You are currently browsing the monthly archive for Februari 2010.

Salam Kamunting,

Jauh dan takkan sama perang Avatar versi James Cameron dengan perang Avatar 2012 versi Mustapa Mohamed ( Dato’ ). Paling tak sama, epik cereka sains pengarah filem tersohor itu menolak wujudnya konspirator dalaman alias munafik daripada kalangan pribumi Na’vi di bulan Pandora yang bersatu menghalang kerakusan dan ego manusia untuk menjalankan aktiviti perlombongan galian berharga di tanah air mereka.

Penonton dengan demikian begitu mudah bersimpati dan memberi undi untuk pribumi bulan Pandora dan bersorak dengan kekalahan kelompok spesis manusia sendiri yang rakus dan tanpa peri kemanusiaan.

Adapun perang Avatar versi menteri Malaysia ini, watak munafik diwujudkan, bahkan dihidupkan oleh beliau sendiri. Tidak bersendirian, Awang Adek ( Dato’ Dr ) diberi peranan awang penghasut yang berkerja siang dan malam cuba menyusun deretan rakyat ‘bulan’ Kelantan berjejeran di pesisir pantai Bachok menadah kedua telapak dada mendepa tangan berseru hubaya – hubaya tumpahlah sedekah daripada bahtera – bahtera yang memunggah hasil minyak dari perut bumi Kelantan ke vampire KL dari sistem bintang Alpha Centauri. 

Apabila wujud munafik, sampai kiamatlah kemudahan pasti bertukar menjadi kepayahan dan kejelasan bertukar menjadi kesamaran. James Cameron tidak mahu lagi memanjangkan cerekanya yang sudah cukup panjang itu dengan cerita kemunafikan yang pasti membentuk kebencian dan rasa meluat. Dia mahu menonjolkan fitrah simpati manusia kepada penindasan tanpa menanam rasa benci dan meluat pada diri manusia sendiri.

Mustapa Mohamed ( Dato’ ) gagal atau mungkin tidak kisah untuk memahami tahap kemandirian dalam memahami fitrah kehidupan yang dimiliki setiap manusia. Ah, muslim apa tidak memahami fitrah?

Nanti, secara fitrah juga, Ku Li ( Tengku Razaleigh Hamzah ) memain peranan wira manusia yang berani mengambil risiko menggagalkan rancangan berdekad kumpulannya sendiri untuk menguasai Kelantan. Tanpa rasa gundah dan bersalah, beliau ‘membakar’ jati diri ratusan ribu rakyat Kelantan mempertahankan eko sistem rezeki Pencipta bumi daripada dirosakkan oleh ketamakan nafsu dan tangan – tangan haiwani manusia penzalim.

James Cameron berjaya mengadaptasi fitrah keperwiraan ini ke dalam cerekanya sehingga penonton seperti sudah bersedia mahukan manusia segera pulang ke bumi dan menjalin hubungan diplomatik setiakawan dengan pribumi Na’vi di bulan Pandora. Keperwiraan adalah fitrah yang kekal menambat hati manusia untuk bersatu dan survive. 

KL jangan sekali menjadi vampire siang yang datang menghisap minyak di bumi Kelantan dan mahu rakyatnya menjadi hamba abdi peminta sedekah yang kebulur!

Kalla!

Jadilah sang budiman! Jadilah sang manusia perwira! Jadilah pembunuh kelibat jahat yang menghantui rakyat Kelantan lebih 20 tahun sudah!

Aduhai, di manakah anakanda Negarawan Allahuyarham Tun Razak menyimpan rasa dan simpati? Bilanglah detik – detik derita berpuluh tahun rakyat tuan hamba di bumi Kelantan. Empangilah banjir air mata rakyat termiskin daripada mengalir ke lautan dendam karma. Janganlah sehingga terpadam barzakh di antara doa makhluk tertindas berlayar ke samudera jabarut tuhan Maha Pendendam! 

Ah, Tinggalkanlah sahaja Avatar versi Mat Saleh yang terperangkap dalam dunia fiksyen iblisi itu. Kita muslim punya maklumat alam belakang hijab yang lebih nyata dan pasti. Alam malakut langit dan bumi yang berajakan Allah Yang mencipta!

Mengapa rakyat Kelantan harus menadah tempurung, menyembah dan melumur arang di muka menagih ihsan sedekah daripada rezeki ‘zamzam’ yang terpancar dari pijakan tapak kaki mereka di bumi sendiri?

