You are currently browsing the monthly archive for September 2009.

Salam Kamunting,

Saya, sepertilah anda juga, kecualilah jika anda memang terlalu bagus, bermula dengan serba kekurangan. Hari ini, saya sepertilah anda juga, telah mampu mengenali dan menyedari satu demi satu kekurangan diri.

Sebelum saya berakhir di dunia ini, saya berharap sangat bahawa saya telah mampu membaiki segala kekurangan diri yang saya sedari itu. Saya, sepertilah anda juga ingin menyempurnakan kekurangan itu satu persatu. Satu demi satu. Kita mahu berakhir dan diri kita telah sempurna dan kuat.

Kita diciptakan dalam lemah. Tetapi kita mesti berakhir dengan kuat. Di dunia, kita ada ibu untuk mengajar kita bertatih, lalu kita menjadi bertambah kuat. Kita ada bapa untuk membesarkan kita, lalu kita menjadi bertambah sihat dan kuat. Ketika mereka melepaskan kita keluar dari rumah, kita sudah ada akal yang sejahtera untuk kita membina diri dan kekuatan sendiri.

Kita dilahirkan lemah, tetapi kita diberi tongkat yang banyak untuk berjalan di bumi ini.

Apabila kita berakhir di hujung nanti, kita mestilah sekuat yang terdaya oleh kita. Berakhir adalah bererti kita bermula dengan alam yang baru! Alam tanpa tongkat lagi. Kita mengadap alam baru tanpa apa – apa lagi kecuali Tuhan yang menciptakan kita..

Di dunia ini kita perlukan kekuatan untuk mengadap manusia dan kehidupan. Di alam baru nanti, kita perlukan kekuatan berganda - ganda kerana kita dipaksa mengadap Sang Pencipta dan pembalasanNya!

Tiada lagi ibu atau ayah, teman atau penyokong. Tiada lagi akal dan helah atau pangkat dan harta. Kosong. Diri dan di hadapan diri adalah Allah jalla jalaluhu.

Kita diciptakan sedemikian oleh Tuhan. Dengan sengaja dan dengan tujuan. Agar kita sedar bahawa kita bukan tuhan, bahkan kita ini adalah hamba yang dimiliki. Kita dan tongkat kita semuanya adalah hamba yang hina dina. Bahawa setiap hamba mestilah mengadap tuannya tanpa soal dan pinta.

Kita mesti kuat mengadapnya. Tetapi kekuatan apa itu?

Bukankah kekuatan itu semuanya luluh dan berkecai di hadapan kuatNya?

Bahkan! Tiadalah lagi kekuatan kecuali kekuatan yang satu. Ia adalah kekuatan bergantung kepadaNya!

Di dunia, untuk mengadap manusia, kita bertongkat saja pada manusia. Di akhirat nanti, untuk mengadap Allah, kita hanya boleh bertongkat pada Allah azza wa jalla. Hanya Allah tongkat kita.

Kita mesti bergerak dalam perjalanan masa untuk berpindah daripada sebatang tongkat yang kecil dan lemah kepada batang tongkat yang lebih besar dan kuat. Di hujung nanti, sebelum kita berakhir, kita memerlukan tongkat terakhir yang maha besar dan maha kuat. Bertongkat pada Sang Pencipta.

La Hawla wa la Quwwata illa biLlaah al ‘aliyy al ‘aziim..

Saya, sepertilah anda juga, dilancarkan ke samudera masa menuju hujung yang pasti. Saya akan mencari tongkat yang lebih kuat dan lebih baik. Dulu saya bertongkat pada ayah dan ibu, tetapi kini saya bertongkat pada ilmu dan pengalaman. Kadang – kadang saya didorong untuk bertongkat pada harta dan kedudukan, atau kesihatan tubuh dan kemasyhuran diri. Biasa sekali, bila terhantuk barulah saya tengadah!

