You are currently browsing the monthly archive for Januari 2009.

Salam Kamunting,

Banyaknya Amir menulis. Banyak perkara diterkamnya sampai semuanya hampir tercalar dibuatnya. Masa saya kecil dulu, saya biasa tengok kucing di rumah saya yang terlalu aktif. Habis benda dicakarnya, habis benda jadi menggerutu dibuatnya.

Saya pula jadi tertekan juga dibuatnya. 50% ruang komentar diisi oleh Amir beberapa minggu ini. Bakinya pun adalah komentar yang ditujukan untuk Amir. Marah pada Amir, sinis, menyampah dan ada juga yang puji, kesian dan layan Amir. Nampaknya Amir berjaya menarik perhatian dek cakaran demi cakaran yang dilakukannya. Betul – betul macam kucing saya itu..

Saya masih demam, tapi dah agak kebah sedikit. Eloklah kiranya saya beringan – ringan dengan Amir. Nak tulis artikel berat – berat rasanya tak larat lagi.

Masa mula berblog dulu, saya sentiasa membalas komentar yang ditulis pembaca. Kemudian saya lemas dengan persoalan dan kritikan yang banyak yang mengganggu tumpuan saya terhadap apa yang saya ingin tulis yang akan menyempurnakan misi saya berblog. Klik di sini. Akhirnya saya tak terlayan semuanya selain yang terpilih – pilih sahaja. Akhir – akhir ini saya terlalu kurang menjawab komentar kerana kesibukan dan yang menarik, saya lihat sudah wujud suasana saling memberi komentar di antara sesama pembaca.

Itu meringankan beban saya dan saya sudah cukup gembira. Bagi pemilik blog, antara yan mengembirakan adalah keaktifan ruang komentar dan tindak balas pembaca. Tak kiralah pujian atau cacian, dunia blog begitulah hidupnya. Kena berani dan terbuka. Ada sesetengah blog yan terpaksa menadah kata nista , malah sehingga melucah dan melalut karut sehingga terpaksa dibuang sesetengahnya demi menjaga akhlak dan etika yang bersih dalam berblog. AlhamduliLlah, blog saya selamat daripada komentar sebegitu kecuali terlalu sedikit yang mudah saya saringkan.

Saya gembira blog saya ramai peminat dan paling gembira ruang komentarnya jenuh dengan pengunjung memuji manis dan mengkritik pedas. Walaupun anda jarang melihat jawaban saya, anda harus tahu saya sentiasa menyanjung komentar anda. Saya seronok dengannya dan saya jadikannya sebahagian keseronokan saya. Saya acap berkongsi keseronokan ini dengan isteri saya juga.

Kan sedap berkongsi keseronokan hidup dengan isteri tersayang?

Saya ingat, kritikan paling dahsyat adalah pasal tulisan saya mengenai Syiah dan anasirnya di dalam PAS. Belum habis pusingan saya, bertalu – talu pro Syiah menghala meriamnya membedil saya. Macam – macam.. Janji saya untuk menulis lagi belum tertunai. Tengoklah, insya Allah.

Amir,

Banyak yang anda pertikaikan pasal perjuangan ini. Semuanya tak kena. Semuanya tak ikhlas. Sedikit penelitian terhadap tulisan anda sudah cukup untuk memahami bahawa anda adalah seorang yang cukup sulit, payah, keras, berat dan suka bersendiri.

Anda mengkritik PAS apatahlah UMNO. Anda mengkritik HAMAS apatahlah FATAH. Anda mengkritik pejuang di medan apatahlah penyibuk di medan.

Anda ingin membersihkan sehingga semuanya jadi tak bersih.

Yang bersih hanyalah yang duduk di rumah menunggu – nunggu Imam Mahdi datang. Itu barulah bersih dengan keikhlasan dan ketepatan berjuang.

