You are currently browsing the monthly archive for Mac 2009.

Salam Kamunting,

Berkata Ibnu Khaldun, “Apabila sesebuah negara telah mencapai umur tua, ia tidak akan bangkit lagi.”

Kata – kata pemikir besar Islam ini mudah difahami. Tua adalah sakit yang tiada ubatnya. Ia bererti tiada lagi di hadapan selain ajal yang menutup segala harapan. Ia melanda manusia, haiwan, pokok tumbuhan dan semua makhluk tuhan.

Dunia ini pun sudah cukup tua. Ia seperti wanita tua bongkok sebagaimana digambarkan kepada al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam pada malam Isra’ dan Mikraj. Sampai masanya dunia ini akan mati. Kiamat adalah kematian bagi dunia ini sebagaimana disebut bahawa kematian setiap diri adalah kiamat kecil untuknya.

Tua mengakibatkan lemah jasmani, bahkan rohaninya juga. Ia tidak mampu lagi sebagaimana kudrat masa mudanya. Apabila ia lemah, penyakit datang dengan mudah dan susah pula dirawati. Ia akan menarik kematian dengan lebih segera.

Justeru kebangunan sesebuah negara dan keruntuhannya diikat oleh hukum alam ( sunnah Allah ) ini. Ia akan terhenti pada umur tuanya. Jika tiada faktor awal lain melandanya, maka ia akan diasak oleh faktor umurnya. Tiada negara yang berjaya dalam tamadunnya kecuali ia akan berakhir juga dengan sebab ketuaannya.

Ibnu Khaldun semasa menulis dan memutuskan kaedah dan sunnah ini sudah pasti melihat dengan jelas sejarah ketamadunan manusia yang terdahulu. Jika anda membaca dan memahami al Quran, terdapat beberapa lagi faktor atau sunnah tuhan yang menyentuh mengenai kejayaan dan kegagalan tamadun manusia.

Pada menetapkan sunnahNya, Allah menegaskan, ” Dan engkau tidak akan dapati sebarang penukaran lagi terhadap sunnah Allah dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan lagi terhadap sunnah Allah.” ( Fathir:43)

Negara kita selepas merdeka, melalui sistem demokrasi barat, telah diterajui oleh pemerintahan Barisan Nasional yang diketuai UMNO. Kini, ia telah mencapai umur lebih 50 tahun. Jika dikira umur sebuah tamadun, ia masih terlalu muda. Tetapi dalam sistem demokrasi hari ini yang memberi kuasa dan kebebasan kepada rakyat untuk melantik dan menukar parti yang memerintah, maka pemerintahan BN dikira sudah cukup tua.

Ia sudah lemah dan tak bermaya lagi.

Anda boleh melihat di dunia hari ini, dalam tempoh 50 tahun, negara – negara yang mengamalkan demokrasi telah mengalami pertukaran dan perubahan kerajaan lebih daripada sekali. Bermula di Amerika, England, India sehinggalah ke negara – negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Jepun, sesetengah perubahan yang berlaku adalah kerana faktor ketuaan yang mengakibatkan kelemahan dalam pemerintahan.

Kerana itu, pendapat ramai penganalisis politik negara yang melihat faktor UMNO dan BN yang telah mencapai umur tua sebagai petanda kejatuhan UMNO dan kerajaan BN bukanlah suatu telahan yang kosong atau sekadar analisis murahan.

Selepas UMNO dilihat memuncak di zaman Tun Mahathir, kemudian mula lemah di hujung pemerintahannya, ia berusaha untuk bangkit di zaman Pak Lah. Kejutan kebangkitan berlaku. Tetapi ia sekadar untuk beberapa tempoh yang pendek sekali. Ia sekadar panadol penahan sakit. Ia diasak oleh penyakit yang mula berakar di zaman Tun Mahathir. Pak Lah yang gagal sering dilihat dan dijadikan mangsa oleh UMNO dan Tun Mahathir sendiri seolah – olah beliau mampu membaiki dan membina kembali apa yang dulu diruntuhkannya sendiri.

Hari ini, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan UMNO dengan laungan perubahan menyeluruh dalam parti kebangsaan itu, ramai yang memberi harapan untuk kebangkitan UMNO kembali. Setiap presiden baru tuahnya pasti ada.

Untuk mengamati benar atau batilnya harapan itu, anda perlulah dahulu melihat dan memerhatikan benar atau batilnya dakwaan bahawa UMNO memang telah disumpah sunnah ‘tua’.