Allah sengaja memperkenalkan kita dengan segala tongkat dan kita diminta menguji kekuatannya. Tetapi kita tidak akan mampu menilai kekuatannya yang sebenar sehinggalah kita mengujinya dengan kekuatan Allah! Malangnya, manusia jarang sekali mengujinya dengan kekuatan Allah. Bagaimana mereka mahu mengujinya dengan kekuatanNya sedang mereka tidak pun mengenali Allah?!

Saya telah yakin dan beriman bahawa Allahlah kekuatan sebenar untuk kehidupan. Saya tidak mungkin meyakini dan beriman denganNya sehinggalah saya mengenaliNya. Saya tidak mungkin mengenalinya kecuali setelah saya menambah ilmu, bertafakkur pada kejadian alam dan beribrah daripada pengalaman hidup.  

Berilmu dan berfikir telah mendorong saya untuk tidak lagi ragu – ragu pada Allah. Saya hanya benar – benar ingin bertongkat pada Allah yang telah menciptakan saya dan seluruh makhluk di alam ini. Justeru saya benar – benar ingin menambah ilmu dan bertafakkur dalam kehidupan ini sehingga hujung hidup saya.

Saya seorang pendidik. Tetapi saya tidak mengecapi apa – apa kemanisan kecuali jika saya bertambah – tambah menemuiNya dalam dunia pendidikan.

Saya seorang usahawan. Tetapi saya sering kehausan sehinggalah saya mendapatiNya menongkati saya dalam perniagaan, lalu saya menjadi seronok mendapat laba dan harta.

Saya seorang politikus. Tetapi saya sering merasa bodoh dan kesepian sehinggalah Allah datang membantu dan menunjuki saya dengan ilmu dan jalan yang benar dalam berpolitik.

Saya seorang pendakwah. Tetapi saya sering keletihan dan terhenti sehinggalah saya diberi ilmu dalam dunia amar makruf dan nahi munkar.

Tanpa ilmu saya tidak akan mengenali Allah. Tanpa Ilmu saya tidak akan berakhir dengan kuat dan sempurna.

Dalam apa bidang dan sektor pun, kita akan tertipu dengan tongkat – tongkat yang kita bergagah padanya sehinggalah kita bergagah pada Allah dan kekuatanNya.

Sebelum kita berakhir di dunia ini, mari kita terus berjuang untuk mengenali Allah, lalu kita beriman dan bergantung kepadaNya. Itulah kekuatan yang sepertilah anda juga, saya menagihnya.

Salam Kamunting,

Saya, juga seluruh warga DPP Pengkalan Chepa nak ucapkan selamat hari raya eidul fitri buat seluruh umat Islam, khususnya para pembaca budiman, tak kiralah lelaki dan perempuan, tua dan muda, uda dan dara. Semoga kegembiraan kita adalah kerana kejayaan kita mengisi Ramadhan dengan ibadah, taat dan taqwa kepada Allah. Semoga kegembiraan kita adalah pancaran rasa syukur di atas hidayat yang dikurniaiNya ta’ala.

Semoga kegembiraan kita dikongsi bersama oleh orang – orang yang lemah, miskin dan dizalimi daripada kalangan umat Islam seluruh dunia. Apalah manfaatnya bergembira dalam hambatan amanah yang tak tertunai. Semoga zakat fitrah yang kita tunaikan dengan ikhlas menjadi penyebab kerdil yang mencetuskan kegembiraan di jiwa mereka pada pagi hari raya dan hari – hari mendatang selepasnya.

Semoga kita didampingi al Quran selepas kita telah berusaha untuk mendampinginya sepanjang masa di bulan Ramadhan. Al Quran adalah sumber kekayaan, kekuatan dan kegembiraan bagi jiwa yang benar – benar kembali.

Semoga kita diberkati Lailatul Qadr yang diburu setiap yang beriman kepada Allah dan rasulNya. Semoga Allah memberkati masa kita di dunia ini. Kita adalah masa dan masa adalah kehidupan.

Semoga kita gembira selama – lamanya, dalam susah dan senang juga sempit dan lapang. Semoga Allah mengampuni dosa umat Islam seluruhnya. Amin.

Selamat Hari Raya Eidil Fitri. Maaf zahir dan batin.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.   

