You are currently browsing the monthly archive for Julai 2010.

Salam Palestin,

Itu soalannya yang segera terpacul dari mulutnya sebaik saya menghubunginya kembali selepas beberapa kali saya missed call panggilannya semalam. Saya kaget sekejap kerana pada telahan saya dia pasti akan terus bertanya pasal sumbangan yang saya janjikan beberapa minggu lepas untuk misi ke Gaza awal Ogos nanti.

Saya hanya bersedia dengan jawaban untuk itu, bagaimana nak bermadah dan berhelah, saya belumpun buka mulut untuk cari derma dan sumbangan untuk misi jihad itu, sedang hari untuk kumpulan pejuang Palestin Malaysia di bawah kelolaan Cikgu Abdul Hamid Teras Melayu bertolak itu sudah semakin dekat. Tapi lain pula yang Ustaz Norazli Musa Taliban Qandahari terjahkan ke lubang telinga saya. Dia tanpa lapik berlapik bertanya, “Anta sokong perpaduan dengan UMNOkah?”

Saya sengaja melambat – lambatkan permainan, mengacah – ngacah mencari peluang untuk tidak menjawab dalam kaget dan terkejut. “Sapa kata?”, saya buat – buat tak tahu. “Itu ada masuk akhbar, ada orang bagitahu.” Jawabnya. Lagi saya putar, menggelicik, “Anta dah di Gaza ko?”  Ko adalah ke  dalam bahasa Melayu bersurat. Saya memang payah sebut ke. Bila acu cuba tra sebut ke, terasa macam berlakon drama tv pulak. Keras dan terasa letar di lidah bila sebut kalimah semudah itu. Huh, memang sah penangan budu, kata ore Kelate yang tak jemu – jemu mempromosi kehebatan budu, nama dan rasanya sekali yang sungguh menjelirakan.

Dua hari lepas seorang kawan saya bagitahu bahawa ada Mat Saleh hubungi rakannya nak import budu ke Eropah dengan syarat ia dikilangkan di kilang bertaraf HACCP! Budu Kelantan lebih sedap dari budu bilis Jepun, katanya. Saya lalu dengan segera terfikir, mungkinkah budu ‘dikuarantin’ HACCP nanti akan mengubah ko kepada ke?

“Belum lagi. Dah dekat dah. Hah, Macam mana, dapat tak sumbangan? Hah, betulkah anta sokong perpaduan?” Hah, tengok, tengok. Dia dah keliru dengan acahan saya. Masanya saya merembat ke arah gol!

“Percayalah akhbar tu..” Goolll!

Saya lihat tiga akhbar yang ada di hadapan saya yang menyiarkan pandangan dan jawaban saya terhadap soalan para wartawan yang menyerbu saya sebaik selesai menyerbu ayah saya sebaik selesai upacara perasmian restoran makanan segera Radix Fried Chicken ( RFC ) cawangan Kubang Kerian baru – baru ini. Seorang kawan menelifon saya sebaik membaca liputan. “Mereka siar hok demo, tapi berita RFC tak masuk pulak. Katanya mereka marahkan RFC sebab tak jamu mereka ayam goreng masa tu. Hanya bagi air! Mereka boikot RFC!” Leter kawan saya. Huh, dulu KFC. Sekarang RFC pun nak kena boikot juga ko ( ke )?

Saya lihat Utusan. Baik saja. Lihat Sinar, panjang juga ulasannya. Baik saja. Tengok Berita. Hah, ‘Anak Nik Aziz Sokong Perpaduan UMNO PAS’! Saya baca isinya. Lebih kurang Utusan dan Sinar. Hanya tajuk yang betul – betul karut.

Seperti biasa, saya bermula dengan enggan. Tanya saja ayah. Diakan ada, jawaban dia lebih bagus. Jawaban dia jawaban saya. Itulah bahasa saya dengan rakan wartawan. Tetapi makin dienggan, makinlah mereka mengasak. Akhirnya kenalah saya jawab juga. Begitulah kehidupan, memberi dan menerima.  

Saya pernah bertanya ayah saya, bolehkah saya bertemu Najib, atau Pak Lah, atau Tun Mahathir atau siapa saja yang besar – besar? Dia jawab, kenapa tidak boleh? Saya kata, nanti orang marah? Dia kata, kenapa takut orang? Saya kata, mereka lihat itu sensitif? Dia kata, maklumkan dulu pada ketua. Saya kata, pada ayah? Dia kata, tak perlu. Cukup maklum pada ketua pemuda.

Maksudnya, elakkan kekeliruan. Adapun berjumpa, bermuqabalah, bermesra, bertegang leher atau berbincang, cacat dan tohorlah pemikiran politik jika asyik menahan dan menegah diri dari bertemu sesiapapun.

Itulah inti yang saya tipkan untuk rakan wartawan. Itulah tip dari sumber segar al Quran.

Cuma, yang menghalang saya bertemu mereka ialah; Satu, saya tiada apa – apa. Siapalah saya dibanding mereka. Dua, saya bukan ahli Parlimen. Jikalah saya ahli Parlimen, akan saya terkam bilik Najib!

Salam Palestin,

Wujudnya ulama yang menyokong kerajaan sekular yang beragama Islam bukanlah suatu yang pelik dan baru. Sejak aliran pemeritahan sekular di negara umat Islam pasca penjajahan barat ke atas negara Islam bertapak, golongan ulama penyokong inilah yang banyak membantu ke arah ketahanan dan penerusan aliran ini sehingga hari ini, walau pun wujud faktor – faktor lain yang mungkin lebih besar.

Di negara – negara Arab, kebangkitan perjuangan ke arah Islam yang syumul yang dipelopori oleh gerakan al Ikhwan al Muslimun dan jamaah – jamaah Islam yang lain banyak direncat kemajuannya oleh fatwa, hukum, pandangan dan penentangan daripada segolongan ulama yang terus menyokong pemerintahan sekular di negara mereka. 

