Salam Palestin,

Selepas menunaikan solat Zuhur tadi yang dihidupkan pula selepasnya dengan iringan kesyahduan takbir raya haji oleh para jamaah solat yang terus menghangatkan diri dengan imbauan jauh ke kota Makkah, tempat ayahanda bonda dan seluruh para hujjaj dari seluruh dunia sedang menyempurnakan manasik al haj pada tahun ini, saya, sementara menunggu isteri menyiapkan hidangan khas ‘colek perut muda’ daging korban kami yang saya ambil sebahagiannya untuk santapan sekeluarga, sementara bakinya yang banyak itu kami agih – agihkan pula kepada kerabat dan jiran tetangga sebagaimana ianya menjadi amalan dan ajaran ayahanda semenjak dulu, saya buka dulu laptop dan terus saja ke blog saya. Saya terfikir untuk menulis sedikit menenai ibadah haji, sambungan kepada apa yang telah saya tulis sebelumnya.

Saya tersapa satu komen menarik tapi agak ‘nakal’ daripada seorang pembaca yang memperkenalkan diri sebagai ‘pelepahpalas’ mengenai ibadah haji dan ianya berkaitan ibadah haji yang ditunaikan oleh ayahanda sebagai seorang menteri besar yang dikatakan berbelanja besar untuk ke sana sedangkan ayahanda sering digemburkan oleh massa sebagai seorang menteri besar yang sungguh sederhana kehidupannya, sesuai dengan pengajaran Islam.

‘Pelepahpalas’ menjadi begitu sangsi dan hampir – hampir menuduh ayahanda sebagai hipokrit, menipu daya rakyat terutama golongan miskin. Sebelum saya mengulas, elok saya mudahkan anda dengan memindahkan komen tersebut di sini agar lebih difahami isi dan maksudnya;

Salam tuan.
Tuan lebih maklum tentang kewajipan menunaikan Rukun Islam kelima ini. Namun apa yang saya ingin perkatakan di sini ialah bagaimana ‘wajah’ sebenar pemimpin Islam yang berpura-pura bersederhana, berjimat cermat, hanya melakukan perkara yang sangat berfaedah dan menitiskan ‘air mata’ demi memperjuangkan Islam sebenar dan melawan parti yang dianggap sekular olehnya.

Berapakah kos sebenar bagi melaksanakan ‘Haji’ seorang MB di sebuah negeri yang paling betul melaksanakan gaya kepimpinan seorang Nabi ini?
Bukankah jumlah itu boleh membiayai 5 orang Islam atau lebih melengkapkan kesemua lima rukun Islam tersebut? Inilah yang dikatakan cakap tidak serupa bikin.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa : “Aku bimbang ke atas kamu orang-orang yang lebih dahsyat dari dajjal”, bila ditanya siapakah mereka itu? jawab baginda, “Ulama Sukk”
Dalam sebuah hadis yang lain: “Sesungguhnya perumpamaan orang munafiq yang membaca Quran adalah sebagai pohon kemangi, baunya wangi tetapi rasanya adalah pahit”. Maksud hadis ini iaitu sesiapa yang berpura-pura adalah walaupun luaran begitu cantik, tetapi dalamnya adalah begitu jijik dan kotor, berwaspadalah terhadap orang-orang yang berpura-pura tahu, tetapi sebenarnya apa yang keluar dari mulutnya adalah cakap kosong sahaja.

Sesungguhnya Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus. Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 175: “..dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang Kami berikan keterangan-keterangan Kami kepadanya, lalu dibuangkannya. Sebab itu mereka didatangi oleh syaitan, dan syaitan itu termasuk dalam golongan yang sesat”

Sebagai seorang penulis di laman blog, saya akan cuba mengikuti disiplin yang diminati ramai iaitu hak untuk mengkritik atau memuji penulis blog itu dengan apa cara dan ragam sekalipun. Maka saya biasanya melepaskan saja apa saja kritikan pedas walaupun sebahagiannya agak dangkal dan jauh tersasar tanpa nilai dan makna yang bermanfaat. Paling tidak, seluruh pembaca akan membuat penilaian sendiri terhadap kritikan tersebut dan ia pastinya akan membantu untuk mengukur nilai dan manfaat inti yang saya tulis pula. Warna putih tak terukur dengan baik sinar benderangnya sehinggalah wujud hitam di sebelahnya. Semakin pekat hitam itu semakin teranglah putih itu.

