You are currently browsing the monthly archive for Oktober 2009.

Saya ingin memaklumkan bahawa al fadhil al ustaz Mohd Edrus Ab Rahman, penulis doa syifa’ tinta za’faran melaui kaedah rawatan pinggan putih akan terus bersama saya menggerakkan projek dana Maahad Tahfiz NikmatiLlah, Pulau Melaka, Kota Bharu dan sekolah – sekolah ugama rakyat ( SAR ) terpilih yang akan dilancarkan melalui sebuah syarikat baru yang telah pun ditubuhkan bagi menggantikan usaha kami yang tergendala sebelum ini.

Syarikat akan beroperasi bila – bila masa dari sekarang.

Al fadhil adalah rakan sepengajian di India Pakistan yang pernah saya jemput untuk turut bersama menggerakkan syarikat SIM beberapa tahun lepas. Beliau seperti yang saya kenali adalah seorang yang berilmu dan istiqamah di dalam menyebarkan ilmu melalui penubuhan Maahad Tahfiz az Zahrah, Sungai Buloh, Selangor di mana beliau adalah timbalan mudirnya.

Beliau juga merupakan seorang pengamal perubatan Islam yang dikenali. Antara yang menarik dan mententeramkan adalah kaedah perubatannya yang menggunakan ayat – ayat suci al Quran tanpa campur aduk kaedah yang rumit dan diragui. Ia kaedah murni jarang dilakukan.

Walau bagaimanapun, untuk mengelak kekeliruan pengguna semasa produk asy syifa’ SIM, al fadhil akan terus menulis untuk syarikat tersebut sehingga tempoh tertentu.

Dengan penglibatan al fadhil Mohd Edrus dan dua lagi rakan yang pernah bersama – sama menggerakkan SIM di peringkat awal dulu, diharap ia mendapat kepercayaan dan sokongan daripada khalayak. Mereka ialah encik Wan Hasnol Hadi dan encik Nazri.

Terima kasih di atasan sokongan dan dukungan padu para sahabat pengguna.

Salam Kamunting,

Lebih 25 tahun kita dalam PAS hidup aman, selesa dan sentosa selepas hadirnya kepimpinan ulama. Sewajibnya kita mensyukurinya. Keselesaan kita itu telah banyak membantu kita untuk membantu masyarakat mengenali kita secara lebih dekat.

Adakah anda menjangkakan Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang menggugat kestabilan yang kita kecapi itu? Bahkan, ujian Allah tetap berlaku dan tiada siapa tahu dari daerah mana ujian itu datang. Yang pasti, ujian itu datang untuk menukar keamanan kepada perpecahan. 

Dalam aman kita lena terbuai. Dalam kocakan kita sedar dan bersedia. Ertinya, ujian itu penuh hikmah. Allah menginginkan kita untuk tidak lena dan sentiasa berjaga – jaga. Siapa lena di dunia ini, dia tidak akan lena di akhirat nanti.

Semakin ujian itu sukar, semakin besarlah kesannya, baik ataupun buruk. Samada kita keluar daripadanya dengan seribu kebaikan atau jika sebaliknya, dengan seribu keburukan.

Pernahkah anda melihat atau mendengar mengenai perselisihan di antara dua kumpulan dalam agama yang mengelirukan sekali. Ditelan mati anak diluah mati ibu? Apatah di sebelah adalah Ali dan di sebelah lagi adalah Aisyah ( radiaLlahu anhuma ). Ia begitu sukar tetapi siapa dapat menjangka ujian Allah?

Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.

Antaranya, 1) Anda mesti ikhlas 2) Anda mesti memohon pembabasan denganNya daripada keburukan fitnah itu 3) Anda mesti adil menilai 4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk 5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama 6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik 7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik 8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan. 9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal 10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan 11) Anda jangan nak jadi hero.

Diberitakan daripada sumber yang sahih bahawa al Ikhwanul Muslimin di Mesir juga ada kucah dan kacau hari ini. Antara sebabnya adalah dunia blog. Dunia blog hari ini adalah cukup tanpa adab seolah – olah ada lesen daripada ugama untuk tidak berakhlak dalam berblog!

Di mana – mana pun ujian mesti ada dan kena ada. Kerana Allah ada di mana – mana.