Jemput ke rumah ayahanda di rumah terbuka di kediaman kami di Pulau melaka pada hari raya pertama.

Silakanlah..

Salam Kamunting,

Setiap malam, setiap mukmin sedang meneka – neka dan mencari – cari malam yang agung itu. Ibu kita, Aishah  radhiaLlahu ‘anha sampai bertanyakan RasuluLLah sallallahu alaihi wasallam, apakah doa yang harus dibaca jika beliau merasa – rasakan kehadiran malam lailatul qadar itu. Baginda bersegera memberikan isteri kesayangannya itu dengan doa yang tinggi sekali nilai dan kesannya. Bacalah, “Tuhanku, sesungguhnya engkau maha pemaaf, engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku.”

Bagaimana jika kita saling menghadiahkan doa ini di antara kita suami isteri? Tidakkah hebat merasa – rasakan untuk meniru suasana hangat pemburuan malam agung ini dari rumah keluarga al Rasul?

Apabila masuk sepuluh malam terakhir, Baginda segera menghidupkan malamnya, membangkitkan ahli keluarganya dan mengilas kainnya ( bersungguh – sungguh ) demi memuncakkan perolehan ganjaran dan keberkatan malam agung itu.

Ayuhlah, masih ada masa untuk kita saling berlumba.. 

Jangan diabaikan ibadah iktikaf di masjid. Jangan ditinggalkan sesuatu yang agung daripada nabi kita. Ia untuk kita, jika kita ini solihin, mukminin, muttaqin atau kita mengimpikan gelaran syurgawi itu.

Jikalah kita terlalu sibuk, jangan lupa, seperti kata ayahanda, meniatkannya setiap kali kita masuk masjid untuk menunaikan solat lima waktu. Apabila kita meniatkannya, kita akan merasakan bahawa kita sedang memagari diri kita untuk Allah, tuhan yang maha sabar menanti kehadiran hambaNya. 

Ibadah yang paling berkesan adalah berfikir, bertafakkur, bertadabbur dan beribrah. Ia mengesankan sungguh. Tanpa tafakkur, kita tidak mampu bersyukur. Syukur hendaklah memuncak di malam Syawwal saat kita bertakbir membesarkan Allah ta’ala. Itu arahan al Quran.

Adalah Abu al Darda’ radhiaLlahu anhu seorang sahabi yang banyak beribadah dengan berfikir dan memerhatikan penciptaan Allah azza wajalla dan tanda - tanda kebesaranNya yang nyata. Beliau pernah berkata, “Bertafakkur sesaat adalah lebih baik daripada beribadah semalaman.”

Telah ditanya Ummu al Darda’, “Apakah sebaik – baik amal Abu al Darda’?” Beliau menjawab, “Bertafakkur dan beriktibar.” – (Kedua-duanya adalah riwayat Imam Ahmad dalam kitab al Zuhd).

Justeru, bersegeralah menikmati ibadah berfikir. Berfikir demi mensyukuri nikmatNya.

Basahi pipi untuk mengingati nikmat ini;

1) Kita dijadikan muslim seawal dilahirkan. Bayangkan sebaliknya, sebagaimana jiran kita orang Cina dan India yang berlainan ugama. Alangkah sukarnya hidayat! Alangkah mudahnya Islam kita!!

2) Kita dimudahkan dengan al Quran. Bayangkan sebaliknya, sebagaimana orang kafir. Atau sebagaimana golongan munafik yang masih bermain – main dan bersenda gurau dengan al Quran! Alangkah sukarnya khusyu’. Alangkah mudahnya kita dihadiahkan untuk membaca dan khusyu’ di hadapan al Quran.

3) Kita dilorongkan untuk memilih jalan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Bayangkan jika kita diseronokkan untuk menghina para sahabat yang disucikan hati mereka dengan al Quran! Atau, jika kita diobseskan dengan pandangan yang salah dalam memahami jihad, lalu kita membunuh sesama sendiri, atau mengkafirkan sesama sendiri. Alangkah malangnya hidup dalam Islam yang disesatkan kefahamannya. Alangkah beruntungnya kita didekati ulama yang suci dan sempurna ilmu dan fahamnya terhadap ugama.

