke kota suci Makkah untuk mengerjakan kefardhuan haji. AlhamduliLlah, Allah memudahkan segala urusan untuk membolehkan kami mendapatkan visa dan kebenaran untuk ke sana. Semoga kami terus dipermudahkanNya untuk menyempurnakan manasik haji yang menjadi rukun Islam yang kelima.

Maka saya memohon untuk bercuti sementara daripada menulis di blog ini untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah haji di sana nanti. Kami akan kembali ke tanah air hujung Disember nanti, insya Allah.

Doakan untuk saya dan isteri serta seluruh umat Islam yang mengerjakan ibadah haji pada tahun ini, sebagaimana kewajiban kami para jemaah haji untuk mendoakan kesejahteraan umat Islam dan kemenangannya semasa di tanah haram dan bulan yang haram ini.

Semoga Allah mengurniakan haji yang mabrur..

LabbaikaLlahumma labbaika..

Salam Kamunting,

Biar saya jelaskan sedikit perihal perbincangan mengenai keahlian bukan Islam dalam PAS. Ada pertanyaan yang acap juga masuk di ruang komentar dan rasanya saya belum menyentuhnya sebagai satu jawaban yang melunaskan harapan mereka yang mengharap.

Anda tahu bahawa isu ini telah agak lama dicari jawabannya dan anda juga tahu betapa para ulama dalam PAS tidaklah segera menjawabnya, apatah dengan jawaban yang satu tanpa selisih dan khilaf. Justeru anda bolehlah menyimpulkan bahawa ia adalah isu yang agak sukar diselesaikan oleh para ulama tersebut, lalu perbincangan mengenainya agak memakan masa.

Janganlah pula anda mengira ini tanda ulama lembap dan tiada peka. Perlahan – lahan itu daripada agama manakala gelojoh itu daripada syaitan. Sesuatu hukum itu adalah berdasarkan gambaran yang diperolehi. Isu pengkid cepat diselesaikan manakala isu yoga, kita terpaksa menunggu lebih lama daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Tetapi, memang sesetengah ulama agak lembap. Sama seperti sesetengah anda, agak gelojoh.

Islam datang sebagai rahmat untuk sekelian alam. Justeru Islam melata ke setiap sektor manusia, kemanusiaan dan kehidupan seluruhnya dengan jawaban, penyelesaian dan alternatif.

Ia menjelaskan hubungan di antara manusia dengan tuhannya, manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk tuhan seluruhnya. Ia membaiki urusan ugama, urusan dunia dan urusan akhirat.

Ia secara mutlak menawarkan kebahagiaan untuk manusia di dunia dan akhirat. Jika manusia menolak akhirat, Islam tetap menawarkan untuknya kebahagiaan di dunia sahaja. Jika ia mahukan akhirat, maka untuknya akhirat bersekali dengan dunia juga.

Jika mereka tidak menerima Islam atau dipanggil kafir, maka Islam menerima kesaksian dan kemahuan itu tanpa paksaan apa – apa ke atas mereka. Pengiktirafan Islam terhadap anutan manusia selain Islam sebagai hak duniawi adalah salah satu cabang ruang kebahagiaan duniawi yang dicanangkan oleh Islam.

Anda tidak akan melihat timbang rasa sebegini unik di dalam ugama lain selain Islam, sedangkan Islam adalah agama yang cukup keras mengatakan semua adalah batil kecuali Islam. Hampir semua agama hari ini, kecuali Islam, didorong oleh tekanan semasa untuk mengatakan semua agama adalah sama dan betul. Lihat betapa kerasnya kesaksian Islam tetapi betapa jugalah tolerannya Islam.

Jika begitu, kedudukan orang bukan Islam diberi ruang yang luas perbincangan mengenainya oleh ugama. Islam tidak mungkin hanya membincangkan dan meluaskan perbincangan perihal kebahagiaan kehidupan duniawi dan ukhrawi muslim sahaja tanpa membincangkan juga perihal kebahagian kehidupan duniawi bukan Islam.

Kebahagian manusia adalah pada mendapatkan haknya. Kemuncak haknya adalah keadilan dan kebebasan.

Isi dan intipati ajaran Islam adalah memperkenalkan dan memberikan hak kepada empunya hak. Yang dizalimi akan diadili Islam. Jika tidak disempurnakan keadilan itu di dunia, keadilan tuhan menunggunya di akhirat. Yang bekerja akan dibalas setimpal pekerjaannya. Jika tidak disempurnakan pembalasan itu di dunia, pembalasan tuhan menunggunya di akhirat nanti.