Saya melihat sesetengah ahli PAS cukup berani di dalam berblog. Malangnya, mereka hanya berani berbohong, memfitnah dan menyebar semua kata – kata manusia dan peristiwanya. Lebih malang, mereka tidak berani untuk berkata benar, apatah mengakuri pada yang benar.

Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia.

Adapun isu EGM, saya yakin ianya akan selesai. Ia bukan balah orang jahil. Ia isu orang alim yang disayangi dan yang tidak ingin kecuali kebaikan untuk ummah. Justeru ia mungkin panas di awal, tetapi akan ada penyelesaian selepas ada persefahaman.

Yang payah nak selesai ialah balah orang jahil, payah nak faham apatah nak bersefahaman.

Yang saya takut ialah balah ini sengaja dipanjangkan selepas ianya disurutkan dan diredakan. Saya harap saya dan anda tidak terlibat walaupun saya tak mungkin boleh mengharapkan semua jangan terlibat.

Saya tinggalkan anda dengan sebuah ayat daripada Allah yang maha bijaksana. Hayatinya, ianya sungguh menenangkan.

“Tiadalah terjadi sebarang musibah di bumi dan tiada juga (terjadi) di dalam diri kamu sendiri kecuali ianya telah sedia termaktub di dalam kitab ( di sisi kami ) sebelum Kami lepaskannya. Sesungguhnya itu di sisi Allah adalah teramat mudah. Yang demikian adalah agar kamu tidak berduka cita di atas apa yang telah hilang daripadamu dan kamu tidak pula bersuka ria dengan apa yang kamu perolehi. Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan bermegah – megah.”  al Hadid:22,23

Janganlah terlalu gundah dan janganlah terlalu bersuka ria.

Salam Kamunting,

Ada dua isu politik menarik yang perlu diberi perhatian hari ini. Pertama, usaha terkini PAS menaik tarafkan Kelab Penyokong PAS ( KPP ) yang menghimpunkan masyarakat bukan Islam yang menyokong perjuangan PAS yang ditubuhkan sekitar lima tahun lalu menjadi sebuah sayap parti secara rasmi.

Perkembangan terbaru kini seakan mengesahkan bahawa PAS telah betul – betul bersedia menerima perubahan besar dalam struktur dan binaan partinya. Mungkin kerana ianya tampak akan memberikan impak yang agak besar, maka ia telah mengambil masa yang agak lama untuk diputuskan.

Kedua, usaha menjadikan Pakatan Rakyat ( PR ) sebagai sebuah pakatan politik berdaftar sebagaimana BN. Cadangan ini menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak termasuk daripada kalangan golongan ulamak dalam PAS yang sering dilihat lambat atau lebih tepat, terlalu berhati – hati.

Walaupun cadangan ini masih baru berbanding cadangan menjadikan KPP sebagai sayap rasmi PAS, kesan positifnya pasti akan menjadi pemangkin kepada usaha – usaha seterusnya untuk menjadikannya sebuah kenyataan.  

Secara ringkas, saya akan kemukakan beberapa kesan yang akan melonjakkan PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berjaya insya Allah, hari ini dan akan datang.

1) Membuka lembaran lebih luas untuk PAS melumati fiqh kedudukan non muslim di dalam sebuah masyarakat Islam yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai murni dan sejati Islam.

Anda sedang melihat bagaimana langkah pertama, iaitu menjadikan KPP sebagai sebahagian binaan PAS telah agak memakan masa. Ia berpunca daripada perbincangan hukum yang diteroka secara lebih mendalam berbanding sebelumnya. Mungkin langkah – langkah seterusnya akan berjalan lebih laju dan meyakinkan. Ini memaksa para bijak pandai dan sarjana Islam untuk bertungkus lumus memecahkan isu – isu tertunda yang mesti disegerakan jawabannya. Ini baik untuk kemajuan Islam dalam negara.

2) Memecahkan tembok yang memisahkan PAS daripada masyarakat non muslim. BN membina tembok ini atas dua perkara. Pertama, mengelakkan PAS daripada mendapat tempat di kalangan masyarakat non muslim, seterusnya meminggirkan PAS daripada arus perdana. Kedua, tradisi politik perkauman dalam BN dan negara telah menjadikan PAS yang memperjuangkan Islam dan tanpa identiti kaum gagal mendapat tempat di hati non muslim.

