You are currently browsing the monthly archive for Disember 2009.

Salam Kamunting,

Menanti tahun baru tidaklah lebih utama daripada mengurus masa yang sedang mengulit diri di hujung bulan haram Zulhijjah ini. Hari ini mestilah lebih baik dari semalam. Walaupun ia terlalu sukar dipenuhi, ia tetap sebagai penguat dan pemangkin kepada peningkatan diri dan kehidupan pada esok hari. Ia hikmah yang cukup mulia dan menakutkan diri daripada diulit kelalaian.

Ingin saya melukiskan beberapa perihal yang mungkin sesuai untuk dikongsi di blog ini. Ia sekadar menghangatkan diri untuk lebih bersedia melangkah ke masa depan yang penuh soal dan tanya..

1) Pelajar – pelajar di Maahad Tahfiz NikmatiLlah, Pulau Melaka yang saya dan keluarga NikmatiLlah kendalikan semenjak beberapa tahun lalu kini sedang menghabiskan hari – hari akhir pengajian mereka sebelum cuti hujung tahun Masehi. Mereka akan bercuti sekadar 2 minggu sebelum sekolah kembali dibuka untuk sesi baru nanti.

Setiap hujung tahun, kami akan ransangkan mereka dengan kewajiban menghafaz ayat – ayat al Quran sekali ganda daripada kebiasaan upaya mereka. Kami ransang mereka dengan habuan kewangan yang tidaklah banyak, tetapi cukup mengembirakan mereka apabila memperolehinya atas usaha giat mereka menghafaz kitabaLLah. Di zaman khalifah Umar radhiallahu anhu, beliau sering menghadiahkan para huffaz dengan ganjaran kewangan khusus dengan tujuan memuliakan mereka di sisi masyarakat.

Semalam saya gembira beberapa pelajar telah melepasi target yang disasarkan oleh guru mereka. Anak sulung saya, Nik Ahmad Shah Waliyullah juga telah melepasinya. Begitu juga adiknya, Nik Mush’ab Umairi yang saya lihat telah berusaha untuk lebih rajin dan bersedia untuk tahun baru nanti. Saya rasa sungguh rasa gembira untuknya dan kawan – kawannya.

Semoga Maahad Tahfiz kami dan seluruh sekolah tahfiz di Malaysia kita terus berjaya mencapai matlamat besar melahirkan anak – anak kecil yang huffaz sebelum terus gemilang mencipta nama sebagai muslim berilmu demi negara Malaysia tercinta.    

2) Maahad Tahfiz NikmatiLlah bercita – cita besar untuk lahir sebagai sekolah ugama swasta yang mengenakan yuran pengajian paling rendah di dalam negara. Ia laluan yang sukar, tetapi kami sungguh beremosi untuk itu. Pusat – pusat pengajian ugama yang diasaskan oleh para sahabat daripada jamaah Tabligh begitu bersungguh merealisasikannya dan mereka telah berjaya. Saya mahu lebih berjaya daripada mereka.

Sekurang – kurangnya saya telah berpuas hati apabila berjaya pada awal tahun lepas untuk mengurangkan yuran pengajian berbanding tahun – tahun sebelumnya. Ia berlaku di saat sekolah – sekolah lain giat pula menaikkan yuran kerana kos kehidupan yang semakin meningkat.

Anda tahu mengapa kami berjaya? Ya, kepercayaan anda dan masyarakat kepada usaha kami, lalu andalah penderma yang budiman yang sentiasa menderma untuk sekolah kami. Kami menyantuni kepercayaan anda dan masyarakat dengan menggunakan derma itu sebaik – baiknya.

AlhamduliLlah, di awal tahun nanti, melalui sedikit penglibatan kami, pihak HPA yang diasaskan oleh Tuan haji Ismail akan membuka cawangan RFCnya yang pertama di Kelantan. Maahad Tahfiz NikmatiLlah, insya Allah akan turut mengecapi sedikit keuntungan daripada perniagaan tersebut.

Jadi, jomlah makan di RFC nanti. Ingat RFC ingat MANHAL!  

3) Antara usaha yang saya lakukan dengan bersungguh – sungguh untuk Maahad Tahfiz NikmatiLlah adalah menggerakkan perniagaan berkonsepkan sumbangan untuk dana sekolah. Ia adalah konsep konvensional dan kecil – kecilan yang dimodenkan pengurusannya supaya ia memberi keuntungan yang besar daripada rangkaian perniagaan yang luas.

Saya mulakan dengan perniagaan Saffron Integrated Marketing (SIM) beberapa tahun lepas. Ia agak sukar di awalnya sehingga hampir rebah. Tetapi berkat keyakinan dan kesungguhan, ia akhirnya mencapai kejayaan yang besar. Di dalam SIM, saya hanya mengetuainya sebagai penasihat dan pemegang amanah.