Walau bagaimanapun, saya berat hati, lalu terpaksa menapis dua jenis komentar yang agak ‘malang’ penulisnya. Pertama, kalimat maki hamun yang terlalu menjijikkan. Kedua, perlekehan dan penghinaan melampau terhadap ayahanda. Yang pertama itu biasanya menjadi pilihan para bloger lain insaf dan adil. Yang kedua pula, ianya khas sebagai disiplin saya sendiri. Saya tidak fikir saya akan dilihat menghormati dan berlaku ihsan terhadap kedua – dua orang tua saya jika saya membenarkan tindakan kurang ajar itu. Justeru saya akan memilih untuk dilihat oleh Allah, rasulNya dan orang – orang beriman sebagai anak yang soleh dan berlaku ihsan terhadap kedua – dua ibu bapa saya, walaupun saya dilihat tidak adil dan penakut oleh mereka yang menyerang secara kasar tersebut.       

Adapun ‘pelepahpalas’, bahasanya bagus tanpa kalimah jijik dan tujuannya juga jelas tanpa selindung. Beliau melihat ayahanda sebagai seorang MB yang bohong, berpura – pura dan cakap tak serupa bikin. Daripada mengeluarkan bahasa yang keras dan tak bermoral, beliau memilih untuk mengambil beberapa petikan ayat al Quran dan hadis al nabawy daripada sumber utama Islam itu untuk lebih dilihat benar pada dakwaannya, berani pada serangannya dan gagah pula pada sandarannya.

Kerana itu, saya akan jadikan komentarnya itu sebagai laluan yang memudahkan perjalanan kepada maksud yang saya ingin tuliskan iaitu maksud kesederhanaan dalam Islam. Ianya tidaklah menyeluruh, tetapi ia membantu memahamkan anda kepada beberapa pandangan yang disalah fahamkan oleh tidak sedikit daripada kalangan kita.

Sekarang saya akan kemukakan beberapa soalan berkaitan dan tanpa jawapan terus daripada saya, anda akan mengesan jawaban itu sendiri dan ianya adalah menjadi jawaban saya.

1) Sekitar masjid al haram hari ini sedang mengalami pembangunan pesat dengan tumbuhnya bangunan dan sistem yan lebih canggih dan moden. Bangunan – bangunan hotel mewah dan mencakar langit menempati bahagian yang paling dekat dengan masjid di segenap sudut. Keluasan dulu yang boleh memuatkan satu katil kini telah boleh memuatkan berpuluh – puluh katil disebabkan pembinaan bangunan yang bertingkat – tingkat. Pergerakan para hujjah akan menjadi semakin mudah dengan sistem pengangkutan yang dimodenkan.

Kesannya, kita tidak lagi boleh berbelanja murah jika berhasrat menginap di tepi masjid yang akan memudahkan dan mendekatkan perjalanan kita ke masjid.

Petama, Adakah anda melihat tindakan kerajaan Arab Saudi ini adalah salah? Adakah anda melihat bahawa sepatutnya bangunan – bangunan hotel murah dan sederhana diletakkan paling dekat, manakala hotel – hotel mewah diletakkan jauh di belakang? Dalam erti orang – orang yang berbelanja lebih tak sepatutnya diberi keselesaan?

Kedua, adakah pihak hotel mewah tersebut mengkhususkan hotel mereka untuk golongan VIP dan kaya raya sahaja, ataupun sesiapa pun berhak asalkan mereka membayar lebih? Adakah anda pula, samada miskin atau kaya dikira membazir, salah atau tidak afdhal jika anda memilih untuk membayar lebih demi mendapatkan kemudahan yang lebih baik berbading yang lain?

Ketiga, adakah seorang pemimpin kerajaan yang pergerakan mereka dikawal oleh protokol rasmi dikira salah dan kurang afdhal jika mereka terus berada dalam kawalan protokol semasa melaksanakan haji, sedangkan ianya tidaklah mengganggu orang ramai? Adakah protokol kerajaan itu adalah salah atau kurang afdhal untuk seorang pemimpin Islam yang benar dan wara’. Juga, adakah berbelanja lebih oleh seorang pemimpin Islam adalah salah atau kurang afdhal?

Kemudian, sila lihat persoalan berikut pula. 

