You are currently browsing the monthly archive for November 2009.

Salam Kamunting,

Datuk kita, Ibrahim ‘alaihissalam adalah seorang rasul. Baginda diutuskan ke bumi oleh Allah taala ribuan tahun yang lampau, satu jarak masa yang panjang yang penuh teka teki dalam mengenal sejarah ketamadunan manusia. Pengkisahan al Quran tentang datuk kita ini begitu banyak membantu pengkaji sejarah mengenali perjalanan kehidupan dan tamadun manusia sebelum dan selepasnya.

Salah satu mukjizat al Quran adalah sejarahnya yang benar, hidup dan sarat pedoman.

Bukanlah perjalanan datuk kita itu sealkisah dengan perjalanan sejarah cucunya Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Nabi Ibrahim sampai wafatnya hidup tanpa penyokong yang ramai. Berbeza sekali dengan cucunya yang agung, nabi kita yang mana di Hajjat al wada’ di hujung hayatnya telah berjaya untuk bersama lebih 100 ribu sahabatnya yang bersiap siaga menggempur demi dakwah dan perjuangannya.

Datuk kita pernah membisikkan pada isteri kecintaannya bahawa tiada di dunia yang menyembah Allah yang esa hari ini selain hanya mereka berdua! Ah, bagaimana mampu dibayangkan kemuliaan datuk kita ini apabila Allah memilih mereka berdua untuk bercerita mengenai manusia seluruhnya pada masa itu. Inilah seorang insan yang berjalan di bumi dan Allah hanya memerhatikannya tanpa jutaan manusia yang lain. 

Jutaan manusia adalah buih dan sampah yang hanyut dan hilang, sedang datuk kitalah yang kekal dan berguna untuk menyambung hayat manusiawi. Syirik adalah kebatilan yang sifatnya adalah lenyap tanpa kesan. Tauhidlah yang kekal berguna buat kehidupan manusiawi.

Allah menguji datuk kita dengan pelbagai ujian dan Allah meluluskannya dengan izin dan kekuatanNya jua. Dalam hidup tanpa pengikut dan pendukung yang ramai, baginda dilantik oleh Allah menjadi imam kepada seluruh manusia.

Baginda diuji untuk mendepani ayahnya, pengukir dan penjual patung berhala. Baginda diuji untuk berhadapan dengan raja Namrud yang maha zalim. Baginda juga dicampakkan ke lubang api yang besar. Pelbagai ujian melanda baginda sehinggalah ia memuncak dengan sebuah pengorbanan yang tak terfikir oleh kita apabila Allah menuntutnya menyembelih anak kecintaannya sendiri, Ismail alaihis salam.

Baginda tanpa ragu dan syak telah melaksanakannya dengan jayanya. Datuk kita adalah hamba Allah yang agung.

Allah sentiasa memuji datuk kita dengan puji – pujian yang menghangatkan iman di dada untuk kita terus mencontohinya. Allah berfirman:

“Sesungguhnya untuk kamu adalah contoh yang baik pada diri nabi Ibrahim dan orang – orang bersamanya ketika mana mereka berkata kepada kaum mereka, sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Kami kufur terhadap kamu dan nyatalah perseteruan dan kebencian di antara kami dan kamu..” –  al ayat (al Mumtahanah:4).

Banyak – banyak pedoman daripada datuk kita Ibrahim alaihissalam, pernyataan tauhidlah yang paling utama. Sesungguhnya semua cerita mengenai Ibrahim adalah pedoman yang akan menyuluhi hidup kita.

Ibadah haji adalah kefardhuan yang dikaitkan dengan sejarah agung datuk kita. Di musim haji, para jemaah haji akan diajak mengenang pengorbanan hebat datuk kita. Sementara kita di tanah air tidak dibenarkan selain untuk bersama mengingati datuk kita juga. Hari raya korban adalah kisah Ibrahim alaihissalam yang berjaya melepasi ujian agung tuhannya.