Tiada minyak keluar di bumi jin! Jika ia keluar sebagai rahmat, maka ia adalah nikmat untuk manusia yang dilahirkan di situ. Tiada lahir manusia kecuali sudah tertulis rezekinya di kecetekan dan kedalaman bumi, di pesisir dalam dan luar lautannya dan di kerendahan dan ketinggian langit yang dijunjungnya.

Berpesanlah pada orang Eropah ratusan tahun dulu bahawa kamu adalah penjajah di bumi Amerika sehinggalah kamu diterima untuk memunggah gunungan rezeki di sana oleh pribumi Red Indian. Berpesanlah pada mereka demi pribumi di bumi Australia dan berpesanlah pada orang Portugis, Belanda, Sepanyol, Inggeris dan Amerika bahawa kamu adalah penjajah di Tanah Kepulauan Melayu sehinggalah kamu diterima tanpa paksa oleh pribumi Melayu untuk menggali dan memunggah pulang kekayaan dari perut bumi dan malar hijau Melayu raya.

Jika sebaliknya, kamu adalah penjajah atau perampas yang zalim dan jahat.

Akadkanlah perkongsian di antara pemilikan dan kepakaran.

Ayah bonda kita tidak menghalau penjajah kerana menolak kepakaran mereka, tetapi demi pengiktirafan ke atas hak pemberian Tuhan pencipta alam.

Demikianlah agama kita mengajar asas pemilikan dan hak. Ia lahir bersama kewujudan manusia dan ia tidak pernah lahir melalui kekuasaan, penjajahan dan penindasan yang kuat ke atas yang lemah. Hatta harta ghanimah selepas perang jihad sekalipun, ia hanya disyar’iekan kerana pembalasan terhadap penindasan dan sekatan terhadap ugama Allah, penganutnya dan manusia seluruhnya.

Anak merdeka Persekutuan Malaysia tidak pernah mengenal kerakyatan selain dalam sebuah percantuman negeri – negeri kerajaan Melayu yang saling memiliki dan menghormati hak masing – masing. Ia dibentuk demi kekuatan, kesatuan, kesamaan dan kesaksamaan.

Mereka tidak mengenal skim ihsan, sedekah dan jariah daripada hasil bumi sendiri!

Malaysia hanya wujud 50 tahun lepas sedang Kelantan, Terengganu, Sabah, Serawak dan semuanya telah wujud ribuan tahun dulu dalam untaian dan rantaian pemerintahan, rakyat dan kehidupannya yang bebas dan merdeka sejak dulu.

Mengapa mereka yang bertakhta di arasy Putra Jaya begitu berminat sekali untuk kembali lagi kepada stail Mat Saleh barat yang menjajah kita ratusan tahun lepas? Mengapa kembali memberi nafas kepada bangkai jahiliyah yang telah kita sama – sama kambus?

Mengapa begitu sukar memahami sesuatu yang terlalu mudah? Min Badihiyyaat al umur.. 

ATAU, inilah makna dunia kemunafikan?! Agar menjadi mudah hamba tuhan memahami peringatan tuhannya?

Lihatlah negeri Terengganu. Royalti ( perkongsian keuntungan ) yang dinikmati puluhan tahun tiba – tiba bertukar menjadi wang sedekah setelah bertukar pemerintahan. Setelah kerajaan PAS dirampas kembali secara memalukan melalui senjata wang sedekah ini ( yang diberikan pula kepada kerajaan haram UMNO, bukan kerajaan PAS yang sah ), ketuanya yang pertama terhegeh – hegeh pula cuba mencari jalan menjadikannya satu hak dan royalti yang memberinya kuasa penuh ke atas wang itu. Kemudian, datang pula ketuanya yang kedua 2 tahun lepas mempertahankan tuntutan yang dibuat oleh pemerintahan PAS  yang mereka gulingkan secara zalim dulu.

Apabila mereka hilang kuasa, mereka mahukan hak itu dilucutkan daripada pemegang kuasa. Apabila mereka memiliki kuasa, mereka mahu pula hak itu dikembalikan kepada mereka kerana mereka sudah berkuasa.

Beginikah undang – undang moden dibina?