Dengan wujudnya sayap non muslim di dalam tubuh PAS tidak lama lagi, tembok pemisah yang telah mula runtuh secara perlahan melalui ‘engagement’ dengan non muslim semenjak dulu lagi akan segera ranap dan mencetuskan fenomena politik baru yang semakin menarik dan menguntungkan rakyat Malaysia.

3) Meruntuhkan ideologi kebangsaan dan perkauman yang menerasi kemerdekaan dan demokrasi negara secara lebih berkesan. BN dengan kekuatannya sebagai penguasa negara telah berjaya menanam ideologi salah ini sehingga menjadi darah daging yang sukar dibuang daripada jiwa rakyat dan negara. Usaha PAS memahamkan rakyat, samada Islam atau bukan Islam bahawa ideologi tersebut akan merosakkan negara tampak begitu sukar, bahkan PAS pula dituduh punca perpecahan.

Dengan wujudnya sayap rasmi non muslim dalam parti PAS, ia sudah pasti akan menjadi senjata utuh untuk menolak sistem politik warisan penjajah barat tersebut, lalu sistem yang lebih adil akan mula dibentuk. Penerimaan kaum non muslim terhadap Islam dan sistemnya adalah jawaban dan jaminan benarnya seruan rakyat ke arah sistem hidup yang lebih adil dan saksama dilaksanakan di dalam negara kita yang berwajah majmuk.    

Runtuhnya ideologi kebangsaan bermaksud runtuhnya UMNO dan sekutunya.

4) Gerakan dakwah Islamiyah menjadi lebih terbuka dan berkesan. Salah satu faktor utama yang melambatkan suara dakwah Islam adalah wujudnya sekatan yang menghalang manusia mendengar dan memahami Islam daripada sumbernya yang sebenar dan asli. Justeru agama menyifatkan sekatan itu sebagai sebahagian daripada ‘fitnah’ yang lebih besar dan dahsyat daripada membunuh. Manusia tanpa iman adalah mati.

Sayap non muslim dalam PAS bukan bererti non muslim dimestikan masuk usrah dan mendengar sebagaimana ahli PAS mendengar Islam, tetapi ia bererti tiada lagi halangan untuk mereka mendengar, memahami, bahkan menerima Islam sebagai cara hidup di dunia ini.

Maka wujudlah suasana yang segar di dalam penyebaran Islam di dalam negara. Tiada paksaan daripada PAS dan tiada sekatan daripada BN.

5) PAS bukan lagi dianggap milik orang Melayu. PAS adalah milik semua kaum yang menerima Islam sebagai cara hidup, samada mereka menganutinya sebagai ugama atau tidak.

Persepsi bahawa PAS adalah milik Melayu begitu sukar dihilangkan walaupun PAS telah lama menerima keahlian daripada semua kaum atas sifatnya sebagai parti agama, bukan kaum. Tetapi oleh kerana PAS masih tidak membuka keahliaannya kepada bukan Islam, maka persepsi PAS adalah Melayu terus kekal sehingga begitu sukar untuk dinafikan walaupun setelah terbentuknya Kelab Penyokong PAS  ( KPP ) yang telah menerima semua keahlian tanpa mengira kaum, agama dan warna. 

Dengan terbentuknya sayap bukan Islam dalam PAS, ia dengan sendirinya mengubah persepsi masyarakat negara yang berbilang kaum terhadap PAS. PAS akan lebih mudah didekati dan difahami.

6) Membuktikan keadilan, keterbukaan dan kesejagatan Islam. Ia adalah tiga ‘aset’ penting bagi sesebuah parti politik untuk bertapak di dalam dunia demokrasi liberal hari ini. Dengan persembahan dan penayangan Islam yang lemah dalam kehidupan, PAS sentiasa berdepan dengan cabaran membuktikan keadilan, keterbukaan dan kesejagatannya untuk memimpin negara. Selagi pembuktian praktikal kekal lemah, selama itulah PAS berada di dalam igauan cabaran tersebut.