Begitu intipati ugama menjawab, menyelesai dan memberi alternatif. Siapakah yang terlebih baik penghakimannya selain Allah, buat mereka yang berakal?

Justeru setiap manusia memiliki hak yang sama kerana mereka sama sebagai manusia. Tetapi oleh kerana persembahan mereka adalah berbeza, maka hak mereka juga menjadi berbeza di antara mereka.

Muslim dan bukan muslim adalah sama sebagai manusia. Tetapi mereka tidak sama selamanya kerana persembahan mereka adalah berbeza. Dua bersaudara adalah sama sebagai seorang anak, tetapi mereka menjadi berbeza di sisi ibu bapanya berdasarkan persembahan masing – masing.

Justeru muslim dan bukan muslim memiliki hak bersama sebagaimana masing – masing mereka memiliki hak yang tersendiri.

Islam bertugas menyempurnakan hak semuanya.

Perbincangan kita di sini adalah perihal bagaimanakah Islam memelihara hak apabila muslim berhubung dengan bukan muslim dalam kehidupan. Anda tahu dengan mudah sedari awal bahawa Islam tidak pernah memerintahkan setiap muslim mestilah dipindahkan ke timur manakala setiap bukan muslim mestilah dinyahkan ke barat, lalu saling bedil membedillah di antara mereka.

Di bumi mana muslim berpijak, disitulah bukan muslim menjunjung langitnya. Kecuali di tanah suci/haram kota Mekah. Allah telah menyucikan  tanah itu daripada najis kekufuran selepas kebangkitan baginda sallaLlahu alaihi wasallam. Orang bukan Islam memikul najis itu. Justeru mereka dilarang memasukinya.

Kitab – kitab fiqh Islami ‘memulakan’ perbincangan perihal muamalah antara mulim-non muslim dengan menjelaskan asas hubungan di antara kedua – duanya, adakah ianya diasaskan atas hubungan damai dan kasih sayang atau ianya adalah hubungan perang dan permusuhan. 

Berlaku khilaf dan perselisihan. Tetapi ia jelas bahawa ianya berlaku demi memudahkan penyampaian hak  masing – masing dilaksanakan.

Kemudian perbincangan fiqh Islami tersebut memanjang – manjang di dalam segenap lapangan dan hal seperti kekeluargaan, kejiranan, perniagaan, sosial, kehakiman sehinggalah ia memuncak di dalam perihal hubungan pada masa damai dan perang antara kedua – duanya.

Perihal keahlian bukan Islam di dalam PAS, bagi saya, adalah termasuk dalam fasal perbincangan para ulama kita mengenai hak memohon pertolongan daripada bukan muslim di dalam sesuatu perkara. Boleh atau tidak boleh. Jika boleh, kenapa? Jika tak boleh, kenapa? Boleh itu di bahagian mana dan yang tak boleh itu di bahagian mana? Boleh yang bagaimana dan tak boleh yang bagaimana? Bila dah meleret, meleretlah pula khilaf dan tempat sadungnya.

Oleh kerana nama PAS tiada dalam kitab fiqh dan jenis bukan Islam di Malaysia pun tiadalah diperincikan keadaannya di dalamnya, maka ulama kita pastinya akan mencermati perincian mengenai kedua – duanya sebelum mengaplikasikan sumber dan hukum qias ke atasnya.

Penggunaan kaedah qias di dalam menentukan hukum terhadap isu – isu semasa dan setempat adalah terdesak demi menghidupkan dalil – dalil yang berselerakan di dalam kitab – kitab fiqh Islami sepanjang zaman. Ilmu qias adalah payah dan lebih payah adalah mengaplikasikannya dalam menentukan hukum sesuatu. Ia adalah sebahagian daripada hikmat. Barangsiapa dikurniai hikmat, sesungguhnya dia telah dikurniai kebaikan yang melimpah – ruah.

( Justeru janganlah anda bermudahan mendakwa tahu seperti sesetengah kita yang mengqiaskan perjanjian dalam Pakatan Rakyat dengan/atas perjanjian Hudaibiah di zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Bagaimana boleh disamakan PKR/DAP yang telah menerima untuk berdamai dengan PAS, dengan golongan musyrikin Mekah yang menentang Islam? Perjanjian yang dilakukan al Rasul dengan kafir yang tidak menentangnya adalah tidak sama dengan perjanjian baginda dengan kafir yang menentangnya. Bahkan, muqabalah PAS-UMNO adalah lebih mirip perjanjian Hudaibiah. Perhatikan.)