Saya cuba gariskan beberapa fenomena yang mungkin mencetus jawaban yang mujarab untuk memastikan kebenaran dakwaan bahawa UMNO telah tua dan tiada ubat untuknya lagi. Saya adalah anatara yang beriman dengan dakwaan ini.

1) Saya tiada jawaban untuk mengeluarkan UMNO daripada dimamah faktor yang telah menumbangkan rakan – rakannya daripada kalangan pemerintahan tua negara – negara jiran Malaysia. Satu – satunya negara terdekat yang masih selamat ialah Singapura. Adakah anda melihat UMNO sehebat parti pemerintah negara itu?

2) Saya tiada keyakinan langsung untuk mengatakan Datuk Seri Najib mampu membawa perubahan besar dalam UMNO. Pertama, beliau sendiri dipalit dakwaan buruk yang sukar dibersihkan. Mr dirty menggantikan Mr clean. Bolehkah saya meyakini bahawa pakaian kotor adalah lebih memikat berbanding pakaian bersih?

Kedua, UMNO terlalu memerlukan perubahan besar. Perubahan kecil – kecilan, singgul – singgulan, tempel – tempelan adalah membazirkan masa, wang dan harapan. Jiwa kecil Datuk Seri Najib tidak mungkin melakukan yang besar dalam pelan perubahan canangannya.

3) Rasuah adalah barah yang membunuh. Ia membunuh negara sebagaimana dadah membunuh manusia. Saya melihat pelan membasmi rasuah dalam UMNO lebih teruk daripada pelan membasmi dadah dalam negara. Jika UMNO sendiri membawa virus rasuah, bagaimana ia mampu menyelamatkan negara daripada rasuah?

Bagi saya, UMNO sedang membunuh diri. PAS tidak akan sempat membunuh UMNO.

4) Saya tidak melihat pelapis dalam UMNO yang dikagumi. UMNO meninggalkan generasi lemah yang ditakuti masa depannya. Bapa  yang meninggalkan anak – anak yang lemah pasti menyaksikan kematian keturunannya. Pertikaian dan kejayaan kumpulan yang dipalit rasuah dalam sayap pemuda UMNO baru – baru ini adalah menakutkan. Adakah anda mampu menyalahi saya di dalam tidak meletakkan harapan kepada generasi pelapis UMNO?

5) Rakyat telah dihidangkan dengan alternatif pemerintahan baru oleh Pakatan Rakyat. Bahkan, cara hidup tawaran Islam yang terbukti berjaya oleh PAS. Rakyat kini boleh menilai dan membezakan. Penutup mata telah dirungkai dan cahaya di hadapan sudah cukup terang.

Adakah anda boleh memberi keyakinan bahawa Kelantan adalah gagal? Anda perlu tahu bahawa tiada yang lebih berani menghukum kegagalan politik melebihi rakyat Kelantan. Mengapa mereka tidak menghukum PAS di Kelantan?

Lima fenomena yang saya sebutkan di atas cukup untuk menjadi sandaran di dalam menentukan kebenaran bahawa UMNO telah mencapai umur tua yang tidak akan menyaksikan kebangkitan lagi. Anda bolehlah merenung lama. Tiada cela berfikir lama untuk masa depan negara. Itu ibadah yang besar.

Ia adalah sebagaimana kata Maulana Abul Hasan Ali an Nadawi dalam komentarnya terhadap hikmah Ibnu Khaldun di atas, ” Justeru tiada lagi faedah di dalam menghabiskan masa dan tenaga untuk mengislah dan menguatkan negara ‘tua’ itu. Sayugia sekali disediakan satu kumpulan yang mampu melakukan inqilab Islami, lalu membentuk sebuah negara Islam yang baru di atas asas agama dan ilmu yang baru.” ( Rujuk kata pengantar oleh Sayyid Sabiq untuk buku ‘HujjatuLlah al Balighah’ oleh al Imam al Dahlawy )

Mengislah UMNO adalah membuang masa menghabis tenaga. Semoga rakyat tahu. Semoga rakyat berani berubah.

Salam Kamunting,

Mengapa kita sukar memperolehi jawaban yang menenangkan? Atau kita asyik salah membuat kesimpulan? Atau kita terpinga – pinga dan keliru apabila berdepan isu dan persoalan yang melanda di depan mata? Atau paling malang, mengapa kita menyalahkan sesuatu yang sememangnya betul?

Ramai ulama memberikan jawaban bahawa ia sebenarnya berpunca daripada dua faktor yang bertentangan. Pertama, kita tidak atau kurang membaca. Kedua, kita terlalu banyak membaca!