Pertama, apakah ukuran bersederhana dalam Islam? Apakah ukuran itu mesti sama untuk segenap lapisan masyarakat? Adakah masyarakat Islam bermaksud sebuah masyarakat yang tiada miskin dan kaya, pemimpin di atas dan rakyat di bawah? Adakah ia bermaksud tiada lagi kelas biasa, VIP dan VVIP?

Kedua, adakah salah jika seorang yang kaya atau seorang guru atau seorang pemimpin menerima sumbangan anak buahnya sebagai tanda ihsan dan kasih sayang? Adakah sedekah atau hadiah itu kemuliaan jika diberikan kepada si miskin sahaja?

2) Selepas anda meneka jawaban kepada persoalan – persoalan yang saya lontarkan di atas, mari kita perhatikan beberapa perkara yang akan lebih menjelaskan maksud kesederhanaan.

Pertama, pada dekad ini, perbincangn dalam fiqh dan isu ibadah haji tidak lagi berkisar bagaimana untuk mendakwah dan menggalakkan umat Islam  melaksanakan kefardhuan ibadah haji sebagaimana masa – masa terdahulu, bahkan perbincangan para ulama kini banyak ditumpukan dan dikerah untuk memikirkan bagaimana memudahkan urusan perlaksanaan ibadah haji sehinggalah kepada persoalan hak kerajaan untuk menyekat atau menghadkan jumlah para hujjaj yang sentiasa meningkat sepanjang tahun.

Jumlah para hujjaj yang terlalu ramai dan penuh sesak boleh mengakibatkan musibah besar seperti kegagalan menyempurnakan rukun haji, kemalangan nyawa atau kecederaan, perbalahan sesama para jamaah haji  dan lain – lain lagi yang perlu dielakkan. Justeru sebagai contoh, kerajaan Arab Saudi selain telah menghadkan jumlah jamaah haji dari negara – negara luar, mereka juga telah menahan rakyat mereka sendiri daripada mengerjakan ibadat haji pada setiap tahun, bahkan mengikut sumber, mereka hanya diberi kebenaran mengerjakan haji setiap 5 tahun sahaja.

Tanpa menolak beberapa perkara yang dilihat sebagai kegagalan negara tersebut menguruskan perjalanan haji dengan baik seperti gagal mengawal peningkatan kadar perbelanjaan yang begitu ketara setiap tahun, kita terpaksa menerima hakikat bahawa kemudahan – kemudahan khas ( bukan awam ) yang ditawarkan terpaksa dibayar dengan kewangan yang lebih.

Ini termasuk penginapan yang lebih selesa dan makanan yang lebih baik selain yang lebih penting, kedudukan penginapan yang lebih dekat dengan masjidil haram.

Kedua, selepas Islam membenar, bahkan menggalakkan umatnya untuk mencari kekayaan demi mengejar kelebihan duniawi, apatah ukhrawi melalui kekayaan tersebut, para ulama temporari sepakat bahawa hajat umat Islam hari ini kepada kekayaan material adalah begitu mendesak walaupun ianya adalah mustahil lebih penting daripada hajat besar umat Islam kepada iman dan taqwa yang teguh kepada tuhannya.    

Lebih memudahkan kefahaman, lihat bagaimana Allah menjadikan hampir seluruh negara yang didiami majoriti umat Islam memiliki sumber kekayaan semulajadi yang menjadi rebutan dunia kufur juga. Adakah anda boleh mengandaikan bahawa sumber kekayaan itu adalah untuk dimiliki Amerika dan sekutunya, Israel? Bahkan, ia adalah untuk umat Islam yang digalakkan untuk membekal diri demi kebangunan Islam dengan kekayaan iman di dada dan kekayaan material di tangan.

Kemudian, siapakah yang paling berhak mengecapi kekayaan yang anda miliki sendiri secara halal itu?

Ya, pengajaran ugama secara jelas menegaskan bahawa andalah di tempat pertama sebelum ianya adalah menjadi hak mereka yang di bawah tanggungan anda seperti ahli keluarga dan kerabat terdekat, kemudian ianya adalah milik golongan miskin yang dijamin hak mereka oleh ugama ke atas orang – orang kaya di dalam masyarakat Islam, apatah kerajaan yang memerintah.