Amir,

Jika anda meneropong keikhlasan orang, sampai mati anda digelapkan Allah daripada melihatnya. Anda menuntut hak Allah untuk anda. Kelak anda mungkin ditarik keikhlasan sendiri olehNya. Jika anda menghukum keikhlasan sebagai tidak ikhlas, apakah anda tidak akan dihukum kembali atas sifat keras, sulit, berat dan menyendiri anda?

Sebagai seorang muslim, kita diajar untuk berbaik sangka sesama muslim. Itulah erti muslim yang bersaudara. Ia saling berbalas dengan kebaikan dan menjauhi pra sangka yang buruk. Ia mesti mempertahan saudaranya dan tidak membiarkannya dikhianati dan dihina di hadapan matanya. Anda bacalah pesanan – pesanan nabi mengenai hak – hak seoarang muslim atas saudaranya.

Itu sehinggalah datang di hadapan kita bukti – bukti kemunafikan di kalangan masyarakat muslim. Justeru anda diminta berhati – hati dengan golongan ini. Jika telah jelas, berburuk sangka adalah didahulukan ke atas golongan ini demi mengelak penipuan dan kejahatan. 

Amir, anda di awal – awal lagi memiliki sedikit kecacatan di dalam memahami konsep kehidupan islami.

Ketika dunia muslim, malah kuffar juga ternganga dan terlopong mulut mereka menyaksikan ayat – ayat Allah di bumi Gaza melalui para mujahidinNya, anda masih ingin berleter – leter macam mak cik tua pasal keikhlasan mereka.

Ketika rakyat Malaysia semakin melihat PAS sebagai alternatif kepada sistem jahiliyah yang sedang nazak, anda masih bercakap – cakap pasal hukum ‘menggaru – garu dan melilau – lilau dalam solat’. Kemudian anda menghulur alternatif yang tak muncul – muncul. Imam Mahdi. Tunggu dan tunggulah.

Anda menulis dari rumah gelap tanpa pintu, tanpa jendela besar.

Amir,

Saya tidak menjawab semua persoalan yang anda kemukakan itu kerana jawaban saya pastinya menyusulkan seribu lagi soalan lain daripada anda. Kesudahannya tiada kecuali anda bersedia untuk jadi seperti orang lain. Mudah, ringan dan bersama.

Tahukan anda, ketika anda mengkritik semua yang anda kritik itu, anda sedang mengkritik sesuatu yang telah selesai di sisi ulama Islam? Jika anda tahu, anda kena tahu bahawa anda sememangnya sedang mengkritik dan menyanggah ulama. Jika anda tak tahu, anda kena tahu bahawa anda sememangnya jauh daripada ulama.

Sesiapa yang jauh daripada ulama, pasti dia akan pergi jauh daripada kejelasan dalam beragama.

Amir,

Mengapa memilih jalan sukar memahami ugama? Pohonlah petunjuk untuk diberi jalan yang telah dilalui para ulama yang muktabar.

Ada masa, jumpa saya. Mari menghirup kopi Tok Guru atau Radix bersama. Rasanya seronok melihat anda berhujah di hadapan saya.

Salam Kamunting,

Seorang politikus di Malaysia sering diumpamakan bagai katak dek kesukaannya melompat parti. Kemudian segelintir mereka pula ada yang diumpamakan bagai sang tupai akibat dicekup BPR dan polis dek pecah amanah, rasuah dan pelbagai jenayah lagi. Kedua – dua pelabelan ini adalah buruk dan tidak disukai empunya diri.

Jarang sekali lompatan kijang diterjemahkan dalam perumpamaan. Ia merujuk kepada lompatan yang hebat dan aksi menarik. Di Kelantan, ia sinonim dengan skuad bola sepak negeri Kelantan. Tetapi oleh kerana skuad Kelantan ini sering beraksi lemah dan tidak konsisten, peminat agak malu – malu menjaja nama kijang untuk pasukan mereka itu.

Dalam dunia politik negara, jarang berlaku anggota parti kerajaan melompat parti kepada parti pembangkang. Yang biasa berlaku adalah lompatan anggota daripada pembangkang kepada parti yang memerintah. Oleh kerana lompatan itu sering diiringi dengan perolehan habuan harta dan pangkat, sang pelompat itu pasti akan dilabel dengan perumpamaan yang buruk – buruk. Antaranya katak.