Anda tidak membaca anda jahil. Itu jawaban untuk manusia hari ini. Dunia kini bergerak sepantas ilmu yang dikuasai manusia. Oleh kerana ilmu adalah dengan membaca, anda akan terperuk di belakang dalam kotak jahil jika anda gagal untuk membaca . Anda hanya mengharap jawaban daripada angin yang lalu.

Akhirnya anda hidup tertipu. Ditipu oleh diri sendiri yang buta atau oleh orang lain yang suka mengambil kesempatan memangsakan anda. Pendek kata, tiada yang positif daripada kalimah jahil.

Ubat jahil adalah dengan membaca atau berkawan dengan orang yang membaca. Perhatikan berapa ramai orang yang tidak membaca dan dia pula suka berkawan dengan orang yang juga tidak membaca. Perhatikan juga betapa orang yang membaca tidak gemar berkawan dengan orang yang tidak membaca. Jadi, jika anda ingin berkawan dengan orang alim, anda kenalah juga jadi alim dengan membaca. Jika tidak, anda mungkin hanya boleh mendekatinya tetapi dia tidak pun mendekati anda.

Justeru, anda kekal sebagai murid sampai tua. Jika guru anda itu alim yang baik, anda selamat menumpang ilmunya. Jika dia alim yang  jahat, anda tak mungkin selamat. Bagaimana anda yang jahil nak selamat jika anda tak tahu pun dia jahat? Hanya yang berilmu tahu gurunya baik atau tidak.

Itu jika si jahil itu mahu jadi murid. Bagaimana jika dia enggan? Tidakkah hanya orang yang mencintai ilmu sahaja yang suka menjadi murid?

Begitulah kesukaran mengubat kejahilan. Justeru adalah tidak sukar untuk mengatakan bahawa orang yang jahil sentiasa sukar memperolehi jawaban yang benar dalam kehidupan dunianya, apatah untuk akhiratnya.

Tetapi, anda perlulah juga sedar bahawa antara faktor sukarnya memperolehi jawaban yang benar adalah kerana terlalu banyak membaca!

Banyak membaca adalah baik. Tetapi jika anda membaca apa sahaja sedang anda gagal membina asas binaan diri yang kukuh, bacaan anda itu pasti akan memberati anda lalu ia menindih atau menggelincirkan anda sama sekali.

Anda membaca itu dan ini, pandangan itu dan ini, jawaban itu dan ini. Akhirnya kepala anda jadi berat dan bersilang – silang. Anda gagal memilih mana satu pilihan yang tepat. Sebabnya anda tak tahu siapa anda sebenarnya. Anda belum membina diri sendiri sebelum menduduki binaan orang lain.

Apa yang anda baca hari ini?

Ya, Allah berfirman, “Bacalah.” Tetapi tidakkah Dia juga menambah, “Dengan nama tuhanMu.” Ertinya, sebagai seorang muslim, anda perlu membina diri dengan sebagai seorang muslim yang tunduk pada kekuasaan dan keesaaanNya. Jika tidak, anda akan melampaui batas!

Ilmu mencipta keegoan melampau jika ia tidak menundukkan. Anda samada tunduk dan tawadu’ atau jadi sombong takbur kerana banyak membaca. Anda enggan kecuali hanya tunduk pada nafsu sendiri yang merasa tahu dan serba tahu.

Dalam surah yang sama ( al Alaq ), Allah berfirman, “Ketahuilah, sesungguhnya manusia itu pasti melampaui batas tatkala mendapati dirinya cukup!”

Orang alim yang banyak membaca egonya hebat. Dia rasa dia tahu itu dan ini. Soalnya, adakah itu yang Allah mahu daripada arahanNya agar hambaNya membaca? Tidakkan?

Membaca hendaklah dengan nama Allah, keranaNya dan untukNya. Allah berfirman lagi selepas itu, “Sesungguhnya kepada tuhanMulah tempat kembali.” Ubat mengelak takbur adalah menginsafi bahawa kepadaNyalah tempat kembali. KepadaNya kembali segala perkara.

Kebanyakan kita membaca sesuka hati mengikut kehendak dan keseronokan diri. Ini tidak banyak membantu walaupun ia baik.

RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam tidak tahu membaca. Apabila baginda disuruh membaca, baginda membaca dan bacaan awal dan akhirnya adalah al Quran. Baginda kemudian dikurniakan ilmu dan hikmat.