Mereka menjadi sebab besar kekeliruan umat dan rakyat di dalam memahami perjuangan Islam, bahkan di dalam memahami agama Islam yang benar dan asli.

Sebelum rakyat tewas, ulama ini telah tewas lebih awal. Mereka gagal berperanan kerana mereka sendiri memiliki tubuh yang cacat dan terencat di sana sini. Era penjajahan yang panjang mewariskan Islam yang semakin terpinggir daripada arus depan dan atas. Pengajaran dan pendidikan Islam yang merupakan nadi kekuatan umat telah menjadi mangsa serangan musuh yang dirancang rapi untuk dirosakkan sehingga ke akar umbinya. 

Maka lahirlah di muka depan umat sebuah Islam dalam maknanya yang tidak asli, layu  dan jauh daripada pejuang dan pendukungnya yang benar. Inilah Islam yang didokong oleh ulama jenis tadi dan merekalah yang mendodoinya sehingga para pemerintah sekular muslim menjadikan mereka sebagai tongkat yang memeberi mereka kekuatan untuk terus menjadi penguasa yang batil ke atas umat Islam sehingga kini.

Mereka ini cukup untuk digolongkan dalam dua aliran;

Pertama, aliran nifaq dan penipu yang hidup untuk dunia. Inilah golongan yang menjual agama dengan kehidupan dunia. Apabila didesak dan ditanya mengapa mereka sanggup membelakangi kebenaran, mereka tidak segan untuk menjawab bahawa kami hanya mahu cari makan, kami mahu keselesaan sebagaimana orang lain, kami memilih untuk menjauhi pertembungan dan kemudharatan dan kami sudah diberi kedudukan baik untuk menyebarkan Islam (Islam yang cacat)!

Ulama al su’. Ulama jahat. Inilah nama yang dilabelkan ugama ke atas golongan ulama jenis ini yang sering diperingatkan oleh Allah dan rasulNya sallaLlahu alaihi wasallam dengan azab yan pedih daripada sisi Allah kerana menyembunyikan kebenaran dan meredhai kemungkaran di hadapan mereka.

Kedua, aliran lemah dan jahil mengenai perjuangan Islam dan dakwah. Dalam denyut dan nada yang ikhlas untuk ugama, mereka menyeru kepada Islam sedangkan mereka sebenarnya memimpin dan menunjuk kepada kesamaran dan kekeliruan. Ia bermula daripada kefahaman mereka sendiri terhadap Islam, dakwah dan perjuangan yang cetek dan lemah.

Mereka mengenali Islam dan mempelajarinya di luar lingkungan praktikal perjuangan, sedang ugama ini mestilah difahami dan dihidupkan di dalam dunianya, acuannya yang ditetapkan Allah. Acuan Allah.

Aliran kedua ini bukanlah seburuk aliran pertama yang telah rosak keikhlasan dan telah membesar kerakusan mereka terhadap habuan duniawi yang diterima. Aliran ini walau bagaimanapun adalah penyakit yang perlu dirawati dan rawatannya adalah rumit kerana ia melibatkan kumpulan pemuka ugama yang kepada merekalah tergadai kepercayaan umat dan ke atas merekalah tanggung jawab memimpin umat ini.

Sekarang saya perturunkan beberapa inti dan persoalan, yang menjadikan aliran ini terus gagal untuk bersama dalam kelompok perjuangan Islam yang syumul yang berjalan di atas sunnah al Rasul yang jelas dan terang benderang;

1) Perihal sekularisme: Aliran ini walaupun memahami bahaya sekularisme tetapi masih meladeninya dan menganggap ia bukan bahana besar umat dan boleh diubati dengan mudah melalui nasihat dan teguran terhadap pemerintah. Justeru mereka kekal mendukung pemerintah sekular dengan harapan mampu mengislamkan mereka.

Sebaliknya, aliran perjuangan Islam memutuskan bahawa sekularisme adalah punca utama kejatuhan umat Islam dan ia menjadi senjata ampuh musuh untuk menghancurkan tamadun Islam dan umatnya. Justeru gerakan Islam melihat bahawa kebangkitan Islam dan kemajuannya tidak mungkin tercapai sehinggalah faham sekularisme ini dicabut dari akar umbinya dengan menukar pemerintahan negara kepada pemerintah Islam yang tulen dan syumul.   

2)  Perihal faham kebangsaan: Aliran ini melihat semangat kebangsaan adalah tidak bertentangan dengan Islam. Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Maka kedua – duanya berkepentingan bersama. Justeru apabila pemerintah menjadikan kebangsaan sebagai dasar pemerintahan, mereka mempertahankannya dan melihatnya sebagai kemenangan untuk Islam.

Sebaliknya, aliran perjuangan Islam yang syumul melihat faham nasionalisme adalah umpan penjajah yang dilepaskan ke seluruh dunia Islam untuk menjauhkan mereka daripada Islam yang bersifat sejagat dan juga untuk memecah – belahkan kesatuan umat Islam sedunia agar menjadi lumpuh dan kekal tewas selama – lamanya. Justeru memerangi fahaman ini dengan menukarkannya dengan fahaman Islam yang menyeluruh, sejagat dan sederhana di sisi perjuangan Islam adalah kewajiban yang mesti dilaksanakan. Oleh kerana pemerintahan semasa umat mendukung dan membenih fahaman ini, maka mereka wajar ditukar dengan pemerintahan Islam yang sebenar.

3) Perihal teguran dan jihad terhadap pemerintah: Aliran ini melihat pemerintahan umat Islam hari ini mestilah ditaati sebagaimana arahan Allah dan rasulNya. Sebarang perlanggaran terhadap ugama seperti kezaliman, rasuah dan sebagainya hendaklah diselesaikan melalui nasihat dan teguran yang tidak menjejaskan tiang pemerintahan. Gerakan menjatuh dan menukar pemerintahan dengan apa cara sekalipun adalah bertentangan dengan Islam dan disifatkan sebagai penderhakaan terhadap ugama.