Jika anda mengikuti sirah datuk kita, kita akan menemui beberapa pedoman yang hebat, antaranya:

1) Berani 2) Sentiasa mencari kebenaran 3) berkata benar 4) tidak menghiraukan hiruk pikuk kata nista dan persepsi buruk manusia 5) sabar 6) bertaubat 7) tidak mengharap pujian manusia.

Hari ini adalah hari terakhir kita berhari raya korban. Marilah bersama mendukung ajaran nabi Ibrahim alaihissalam.

Jangan takut berkata benar. Jangan hirau persepsi manusia. Jangan takut kehilangan jika berganti kebenaran. Sentiasa mengajak manusia menginsafi kebenaran dan menikmati manisnya.

Jika anda ditanya, tak takut kalahkah? Jawablah, Islam adalah kemenangan. Jika Islam, ia takkan kalah!

Salam Kamunting,

Petang dua hari lepas semasa saya diselimuti gugusan awan yang gelap gulita, saya merenung jauh dari tetingkap ‘bebelon’ firefly yang membawa saya pulang dari perkhemahan tarbawi Dewan Pemuda PAS Malaysia selama tiga hari di sebuah kem perkhemahan di pinggir bukit di hutan Sepang, Selangor.

Pandangan saya sepi. Kosong sekosong pamandangan di luar. Gunungan awan gelap merempuh kuat menyebabkan krew kapal dua kali memberi peringatan berjaga – jaga. Ia seperti ingin menyentap khalayan jauh saya untuk membenarkan laporan keadaan cuaca dan banjir di Kelantan dan beberapa negeri lain yang semakin teruk. Saat kapal merendahkan ketinggian untuk mendarat, saya menghulur kepala menekap di cermin untuk melihat genangan air memenuhi kawasan rendah dan pinggir yang melimpah keluar dari liuk lampai sungai – sungai yang telah bekerja dan bertasbih siang dan malam melimpahkan seribu rahmat kurniaan tuhan ke atas rakyat negeri Kelantan Darul Naim tercinta.

Awan dan angin begitu kencang melanda dan hujan turun begitu lebat sedang saya begitu ketagih untuk melihatnya segera reda dan berlalu. Biarlah ia reda sebagaimana pengumuman ayahanda yang mengarahkan menantunya, juga ipar saya, Abdul Ariffahmi bin Hj Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai CEO PMBK sehari sebelum itu telah meredakan kepanasan suhu politik negeri Kelantan, apatah suasana sedih dan muram yang melanda keluarga.

Moga awan hitam berarak lalu meninggalkan kami sekeluarga sekalipun ia telah meninggalkan kesan luka dan calar yang mendalam buat ayahanda. Biarlah begitu kendatipun masih ada orang yang mahukan ayahanda menjirusnya dengan air mawar yang harumi buat menutup tengik aib yang terpalit.

Semasa saya dan para sahabat Dewan Pemuda PAS, termasuk Ketua Pemuda, ustaz Nasrudin Tantawi bersenda loka sambil melihat ringan tubuh Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang bergayut di antara dahan – dahan pohon rambutan menggapai dan memetik buahnya yang manis lalu menghulurkannya kepada kami di bawah sementara kami bersiap – siap untuk mula meninggalkan kem perkhemahan, saya menerima sms daripada seorang kawan di Kelantan memaklumkan berita ura – ura perletakan jawatan seorang pemimpin PAS kesayangan ayahanda.

Saya bungkam beberapa ketika. Beberapa hari sebelum perkhemahan, saya telah diberi ingat oleh seorang rakan bahawa politik desas – desus perletakan jawatan akan mengisi kocak air politik negeri Kelantan tidak lama lagi. Ia dirancang dan rancangan itu disusup keluar dari peti yang tiris dek karat besi yang dititis air mata keinsafan. Saya enggan membenarkan tetapi saya dipaksa menerima hakikatnya pada pagi itu.   

Kesan yang dinanti harapkan adalah ayahanda menghulurkan mawar. Ia menjadi. Ayahanda menjirus dengan harumi mawar di tepian telaga Kauthar, bukan merenjis di kubur yang menanti sepi.