Lihat pula Mustapa Mohamed ( Dato’) dan Awang Adek ( Dato Dr) di Kelantan. Selama mereka kalah, mereka menyembunyikan hak royalti minyak daripada pengetahuan rakyat Kelantan. Apabila terbongkar oleh masa yang panjang, mereka mempertahankan hak itu sebagai tiada. Setelah ketua mereka menjadikannya ada dan mengumumkannya sebagai sedekah dan ihsan, mereka menuntutnya pula sebagai hak mereka.

Lalu tiadalah air muka mereka untuk berfatwa bahawa orang kaya dan kerajaan haram pun layak menerima wang sedekah.

Kemudian mereka bermati – matian menjaja ke seluruh Kelantan bahawa mujurlah dan terima kasihlah kerana kita diberi sedekah dan ihsan. Biarlah orang – orang kaya dulu yang menerimanya kerana orang miskin tak pandai mengagihkan dan menggunakan wang yang banyak!

Aduhai, bayangkan jika ketua mereka di Putra Jaya tiba – tiba membayangkan kemungkinan memberikannya kepada kerajaan negeri yang sah ( itupun atas nama wang ihsan juga ), maka anda akan melihat mereka tiba -  tiba menjadi umpama buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang. Ya, mereka ini akan segera berpaling kepada kerajaan Kelantan seraya berkata penuh santun, “Janganlah terima. Itu wang ihsan. Kita mesti menuntut royalti!”

Alahai, bayangkanlah pula jika bayangan keberanian dan jiwa kenegaraan al marhum Tun Razak berkabus dingin dan berkepulan di Putra Jaya lalu diisytiharkan hak rakyat Kelantan dan kerajaannya untuk menerima royalti hasil petroleum samada di dalam atau di luar pesisirnya sebagai hak yang termaktub, nescaya anda akan melihat mereka ternganga dan tertelan buah kepayang itu. Mereka jadi mabuk kepayang!

Gila. Gila. Gila.

Gila itu berpetak – petak. Berlapis – lapis. Tanyalah Andrea Hirata, novelis Lasykar Pelangi itu, ini gila yang ke berapa pada ilmunya?

Pada saya, ini sah gila ke20 atau ke12. Dekatkan angka itu untuk lebih mahir memahami politik nifaq dan munafik. Jadilah 2012.

Tunggulah perang pilihan raya Avatar 2012 di Kelantan ciptaan Mustapa Mohamed ( Dato’ ) dan Awang Adek ( Dato’ Dr )!

Pada ilmu saya, sebahagian petak – petak gila itu milik dunia kemunafikan. Anda mesti menjauhinya.

Kelantan memiliki hak ke atas buminya dan segala isinya. Ia samada memilikinya secara penuh atau perkongsian dengan Persekutuan Malaysia. Justeru tiada sebab untuk menghalang Kelantan daripada menerima royalti hasil minyaknya yang diusahakan oleh Petronas. Bolehkah Petronas yang dibentuk untuk mendapatkan petroleum di negeri – negeri persekutuan wujud tanpa perjanjian yang memelihara hak negeri – negeri?

Kemudian, kerajaan hanya satu. Di Kelantan, kerajaan PAS adalah sah. Kerajaan yang wujud selepas itu adalah haram, salah dan bersifat merampok dan menjarah. JPP hanyalah penjarah yang dihalalkan oleh sistem yang dirogol dan diperkosa oleh bapa sendiri! 

Sesiapa pun boleh mengeksploitasi undang – undang, mahkamah dan sistem kehakiman ciptaan sendiri, tetapi hak, ia kurnia tuhan yang tak akan berubah biarpun dicabuli seribu tahun. Hak bertahan selama bumi ini kekal wujud dan ia dibawa mati.

Royalti, bukan wang ihsan! Kerajaan Kelantan, bukan JPP!

Dikatakan bahasa asing pribumi Na’vi ciptaan pakar bahasa filem Avatar itu ada pengaruh bahasa Melayu! Betulkah?

Jika begitu, berhati – hatilah. Jangan sampai jalan cerita politik buah kepayang negara kita ini menjadi bahan adaptasi James Cameron untuk menerbitkan Avatar 2 yang mengisahkan pribumi Na’vi  dari bulan Pandora dari sistem bintang Alpha Centauri bergabung dengan pribumi A’ve dari bulan K’late dari planet besar sistem bintang yang sama memasuki gugusan bintang Bima Sakti untuk membantu mempertahankan penduduk manusia di bumi KLupo daripada serangan ganas 50 makhluk gergasi asing dari bulan Ka’ggaro dari gugusan nebula Ausie olo bla bla bla di selatan alam cereka fiksyen yang baru diteroka.