Sebaliknya, aliran perjuangan Islam melihat bahawa pemerintahan Islam yang zalim dan keluar daripada tuntutan agama berhak dan mesti ditukar jika mereka terus dan enggan berubah. Kesalahan hanya berlaku jika usaha itu membawa kepada pertumpahan darah yang disengajakan seperti menghalakan senjata ke arah pemerintah. Islam mengharamkan pertumpahan darah sesama ummat syahadah.         

Dalam konteks sistem demokrasi negara, jatuh bangun pemerintahan adalah tanpa pertumpahan darah, bahkan hanya melalui undi dan suara majoriti. Justeru menukar kerajaan zalim seperti kerajaan negara Malaysia yang sekular dan penuh penjarahan terhadap hak rakyat adalah jihad yang syar’ie dan wajib.

4) Perihal dakwah dan perjuangan Islam: Aliran ini menafsirkan kalimah ‘hikmah’ dalam berdakwah dengan tafsiran yang berbeza dengan aliran perjuangan Islam. Mereka dilihat lebih memilih jalan kompromi demi menjaga hati pemerintah dan demi memperolehi tempat dan jawatan yang mengekalkan mereka dalam enjin pemerintahan. Bagi mereka, kekal dalam kerajaan dan mengelak pertembungan dengan mereka adalah hikmah besar untuk kebaikan Islam.

Ini di sisi aliran perjuangan Islam adalah tafsiran yang mencacatkan pengertian hikmah dan perlaksanaannya. Di sinilah kedua – dua aliran tersebut bertembung.       

5) Perihal jamaah Islam: Aliran ini melihat bahawa jamaah Islam adalah setiap umat yang menyeru kepada al makruf dan menegah kemungkaran walaupun  mereka tidak terikat dengan mana – mana kumpulan Islam yang terikat dengan peraturan dan syarat jama’ie. Justeru keperluan untuk menyokong atau mendukung jamaah – jamaah Islam adalah tidak perlu selagi mereka berkerja untuk Islam juga. Taat kepada pemerintah adalah kerana pemerintah adalah jamaah Islam juga.

Sebaliknya, aliran perjuangan Islam terlalu mementingkan kewujudan jamaah Islam yang dilengkapi peraturan, ciri, syarat dan visi perjuangan yang membawa umat Islam yang hanyut tanpa khilafah yang menaungi mereka hari ini ke arah kehidupan Islami yang tunduk dan wala’ kepada pemimpin Islam di dalam jamaah sehinggalah kelahiran khilafah yang baru. Kesempurnaan Islam adalah pada mengikat diri pada jamaah Islam yang syumul.

Inilah 5 inti dan isu terpilih yang memisahkan dan membezakan ulama aliran ini dengan aliran perjuangan Islam yang dipelopori gerakan – gerakan Islam di serata dunia. Ia bermula dan berpunca daripada kefahaman yang berbeza terhadap Islam dan tuntutannya selain perbezaan pada kedalaman dan keluasan lingkaran praktikal Islami yang dilalui oleh kedua – dua aliran tersebut.

Tan Sri Hj Harussani Hj Zakaria mewakili golongan ini. Beliau aliran kedua daripada aliran ulama yang sentiasa memberikan ketaatan dan mendukung pemerintahan sedia ada walaupun beliau tahu betapa sekularnya pemerintahan kerajaan Malaysia.

Di Mesir misalnya, anda akan sentiasa menemui ulama jenis ini dengan ilmu dan sumbangan yang tidak kecil dan tidak boleh diketepikan untuk kemajuan Islam, tetapi mereka sering menjadi penghalang kepada gerakan Islam yang syumul di dalam membina keyakinan dan kefahaman terhadap ummah ke arah kemenangan Islam yang diimpikan.

Beliau bukan aliran pertama yang jelas kerosakan dan kejahatannya. Tumpukan senjata tajam anda pada ulama UMNO yang mengangguk dan sujud pada ketua mereka di dalam UMNO walaupun sampai mengharuskan judi, rasuah dan kezaliman yang berleluasa.

Gagal membezakan di antara dua aliran inilah yang akhirnya mencetuskan kata nista, hukuman dan terjahan yang salah dan tidak boleh diterima akibatnya. Islam sentiasa diawasi oleh ilmu, disiplin, adab dan hak yang mesti dijaga dan diraikan. Jika tidak, perjuangan Islam akan sentiasa dimasuki unsur yang akan mencemari sifatnya yang qudwah dan sederhana.

Selepas anda memahami pada tahap ini, anda boleh dengan mudah untuk memahami mengapa orang yang turut menyumbang kepada kemajuan Islam di Malaysia seperti Tan Sri Hj Harussani Hj Zakaria dan seumpamanya sering berbeza dengan aliran perjuangan Islam dalam beberapa isu pokok seperti;

1- Pendiriannya untuk menyokong rampasan kuasa di Perak.

2- Sikapnya untuk melihat perpaduan Melayu tanpa syarat di antara PAS dan UMNO.

3- Ketegasannya dalam beberapa isu yang menyentuh pemerintah dan kekendurannya di dalam beberapa isu yang lain.

4- Kejelasannya di dalam menganggap kesultanan mesti ditaati kerana peranannya sebagai ulul amri minkum.

5- Sikapnya yang lebih meraikan kerajaan pusat walaupun melihat kebaikan pemerintahan Islam di Kelantan dan negeri – negeri Pakatan Rakyat.

6- Ketakutannya terhadap terhapusnya Islam dengan terhapusnya ketuanan Melayu ( Melayu adalah UMNO dan UMNO adalah Melayu. PAS? )

Teruskanlah dengan isu – isu lain yang akan sentiasa lahir. Anda akan melihat perbezaan pendapat yang mengelirukan umat Islam melalui pandangan ulama seperti beliau yang akan menyanggah pandangan perjuangan Islam.