Ayahanda sentiasa hebat. Ia dihidupkan untuk memberi, bukan mengambil. Dia dihidupkan untuk dunia, bukan hanya untuk Malaysia dan Kelantan sahaja. Di dunia Islam, orang kata dia di angka 42.

Anda tahu ayahanda sedang dihimpit ujian tuhan yang datang secara bertubi – tubi. Daripada isu EGM dan politik persepsi, ia bergerak menuju isu tajaan haji dan rasuah, kemudian ia menerkam kepada isu PMBK dan kroni. Belum pun bengah, dia diasak isu letak jawatan dan konspirasi membunuh karektor dan karier.

Kecuali isu EGM, ia telah turut meruntun keharmonian di dalam keluarga. Ia mengocak rumah yang sentiasa tenang dan bahagia dengan kehadiran ayah dan ibu yang sentiasa menguntum dengan senyuman kasih dan sayang.

Tetapi ayahanda sentiasa teguh. Apabila dia melangkah, dia tidak teragak – agak. Apabila teragak – agak, dia tidak akan melangkah. Apabila terlangkah, dia sedia mundur. Tiada siapa tidak memahami ayahanda, kawannya mahupun lawannya.

Saya pula mencuba untuk sentiasa keep in touch dengannya dari tepian mencari pembukaan kepada yang kusut. Saya akan berlari ke Pahang mencari sepupu saya Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, atau saya memohon berjumpa tuan presiden atau bersegera kepadanya jika dijemput. Saya cuba untuk membantu merungkai simpulan yang sukar.

Setidak – tidaknya saya, selepas kejayaan seminar memperkasakan parti telah menyumbang sedikit saham di dalam memberikan ketenangan kepada ayahanda dan kekuatan baru kepada tuan presiden. Saya juga bersama ayahanda semasa merumus yang terbaik dalam isu tajaan haji yang tamat dengan agak lenang.

Adapun isu PMBK yang melibatkan ayahanda dan ipar saya, Ir Abdul Ariffahmi, ia cukup menyentuh perasaan kami sekeluarga. Ia musibah yang walaupun begitu sukar untuk ditempuhi, ia telah menyatukan kami sekeluarga. Kami sepakat untuk berkongsi kesusahan, kesukaran dan memadam fitnah yang datang berdentum – dentum membedil Ariffahmi dan ayahanda sekali.

Saya bukanlah orang pertama yang menyokong perlantikan Ariffahmi ke kerusi panas CEO PMBK oleh ayahanda. Beliau tahu bahawa sedari beberapa tahun lepas lagi saya tidak menyokong perlantikannya ke jawatan tinggi di PMBK hatta untuk untuk jawatan COO sekalipun. Masa itu, saya memberi pandangan dan menasihatinya dan saya tahu beliau mungkin tidak senang dengan pandangan dan nasihat saya.

Saya tahu sangat apa yang akan berlaku jika beliau diangkat ayahanda ke jawatan tertinggi di dalam PMBK. Fitnah mesti melandanya dan beliau pasti terluka dan mungkin kecundang. Itu keyakinan saya yang saya cuba memahamkannya. Saya memberitahunya bahawa kita ini memang terkenal kerana kita ini anak MB dan menantu MB. Tetapi dalam terkenal, kita ini sukar untuk dipercayai dan sukar diterima. Kerana kita dilihat menumpang tuah bapa dan mertua. Buat yang hebat dikata tuah ayah dan mertua. Buat yang buruk dikata tidak tahu jaga bapa dan mertua. Terimalah hakikat bahawa kita ini insan bertuah yang sukar bernafas apatah bergerak.

Itulah antara peringatan saya kepadanya. Tetapi Ariffahmi adalah seorang yang optimis. Dia yakin kemampuannya membantu ayahanda terutama di dalam bidang yang dimahirinya. Maka beliau sentiasa meletakkan dirinya dalam siap siaga jika ayahanda memilihnya ke jawatan tersebut. Tidak pelik jika sikap dan kesediaannya menjadikan ayahanda meyakininya. Saya sendiri dalam teguran saya menyimpan rasa hormat terhadap kesungguhannya menyumbang untuk ayahanda.

