Salam Kamunting,

Anak – anak adalah kurniaan dan nikmat yang tiada terperikan. Ia bagaikan nyawa yang disambung – sambungkan untuk merentas masa di dunia ini. Ia menyambung dan meneruskan harapan, cita – cita dan perjuangan setiap kita. Tiadalah yang lebih menggembirakan selain melihat segala harapan yang tinggi menjadi kenyataan.

Justeru anak – anak yang soleh dan berjaya adalah kurniaan agung untuk hamba – hambaNya yang soleh. Para anbiya’ menikmati kurniaan ini di tangga yang pertama ( lihat Aali Imran: 34 ). Mereka dikurniakan zuriat yang sebahagiannya juga telah dilantik menjadi al rasul yang menyambung tugas mereka melakar cita – cita dakwah dan tauhid.

Anak – anak juga adalah amanah. Kerana setiap manusia adalah terbeban dan tergadai dengan tanggung jawab masing – masing. Kerana setiap manusia terikat dengan hasil usahanya sendiri di dunia ini. Maka melorongkan anak – anak yang masih kecil dan mentah itu menjadi tanggung jawab dan amanah ke atas setiap kita yang tiada terperikan juga.

Mendidik anak – anak adalah kewajiban yang besar. Kerana tugas besar seorang al rasul, tugas mendidik mereka sedari kecil disandang sendiri oleh Allah daripada ibu bapa mereka ( lihat Taha:39-41 ). Maka bayangkan bagaimana setiap anak terlalu terkesan dan terbekas atas acuan pendidikan yang mereka terima. Jika baik, baiklah mereka. Jika gagal, gagallah mereka. Kita menentukan mati hidup mereka di dunia ini.

Ia adalah amanah yang sukar dan berat untuk ditanggung. Namun ia juga adalah kurniaan dan nikmat yang tiada terperikan.

Mari medidik anak - anak. Biar mereka tumbuh sesegarnya, lalu kemudiannya berbuah selebatnya dan dinikmati sesedapnya.

Mendidik tentunya sukar. Tetapi ia dimudahkan dengan qudwah dan petunjuk di hadapan daripada ar Rasul sallaLlahu alaihi wa sallam sendiri. Kemudian para sahabat dan mereka yang telah berjaya daripada kalangan hamba – hambaNya yang soleh. Pastinya, jika anda mengabaikan qudwah dan petunjuk ini, lalu meredah jalan sendiri, atau membiarkan mereka terheret ke laluan yang serong, anda sememangnya menempa kesusahan dan malapetaka yang besar.

Lahir anak – anak yang degil, derhaka, kurang ajar, lemah dan putus asa, lalu menjadi mangsa dadah dan sosial tak terubat. Saat itu, nikmat dan kurniaan bertukar menjadi kecelakaan yang tak terperi pula jadinya.

Semuanya kerana didikan yang salah. Didikan yang tak sempurna pun adalah salah. Didikan menuntut kesempurnaan pada segala ruang dan lingkupnya. Ia tiada galang gantinya.

Di Malaysia, seburuk – buruk pendidikan adalah pendidikan yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kenapa?

Kerana seburuk – buruk ilmu adalah ilmu sekular. Pendidikan negara adalah sekular. Dunia untuk dunia. Akhirat nantinya di akhirat. Itu jika akhirat itu ada.

Terdidik di dalam didikan sekular adalah sebab terbesar meruntuhkan binaan diri anak -anak muslim menjadi rapuh, punah dan binasa.

Jika anda memberi harapan kepada j-QAF atau KAFA, anda adalah mangsa awal sekularisme dan mangsa kepada sebuah harapan bertulang rapuh sebelum anak – anak anda sendiri menjadi mangsa ke seterusnya ( hanyalah guru yang benar dan soleh sebagai penyelamat ).

Perhatikan, saat anak -anak mencecah umur 15 tahun, saat umur getir ini, saat persimpangan ini, kerajaan dan anda bersibuk untuk melihat jumlah dan peratus A yang tinggi dalam peperiksaan.

Di mana anda saat Allah mengumumkan peperikasaanNya yang pertama? ‘A’ kah solat lima waktu yang fardhu itu? Bukankah 15 tahun itu adalah persimpangan syurga dan neraka untuk anak – anak?

Ramai mana ibu bapa yang bergembira dengan kejayaan anak – anak memperolehi A, sedang ia disambut di serambi neraka? Anaknya tak pun solat. Ayahnya tak pun mengendahkan!

Anda tunggulah sampai kiamat untuk kerajaan BN – UMNO bertanya anda, adakah anak anda telah solat sempurna lima waktu? Tunggulah sampai kiamat!

Semoga Allah menjauhi kita daripada BN – UMNO yang penuh kejahatan dan penyakit. Semoga anak – anak kita terselamat daripada BN – UMNO yang penuh makar dan perancangan jahat.

About these ads