Pembentukan Pakatan Rakyat yan berdaftar dan penerimaan sayap bukan Islam untuk menjadi sebahagian binaan parti PAS pasti menjadi bukti yang kukuh dan cukup signifikan terhadap keterbukaan dan kesejagatan PAS yang akan menarik sokongan seluruh lapisan rakyat kepada PAS.    

7) PAS diterima sebagai parti perpaduan. Isu utama negara kita adalah perpaduan kaum. Perpaduan rakyat yang majmuk adalah faktor besar kesejahteraan ekonomi negara. Justeru parti – parti politik negara terdesak sekali untuk membuktikan diri masing – masing sebagai peneraju perpaduan negara.

Walaupun PAS telah banyak membuktikan dalam sejarah dan politik semasa bahawa mereka adalah sebuah parti yang menyeru kepada perpaduan kaum, kelahiran sayap bukan Islam sebagai organ penting parti dan gabungan parti PAS dalam Pakatan politik berdaftar pastinya mempunyai impak yang terlalu besar ke arah penerimaan seluruh rakyat terhadap wibawa dan kesungguhan PAS memperteguhkan perpduan kaum. PAS akan dilihat paling mampu memberi jaminan keselamatan dan perpaduan.

 8) Memudahkan usaha menyelesaikan pergeseran di dalam Pakatan Rakyat. Ia adalah keuntungan semasa yang terlalu dibutuhkan. Sesuatu pergeseran dalam apa jua bentuk memerlukan medium perdamaian yang berwibawa yang boleh mencetuskan sikap saling mempercayai dan toleransi di antara kumpulan yag bertelagah.   

Samada pembentukan Pakatan Rakyat yang berdaftar atau pun sayap rasmi bukan Islam dalam PAS, kedua – duanya pasti menjadi pemudah cara yang akan membantu merapatkan jurang di antara parti – parti pakatan pembangkang ke arah merealisasikan kemenangan yang diimpikan.

9) Melenyapkan ketakutan terhadap tuduhan kaitan PAS dengan kumpulan pengganas. PAS pernah dicop sebagai agen dan dikaitkan dengan rangkaian keganasan antarabangsa. Walaupun ianya terbukti salah dan bersifat tuduhan liar, tetapi sifat PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang mempunyai rangkaian antarabangsa yang sesetengahnya dikaitkan dengan keganasan seperti HAMAS menjadikan PAS terus berdepan kemungkinan dicop sekali lagi sebagai pengganas.

Wujudnya keahlian dan sayap bukan Islam dalam PAS akan menjadi benteng utama menolak dakwaan yang tidak berasas itu. Apatah jika PAS mempunyai wakil bukan Islamnya di parlimen nanti. 

10) Idea dan sumbangan PAS kepada negara menjadi lebih gagah. Tidak dapat dinafikan betapa besarnya peranan bukan Islam di dalam memajukan negara terutama di dalam bidang ekonomi, politik, pembangunan dan lain – lain. Walaupun sering dinafikan peranannya, parti politik pembangkang sering menyumbang idea dan pendapat yang akhirnya diterima pakai oleh pemerintah dan negara.

Wujudnya sumbangan, buah fikiran dan kepakaran yang baru dan bernas daripada orang – orang Cina, India dan lain – lain bangsa di dalam PAS pasti akan menaikkan imej PAS di mata rakyat sebagai parti yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran daripada semua sudut.   

11) Jaringan antara bangsa PAS menjadi lebih luas. Jika sebelum ini PAS hanya dikenali dan diraikan oleh gerakan dan  parti Islam di peringkat antara bangsa dan oleh negara – negara Islam sahaja, maka kewujudan sayap bukan Islam di dalam PAS pastinya akan melebar luaskan jaringan antarabangsanya kepada parti – parti dan negara – negara bukan Islam juga.

Ini akan membuka laluan lebih besar kepada PAS  untuk memainkan peranan politik yang penting  di peringkat antara bangsa.

12) PAS layak menerajui negara. Inilah impian semua parti politik. Yang paling bagus dan meyakinkan, itulah yang paling layak menerajui negara.

Cabaran politik baru yang diharungi dengan berani oleh PAS hari ini sudah pasti akan memberikan kesan positif ke arah PAS yang lebih ideal dan diterima.  Walau bagaimana pun, kesan – kesan positif di atas hanyalah akan diperolehi jika persekitarannya juga adalah positif. Justeru PAS mestilah juga memugar dan memelihara persekitarannya yang baik dan kondusif.