Kemudian, adakah keahlian dalam PAS bermaksud keahlian kepada sebuah gerakan Islam atau ianya adalah bermaksud keahlian di dalam sebuah parti politik Islam dalam konteks sistem demokrasi negara, itu adalah perbincangan yang tidak pula akan menamatkan dengan mudah persoalan hak – hak yang telah dipertegaskan boleh atau tidak bolehnya bukan Islam mengambil atau menerima sesuatu peranan di dalam membantu perjuangan Islam menegakkan Islam dan kebenaran.

Yang penting, orang bukan Islam memiliki hak untuk turut bersama menegakkan kebenaran, bahkan menegakkan Islam juga. Mereka berhak untuk menolak kezaliman dan memilih Islam sebagai jalan memperolehi keadilan dan kesaksamaan. Berikan kepada mereka hak mereka seluas ianya diluaskan oleh Islam.

Jika keahlian bukan Islam dibenarkan di dalam PAS, anda akan melihat persamaan dan perbezaan di antara ahli muslim dan ahli bukan muslim adalah berdasarkan hak masing – masing yang telah diperincikan hukumnya oleh para ulama kita. Perselisihan adalah keluasan jika ianya digunakan pada tempat dan masanya dengan tepat.   

Yang penting, hari ini PAS telah meneroka sesuatu tidak diterokainya secara serius dahulu. Ia didesak oleh tuntutan semasa yang memerlukan kebijaksanaan menghukum dan melepaskannya di medan yang akan memperjudikan masa depannya yang namakan sebagai ‘usaha’ di sepanjang iman dengan ‘tawakkal’ kepada pemilik perjuangan ini.

Semoga PAS terus gagah memacu perjuangan sucinya.

Inilah tabiat ideologi perubahan seluruhnya. Maka mengapakah pula Islam dituntut – sedang ia adalah satu risalah yang menyeluruh – menghadkan kerjanya setakat menjaga masjid dan mahkamah syariah sahaja? Bahkan mungkin sehaja masjid dan mahkamah syariah pun akan dipaksa mengikut telunjuk golongan sekular ini ( seperti di negara kita – pent )?

Agama Masihi sendiri yang mengatakan, ” Biarkan hak raja itu untuk raja dan biarkan hak Allah itu untuk Allah” pun apabila memiliki kuasa dan peluang, mereka tidak pula menyerahkan kuasa itu kepada raja, bahkan merekalah yang memegangnya dan menentukan arah kehidupan seluruhnya berdasarkan apa yan mereka imani.

Jika begitulah Masihi, bagaimana pula dengan Islam yang tidak pernah memisahkan antara jasad dan ruh dan tidak pula memisahkan hak di antara raja dan Allah, bahkan menjadikan raja dan hak raja sebagai hak Allah belaka.

Firman Allah: ” Apakah mereka menuntut hukum jahiliyah? Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah, bagi orang – orang yang yakin.” – al Maidah:50

Berkata al Ustaz Doktor Muhammad al Bahiy ( al Fikr al Islami al Hadith.. ) ketika mengkritik pendapat Doktor Ali al Raziq dalam bukunya ( al Islam wa Usulul Hukm ) yang menyarankan pemisahan antara ugama dan negara:

( Jawaban beliau adalah berasaskan pemikiran kurun pertengahan yang memisahkan antara fizikal dan rohani penciptaan manusia. Itulah pemikiran yang menerajui orang Eropah masa itu yang akhirnya mendorong kepada pemisahan antara negara dan gereja./

Pemikiran pemisahan ini adalah sama dengan pemikiran golongan falsafah Islam atau Masehi di zaman kurun pertengahan yang mereka warisi daripada pemikiran falsafah lama/Yunan dalam isu ketuhanan dan kemanusiaan./

Pemikiran pemisahan antara ruh dan jasmani manusia di sisi ilmu kajian ilmiah moden hari ini adalah pandangan yang tidak lagi boleh diterima akal yang sihat. Manusia dalam kajian ilmiah hari ini adalah satu, tak boleh dijuzu’ – juzu’kan. Paling terjamin, ia mestilah dipimpin oleh satu qiadah/ kepimpinan./

Pengalaman pembahagian kuasa antara kerajaan dan gereja dulu tidak hanya mencetuskan perselisihan antara keduanya, bahkan telah mengakibatkan salah satu akan menundukkan yang satu lagi. Dan pastinya negaralah yang akan menundukkan gereja dengan kekuatan mereka menguasai massa./

Walaupun pemikiran jenis ini telah terbukti salah di sisi kajian ilmiah dan juga pelaksanaan amali, para penyeru kepada pemikiran ini daripada kalangan pemikir Islam masih terus menganggap ‘penyatuan’ pada manusia dan kepimpinan sebagai mundur! Ini semata – mata kerana ia bersumber daripada pemikiran asas Islam! )      