Sudah pasti, kefahaman Islam yang jelas daripada tafsiran dan pengajaran ulama Islam yang muktabar yang menyeru kepada Islam yang syumul akan menolak pandangan aliran kedua ulama kerajaan di atas yang berpunca daripada kecetekan memahami Islam dan tuntutan semasanya.

Tan Sri Hj Harussani mestilah diingatkan dengan kesilapannya, memasuki ruang yang bukan dalam bidang dan kepakarannya yang telah menjebakkan beliau ke dalam kancah pertentangan yang merosakkan reputasinya sebagai ulama yang pernah cemerlang dan dihormati kerana ketegasannya dalam isu – isu tertentu walaupun tidak disenangi pemerintah.

Beliau harus malu untuk memikul tanggung jawab yang telah mengelirukan umat Islam yang di luar kemampuannya, selain mengheret perdebatan sesama ulama dan umat Islam yang tidak perlu ke arah pembinaan sebuah negara yang lebih baik.

PAS ada hak yang jelas dalam politik Islam. Ia lahir sejak sebelum merdeka dalam dunia politik tanah air. Berikan laluan untuk PAS mendapat sokongan umat tanpa menambahkan kekeliruan yang menguntungkan musuh perjuangan. Inilah bahasa saya untuk Tan Sri. WaLlahu a’lam.

Salam Palestin,
Mari berfikir untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan al Mubarak;

Pertama, kasihan belas Allah terhadap hambaNya yang terus menzalimi diri dan mudahnya Dia menerima taubat dan keampunan.

Kedua, Peluang demi peluang untuk kita kembali. Di sediakan bumi yang suci, rumah yang suci, bulan yang suci, minggu dan hari yang agung, saat yang mustajab, hati dan akal yang khusyu’ dan tafakkur, lidah yang ringan dan basah, kawan yang soleh dan lain – lain kemudahan untuk kembali kepadaNya.

Ketiga, jauhnya kita dari membaca, memahami dan mengamalkan al Quran, satu – satu kitab dari langit yang kekal di bumi memberi cahaya dan hidayat.

Keempat, lalainya kita dengan kehidupan dan dunia yang menipu dan kita tak pernah serik dan sesal terhadapnya.
Kelima, di mana kita daripada ulama, tempat terpancar hikmat tuhan dalam kehidupan sementara..

Mari memulakan tafakkur untuk bulan Ramadhan yang mulia. Semoga Allah menyampaikan kita ke mihrab Ramadhan. Rindui Ramadhan, nescaya Ramadhan mengaminkan untuk kita dengan izinNya.

Salam Palestin,

Saya harap suara Karpal Singh adalah suara Karpal Singh, bukan satu suara arus bawah dalam DAP. Jika ia adalah sebaliknya, maka saya pastinya bimbang.

Suara Karpal itu melanggar etika persahabatan di dalam Pakatan Rakyat. Tiada siapa tidak tahu bahawa DAP masih tidak menerima cita – cita PAS untuk menegakkan negara Islam. Samalah semua tahu bahawa PAS juga tidak menerima konsep negara demokrasi liberal DAP. Persahabatan atau ikatan di dalam Pakatan Rakyat mengikat kita untuk tidak saling mengkritik sesuatu yang belum dipersetujui bersama secara terbuka, lalu ia membawa kepada polemik yang tidak menguntungkan.

Berikan masa untuk PAS mengenali DAP pada isu – isu yang belum dijernihkan. Begitulah sebaliknya, berikan DAP masa untuk mengenali PAS. Inilah roh persahabatan yang memberi kebaikan di kemudian hari.

Justeru Karpal Singh janganlah lantang dan mengulang -ngulangkannya.  Ia akan mencetus tindak balas yang menjauhkan. Tentunya PAS bertindak balas menjawab kerana ia adalah kewajiban demi mengelak kekeliruan dan menegakkan hujah mempertahankan matlamat penubuhan PAS. Ia akhirya tidak baik untuk Pakatan Rakyat yang punya agenda menegakkan keadilan yang disepakati bersama, juga meruntukan kezaliman yang dirasai bersama.

Apapun, Karpal Singh, siapa boleh menyekatnya?

Maka hendaklah dan hendaknya suara Karpal Singh itu adalah suaranya sahaja, bukan suara arus bawah di dalam DAP. Jika tidak, saya bimbang. Sebabnya walaupun tiada pemimpin DAP yang menyokongnya, tiada juga yang menyangkalnya.

Salam Palestin,

UMNO kata PAS sesat dan PAS kata UMNO sesat. Kerana saling sesat – menyesatkan maka mereka saling bercakaran walaupun sebab utama percakaran bukanlah kerana tindakan saling lempar – melempar itu, tetapi kerana dasar perjuangan mereka yang berbeza. Maksudnya, jika tak saling menuduh, tak sesat – menyesatkan pun mereka akan tetap bercakaran juga kerana percanggahan ideologi itu.

Dari dulu lagi PAS kata UMNO sesat dan dari dulu yang sama tempohnya juga UMNO kata PAS sesat. Tak tahulah bila nak berhenti. Memang bila dah sesat, memang susah nak sampai ke penghujung, apatah bila dah saling sesat – menyesatkan, lagi – lagilah susah nak ketemu hujung habisnya. Hari ini saya tak kisah pun jika mendengar orang PAS kata UMNO sesat dan begitulah jika saya dengar UMNO kata PAS sesat juga. Sebabnya, dah kalih, dah lama sangat dengar cerita saling sesat – menyesatkan ini. 