Jika sebaliknya, paling tidak, kita gagal memetik buah yang diimpikan. Saya akan menukilkan beberapa cabaran yang perlu dilepasi di dalam tulisan akan datang, insya Allah.

Salam Kamunting,

AlhamduliLlah, saya telah dikurniakan cahaya mata yang kelapan beberapa hari yang lepas. Tiada selepas Allah yang maha agung selain isteri sayalah tempat saya menghambur rasa dan kata syukur di atas pengorbanan dan kemulusannya menghiasi mahligai kehidupan kami dengan anak – anak yang menyejukkan mata.

Nik Sana Imani adalah anak perempuan kami yang ketiga. Saya terpaksa tundakan  majlis jamuan aqiqah dan berpada dulu dengan sunnah bercukur yang disempurnakan oleh ayahanda Tuan Guru di Klinik al Nisa’, Kota Bharu. Bayi comel kami terpaksa diletakkan balik di bawah jagaan doktor selepas dilihat  demam kuning dan alhamduliLlah, kini sembuh sepenuhnya. 

Anak – anak adalah penghias kebahagiaan dan kehidupan. Mereka adalah anugerah dan mereka juga adalah ujian. Selepas iman dan perjuangan yang istiqamah di dunia ini, nabi – nabi dikurniakan dengan zuriat yang solehah dan menjadi talian hayat yang paling gagah buat menyambung perjuangan tauhid.

Pada musim haji yang sedang menyinsing ini, kita mengingati sejarah agung nabi Ibrahim dan penyambung perjuangannya, nabi Ismail alaihimassalam. Kedua – dua mereka adalah cerita anugerah dan cerita ujian yang agung dalam memahami sunnah Allah terhadap hamba – hambaNya.

Janganlah lupa menoleh kepada orang yang tidak mungkin dilupakan, seorang ibu yang kental, Siti Hajar yang agung. Ceritanya menjadikan cerita kedua – duanya hidup dan bernafas sepanjang zaman untuk menjadi pedoman dan cahaya buat setiap mahligai muslim yang terbina.

Terima kasih buat isteri tersayang. Pengorbananmu menghijau rimbun kehidupanku. Tiada wajah seikhlas wajahmu. 

Buat anak – anak tersayang, kamulah perhiasan menyinari istana bahagia. Kamulah sebenar – benar cahaya mata ayah dan ibu yang menyejukkan jiwa dan sanubari. Semoga kamu diciptakan untuk menjadi ahli syurga Allah yang kekal abadi.

Anak – anak kami; Nik Ahmad Shah Waliyullah, Nik Mus’ab ‘Umairi, Nik Nurana Nazeehah, Nik Izzuddin Qassam, Nik Zati Maisuri, Nik Abdul Mun’im, Nik Ahmad Saif Mudzaffar dan Nik Sana Imani.

Selamat datang adik Sana

Wajah ibu mawar menguntum

Tangismu seindah kicauan burung

Wajah ayah secantik ibu

Dengarlah azan sambutlah iqamah

Abangmu biarlah jadi pak imam

Tidurlah lena di awal malam

Kakakmu asyik mahu ketawa 

Marilah kita menghias bersama

Rumah kita bertandang bahagia

Salam Kamunting,

Keusahawanan bukanlah bidang yang saya pelajari semasa belajar dulu. Dari kecil sehinggalah habis pengajian saya di Mesir, saya hanya menumpu pada bidang ilmu – ilmu agama, khususnya bidang al Hadis. Makanya, saya mudah didorong untuk berpolitik kerana agama memaksa kita berpolitik.

 Apapun, dari dulu saya minat melihat dan mendengar cerita perniagaan dan keusahawanan. Siapa tak suka dengar cerita duit dan kekayaan?

Semasa di India, saya pernah berlaba besar hasil daripada jualan barangan, terutama kain sari dari sana semasa pulang bercuti. Jadi, boleh acaplah saya pulang bercuti ke tanah air. Tetapi akhirnya, saya ditipu besar pula oleh masyarakat orang bukit atau orang asli dari pergunungan utara India yang datang ke ibu kota New Delhi kononnya membawa hasil kasturi. Ia cerita lucu paling lucu dalam sejarah saya dan kawan – kawan yang belajar di sana. Sampai sekarang, ia menjadi cerita pecah perut di kalangan kami.  