Malu tak tertanggung kita..

Barat memang gila!

Salam Kamunting,

Menjadi seorang muslim adalah bermaksud memasukkan diri ke dalam kerangka dan acuan Islam. Ia bermaksud anda beriman kepada Allah, tuhan yang esa lalu akur dan tunduk kepada pengajaran dan undang – undangNya.

Apabila anda kekal di dalam acuan itu, anda adalah seorang muslim yang sempurna. Jika sebaliknya, anda cacat dan kecacatan itu akan terus membesar dan bertambah mengikut tahap perlanggaran terhadap undang – undangNya. Jika berlaku keengkaran, ia bererti kekufuran dan keluar dari agama.

Menjadi seorang muslim bererti memasuki perlumbaan menuju kesempurnaan. Kesempurnaan adalah berusaha menjadikan diri semakin dekat dengan Allah yang esa dan memperolehi keridhaanNya.

Kesempurnaan dan taqarrub kepada Allah hanya berlaku apabila kita semakin mendekati sunnah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda adalah penunjuk jalan yang satu dan baginda adalah ikutan yang satu di dalam agama. Tiada siapa boleh berlumba di atas landasan selain landasan binaannya.

Kemuncak perlumbaan adalah apabila anda menjadi pejuang Islam yang ikhlas.

Ia bererti anda bukan hanya beriman dengan Islam, bahkan menyiapkan diri sebagai pejuang yang mendukung perjuangan menegakkan ugama Islam di dunia dan kehidupan ini. Itulah matlamat perutusan para anbiya’. Mereka membawa ugama dan memperjuangkannya demi mencapai taqarrub dan keridhanNya.

Islam di dunia ini mesti tegak berdiri ke atas seluruh agama dan ideologi yang lain. Justeru ia menuntut perjuangan dan para pejuangnya.

Menjadi seorang pejuang Islam bukanlah sekadar hanya menjadi seorang muslim biasa. Ia menuntut usaha besar menuju puncak tertinggi. Ia penuh kesukaran dan ia pastinya milik para pejuang yang bersedia menempuh kesukaran dengan jayanya.

Menjadi seorang pejuang bermaksud bersedia patuh kepada peraturan sebagai seorang tentera. Ia menuntut disiplin pada tahap tertinggi. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kemenangan yang dibarisi para tentera yang mempunyai disiplin yang lemah?

Justeru anda tahu bahawa bukanlah senang untuk menegakkan Islam di dunia ini. Menegakkan Islam bererti menundukkan seluruh kekuatan kufur yang merajai dunia hari ini.

Ia menuntut pejuang Islam untuk menguasai banyak perkara dan menggerakkannya dengan penuh disiplin. Pastinya, ia bukan dekat jaraknya, pendek masanya dan mudah caranya.

*****

PAS adalah wadah perjuangan Islam.

Di dalam PAS, pejuangnya dikaderkan seawalnya. Sebelum mencecah umur suku abad, ahli PAS yang dilatih dan ditarbiyah sebenarnya sudah melalui dan menguasai disiplin seorang pejuang. Apabila dia muncul di medan, sayugianya dia tidak kekok untuk berkenalan dengan selok belok dan ranjau di perjalanan dakwah. Itulah sebaik – baik persediaan untuk anak – anak muda yang berjuang.

Adapun jika seorang pejuang PAS itu terlepas daripada latihan dan tarbiyah di awal umurnya dan hanya bersama PAS selepas berlalu umur mudanya, dia akan tetap melalui perkaderan sebagai pejuang PAS. Ia tentunya tak sama dan dipisahkan oleh jumlah masa yang lebih terhad untuknya. Justeru modul dan disiplinnya adalah berbeza.

Anak muda pejuang adalah lebih berpeluang untuk lebih berjaya. Umur muda tiada galang ganti dengan umur tua.

Tetapi, disiplin adalah disiplin. Ia menuntut itiqamah dan konsistensi.

Saat itu, ia tidak menjamin umur muda berbanding umur tua. Orang lama dan baru adalah sama.