Kini di atas sebab – sebab yang mungkin telah difahami ramai, saya dan 4 lagi jamaah pengasas telah menubuhkan dan menggerakkan syarikat baru iaitu Tok Guru Nutraceuticals Marketing (TGNM) dengan menggunakan jenama TG. Ia telah memulakan operasinya awal November lalu dan telah mendapat sambutan yang agak menghiburkan dan meyakinkan saya bahawa saya telah melangkah dengan kaki kanan, dengan izin Allah.

Saya akan menulis khas mengenai perniagaan ini dan bagaimana ia menjana kemasukan besar kepada dana sekolah di samping menjawab beberapa persoalan yang berkaitan mengenai konsep perniagaan ini. Mungkin saya akan menulisnya selepas majlis makan pagi pada awal tahun Hijriyyah nanti bersama ayahanda di kediaman kami di Pulau Melaka bersama stokis – stokis seluruh negara yang telah mendaftar. Ia dibuat sempena majlis penyampaian sumbangan yang pertama untuk sekolah – sekolah ugama terpilih yang akan disampaikan oleh ayahanda sendiri. Ayahanda telah menyatakan persetujuan dan gembira seperti dulunya. Ini dan semua perancangan didahulukan dengan INSYA ALLAH.

Mungkin saya perlu minta maaf bahawa majlis ini adalah khusus untuk para stokis sahaja. Ruang tamu rumah tidak mampu untuk dibuka kepada umum. Insya Allah, saya akan cuba dapatkan perkenan ayahanda untuk majlis kedua yang lebih besar dan meriah.    

Semuanya demi kemajuan sekolah – sekolah ugama seluruh Malaysia melalui perniagaan kami yang akan mencipta kejutan demi kejutan dengan persembahan rangkaian produk muslim bermutu tinggi. Tak percaya, tunggu Januari nanti dengan beberapa produk baru yang ‘boom’ , insya Allah.

4) Dunia politik saya agak panas tahun ini. Blog saya melonjak kerana beberapa tulisan saya yang agak anti – establishment. Daripada acap menerima pujian sebelumnya, saya acap pula menerima cemuhan kali ini.

Apabila saya perhatikan, saya dapati di dalam blog kini, tiada lagi yang bersih daripada serangan. Justeru di saat ramai yang luka, anda pun patut luka. Apatah jika yang luka itu guru anda, anda mesti turut sama luka kerana mempertahankannya.

TGHH dan TGNA telah luka dan saya luka kerana mempertahankan mereka. Hah, seronok pula rasanya. Saya bukan jenis orang yang menyembunyi diri apabila melihat gurunya luka. Murid dan pembantu jenis apa ini??

Anda telah mengenali saya. Sikap saya hari ini rasanya begitulah ianya sejak dulu. Saya tidak beriman pada persepsi. Persepsi adalah umbang ambing politik manusia, bukan politik datuk saya Nabi Ibrahim alaihissalam, juga ikutan saya, nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Persepsi yang benar adalah pada ridha Allah. Ia bukan persepsi binaan politik semasa hari ini. Ia persepsi binaan malaikat Allah. Hebat kita di sisi malaikat, hebatlah kita pada dunia persepsi yang hakiki dan benar. Jika tidak, persepsi adalah nahas! 

5) Menanti bilah – bilah hari menuju tahun baru adalah keinsafan. Helaian demi helaian amalan kita di dunia ini diminitkan dan menunggu masa untuk diterima dan disahkan. Dunia semakin tua dan sentiasa acap mengulangi kesilapan yang sama. Ia tidak lagi sedar kerana ia telah tua dan telah nyanyuk untuk mengerti erti sebuah iktibar dan keinsafan.

Semua kita semakin tua. Seorang ahli akhirat akan semakin terungkai daripada tubuhnya ikatan – ikatan duniawi dan tali – tali akhirat semakin galak memegangnya dengan kuat. Dia semakin mencintai akhirat dan menggilainya. Dunia semakin jauh meninggalkannya dan dia tidak akan berpaling lagi kepadanya.

Adapun ahli dunia, tali – tali duniawi terus mengikatnya dengan lebih kuat. Dunia menagih hutangnya yang belum langsai. Kezaliman dan kemusnahan yang dilakukannya menghambatnya sehingga sukar sekali tali – tali akhirat untuk mengikatnya. Ketika akhirat memanggil – manggilnya, dia terus menjengah pada dunianya yang penuh soal dan tanya.

Dia ingin mempertahan diri di hadapan dunia yang akan lebur, sedang akhirat menunggunya dengan cemeti dan belenggu azab dan kepedihan.

Allah, kembalikanlah kami kepada kehidupan saat Engkau melahirkan kami di awal dunia kami dulu..  

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Disember 2009
I S R K J S A
« Nov   Feb »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 155 other followers