Sementelahan pula pemerintah negara telah diterima umum sebagai pemerintah yang zalim, korup dan penuh penyakit, maka umum menerima perbuatan melompat parti sebagai satu aktiviti buruk dunia politik tanah air.

Selepas pilihan raya umum ke 12 tahun lepas yang menyaksikan arasy pemerintahan kerajaan BN goncang dengan kekalahan yang besar, tiba – tiba cerita lompat parti menjadi buah mulut awam, bahkan menjadi harapan yang diimpikan rakyat. Mereka berlopongan menanti aksi lompat daripada parti pemerintah berlaku, bahkan kalau boleh lompat itu biarlah tinggi – tinggi dan beramai – ramai.

Inilah lompatan kijang. Lompatan yang hebat kerana ia akan menyebabkan kerajaan semasa yang zalim runtuh dan diganti kerajaan baru yang dipercayai kecondongannya untuk melaksanakan keadilan sejagat.

Tetapi ia tidak berlaku. Hampir tiada pemimpin peringkat tertinggi BN melompat tinggi untuk aksi hijrah agung dan tiada wakil – wakil rakyat BN melompat beramai – ramai untuk bersama parti – parti dalam Pakatan Rakyat yang menguasai beberapa negeri dalam persekutuan Malaysia.

Harapan menjadi kendur. Seorang pemimpin kanan PAS telah dengan berani mencetus kemarahan awam apabila meminta rakyat menerima hakikat bahawa menukar kerajaan dengan aksi lompat adalah sukar sekali. Paling parah, ia diibarat bagai angan – angan mat jenin.

Itu telah berlalu dan perasaan sukar itu terpaksa ditelan.

Ia payah berlaku di seluruh negara. Hanya Kelantan yang biasa sangat menyaksikan lompatan kijang dalam persada politik tempatan. Penghijrahan ahli UMNO kepada PAS adalah biasa sejak dulu. Hasilnya, selepas 12 tahun diperintah BN, PAS kembali menguasai Kelantan dan kekal hingga kini menghampiri tempoh 20 tahun. Sebabnya, lompatan kijang terus berlaku di sana – sini di Kelantan.

Saya dikhabarkan dalam tempoh terdekat ini, satu angka mencecah ribu daripada pemuda UMNO Kelantan akan melakukan aksi lompatan kijang meninggalkan UMNO berama – ramai untuk masuk PAS. Jika ini berlaku, ia pasti hebat untuk menyusuri aksi lompatan kijang anak – anak muda dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu baru – baru ini yang menyaksikan UMNO tumbang di hampir seluruh saluran peti undi golongan muda. Wah, tahniah!

Kekal dalam kegelapan atau berhijrah daripada kegelapan kepada kegelapan adalah aksi duniawi yang biasa dilihat. Tiada apa yang hebat. Ia mainan nafsu dan keseronokan sementara yang dialpakan akibatnya. Itulah manusia kebanyakan di dunia ini.

Adapun kekal dalam cahaya atau hijrah daripada kegelapan kepada cahaya, maka ia adalah sesuatu yang hebat. Kekal dalam cahaya adalah cerita kemanisan hasil kesabaran dan istiqamah, manakala bergerak kepada cahaya daripada kegelapan pula adalah cerita kemanisan hasil keberanian dan pengorbanan. 

UMNO gelap kerana diselubungi kezaliman. Nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam mengumpamakan kezaliman itu adalah bagai kegelapan yang berlapis – lapis. Oleh kerana UMNO jenis tak pakai ajaran nabi, maka mereka tidak sedar segala kezaliman yang mereka lakukan itu menambahkan lagi pekat kegelapan yang menyelubungi mereka.

Oleh kerana kegelapan malam itu menjadi sarang maksiat dan keseronokan noda dan dosa, ramai manusia yang tidak kisah untuk terus kekal dalam gelap, bahkan terjun ke dalamnya dek keseronokan duniawi yang ada padanya. Demikian, tidakkah kita diminta berlindung dengan Allah daripada kegelapan malam apabila ia merangkak?