Sesat  maknanya salah, menyeleweng dan tak betulnya dasar atau matlamat atau cara atau tindakan seseorang itu. Maka orang yang menyesatkan itu mestilah menerangkan maksudnya itu agar difahami. Tak masuk Islam adalah sesat, tak solat pun sesat dan solat tak ikut tertib rukun pun sesat, tetapi ia adalah sesat yang berbeza. Yang pertama sesat kufur, yang kedua sesat jenis fasiq dan yang ketiga pula sesat kerana tak ikut cara nabi, maka tak sah solatnya. Solatnya jadi sesat juga. Maksudnya, sipenuduh sesat itu kenalah menerangkan maksudnya itu agar difahami dan tak jadi sesat pula orang kerana tersalah faham maksudnya itu.

Maksudnya, si penyesat atau si penuduh itu perlulah bertanggung jawab. Mesti, kerana jika tidak, sesatnya itu akan kembali pula kepadanya kerana dia telah menyebabkan orang jadi sesat kerana tersalah faham maksudnya itu, selain kemungkinan dia sesat kerana tuduhan menyesatkan yang sememangnya tidak betul.

Macam fatwa Wilayah Persekutuan yang menyesatkan ESQ. Jika betul, bagus sangatlah fatwa itu. Selamatlah ramai orang daripada jerat ESQ yang tersohor sangat namanya itu saat ini sehingga telah ada kumpulan alumni dan generasi ESQ pula katanya. Tetapi, jika fatwa itu menambahkan kekeliruan dan kekeliruan itu gagal dijelaskan sebaik – baiknya oleh pihak berkenaan yang mahu mengekalkan fatwanya itu, maka fatwa itu pula jadi sesat. Menyesatkan yang tak sesat adalah sesat.

Apabila UMNO menuduh PAS sebagai sesat, maka ia adalah tuduhan yang berat. Ia mungkin bermaksud PAS menganut ajaran ugama Islam yang menyeleweng dasar, matlamat dan kefahamannya. Ia juga mungkin bermaksud sesat kerana tindakannya yang dilihat tidak islamik dan tidak ikut sunnah. Macam PAS berkerja sama dengan DAP dan menolak UMNO, bagi sesetengah pihak agak keterlaluan dan jauh daripada hujah ugama dan sunnah nabi. Kedua – dua kemungkinan maksud tadi telah meletakkan tuduhan tersebut begitu berbahaya kerana ia adalah hukuman agama yang besar ke atas ahli PAS dan penyokongnya.

Malangnya, tuduhan UMNO selalunya tidak diiringi dengan penjelasan yang nyata, apatah ia jauh daripada ruang untuk didebatkan atau dimuzakarahkan secara terbuka dan berani. Hanya tuduhan meliar yang entah ke mana hinggapnya.

Juga, apabila PAS menuduh UMNO pula sesat, maka ia pun satu tuduhan yang berat juga, sama berat dengan tuduhan oleh UMNO tadi. Ia mempunyai kemungkinan maksud yang sama juga yang begitu berbahaya kerana ia adalah hukuman agama yang keras sekali.

Tetapi, anda dengan jelas menyaksikan kelainan yang begitu membezakan PAS daipada UMNO.

Jika UMNO tidak bertanggung jawab di atas tuduhannya itu dengan mengelak penjelasan atau muzakarah atau debat untuk menilai kebenaran tuduhan mereka, PAS pula adalah sebaliknya. Setelah menuduh UMNO sebagai sesat, palsu, batil, salah, menyeleweng, fasiq, zalim dan sebagainya, PAS tampil untuk menjelaskan dan bersedia bersemuka dengan apa cara sekalipun asalkan tuduhannya itu diikuti pula dengan penjelasan yang difahami sebaiknya oleh orang yang memerlukan kefahaman dan kejelasan.

Tuan Guru Dato Hj Nik Abdul Aziz biasa saja melontarkan peluru yang panas – panas ke atas UMNO dan semua tahu bahawa ia bertujuan menimbulkan polemik dan kepanasan yang akan memaksa semua untuk memohon penjelasan beliau. Adakah anda melihat beliau senyap, bersembunyi dan enggan menjawab dan mengulas lagi? Tidakkan?

Sebelah UMNO pula, macam contoh terdekat, Dato’ Shafei Afdal yang menuduh PAS sebagai sesat, ke mana beliau apabila rakyat meminta penjelasan? Muka depan HARAKAH segera menuntut penjelasan, hujah dan bukti daripadanya dan UMNO juga, tetapi tiada apa – apa selain kesepian dan senyap.

Dan perkara yang sama berlaku apabila tuduhan – tuduhan terhadap PAS oleh pemimpin UMNO dilontarkan, ia tidak lebih selain tuduhan tanpa tanggung jawab dan penjelasan yang menenangkan.

Dari sudut ini, anda tahu bahawa UMNO ketika menuduh PAS sesat, ia gagal membuktikan bahawa tuduhan itu adalah betul, bahkan ia kekal sebagai tuduhan yang bersifat fitnah dan jahat.

Oleh kerana saya begitu faham dengan tuduhan PAS terhadap UMNO sejak dulu, sejak kecil saya lagi sehingga sudah menjadi kalih dengan isu sesat – menyesat ini bahawa UMNO adalah parti sesat, maka saya begitu mudah untuk menjelaskan maksud ‘tuduhan’ PAS tersebut. Saya perturunkan di sini agar anda dapat melihat isi penting pertuduhan yang ingin sangat PAS perjelaskan kepada rakyat, samada ahli PAS atau ahli UMNO agar semua rakyat memahami kedudukan pertelagahan UMNO – PAS. Kemudian saya akan jelaskan pula mengapa PAS konsisten pula memerangi UMNO.

Pertama, UMNO sesat dari sudut dasar. PAS konsisten berhujah bahawa dasar kebangsaan atau nasionalisme adalah sesat, salah dan terseleweng daripada ugama. Oleh kerana UMNO secara jelas menjadikan kebangsaan sebagai dasarnya, maka UMNO sesat dan menyesatkan rakyat Malaysia. Bagi PAS, dasar parti hendaklah Islam. Islam tulen sebagaimana di bawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

Tuduhan ini berat. Kerana berat, maka PAS mengambil tanggung jawab penuh untuk menjelaskan, memuzakarahkan, mendebatkan dan mensyarahkannya bila – bila masa demi mengabsahkan tuduhannya itu.