YB Salahuddin Ayub pernah meminta pandangan saya untuk pencalonannya ke jawatan naib presiden PAS. Saya menasihatinya untuk tidak menerimanya. Saya berkata, menolak jawatan adalah kemuliaan yang disanjung. Saya tidak tahu perasaannya ketika itu. Apabila menasihat, saya mesti memberi yang terbaik daripada diri saya. Selepas beliau menunjukkan kesediaan bertanding, saya mencadangkan nama beliau dicalonkan oleh PAS Kawasan Pengkalan Chepa dan disokong sepenuhnya oleh PAS Kawasan. Beliau menang dan telah menunjukkan prestasi yang agak berkesan juga hari ini.

Begitulah saya jika diminta nasihat. Saya berusaha untuk yang terbaik buat sahabat dan rakan. Nasihat saya mungkin betul dan mungkin salah. Apa saya kisah atas apa yang saya tidak tahu perihal masa depan milik Allah?

Apabila saya diberitahu bahawa ayahanda akan segera melantik Ariffahmi ke jawatan CEO, saya bersegera mengintai masa ayahanda untuk bersendirian bersamanya seketika untuk memberi pandangan yang agak kontra. Dalam setengah jam perbincangan, saya tunjukkan kepadanya sebab dan keresahan saya terhadap kemungkinan yang akan menimpa Ariffahmi. Saya memberitahunya mengenai sikap kawan dan lawan yang tidak menyetujui keputusan tersebut. Tujuan saya agar ayahanda berfikir semula atau lebih bersedia menghadapi kemungkinan yang saya resahi akibatnya.

Tetapi ayahanda telah menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap pendiriannya dan Ariffahmi sendiri. Beliau menjawab dengan penuh yakin segala persoalan saya. Apabila saya mendapati ayahanda tidak akan berganjak lagi, saya titipkan untuknya beberapa pesanan yang paling berguna daripada saya agar disampaikan kepada Ariffahmi. Saya boleh saja membilangnya sendiri kepadanya, tetapi melalui ayahanda, saya yakin ia jauh akan lebih berkesan. Malam itu, saya mengambil keputusan untuk mendukung kehendak ayahanda dan memuliakan keputusannya di hati saya. Saya mesti seupayanya membantu ayahanda.

Dua hari selepas perlantikan, saya di rumah Ariffahmi lebih dua jam berbincang panjang dengannya. Dia mengesahkan ayahanda telah menegurnya sebagaimana yang saya sebutkan. Perbincangan kami panjang dan saya mengingatkannya untuk bersedia menghadapi hukuman yang adil dan tidak adil untuk dirinya. Masa itu, bahang panas semakin terasa. 

Saya memberitahunya, ” Arif, Abang Duh akan mempertahankan Arif sebagaimana ayahanda, tetapi sebahagiannya mestilah dengan kekuatan Arif seorang diri. Tanggungnya dengan penuh rela.”

Ia tidak pun mencecah dua bulan sehinggalah isu PMBK pecah. Ayahanda dan Arif diserang hebat. Saya menjadi bungkam tak terkata.. 

Anda telah melihat bagaimana cekalnya ayahanda mempertahankan keputusannya. Bagaimana ayahanda mengulas isu kroni dan isu berkaitan Ariffahmi yang melingkari keputusannya itu. Saya diberitahu beberapa kumpulan daripada dalaman parti datang menemui ayahanda dan memberi pandangan. Mereka keluar tanpa berjaya mengubah keyakinan ayahanda.

Tetapi ia tidak mampu untuk menahan ipar saya daripada menerima tikaman demi tikaman dari segenap sudut yang menyukarkan pergerakannya. 