Al Quran penuh ilmu. Malangnya kebanyakan manusia seronok menimba ilmu yang bukan dari al Quran atau bersumberkan al Quran. Dia membaca tetapi dia jauh daripada al Quran. Apakah keyakinannya bahawa dia akan selamat daripada  ego nafsunya nanti? Dia mungkin berilmu tetapi ilmunya tidak bermanfaat bahkan merosakkannya.

Al Quran hidup di dada orang berilmu yang bertaqwa. Malangnya kita menjauhi buku – buku karangan ulama yang bertaqwa dan leka pula dengan buku – buku yang penulisnya tiada bukti dan petunjuk taqwa. Kepala dan otak kita dipenuhi pandangan dan jawaban daripada mereka yang kering keinsafan dan kontang rasa takut pada tuhan mereka.

Akhirnya kita gagal memperolehi jawaban yang benar yang menenangkan hati kita yang ingin tunduk pada kebenaran sebagai seorang muslim.

Membina diri hendaklah bermula dengan akidah yang benar. Anda perlu melumati ilmu akidah. Dengannya anda akan rasa tenang sungguh untuk berjalan di bumi ini sebab anda akan memandang secara tepat dan tajam. Anda tidak keliru lagi dengan simpang siur di depan.

Membina diri hendaklah bersumberkan al Quran dan al Sunnah. Anda pula mestilah mendapatkannya melalui jalan yang betul untuk mengenal sesuatu itu adalah benar daripada Allah dan rasulNya. Anda perlu sedar bahawa penafsiran kedua – dua sumber itu dipenuhi kekaburan dan kerumitan kerana jauhnya kita daripada  guru pertama iaitu RasuluLlah, juga murid – muridnya yang diredhai tuhan, iaitu para sahabat ridhwanuLlahi alaihim.

Ada talian emas yang menghubungi kita kepada ar Rasul. Ia bersanad dengan kekuatan para ulama muktabar yang lahir sepanjang zaman. Ia sehingga mencipta darjah ‘mutawatir‘ yang kesepakatan antara mereka adalah akidah yang tidak boleh ditinggalkan lagi.

Ia ilmu khas Islam dan tidak mungkin wujud kecuali dalam Islam. Ia ilmu ciptaan sifat amanah dan benar.

Anda perlu memahami betapa sumber ilmu yang anda baca mestilah memakai talian emas ini dan mengambil inspirasi ilmu ini. Jika tidak, kita tidak memperolehi apa – apa kecuali padangan otak manusia yang macam kita juga. Lebih kita hanya pada ilmu. Lebih ilmu hanya pada taqwanya.

Perhatikan, orang menyokong mazhab UMNO yang sekular, kebangsaan dan liberal kerana kekuasaannya, keramaiannya, keduitannya atau mungkin keilmuannya. Jika mereka membaca dan memahami al Quran secara betul, mudah sahaja untuk menolak UMNO dengan kesesatannya. Tetapi, bagaimana mereka menbaca? Atau, adakah mereka membaca?

Perhatikan juga orang yang menyokong aliran yang menghina para sahabat RasuluLlah dan keluarganya. Mereka membaca sejarah tetapi mereka gagal menilai bahawa sejarah memerlukan fakta yang tepat. Sejarah adalah cerita dan sirah. Bayangkan sukarnya kita memfaktakan cerita dan khabar hari ini. Bagaimana dengan cerita dan khabar seribu tahun dulu??

Talian emas Islam menolak sekerasnya aliran yang membunuh karektor para sahabat al Rasul dengan tuduhan sebagai pengkhianat. Ia dibuktikan penuh dengan kebatilan, penipuan dan kekhayalan.

Tetapi dek membaca tanpa panduan yang dimestikan, anda mungkin seronok melihat perayaan Karbala yang penuh cerita batil semata – mata anda ingin menunjuk simpati dengan keluarga Al Rasul. Anda akhirnya menangisi cerita karut sebagaimana anda menangisi filem epik.

Manakan sama antara menangisi filem Hisdustan dan filem Gaza!? Fakta Karbala takkan boleh diadun dengan epik Karbala. Fahami ini jika anda ingin selamat dan diredhaiNya.

Saya nyatakan contoh yang sedikit sedangkan di hadapan kita kesalahan dan kegelinciran yang banyak dek kejahilan dan kecelaruan daripada sumber ilmu yang lemah dan lintang pukang.

Kembalilah membaca al Quran, memahaminya dan dekatilah buku – buku yang muktabar penulisnya dan jernih ilmunya. Kelak kita akan mudah membuat kesimpulan daripada pelbagai jawaban yang dibentangkan di hadapan.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mac 2009
I S R K J S A
« Feb   Apr »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 153 other followers