Kedua, UMNO sesat dari sudut matlamat. PAS konsisten berhujah bahawa membina negara demokrasi sekular yang menjadi matlamat UMNO adalah sesat, salah dan menyeleweng daripada ugama. Maka UMNO sesat dan menyesatkan rakyat Malaysia. Bagi PAS, matlamat hendaklah Islam juga dan matlamat Islam adalah menegakkan khilafah dengan membina sebuah negara Islam. Islam yang tulen sebagaimana di bawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

Tuduhan ini berat. Kerana berat, maka PAS mengambil tanggung jawab penuh untuk menjelaskan, memuzakarahkan, mendebatkan dan mensyarahkannya bila – bila masa demi mengabsahkan tuduhannya itu.

Ketiga, UMNO sesat dari sudut wasilah dan cara membangunkan negara. Menghalalkan riba, arak, judi, pergaulan bebas dan mengharamkan hukum hudud misalnya adalah gambaran cara dan wasilah UMNO menyusun, membentuk dan menyelesaikan masalah negara yang jelas keluar daripada pengajaran ugama dan sunnah nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Ini tidak termasuk kezaliman dan rasuah yang berleluasa yang tidak diizinkan ugama.

Kesemuanya berat – berat belaka. Ia jika betul, maka UMNO betul – betul sesat dan mesti ditentang dan diperbetulkan. Jika terbukti salah dan hanya tuduhan tanpa asas, PAS pulalah yang sesat barat kerana menyesatkan yang tak sesat.

Justeru anda tahu bahawa kesediaan PAS memuzakarahkannya adalah bukti pertanggung jawaban PAS atau tuduhannya itu. Itu adalah persaksian yang sungguh gagah dan berani. Hujah adalah kemenangan dan mukjizat.

Tuduh – menuduh sesama umat Islam adalah memilukan, memalukan dan merugikan. Jadi, mengapakah PAS yang mendakwa sebagai parti Islam terus membuat tuduhan terhadap UMNO. Mengapa tidak dibiarkan UMNO sahaja yang menuduh dan memfitnah?

Ya, jawabannya adalah kerana amar makruf nahi munkar. Senyap melihat kemungkaran adalah satu dosa yang akibatnya telah diperlihatkan Allah kepada kita atas apa yang berlaku ke atas Bani Israel yang tidak mencegah kemungkaran sesama mereka.

Metodologi dakwah adalh pelbagai. Selain dakwah secara berlembut adalah hikmah, serangan keras RasuluLlah  sallaLlahu alaihi wasallam terhadap akidah kaum musyrikin dan perbuatan mereka yang menimbulkan kemarahan mereka juga adalah satu hikmah.

Kemarahan akan menyebabkan orang menjadi agresif. Ia juga menyebabkan manusia kembali untuk berfikir dan menilai kesalahan diri. UMNO telah lama agresif terhadap PAS. UMNO juga kadang kala kembali berfikir mengapa PAS konsisten dalam perjuangannya menentang UMNO dan idologinya. Itulah harapan kita untuk UMNO yang bergelumang dalm sesatnya itu.

Tulisan ini bermaksud menjelaskan beza PAS daripada UMNO sesudah mereka saling tuduh – menuduh.

Salam Palestin,

Saya bertuah kerana dapat turut sama menyertai perhimpunan kempen anti judi – semua jenis judi – bersama ribuan rakyat Malaysia terutama anak – anak muda di perkarangan Masjid Negara petang semalam anjuran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang disertai oleh lebih 60 NGO dan parti – parti politik negara.

Hampir 10 orang pimpinan diketuai cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid, selaku pengerusi GMJ dan ustaz Nasrudin Hasan Tantawi, ketua pemuda PAS Pusat telah memberikan ucapan penuh semangat yang menggambarkan kehendak dan rasa hati rakyat Malaysia pelbagai kaum dan ugama yang mahukan kerajaan bertegas mengharamkan industri judi yang telah merencatkan, malah menjahanamkan pembangunan negara dan keharmoniannya.

Antara yang menyentuh hati saya ialah ucapan ringkas saudara Suhaizan Kaiat, setiausaha GMJ yang menyifatkan perhimpunan tersebut adalah impian yang ditunggu – tunggu oleh para isteri dan anak – anak yang menjadi mangsa pukulan, belasahan dan deraan para suami dan ayah yang ketagihan judi yang menjadikan mereka sebagai mangsa melepaskan kekecewaan dan kegilaan berjudi.

Judi adalah najis. Najis adalah tahi, tegas Ustaz Norazli Taliban yang mengikat katanya dengan ayat al Quran yang menamakan arak, judi dan semua aktiviti menikam nasib sebagai najis yang menjadi lubang besar tempat syaitan berkubang. Adalah memalukan kita umat Islam yang terpaksa melancarkan kempen khas dan bersungguh – sungguh semata – mata untuk mengajak rakyat, apa lagi kerajaan sendiri daripada bermain – main dengan tahi. Kerajaan yang menganjurkan dan membenarkan judi adalah kerajaan tahi!

Semua tahu bahawa selain judi, dadah, arak, zina dan riba juga adalah aktiviti yang menjahanamkan negara dan masyarakat. Tiada siapa yang enggan mengakuinya kecuali dia adalah bebal, degil dan iblisi otak dan akalnya. Kerajaan kita turut mengakui hakikat ini. Malangnya hanya tindakan yang memisahkan mereka daripada kehendak dan kemahuan rakyat yang lebih ikhlas dan tekad.