Keluarga agak bersedih. Kami melalui saat sukar. Tetapi ia bukanlah yang pertama. Ia tidaklah sesukar saat kekanda saya, ustaz Nik Adli ditahan di bawah ISA hampir 10 tahun yang lepas. Tetapi ia adalah dua yang berbeza. Melawan kezaliman UMNO tidaklah sukar. UMNO di sisi ayahanda adalah kemuncup dalam perjuangan. Jika ia menyalak, ayahanda adalah bukit. Jika ia bising, ayahanda adalah rotan.

Tetapi isu PMBK lebih bersifat dalaman. Ada sesuatu yang tidak kena yang mula dirasai ayahanda. Saya doakan ayahanda menemui jawabannya. Jawabannya ada di sekeliling ayahanda di sisi pembantu – pembantunya yang setia yang tidak pun terfikir untuk membuat onar dan masalah selain membantunya dengan setia.

Saya tahu mereka tidak menyetujui perlantikan Ariffahmi. Tetapi mereka telah berusaha untuk membantu menjadikannya harapan yang terlangsai buat ayahanda. Tetapi ada yang tidak begitu. Ada yang hanya berusaha untuk membersih diri sendiri dan meninggalkan ayahanda dalam perangkap dan kekeliruan.

Adapun blogger Kickdefella yang melakonkan watak Jebat yang berusaha membela si Tuah rakan pujaannya, saya tidaklah bersedia menyalahkannya sepenuhnya. Beliau berhak melakonkan watak itu atau menulis skrip agar filemnya menjadi meletup. Itu bidangnya semenjak dulu. Saya pun seronok menonton ‘Titanic’ dengan ceritanya yang ditokok tambah agar menjadi lebih mendalam kesannya terhadap penonton.

Beliau bukan ahli PAS seperti katanya. Semasa beliau dibawa ke Kelantan dengan taraf kerakyatan ‘ahli PAS kelas VVIP’ yang pertama kali diwujudkan, ramai mana yang terpegun dengan jumlah wang yang sanggup dibelanjakan untuk menjayakan dua misi berbeza yang tergalas. Satunya untuk ‘bersama’ ayahanda menjatuhkan kerajaan Pak Lah. Satu lagi, ada yang tahu dan ada yang tak tahu. Saya takkan beritahu.

Beliau mungkin telah diberi kursus intensif untuk menjadi pahlawan dan kawan kepada pejuang PAS. Tetapi modul kursus mungkin cacat sehingga beliau seperti tiada mengenal erti adab untuk menegur ayahanda, idola dan pujaannya yang pernah menggeli – gelemankan hati saya lewat hamburan puji – pujiannya yang melampau. Lainlah jika ayahanda kini adalah musuhnya yang perlu ditentang seperti Pak Lah dulu. Lainlah jika begitu. 

Beliau bukan peneguk arak, tetapi serangannya seperti peneguk arak yang bersahaja dalam kemabukan. Menaruh madu di dalam racun dan menitik zam – zam di gelas arak.

Mengapa menghulur mawar kepada ayahanda di hari terakhir, kemudian menikamnya sebaik keluar dari Kota Darul Naim? Ayahanda bukan Pak Lah yang menutup pintu sehingga anda terpaksa menggunakan blog mengkritiknya dan menikam Ariffahmi. Mengapa tidak terus mengkritik Ariffahmi di depannya sebagai mana saya dan yang lain. Tiada seorang pun yang digertak ayahanda kerana mengkritik menantunya itu. Tidakkah anda ada tulang belakang yang gagah? Ke mana pergi tulang belakang anda?

Aib anda ada disimpan di sisi bukan sedikit, bahakan ramai, tetapi setiap muslim tidak gemar melondeh apatah menambah perisa fitnah yang membakar diri. Tak perlulah mengajak Ariffahmi ke mahkamah, cukuplah anda bersiap ke mahkamah untuk kes saman fitnah timbalan presiden PAS ke atas anda. Jika timbalan presiden terasa penangan fitnah anda, apa pelik untuk kami merasa penangan yang sama. Itu lebih mudah buat anda. Sekadar menantu. Sambil – sambil tu bolehlah anda mula berfikir untuk bikinan ‘ Bicara Tentang Kita – 2′. Mungkin meletup dan ada hadiahnya daripada dunia perfileman.