Apabila melakukan kezaliman sudah mula sendat di jiwa dan mula menjadi kemanisan dan keseronokan, maka ia telah sampai ke kemuncak yang paling ditakuti. Tidak ada lagi yang boleh memalingkannya ke belakang untuk kembali. Ia dirundung ketagihan untuk terus berlaku zalim. Bagaimana ingin kembali? Atau lompat?

Bagai asap keretek yang disedut ke dalam. Ia tersedak di paru – paru dan di jiwa juga dek kegelapan perkhabaran yang dibawanya. Samada anda berhenti menyedutnya atau dengan terus mencuba keseronokannya, anda akan ditimpa ketagihan asap yang menjadikan anda pasrah dan rela mati demi mempertahankan asap gulita itu. Saat itu anda telah kelam di kemuncak yang ditakuti junamannya. Bagaimana ingin kembali?

Bagaimana lompat kijang?

Kita ini manusia. Manusia diciptakan dengan keajaiban dan kesempurnaan ciptaan tanganNya. Antara keajaiban ciptaan tuhan dalam dirinya adalah kesediaan hati jantungnya untuk kembali walau apa keadaannya. Antara kesempurnaan nikmat tuhan di luar dirinya untuknya adalah pintu kembali yang terbentang luas selama – lamanya sebelum matinya.

Hati jantung yang berdegup – degup dalam pencariannya terhadap al haq dan pintu taubat yang terbentang luas menanti kembalinya.

Setiap manusia disapa rahmat tuhan sepanjang masa dan pada detiknya ia bagai satu ketukan yang menyedarkan. Samada manusia meladeninya dengan baik dan menyungguhinya, lalu dia menikmati sapaanNya itu dengan penuh laba, atau dia membiarkannya berlalu pergi tanpa terima kasih, lalu dia terus dijunamkan ke lubang kesesatan yang lebih dalam. 

Manusia memilih untuk dirinya sendiri.

Manusia jarang bersyukur dan jarang sekali mengaku salah. Dosanya menyombong tinggi mengatasi tunduk bongkok pahalanya. Jika dia kembali dan bertaubat, itulah kemuliaan manusia yang dipuji tuhan dan dibenci iblis.

Hari ini kita menyaksikan beberapa aksi lompat daripada parti pemerintah kepada pembangkang berlaku. Mula berlaku. Ia ditunjangi kesedaran untuk menolak kezaliman dan kebobrokan dalam politik pemerintah. Ia baru. Seperti kata saudara Roslan SMS, lanskap politik negara sedang dilukis semula.

Jika benar bagai dikata, hujan telah serik dan katak sepi melompat. Dahan mula kering dan patah, tupai acap jatuh ke tanah. Semoga kijang keluar hutan memperaga aksinya.

Salam Kamunting,

Saya perasan nombor plat kereta Honda Elysion saya semasa tiba di Kuala Terengganu pada hari penamaan calon 6 Januari lepas. PAS 17.  Saya lantas tunjuk ‘eksen’ pada rakan – rakan, ” 17 Januari ini milik PAS, insya Allah.” Ego saya dengan cerianya disambut ramai – ramai dengan ulangan ucapan, “insya Allah.” Rasanya ada yang bertakbir, Allahu akbar.

Allah berfirman, ” Tiadalah kemenangan kecuali daripada sisiNya jua, Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Allahu akbar waliLlahil hamd. PAS diisytiharkan menang dalam pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu pada hari ini 17 Januari 2009 dengan majoriti agak selesa.

Kemenangan adalah kemanisan segera beriman kepada Allah di dunia ini. Ia membenarkan janji Allah yang telah benar semenjak azalinya di hadapan mata makhluknya di dunia ini sebelum akhiratNya. Ia menambah iman dan menjirus kesejukan di dada setiap mukmin yang berjuang di jalanNya.