Justeru gejala kegelinciran dan kelayuan melanda tanpa mengenal usia dan tahap. Yang menjadi penyelamat hanyalah kekuatan diri untuk bertahan dan istiqamah dalam perjuangan. Para anak muda sayugia sekali diingatkan dengan fenomena ini agar mereka lebih bersedia untuk menangani ujian yang lebih getir dalam perjuangan. Jika tidak, mereka akan berhadapan kerugianyang tiada galang gantinya. Mereka terlucut gelaran ‘al mujahidun’ yang diimpikan setiap muslim yang mencintai al rasul dan perjuangannya. 

Beristiqamah dan berdisiplin juga adalah tanggung jawab dan amanah. Keretakan padanya, selain membawa padah pada diri sendiri juga akan menggoncang keutuhan jamaah dan perjuangan. Setiap kita mestilah berusaha mengelak daripada menjadi beban kepada jamaah. Semakin kita berada diatas, semakin besarlah kesan daripada perlakuan dan tindakan kita.

Pemimpin tertinggi mestilah memiliki ciri – ciri pejuang yang lebih bernilai berbanding pemimpin bawahan dan pejuang di bawah.

Secara mudah dan jelas, setiap kita mesti kagum dengan ringkasan yang dilumatkan oleh al ustaz Hasan al Banna di dalam rukun bai’ahnya yang sepuluh. Jika ahli PAS berpegang padanya nescaya parti PAS akan sentiasa unggul dan dihormati pada bila – bila masa.

Saya melihat suasana sukar hari ini banyak berpunca daripada kegagalan kita melumati kembali apa yang telah kita lumati seawal zaman awalan tarbiyah dulu. Kita disibukkan untuk berlumba merungkai bermacam masalah sedang kita sendiri adalah sebahagian daripada masalah.

Sebuah rumah tangga teguh bahagia kerana ketaatan kepada ketuanya, bukan kerana kegalakan mencari kebebasan bersuara di dalamnya.

Disiplin adalah patuh. Istiqamah adalah cekal.

Ayuh, patuh dan cekal berjuang!  

Assalamu alaikum warahmatuLlah,

Ketika menulis entry terakhir, saya berhasrat untuk berehat sebulan dan kemudian kembali menulis dengan penuh kekuatan. Berehat memberi kita kekuatan berlainan berbanding kekuatan hasil kerja yang berterusan. Semakin lama anda di padang semakin lincah anda menguasai bola dan padang. Tetapi permainan biasanya berubah lebih baik di separuh masa selepas rehat. Anda memulih kesegaran dan anda mula melihat tahap kekuatan anda dan lawan secara lebih tepat. Pastinya jaringan di separuh masa itu adalah lebih bermakna.

Malangnya, di sebalik rasa lebih sedia untuk kembali menulis, saya pula bertangguh – tangguh dan bertangguh – tangguh itu memang penyakit yang merugikan. Saya menulis ini selepas hampir dua bulan berlalu dan rehat panjang pasti menumpulkan skil dan menumbuhkan rasa malas. Memang malas sungguh!

Saya terlepas menulis beberapa isu penting dan beberapa tazkirah yang saya fikir itulah masanya ianya dilayarkan ke paparan maya agar ia memberi kesan dan manfaat yang lebih baik. Saya pasti dikurniai pahala dan rahmat daripadaNya. Malang, ia tidak berlaku.

Tetapi rehat itu tetap satu kekuatan dan kekuatan jenis itu diperolehi hanya dengan apabila anda berehat. Mata anda melihat dan otak anda ligat memikirkan. Telinga anda mendengar dan hati anda giat merenung dan memerhati. Kemudian sesudah itu, anda seperti mahu segera wisel permainan dibunyikan. Anda mahu meluru dan memburu. Memburu jaringan dan kemenangan.

Malangnya, tiada wisel untuk saya di medan blog ini. Hanya penonton yang bertepuk menyokong atau menjuah membenci dari kerusi batu yang sejuk. Ia tidak cukup untuk membunuh parasit malas yang mula tumbuh di jemari saya ini. Hampir sebulan saya tak pun menjengok blog sendiri. Memang malas dan memang dahsyat malas itu.

Arrghh, bismiLlah..

Pergi kau malas! Aku nak kembali untuk lebih rajin..

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Februari 2010
I S R K J S A
« Dis   Mac »
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 154 other followers