Oh ya, berapa jumlah yang anda minta daripada Ariffahmi untuk menerajui Darul Digital? Siapa pula yang anda kutuk di hadapannya hari itu?

Malang buat anda. Orang lain datang untuk belajar ugama daripada ayahanda, tetapi anda datang untuk memuji dan memuja ayahanda. Akhirnya inilah yang anda dapat. Mungkin anda tidak bersalah. Yang pasti bersalah ialah orang yang membawa anda ke Kelantan dan sedang menyuci diri membebas diri daripada anda di depan ayahanda.

Saya mengucap tahniah kepada tuan presiden dan rombongan yang telah memainkan peranan meyakinkan ayahanda perlunya mengekang fitnah yang sukar dipadam. Ayahanda telah akur dan bersedia berkorban dan mengorbankan.

Saya mengucap tahniah kepada ipar saya kerana mendengar nasihat saya agar sentiasa bersama ayahanda. Pertahan jika disuruh dan berhenti jika disuruh. Ariffahmi adalah maruah seorang tuan guru. Saya melarangnya bercakap walaupun beliau berhak bercakap dan mempertahankan diri. Fitnah apabila datang tidak mengenal Uthman dan Ali, apatah ayahanda, apatahlah lagi Ariffahmi sendiri. Dia semakin diam semakin selamat.

Tetapi tiada tahniah daripada saya buat orang yang telah meleburkan semangat amal jamaie di dalam jamaah dan perjuangan parti. Susah berbahasa pada orang – orang yang hidup menumpang tuah bauan mawar jirusan ayahanda. Merajuk pun masuk akhbar. Macam artis.

Saya bersetuju Ariffahmi meletak jawatan. Ia kerana ayahanda bersetuju dan tuan presiden bersetuju. Jika anda mahu lebih, bercakaplah dengan Ariffahmi sendiri. Anda akan terpegun dengan jawabannya sebagaimana anda terpegun dengan skrip gubahan Kickdepella. Hanya menghukum melalui tulisannya samalah seperti sang hakim menghukum dalam mabuk kedarah arak terlarang. 

Jika ada yang mengkritik saya, saya ingatkan bahawa saya menulis untuk maruah keluarga seorang tuan guru. Hak adalah untuk ayahanda dan Ariffahmi. Mempertahan integriti dan maruah keluarga adalah perjuangan ugama yang terpuji. Saya menagihnya daripada tuhan yang menyayangi. 

Ariffahmi adalah ipar saya. Dia keluarga saya dan dia telah memberikan yang terbaik untuk bapa mertuanya. Jika dia bersalah, dia berhak menerima hukuman. Tetapi dia tidak berhak bersendirian mempertahan diri daripada sekam fitnah yang membakar diri dan keluarga.

Minggu lepas saya memaklumkan kepada Jawatan kuasa harian PAS Pengkalan Chepa bahawa saya berhasrat mengundur diri daripada jawatan Ketua Pemuda tahun hadapan. Umur saya seusia Kickdepella mencecah 40 tahun. Saya berhasrat membuka buku – buku yang saya perlukan untuk masa depan yang mungkin lebih mencabar. Kemudian saya berhasrat menumpukan keringat saya kepada Dewan Pemuda PAS Pusat pada penggal terakhir saya di sana. Saya juga memaklumkan untuk tidak memegang apa – apa jawatan politik termasuk sebagai ahli majlis MPKB -BRI tahun depan. Itu jika Allah memanjangkan umur dan rezeki saya.

Sekurang – kurangnya saya boleh menunjukkan rasa bersama untuk Ariffahmi. 

Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan. Jika tidak, saya akan memanggilnya, “Wahai si bodoh!”

 

 

 

 

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

November 2009
I S R K J S A
« Okt   Dis »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 154 other followers