” Perangilah mereka habis – habisan, pasti Allah mengenakan azabNya terhadap mereka dengan tangan – tangan kamu dan menghinakan mereka, lalu Allah memenangkan kamu ke atas mereka dan mengubati dada kaum yang beriman dan menghilangkan kemarahan di hati mereka ( terhadap kejahatan musuh Allah ) dan Allah menerima taubat sesiapa yang Dia kehendaki. Allahlah Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.” – at Taubah: 14-15.

( Ayat ini diturunkan kepada kaum musyrikin yang menentang Allah dan rasulNya di Mekah. Tidakkah inilah apa yang dirasai kaum munafikin yang memerangi agama Allah daripada didaulatkan di negara sendiri sepanjang zaman? )

Apabila saya khabarkan kegembiraan ini kepada ayahanda sekejap tadi, dia segera berpesan, sujudlah dua rakaat dan jangan sesekali menghina UMNO yang telah kalah. Nanti musuh bingkas dengan kemarahan lalu berlaku kejam dan zalim sebagaimana biasanya.

Ya, UMNO tetap harimau liar yang tercedera.

Tahniah untuk semua pejuang PAS yang telah berjuang behabisan dan bermatian di sana. Di hadapan kamulah diriku terasa kerdil.

Tahniah untuk semua penyokong PAS yang telah turut menyumbang demi kemenangan Islam di Malaysia. PAS menambah kerusi di Parlimen dengan merampas kerusi UMNO.

Tahniah untuk seluruh pengundi di Parlimen Kuala Terengganu yang telah mengundi PAS. Undi anda besar tagangannya di hadapan Allah nanti insya Allah. Itulah saksi berani anda menolak jahiliyah dan menerima Islam.

Saya yakin, doa kita untuk Kuala Terengganu sentiasa beriringan doa kita untuk Palestin. Itulah lunaknya mengecapi kemenangan ini.

Ayuh berhimpun di Kota Bharu 23 Januari ini. Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa akan berusaha mengumpulkan RM10 ribu untuk Palestin. Untuk kamu wahai saudaraku pejuang HAMAS..

Ayuh, beralih dari medan jihad kecil di Kuala Terengganu kepada medan jihad yang lebih besar yang bersimbah darah di bumi Palestin. Allah menghancurkan kamu wahai Yahudi laknatuLlah..

Bersama titipkan tahniah anda untuk kemenangan di Kuala Terengganu di ruang komentar.

Salam Kemunting,

Dalam tulisan saya yang lepas mengenai jihad di bumi Palestin, saya telah mengaitkannya dengan jihad pilihan raya kecil di bumi Malaysia yang sedang berlangsung di Parlimen Kuala Terengganu selepas selesai proses penamaan calon 2 hari lepas.

Walaupun ada yang agak pesimis dan kurang senang, saya sebenarnya sengaja dan agak ‘berbelanja besar’ untuk menonjolkannya dan menempatkannya bersama pembacaan dan keprihatinan kita terhadap isu Palestin yang lebih bersifat sejagat dan qat’ie.

Sememangnya kedua – duanya adalah berbeza. Semua melihat perbezaannya dengan jelas sehingga gagal mencari persamaan di antara kedua – duanya. Justeru saya memilih untuk mengaitkan dan menghubungkannya demi menonjolkan kesamaannya yang kurang jelas di sisi kebanyakan.

Kewajiban jihad di bumi Palestin adalah jelas dalil dan tuntutannya. Ia sarat dengan nas, hujah dan keterangan yang membantu menguatkannya. Hanya yang sentiasa keliru adalah umat Islam sendiri yang di atas pundak merekalah pelaksanaan kewajiban itu. Komentar terbaru daripada ‘amir’ contohnya adalah gambaran tragis bagaimana sukarnya kewajiban jihad ini difahami pelaksanaannya di bumi suci tersebut. 