Dadah dan arak merosakkan akal. Judi dan riba merosakkan harta, manakala zina merosakkan keturunan dan maruah manusia. Daripadanya nyawa, malah ugama akan melayang. Agama Islam diturunkan dengan hukum syariah yang berperanan untuk menjaga kemaslahatan ugama, nyawa, akal, harta, maruah dan keturunan. Syariah Islam menjadikan segala aktiviti buruk di atas sebagai kepala – kepala maksiat yang berperanan besar meruntuhkan kemanusian dan ugama.

Tetapi, anda harus bertanya, mengapa kerajaan hanya mampu mengisytiharkan dadah sebagai najis? Kemudian mengisytiharkannya sebagai musuh nombor 1 negara ini? 

Tidakkah arak juga membunuh sebagaimana dadah? Begitu juga judi, zina dan riba. Kemalangan dan kematian di jalan raya berkait rapat dengan pengambilan alkohol? Bunuh diri disebabkan gagal berjudi? Bunuh bayi disebabkan zina? Pembunuhan tragis oleh along disebabkan riba yang bertambunan?? Tidakkah semua itu adalah isu dan gejala buruk yang sedang menghantui negara yang sukar dibendung?

Mengapa kerajaan hanya membeliak mata melihat dadah, tetapi memejam rapat dan membuta terhadap arak, judi, zina dan riba?

Mari menilai dan meneliti 3 faktor di bawah, lalu anda akan tahu mengapa rantaian nifaq dan sifat talam dua muka sedang membelit penyelesaian penuh pembohongan oleh kerajaan kita;

Pertama, kerana dadah telah dinafikan daripada menjadi hasil mahsul negara oleh masyarakat antarabangsa. Seluruh dunia menerima bahawa aktiviti dadah besar – besaran mampu mencabar dan memporak perandakan kerajaan yang memerintah, bukan akan membantu menguatkannya.

Justeru mengharamkan dadah adalah untuk menyelamatkan pemerintah semasa di peringkat yang pertama berbanding untuk menyelamatkan rakyat. Hanya slogan yang dipilih bahawa ia adalah musuh nombor 1 rakyat, walaupun hakikatnya ia adalah musuh nombor 1 pemerintah semasa!

Sama seperti komunis dulu. Ia dicanang sebagai musuh rakyat. Benar, tetapi yang lebih benar, ia adalah musuh pemerintah semasa yang takut digulingkan. Maka komunis dicincang sehancurnya. Kerajaan selamat daripada komunis, manakala rakyat kekal tidak selamat di bawah kerajaan yang semakin berkuku besi. 

Samalah juga halnya Pakatan Rakyat yang sedang mendekati Putra jaya hari ini. Ia cuba dijadikan musuh utama rakyat, kalaulah mereka mampu. Malangnya rakyat semakin bersama Pakatan Rakyat. Mereka gagal meyakinkan rakyat. Justeru kuku mereka mula menumpul dan sukar sekali diasah menjadi tajam.

Adapun arak, judi, zina dan riba maka ia adalah sebaliknya. Hasil mahsulnyanya adalah sah dan diterima masyarakat antarabangsa hari ini kerana begitulah dorongan seluruh kerajaan dunia yang memerintah. Kehasilannya tidak menggugat negara malah dengannya mereka menjajah ranyat dan mencandui mereka agar lalai dan bergantung kepada kerajaan yang memerintah.

Kotornya industri arak, zina, judi dan riba sedikitpun tidak mampu dikekang. Mengapa? Kerana kerajaan sendiri yang menjaga dan menyuburkannya. Jika begitu, bagaimana suara kecil rakyat yang sedar dan insaf mampu didengari?

Kedua, kerana dadah bukan makanan dan kebanggaan orang – orang kaya, ternama dan pencatur politik di dalam negara. Dadah adalah makanan orang yang putus asa, malas dan paling melata di kalangan golongan miskin. Bahkan ia adalah senjata untuk membunuh rakyat.

Adapun arak, riba, judi dan perempuan, ia adalah lambang kebanggaan, prestij, kebesaran dan kedudukan golongan ternama dan VIP dunia. Lihat saja arak yang mahal – mahal terhidang di majlis – majlis keegoan. Apatah wanita – wanita penjamu nafsu serakah golongan atasan. Industri judi dikuasai golonga kaya dan berhati binatang manakala riba terus melata mengangkat golongan kapitalis memeras dan memerah peluh dan air mata rakyat marhain.

Justeru bagaimana anda boleh membayangkan kerajaan mampu membendung dan menyekat industri buruk ini sedang mereka terpaksa berdepan golongan kaya yang telah mengangkat mereka untuk menaiki takhta pemerintahan. Atau lebih sinis, bagaimana dibayangkan kerajaan mampu mengharamkan industri buruk ini sedang mereka terpaksa melawan kehendak mereka sendiri?

Tidakkah kerajaan seluruh dunia hari ini adalah kerajaaan syirik yang menyembah nafsu dan manusia sendiri?   

Paling menakjubkan adalah faktor yang ketiga! Dadah tiada dalam al Quran sedangkan judi, arak, riba dan zina disebut terang – terangan di dalamnya. Apa yang tidak disebut di dalam al Quran, ia menjadi begitu penting dan besar! Apa yang disebut secara jelas di dalamnya, maka ia menjadi tidak penting pula!

Bayangkan bagaimana apabila manusia bermain di kubang syaitan, mereka dibutakan, dipekakkan dan dibengangkan daripada melihat al Quran walaupun mereka membacanya. Nah, anda lihat kerajaan kita menamakan dadah sebagai najis sedang Allah menamakan arak dan judi sebagai najis. Arak masih menjadi minuman hidangan kerajaan di dalam penerbangan MAS untuk rakyatnya! Sungguh menyayatkan..

Lihat bagaimana syaitan iblis menterbalikkan kefahaman hamba – hambanya untuk terus membelakangi al Quran.

Ingat, hanya manusia yang beriman akan kekal beriman bahawa apa yang besar di sisi Allah maka besarlah ia di sisi mereka. Begitulah sebaliknya.