Dalam konteks kesederhanaan yang diwajibkan oleh ugama, adalah perlu anda fahami bahawa ianya tetap berjalan dan terpakai ke atas semua pihak, samada perbelanjaan untuk anda sendiri atau untuk orang miskin. Adakah anda dibenarkan oleh ugama untuk memewahkan seorang miskin yang apabila ia memiliki lebihan, ia akan gunakannya untuk membeli dadah, atau berfoya – foya atau sekurang – kurangnya menambah jumlah rokok yang disedut untuk membunuh dirinya itu?

Anda sedang semakin memahami maksud kesederhanaan dalam kehidupan beragama.

Ketiga, pemerhatian terhadap sirah nabawiyah walaupun secara sepintas dan tanpa ketekunan pun sudah cukup menemukan kita dengan idea protokol terhadap pemimpin dan kenamaan negara. RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam tidak menghalang protokol, bahkan kebenarannya boleh difahami sebagai satu hak untuk para pemimpin dan kenamaan.

Tidakkah kita dihalang mendahului RasuluLLah dalam ucapan, tindakan dan apa – apa keputusan ( Lihat surah al Hujuraat )? Siapakah pengapit yang mengelilingi RasuluLlah ketika dalam majlis bertetamu, musafir dan terutamanya ketika keluar berjihad? Adakah semua berhak? Atau wujud lantikan yang diadakah secara mudah atau ketat?

Protokol atau kerasmian adakah hak. Ia dibenarkan demi kelancaran dan kemudahan. Ia bukan daripada awal dan akhir sebagai satu tanda kemewahan dan kesombongan.

Kesederhanaan? Ya, ia terus terpakai di dalam protokol. Ia bermaksud tidak terlalu longgar yang menyusahkan dan tidak terlalu ketat yang menyusahkan juga. Cubalah anda fahami dengan sebaiknya.

Pengalaman saya sebagai anak seorang yang bertaraf VIP mengajar saya betapa protokol yang tepat akan memberi hasil yang padat dan penuh. Ia menguntung masa ayahanda tuan guru, fikirannya, kesihatannya, pergerakannya dan turut membatu dan menguntungkan majlis dan orang ramai juga.

Jikalah ayahanda meninggalkan protokolnya sebagai seorang MB dan hanya mengekalkan protokol ringannya sebagai seorang tok guru yang mudah didekati, anda akan menyaksikan negeri Kelantan sedang memiliki seorang menteri besar, bahkan negeri Kelantan yang cacamerba dan kelam kabut!

Sesetengah penyokong PAS atau yang mendakwa murid kanan tok guru agak kurang memahami atau menolak hak protokol ayahanda. Mereka ini biasanya akan mencetuskan masalah dan menjengkelkan sekali. Tiada apa yang menguntungkan pun.

Setelah anda memperolehi gambaran sepintas yang mengarah kepada maksud kesederhanaan melalui isu haji, kekayaan dan protokol yang saya lontarkan, maka bolehlah anda memahami bahawa kesederhanaan itu janganlah ditafsirkan kecuali melalui garisan dan disiplin yang telah ditetapkan oleh agama itu sendiri.

Jangan sesekali menafsirkannya sekehendak yang anda faham.

Berbelanjalah pada kadar mana yang anda suka untuk ke Mekah. Selama mana ianya daripada sumber yang halal, tidak menyusahkan orang lain seperti melewatkan bayaran hutang, bertujuan memudahkan urusan ibadat dan tanpa rasa sombong dan besar diri, maka ianya adalah dalam konteks kesederhanaan yang dibenarkan. Samada anda kaya, lalu anda tidaklah perlu bersusah payah mengumpul perbelanjaan, atau anda seorang yang tidak kaya, lalu anda terpaksa bersusah payah untuk menyediakan perbelanjaan tersebut, anda tetap mendapat ganjaran membelanjakan harta pada jalan yang benar dan diredhai Allah.

Dua tahun lepas saya dan isteri menunaikan haji. Saya mengambil pakej murah sekitar 10 ribu ringgit lebih. Saya terpaksa terpisah daripada isteri. Tinggal 6 orang dalam bilik yang sempit. Berkongsi 2 bilik air dengan puluhan jamaah haji. Berhadapan masalah orang – orang tua yang sering uzur dan kerenah orang jahil yang menyusahkan dan menjijikkan ( kencing berdiri dalam bilik air sampai memercik ke dinding! Aduss! ). Ianya pengalaman yang cukup berguna dan menginsafkan, sesuai dengan matlamat haji.