[ Jika kita yakin Allah itu hidup tak mati dan sentiasa bersama hambanya yang bertakwa, mengapa perlu menunggu Imam Mahadi yang belum pun hidup dan datang lagi untuk berjihad? Sejak bila pula Allah tidak akan mematikan hamba yang disayangiNya? Tidakkah mati itu hadiah yang dikejar oleh para mujahid? Mengapa disamakan kumpulan yang menghidupkan jihad dengan penuh rasa taqwa dengan kumpulan nasionalis spesis UMNO Palestin yang solat mereka pun belum sempurna, apatah untuk berani berjihad?

Tidakkah Amir melihat betapa kumpulan nasionalis Fatahlah yang sentiasa menjadi talibarut Israel untuk menghapuskan pemimpin HAMAS dan mewujudkan fitnah sesama sendiri? Taqwa jenis mana lagi yang dituntut melebihi taqwa yang dihiasi cinta menemui tuhan melalui sebaik - baik kematian?

Palestin bukan soal hidup atau mati umat Islam. Ia soal hidup mati ugama Islam. Sesiapa yang mati kerana menghidupkan agama, jahillah mereka yang menganggapnya mati! Sungguh dia tidak membaca al Quran. Tiada yang paling bergembira hari ini selain asy syahid Dr Nizar Rayyan yang menjengah syurga tuhannya bersama keluarga besarnya serentak.. Keraslah hati mereka yang tiada menitis air mata 'kegembiraan' saat mendengar berita agung kesyahidannya.  ]

Adapun pilihan raya, ia tidak sejelas cerita jihad di Palestin. Tiada nas yang qat’ie untuk memutuskan ia adalah jihad yang pasti. Justeru ia adalah medan pertikaian. Tidak semua sepakat menerimanya sebagai satu cabang jihad menegakkan ugama, walaupun ia hampir diterima kebanyakan golongan ‘al murabithun’ yang berada di medan perjuangan menegakkan ugama samada di medan siasah atau jihad bersenjata termasuk di Palestin.

HAMAS memasuki pilihan raya untuk berlawan dengan nasionalis UMNO Palestin. HAMAS mengangkat senjata untuk memelihara bumi Palestin daripada penaklukan Israel. Dengan pilihan raya ia menguasai Genting Gaza dan dengan senjata ia mempertahan Genting Gaza.

PAS menerima pilihanraya sebagai satu cabang jihad di bumi Malaysia. PAS menolak jihad bersenjata di bumi Malaysia. Asasnya adalah Malaysia dikuasai dan diperintah oleh umat Islam. Adalah jelas bahawa agama mengharamkan mengangkat senjata sesama muslimin walaupun terhadap penguasa yang zalim dan munafik. Justeru seruan jihad, amar makruf nahi mungkar, dakwah dan nasihat hendaklah secara aman yang tidak menumpahkan darah sesama muslimin.

Jihad dan dakwah terhadap penguasa yang zalim hendaklah dengan dua tujuan. Pertama, dengan tujuan agar mereka berubah dan bertukar menjadi kerajaan yang adil. Kedua, dengan tujuan mereka dijatuhkan dan ditukar dengan penguasa dan kerajaan baru yang adil. Ini jika mereka enggan dan menolak yang pertama.

Kedua – dua tujuan tersebut mestilah dengan cara, wasilah dan jalan yang aman tanpa senjata dan pertumpahan darah. Samada ianya secara lembut atau keras ( ghilzah ), ia adalah betul dan dalam makna hikmah. Keras tidak semakna dengan senjata secara mutlak. Lihat surah at Taubah:73, juga at Tahrim:9.

Pilihan raya adalah aman. Itu konsep dan tuntutan demokrasi. Kerajaan terbentuk dan terbubar mengikut perlembagaan yang dirangka sistem demokrasi negara. Oleh kerana ianya tidak bertentangan dengan Islam bahawa setiap kita berhak memilih pemimpin yag kita mahu, maka PAS menerima sistem pililhan raya sebagai wasilah dakwah secara aman di dalam menegakkan keadilan dan menentang kemungkaran.