Oleh itu, apabila saya pulang daripada belajar, minat saya itu rupanya telah mempercepatkan sahutan saya untuk menceburi bidang perniagaan. Ini sementelahan saya mula didekati rakan – rakan niaga daripada pelbagai cabang perniagaan. Sesetengahnya sudah pun berjaya dan kaya. Kebanyakannya masih dalam proses mencuba, rebah dan bangun. 

10 tahun lepas, masihlah saya ingat bagaimana saya mula mengeluarkan modal yang agak besar juga daripada simpanan saya untuk memulakan perniagaan. Malangnya, dalam dua kelip mata saja, modal saya hangus berlabakan arang! Dalam tersandar saya mula menyedari betapa perniagaan adalah bidang persaingan hebat yang memerlukan ilmu dan pengetahuan.

Saya mula membaca buku mengenai perniagaan dan asyik sekali mengikuti penerangan, taklimat dan bertanya pasal perniagaan. Ia menyeronokkan.

Kemudian saya keluarkan lagi modal untuk memulakan penerokaan dalam pelbagai aktiviti keusahawanan. Sekali lagi saya terpaku dan terhenti apabila melihat sesetengah perniagaan itu dihiasi kecantikan yang didalamnya adalah penipuan, riba dan transaksi yang dilarang ugama.

Justeru saya mula berhati – hati dan membelek kembali kitab hukum kontemporari yang membuka lembaran jawaban yang baik sekali untuk melihat kepada kesempurnaan perniagaan dalam Islam.

Saya terus mendaki. Saya mula mengecapi keuntungan dan keseronokan. Oleh kerana semuanya nampak manis, saya berniaga dalam pelbagai sektor walaupun pada skala yang kecil. Tetapi malang sekali, keuntungan dan keseronokan yang dikecapi itu kadang – kadang dengan mudahnya direntap dan disentak daripada kita. 

Sifat khianat adalah musuh yang sukar diramal. Khianat sering berlaku dalam lingkungan kawan – kawan sendiri. Khianat lawannya amanah. Amanah tidak diberikan kecuali kepada orang terpercaya. Apabila dia mungkir, berlakulah pengkhianatan yang sukar ditelan. Tetapi anda terpaksa menelannya. Sebabnya ia sebahagian daripada dunia perniagaan. Bahkan dunia kehidupan.

Dunia perniagaan sepertilah dunia politik walaupun ia tidaklah seteruk politik dan ahli politik. Ia bukan kembar, tetapi adik – beradik yang banyak kesamaan. Ia penuh rintangan, kepalsuan dan keganasan.

Ramai yang enggan berpolitik, malah sesetengahnya langsung malas ambil pusing tentang politik. Alasannya politik itu kotor dan dipenuhi pengotor, bahkan mengotorkan persekitaran kehidupan yang bersih dan aman. Tetapi anda tahu, ia adalah sama seperti sikap seorang yang enggan menangkap pencuri dirumah jirannya kerana takut rumahnya dicuri pula.

Ramai, terutama orang Melayu yang enggan berniaga, malah sinis sekali dengan dunia perniagaan. Kerjanya mentertawakan kawan – kawannya yang jatuh dalam perniagaan dan berkata, “Itulah kamu, tak dengar cakap aku.” Lalu dia merasakan dia telah beruntung kerana tidak berniaga. Tetapi anda tahu, memiliki sekumpulan pemangsa seperti inilah yang akan melambatkan kemajuan bangsa dan umat.

Jika anda ingin berkuasa dan adil, anda terpaksa terjun politik. Jika tidak, andalah sebab al Aqsa terus dijajah Yahudi. Jika anda ingin kaya dan pemurah, anda terpaksa terjun ke dunia perniagaan. Jika tidak, andalah sebab umat  mustadh’afin dan faqir di dunia Islam sanggup menukar ugama mereka demi sesuap nasi! Tidak anda menjadi jari jemari yang mematahkan ego penguasa, tidak pula anda menjadi jari jemari yang menyuapi umat yang kelaparan. Yang ada hanyalah angan – angan bahawa anda telah ada iman yang hebat di dada!