Mari berpuasa, bertaqwa dan bersyukur dengan al Quran. Semoga Allah tidak mengharamkan kita dengan Lailatul Qadar.. Aamiin.

Assalamu ‘alaikum wa rahmatuLlah,

Adalah saya dengan ini memaklumkan bahawa mulai Ogos 2009, saya dan Maahad Tahfiz NikmatiLlah, Pulau Melaka, Kota Bharu, telah KELUAR daripada syarikat Saffron Integrated Marketing, sebuah entiti perniagaan yang mengeluarkan dan memasarkan produk atas jenama ‘TOK GURU’  sebagai penasihat dan penaung kepada projek sumbangan dana kepada Maahad dan beberapa sekolah ugama yang lain di seluruh negara. 

Dengan ini, saya dan Maahad Tahfiz NikmatiLlah tidak boleh lagi dikaitkan dengan perniagaan dan jenama tersebut.

Demi meneruskan kelangsungan usaha murni ini yang telah mendapat sokongan penuh kedua – dua tuan guru ( TGNA dan TGHH ) melalui kesudian melancarkan produk syarikat di Pulau Melaka dan Rusila suatu ketika dulu, serta sokongan padu segenap lapisan masyarakat, di samping kejayaan membantu sekolah – sekolah ugama berkaitan, saya dan rakan – rakan yang prihatin akan memulakan pemasaran produk di atas nama syarikat dan jenama yang baru dalam masa terdekat, insya Allah.

Semoga diberkati Allah. Semoga diperkenan khalayak.

Adalah saya dengan ini memaklumkan.

( nik mohamad abduh bin nik abdul aziz )

Salam Kamunting,

1)

Kita memasuki fasa kedua bulan Ramadhan, fasa maghfirah. Allah mengeratnya kepada 3 bahagian agar kita merasa mudah dan tidak sukar menyempurnakan 30 hari berlapar dan bersabar di bulan penuh keberkatan ini. Permulaan setiap fasa akan memberikan nafas dan kesegaran untuk terus maju mengejar hikmah dan janji al Rabbul Jalil.

Ramadhan adalah sekolah orientasi intensif. Ia menyuci dosa dan noda setahun, sebagaimana tugasnya solat lima waktu, solat jumaat, umrah antara umrah dan juga ibadat haji yang menyucikan dosa di antara mereka. Manusia adalah makhluk yang berdosa dan disuruh membersihkan dosa untuk hidup suci dan tenang dengan kelebihan kurniaanNya.

Apabila tubuh menjadi suci, ia melonjakkan ruh ke langit dan ke atas unsur maddi dan jasmaniah. Ia akan memburu kehidupan malaikat yang berebut – rebut mendamba diri menyembah tuhan. Di bulan Ramadhan, pendambanya akan menjauhi perbuatan – perbuatan bersifat nafsu, duniawi dan haiwani. 

Oleh kerana penyucian diri diikat dengan kawalan terhadap keinginan nafsu dan gelojaknya, maka puasa diikat pula dengan kesabaran. Puasa adalah sabar. Justeru RasuluLlah menggelar Ramadhan sebagai ‘bulan sabar’. Agama adalah sabar melakukan ketaatan dan sabar menahan diri daripada maksiat. Hakikatnya, sabar adalah senjata segala senjata di dalam menempa kejayaan hidup.

Puasa mendorong kita merasakan nikmat yang dilupakan. Nikmat sihat, segar, kenyang dan kaya. Lapar mengubah haluan berfikir pada kebiasaan. Kebiasaan itu melupakan dan mengalpakan kita daripada kewajiban dan kebenaranMengingati nikmat melahirkan syukur. Syukur adalah buah ranum tuaian taqwa. Di hujung Ramadhan dan di awal malam Syawwal dan di paginya juga, kita dikerah untuk bertakbir membesarkan Allah. Tujuannya, la’allakum tasykurun - moga kamu menjadi hambaNya yang bersyukur!