Apabila keadilan paling utama adalah tauhid dan memenangkan ugama dan kezaliman paling utama adalah syirik dan menolak ketuanan ugama, manakala kerajaan BN pula sedang bergerak sebaliknya, lantas ia tidak menjalankan tugas khilafah yang dituntut, maka tugas PAS adalah menyeru kepada keinsafan agar pemerintah kembali kepada Islam atau jika enggan, mereka hendaklah ditukar dan diganti dengan pemerintahan baru yang menerima agama dan khilafah yang menjamin keadilan Islam.

Apabila PAS memasuki pilihan raya, ia tidak bererti PAS semata – mata mahu kerajaan BN tumbang. Pilihan raya sama ada memberi tekanan agar BN berubah menerima keadilan cara Islam atau BN runtuh kerana kebenaran dan keadilan mengasaknya ke tepi untuk diganti dengan pemerintahan yang adil mengikut konsep Islam.

Itulah PAS. Tidakkah anda dalam tahu bahawa Tuan Guru ayahanda selalu berkata, jika UMNO terima Islam dan keadilannya, PAS bubar dengan sendirinya.

Saya meringkaskan hujahan bagaimana asas penerimaan sistem pilihan raya sebagai cara pelaksanaan jihad menegakkan ugama oleh ulama berlaku. Jika anda mengikuti penghujahan mereka secara lebih detail, anda akan melihat bagaimana kaedah -kaedah fiqhiah dan pengistidlalan telah diguna pakai secara harmoni dan kemas sekali.

Anda mungkin boleh merujuk kepada tulisan saya sebelum ini yang lebih detail walaupun ianya juga adalah sebuah khulasah yang tidak sedetailnya. Sila klik di sini, sini, sini dan di sini. Nak panjang lagi, baca buku..

Jihad di Palestin adalah untuk menegakkan ketuanan ugama Islam dan membebaskan al Masjidil Aqsa daripada cengkaman Yahudi yang kufur. Jihad di Malaysia adalah untuk menegakkan ketuanan Islam dan membebaskan umat daripada kongkongan fahaman nasionalisme dan sekularisme BN yang syirik.

Jihad bersenjata di bumi Palestin adalah syar’ie dn qat’ie dalilnya. Penentangan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam terhadap Yahudi adalah ibarat matahari yang menyinari perjalanan umat Islam menuju al Aqsa. Jihad pilihan raya secara aman di Malaysia adalah ijtihad yang disepakati hampir keseluruhan ulama ‘al murabithun’ yang berjuang di medan siasah dan juga medan bersenjata. Ia jalan aman paling mendekati kuasa untuk Islam.

Ia dua padang yang berbeza dengan permainan yang berbeza tetapi dengan tujuan yang sama. Darah bersimbah di bumi Palestin sebagaimana ianya telah lama bersimbah dan mengalir semenjak jihad RasuluLlah menentang Yahudi di Madinah dan diluarnya. Kita aman di Malaysia sebagaimana RasuluLlah aman berhadapan munafikin Madinah yang sentiasa melakukan makar dan tipudaya memerangi baginda dan Islam. Jika darah mengalir di Malaysia, ia adalah di bumi Memali. Memali bukan angkara kita dan kita tidak pernah bertindak balas selain sabar dan bertahan. Memali adalah angkara pemerintah yang zalim.

Begitulah sunnah sepanjang zaman berjuang menentang kezaliman pemerintahan umat Islam yang zalim.

Adapun bukti – bukti kezaliman pemerintahan BN selepas najis sekularisme, anda bolehlah berlayar dan hinggap di mana – mana akhbar dan blog politik yang begitu berperanan menjelaskan bukti. Tahniah untuk anda para bloggers politik dan Islam.

Adapun hujahan mereka yang menolak pilihan raya sebagai wasilah jihad dan dakwah, nantilah. Saya akan menulisnya kemudian, insya Allah. 

Selamat berjihad di bumi Malaysia. Selamat ribath di Kuala Terengganu. Allahu akbar wa liLlahil hamd..

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Januari 2009
I S R K J S A
« Dis   Feb »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 155 other followers