Justeru berpolitik dan berniaga adalah kemuliaan. Ia tidak pun kurang sedikit berbanding dunia pendidikan, islah, ibadah dan lain-lain. Bahkan, dunia politik menentang kemungkaran dan kezaliman pemerintah adalah kemuncak jihad di dunia Islam hari ini.

Tiada yang malang apabila anda dikhianati dalam perniagaan. Yang malang adalah mereka yang mengkhianati anda. Mereka menunda kekayaan mereka ke belakang sedang anda hanyalah menarik hela nafas panjang untuk membolot kekayaan yang lebih besar.

Di sebalik kepahitan terpaksa menelan sifat khianat sesama sendiri, anda akan dikurniai rasa agung dalam diri kerana telah dikurniai Allah dengan sifat amanah. Amanah anda teruji dalam perniagaan. Setiap ujian memberikan kepuasan dan keyakinan pada diri sendiri yang tiada tolak bandingnya.

Paling bagus, anda mengenali kawan – kawan yang amanah dan mula belajar mengecami wajah -  wajah yang amanah. Apabila anda memiliki persekitaran amanah yang menyokong anda, sesungguhnya itulah kekayaan yang mendatangi anda daripada jalan yang tidak anda sangkakan. Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti Allah membukanya jalan keluar dan mengurniainya dengan rezeki yang tak terjangkakan. Ia seribu dinar dari bawah bantal amanah dan taqwa.

Sepertilah dalam politik, saya tidak patah untuk mendepani setiap kemungkaran daripada dalam dan luar. Saya berusaha untuk sentiasa dalam memburu sifat benar dan amanah. Kerana ia matlamat saya, sesungguhnya saya telah terdidik untuk menjadi berani dan bersedia. Apabila saya lemah dan letih, saya segera membuangnya daripada terus membebani diri.

Orang khianat biasanya membawa bersama sifat buruk yang lain. Bohong bila bercakap. Degil bila dinasihati. Memfitnah bila menjawab. Yang pasti, mungkir pada janji.

Mula – mula ia mungkir janji dengan anda. Kemudian dia tidak pun merasa bersalah untuk memungkiri janji mereka dengan Allah. Apabila ditanya, mereka menuduh, berdusta dan mendusta.

Saat mereka miskin dan terdesak, mereka berdoa, jika mereka dikurniai Allah dengan rezeki melimpah ruah, pasti mereka akan bersedekah sebanyak – banyaknya dan menjadi daripada kalangan hambaNya yang bersyukur. Tetapi apabila Allah mengurniai mereka apa yang mereka pinta, lalu mereka menjadi kaya dan kembung, tiba – tiba mereka menjadi bakhil dan kedekut (Maksud ayat al Quran). Dengan manusia mereka kedekut sampai hutang pun tak nak bayar, lantas dengan Allah pun mereka boleh kedekut dan mungkir.

Hujah mereka, ini semua usaha mereka. Titik peluh mereka. Cerdik mereka. Itulah aku, Akulah tu, sebab aku.  Seribu ini aku yang usahakan. Seratus ribu ini pun aku. 700 ribu ini pun aku. Sejuta inipun aku. Anda bayangkan betapa jijiknya mereka diresapi sifat – sifat buruk dalam kehidupan.   

Semalam saya membaca tulisan Dr Juanda Jaya, mufti negeri Perlis Indera Kayangan dalam sebuah akhbar harian. Beliau menyelar perniagaan yang menggunakan nama agama atau institusi keagamaan demi membuncitkan perut sendiri dan meninggalkan amanah dan janji. Saya membacanya dua kali. Saya terpana, sedih dan kecewa. 

Saya menyokong tulisan beliau. Kerana itu, saya menulis untuk menyokongnya.

Kemudian saya mendapati sedih dan kecewa saya bukanlah untuk saya. Ia adalah untuk orang lain yang gagal menginsafi diri mereka dalam dunia perniagaan. Adapun saya, saya akan sentiasa bangkit dalam perjuangan. Anda pun tahu, saya hidup untuk memburu sifat amanah dan benar.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Oktober 2009
I S R K J S A
« Sep   Nov »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 154 other followers