Tetapi hari ini, saya dan isteri berhasrat jika diberi kemudahan lagi, saya akan ke Mekah mengerjakan haji dengan pakej yang lebih baik dan tentunya, mahal. Adakah saya telah keluar daripada maksud kesederhanaan?

Berbelanja lebih untuk kehidupan yang lebih selesa adalah kesederhanaan walaupun anda terpaksa berhutang kerananya. Jika anda memilih untuk berada ditahap yang lebih rendah dan bersedia untuk menanggung sedikit kesusahan selain mengelak berhutang, maka ia adalah hak anda dan anda diganjari pahala sekiranya ia membantu iman anda dan keluarga anda.  

Bagaimana pula jika kehidupan anda gagal dihayati isteri dan anak – anak? Anda mampu tetapi kedekut berbelanja untuk keperluan isteri, rumah, apatah pendidikan anak – anak yang terlalu memerlukan perbelanjaan yang lebih di negara kita yang zalim pemerintahannya ini? Adakah anda boleh beralasan untuk hidup sederhana?

Anda juga telah keluar daripada garis kesederhanaan jika anda berbelanja untuk berseronok berlebihan dan menonjol – nonjolkan kekayaan anda pula. Fahami ini, seseorang yang memiliki 2 buah kereta adalah lebih sederhana kehidupannya berbanding jika dia memiliki 2 buah televisyen dalam  rumahnya semata – mata untuk menonjolkan kemewahan berhias.

Sederhana ialah tidak kedekut dan tidak pula boros. Tidak hina diri dan tidak pula sombong. Tidak malas berkerja dan tidaklah pula sampai hilang siang dan malam kerana kerja.

Kesederhanaan ukurannya berbeza – beza mengikut kedudukan dalam kehidupan. Tidakkah Allahlah yang menciptakan tingkatan – tingkatan dalam kehidupan agar manusia saling guna – mengguna, bantu – membantu dan saling memerlukan di antara mereka?

Buat saudara ‘pelepahpalas’ secara khusus, adakah anda rasa tepat untuk mengukur kebenaran dan keikhlasan ayahanda dalam perjuangannya hanya dengan mengukur tambang dan perbelanjaan hajinya yang mahal? Sehingga dengannya anda mendakwa ayahanda telah hipokrit, berpura – pura dan memperolokkan ugama?

Sedarkah anda bahawa hujahan anda ini tidak lebih sekadar memudahkan orang lain mengukur tahap kekuatan anda secara mudah dan naif?

Atau, jika anda terus tidak berganjak selain mempertahankan persoalan dan hujah yang anda kemukakan, maka adakah anda bermaksud seorang menteri besar tidak boleh berbelanja lebih untuk hajinya, malah mestilah menggunakan pakej awam? Dengannya, seorang menteri besar itu haramlah atasnya dihiasi protokol yang memerlukan perbelanjaan lebih atau tinggal di penginapan mewah dan lebih baik di kota Mekah? Atau, adakah anda melihat bahawa haram ke atas sebuah kerajaan Islam menyediakan kemudahan dan berbelanja lebih untuk keselesaan seorang ketuanya?

Anda jikalah begini anda yang sebenar, ia tidak lebih selain mendorong saya untuk menyarankan anda agar terus belajar untuk lebih memahami agama Islam dan pengajarannya yang adil dan saksama. Dengan itu, selamatlah umat ini daripada pemetik ayat – ayat al Quran dan al hadis dan meletakkannya pada tempat yang salah dan mungkar jua.

Dengan umur ayahanda mencecah 80 tahun, kesihatan badan yang agak lemah, suasana musim haji yang memenatkan, tempoh mengerjakan ibadah haji yang sudah lama beliau tangguhkan, berebutnya para nak buahnya untuk menajanya di samping tahap keselamatan sebagai seorang VIP yang  sentiasa diburu dan dikerumun kawan dan lawan, juga sebagai jemputan penuh kemuliaan daripada Tuanku al Sultan Kelantan untuk bersama baginda menunaikan ibadah haji, saya tidak mampu mengandaikan hotel mewah di tepi kaabah itu selain disediakan Allah untuk hambaNya yang seperti ayahanda.

Semoga Allah mengurniai ayahanda bonda dan seluruh jamaah haji dengan haji yang mabrur..

About these ads