Setelah anda memahami fakta di atas bahawa penyelesaian yang dicari untuk menyekat industri dan budaya berjudi ( juga arak, zina dan riba ) adalah buntu, bersifat nifaq, olok – olok dan hanyalah tarik tali kerajaan untuk mengabui mata rakyat sedangkan mereka tidak dapat tidak kecuali mempertahankannya demi survival mereka sendiri, sekarang mari saya tunjukkan anda kepada sesuatu yang lebih mengakar dan mendasar dalam memahami kemelut penyelesaian di atas. Hasilnya anda akan melihat satu penyelesaian yang tuntas dan berisi sekali.

Senjata utama syaitan adalah putus asa. Apabila putus asa menerobos masuk ke dalam jiwa anak Adam, maka syaitan akan berpesta sakan kerana dengannya segala kejahatan akan menerpa masuk dan memunahkan iman.

Bunuh diri adalah kemuncak putus asa. Manusia dimomok dirinya adalah sial, hina dan tiada lagi harga dan nilai, lalu ia membunuh diri sendiri. Bunuh diri adalah semudah cara syaitan menghantar manusia ke lubang neraka dan kemurkaan Allah. Bagaimana Allah boleh memaafkan orang yang langsung tidak mengerti penciptaan agung dan hebatNya terhadap makhluk bernama mausia? 

Putus asa seterusnya adalah putus asa terhadap rahmat Allah. Syaitan mendorong manusia untuk merasai kedagangan diri dan jauhnya mereka daripada Allah dan rahmatNya. Lalu hilang daripada mereka kehadiran rahmat, taubat, keampunan dan cinta Allah. Hasilnya mereka putus asa untuk kembali kepada Allah.

Terbentanglah sebab – sebab remeh dan memalukan yang disusun untuk menjadi alasan untuk tidak kembali kepada Allah.

Tanya mereka, mengapa enggan masuk Islam? Perhatikan jawaban mereka; 1) Tak boleh makan babi, sedangkan Allah hidangkan mereka ribuan lagi yang boleh dimakan! 2) Enggan bertudung, sedangkan bertudung hanyalah pakaian tambahan terhadap apa yang mereka telah pakai! Bukan kelambu, saji, bakul dan kesusahan yang perlu dipikul tanggung! 3) Payah solat 5 waktu, sedangkan mereka masih ada 23 jam lagi untuk meneruskan kehidupan dan banyak lagi kepayahan yang lebih besar yang sanggup pula mereka lakukan. 4) Umat Islam sendiri pemalas dan jahat, sedangkan kejahatan mereka itu takkan mampu mengambus kebaikan dan tuah syahadah yang dia lafazkan. Juga, kejahatan wujud di mana – mana di dunia ini, bukan hanya berlegar di kalangan umat Islam sahaja. Juga, mengapa memandang kepada keburukan jelata, sedang Islam dipenuhi contoh – contoh penganutnya yang berakhlak mulia melampaui keajaiban di kalangan ulama dan ilmuannya!

Setelah anda memahami penyakit putus asa sepintas di atas, mari saya tunjukkan bagaimana tindakan, atau katakan penyelesaian yang dicanangkan kerajaan Malaysia untuk membendung kejahatan judi, juga zina, arak dan riba hanya bersifat syaitani yang menghulurkan talian putus asa di hati sanubari pemerintah hari ini.

Mereka hilang keyakinan dan putus asa untuk mengharamkan barah – barah tersebut kerana takut: 1) Hilang punca pendapatan. 2) Hilang sokongan dunia kuffar. 3) Hilang kekuatan diri dan sokongan orang – orang kaya. 4) Dianggap tidak bertamadun. 5) Dilabel fundamentalis atau pengganas.

Itulah otak dan idea syaitan! Tidakkah Allah menjanjikan kekayaanyang melimpah ruah buat penegak amar makruf nahi mungkar? Tidakkah Allah menjanjikan sokonganNya sendiri dan juga sokongan orang – orang mukmin yang setia? Tidakkah dengan bersam Allah diri menjadi kuat manakala orang – orang miskin pula akan menjadi bala tentera yang setia membela? Tidakkah Islamlah yang memperkenalkan dunia ini dengan tamadun baru yang bersih, indah dan harmoni? Dan tidakkah menjadi agamawan itu indah dan menjadi impian setiap manusia beriman? 

Ertinya syaitan menguasai suasana dan menjerat pemerintah untuk takut bertindak melalui terhakisnya keyakinan untuk kembali kepada Allah dan rahmatNya.

Sebenarnya selain dadah, arak, judi, riba dan zina dikira sebagai barah negara, anda perlu faham bahawa pemerintah juga adalah barah negara. Virus bawaannya adalah jenis HIV yang merosakkan sistem kekuatan diri umat Islam yang menjadikan mereka putus asa dengan rahmat Allah.

Tulisan ini berhasrat untuk memahamkan anda bahawa musuh utama kita adalah sifat putus asa. Oleh kerana pemerintah itulah yang menjaja penyelesaian yang diuntai tali putus asa, maka pemerintahlah musuh utama negara. Oleh kerana pemerintah itu UMNO, maka UMNOlah musuh utama negara.

Ia bermaksud musuh nombor 1 negara adalah UMNO. Bukan dadah, bukan arak, bukan jud dan bukan riba. Itu semua hanyalah kerosakan daripada sel - sel kanser yang telah rosak kromosom dan DNAnya. UMNOlah penyebabnya yang mencetus suasana kotor yang merosakkan sel – sel sihat kehidupan rakyat Malaysia.

Ketika kempen anti judi dilancarkan oleh GMJ, haruslah difahamkan hakikat bahawa ianya adalah peperangan yang besar melawan establishment yang tidak mungkin berjaya kecuali jika ianya digerakkan bermula dengan menggegar umbinya yang didalang pemerintahan UMNO.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Julai 2010
I S R K J S A
« Jun   Sep »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 154 other followers