Hamba yang bersyukur, yang lahir daripada sifat taqwa akan tahu dan bersedia untuk hidup berbakti sesama manusia. Penyucian diri berakhir dengan kesungguhan untuk hidup berbakti sesama insan.

Sekarang anda melihat bagaimana mudahnya puasa mengubah kita, bahkan mengubah kehidupan masyarakat Islam!

Justeru anda bayangkan jika ditiadakan ibadah puasa!? Maksudnya, jika kita mengabaikan ibadah puasa!? Apabila kita kehilangan hikmah, kita dipalang akibat!

2)

Semalam kita menyambut hari kemerdekaan negara ke 52. Moleknya, ia jatuh di bulan Ramadhan. Lawanya, ia jatuh pada 10 Ramadhan. 10 Ramadhan adalah tarikh bersejarah umat Islam/Arab mengalahkan Israel dalam perang moden menentang Yahudi, penceroboh kemanusiaan. Jika kita mahu bersandar pada tuah dan syukur, kita ikatkan ketiga – tiga nikmat itu, – merdeka, Ramadhan dan kemenangan Islam – lalu kita berkata, MERDEKA!

Sesungguhnya kita mahu bebas dengan Islam daripada penjajahan nafsu dan musuh!

Merdeka adalah nikmat tak terperi. Ketika negara melaungkan kemerdekaan 52 tahun yang lepas, betapa banyaknya air mata yang menitis kegembiraan. Kisah – kisah duka penjajahan bangsa asing sememangnya cukup menjadikan hati kita anak merdeka menjadi lembut dan insaf. 

Hari Kemerdekaan negara adalah sah untuk dirayakan. Allah mengingatkan Bani Israel dengan nikmat kemerdekaan daripada cengkaman Firaun dan kerajaannya yang zalim. Lihat al Baqarah:49.

Apabila RasuluLlah melihat Bani Israel berpuasa pada hari mereka mengingati pembebasan Allah terhadap mereka daripada buruan Firaun yang ditenggelamkan dalam lautan yang dalam, Baginda turut berpuasa dan menyaran umatnya berpuasa dan berkata, kita lebih layak mengingati sejarah itu daripada mereka!

Yahudi berpuasa demi itu, tetapi mereka lupa betapa merekalah yang mengkufuri nikmat itu apabila merekalah yang mula – mula menyembah lembu selepas pembebasan itu, sebaik ditinggalkan Musa alaihissalam selama 40 hari untuk menemui tuhannya!

Mensyukuri kemerdekaan, awal dan akhirnya adalah mentauhidkan Allah, bukan berdegar – degar dengan laungan kemerdekaan dengan mensyirikkanNya dengan sesuatu daripada makhlukNya.

Sekularisme adalah lembu yang disembah hari ini. Jauhilah syirik! Jangan jadi Bani Israel!

3)

Malam 31 Ogos baru – baru ini saya dijemput untuk menyambut detik 12 malam di Dataran Shah Alam. Saya menjadi panel forum bersama YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ustaz Riduan Mohd Nor. Forum diselangi dengan persembahan muzik dan nyanyi – nyanyian oleh bekas Band Rock Abang Man Jack entah apa…

Saya agak terpaku juga sebab ia suasana baru dengan approach baru dan sensasi juga dengan audien terdiri daripada anak – anak muda ‘couple’ yang agak ramai yang datang ke dataran untuk ‘bergalak’ sebagaimana zaman UMNO dulu - dulu. Ucapan saya agak telor pelat juga, macam berjalan di atas titian rumah air di Sabah dan Serawak. Hah, sukar sekali pak!

Peliknya, selepas forum dan sambutan tamat, beberapa anak muda ‘couple’ datang kepada saya untuk bergambar! Mereka nampak gembira pula. Saya pula yang tersengih – sengih beri possing, takut – takut masuk majalah Mangga!  Harap – harap menjadilah dan ada kesanlah progaram yang bagus untuk mendekati mereka itu.

Tahniah pemuda Shah Alam. Well done..

Selamat bertamu di rehal al Quran!

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

September 2009
I S R K J S A
« Ogo   Okt »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 156 other followers