4) Kepentingan wujudnya sebuah negara untuk menjayakan matlamat:

Ini faktor amali yang tidak boleh diingkari lagi, bahawa manusia sejak dulu telah mengetahui keperluan wujudnya sebuah negara atau kuasa politik ( kerajaaan ) untuk menjayakan matlamat tertentu, melaksanakan undang – undang, mengajar dan memelihara ummah daripada kerosakan. Kerana itulah, Khalifah ketiga, Uthman bin Affan telah berkata, ” Sesungguhnya Allah akan mencabut dengan kuasa apa yang tidak boleh dicabut dengan al Quran.” – ( al Bidayah wa an Nihayah )

Apatah di zaman moden ini, sebuah negara itu memegang tampuk seluruh aspek kehidupan di tangannya, suatu yang tidak mungkin dikuasai sepenuhnya oleh mana – mana kerajaan zaman lampau. Mereka menguasai undang – undang, kebudayaan, masyarakat, ekonomi dan lain – lain. Ini adalah antara ciri istimewa kerajaan moden hari ini.

Justeru mana mungkin golongan dakwah dan islah boleh membiarkan negara dikuasai oleh golongan sekular untuk melakukan apa sahaja termasuk dengan senangnya ( kerana mereka memiliki kuasa negara ) meruntuhkan kebaikan dan kebajikan yang telah dibina oleh golongan dakwah dan islah tersebut. Meruntuh pula lebih senang daripada membina.

Sesungguhnya daulah Islam kita dahulu yang diperintah oleh seorang khalifah tertinggi tidaklah mampu menguasai seluruh aspek kehidupan rakyatnya, bahkan kuasanya hanya terhad dalam menguasai bandar dan kota – kota besar sahaja. Adapun ummah di luar seluruhnya , kehidupan mereka dikuasai oleh Islam yang diketuai sebahagian besarnya oleh para ulama.

Pendidikan mereka dikuasai ulama dengan mengajarkan mereka Islam, bahasa, adab, sejarah dan apa sahaja yang mereka mahu.

Undang – undang juga di tangan ulama dengan melaksanakan hukum – hukum ke atas mereka.

Demikian juga urusan fatwa sebagai rujukan dan urusan waqaf dan kebajikan, semuanya dikuasai oleh para ulama yang mengurus politik rakyat setempat ( tanpa gangguan dan tekanan khalifah ).

Ummah tetap berpegang dengan ugamanya saat pemerintah dan negara menyeleweng daripada ugama, bahkan ummah juga terus tetap dengan ugamanya saat negara khalifah rebah dan tewas. Ia terus gagah dengan institusinya itu saat negara khilafah dirundung keruntuhan dan kelemahan.

Tetapi di zaman moden hari ini, kekuatan ummah itu telah beralih dan dikuaai sepenuhnya oleh kerajaan dan negara. Negaralah yang meguasai undang – undang, pendidikan, kesihatan, ketenteraan dan seluruhnya.

Justeru bagaimanakah para pendakwah dan pengislah boleh melaksanakan islah dan pembaikan di saat pemerintah bergerak dari arah yang bertentangan? Kita menghidupkan dan mereka mematikannya, kita mengumpul dan mereka memecahkannya pula?

Bayangkan kita hanyalah rakyat, sedang mereka adalah kuasa!

Inilah sebenarnya yang menjadikan para pengislah dan pengasas gerakan – gerakan Islam terpaksa menempuh peperangan politik dan mereka menuntut islam dengan jalan menegakkan daulah Islamiyah yang akan menjayakan firman Allah:

” Dan orang – orang yang jika kami kurniakan mereka kekuasaan di bumi ini, mereka pasti mendirikan solat, menunaikan zakat, menyeru kepada al makruf dan menahan daripada kemungkaran.” – al Hajj:41

Tiadalah perlu mereka sendiri yang memegang kuasa itu jika mereka telah mendapati orang lain mampu memerintah dengan rukun dan syarat Islam tersebut. Jika pemerintah kini melaksanakan Islam, alangkah eloknya di sisi mereka.

Jika mereka enggan atau tidak bersedia, maka menjadi kewajiban ke atas para pendakwah dan pengislah untuk bangun melaksanakan tuntutan itu. Awalnya hendaklah mereka menyediakan modal insan, jentera fizikal dan ransangan sosial yang akan membantu menjayakan matlamat ( negara Islam ). Ia tak selesai dengan hanya berangan – angan dan berbuih kata. 

( sila klik ‘buku’ di bahagian (kategori) di sebelah untuk bacaan siri – siri sebelum ini )

 

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

November 2008
I S R K J S A
« Okt   Dis »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 154 other followers