(Bahagian pertama menjelaskan kejahilan adalah faktor pertama mengapa akal manusia gagal berfungsi di dalam mengenal Allah)

Kedua, kesombongan. Maksud firman Allah: ‘Dan berkatalah orang-orang yang tidak yakin terhadap hari pertemuan dengan Kami (hari akhirat); ‘Kalaulah diturunkan para malaikat ke atas kami atau kami dapat melihat tuhan kami.’ Demi sesungguhnya mereka telah begitu sombong daripada dalam diri mereka dan mereka telah begitu melampau sekali. Pada hari mereka benar-benar melihat para malaikat (hari kiamat), tiadalah lagi berita gembira buat mereka yang melakukan jenayah.’ al Furqan; 21-22

Ayat ini juga menjelaskan mereka yang menuntut melihat Allah di dunia sebagai golongan yang tidak percaya kepada hari kiamat. Ini disebabkan kesombongan yang menguasai diri mereka sehingga menutup akal dan hati daripada melihat hakikat dunia yang terhijab daripada dunia malaikat. Apabila mereka benar-benar telah melihat malaikat di hari akhirat nanti, maka ia adalah berita buruk buat mereka. Itulah hari kiamat yang pernah mereka dustakan. Alangkah beruntungnya jika mereka membuang kesombongan..

Ketiga, penyelewengan. Maksud firman Allah: ‘Dan berkatalah Firaun; ‘Wahai Haman, binalah untukku sebuah menara yang tinggi agar aku dapat sampai ke pintu-pintu, iaitu pintu-pintu langit agar aku dapat melihat tuhan Musa. Dan sesungguhnya aku menganggapnya sebagai seorang pendusta.’ Demikianlah dihiasi untuk Firaun (agar memandang baik) keburukan amalannya dan dia telah disekat daripada jalan (yang benar). Dan tiadalah tipu daya Firaun selain membawa kerugian.’ al Ghafir; 36-37

Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa Firaun telah disekat dan diselewengkan daripada menemui jalan mengenali Allah disebabkan oleh kesalahannya sendiri di dalam menetapkan jalan untuk mencari dan mengenali Allah iaitu dengan berpandukan mata kasarnya dan kekuatan fizikal. Ini disebabkan Firaun telah tertipu dengan amalannya sendiri yang disangkanya benar belaka, sedangkan amalannya adalah buruk dan menyeleweng. Jikalah Firaun mendengar daripada pengajaran nabi Musa..

Keempat, kezaliman. Allah telah menceritakan tentang kaum Yahudi ketika mereka meminta daripada nabi Musa alaihissalam untuk melihat Allah sebagai syarat untuk beriman. Maksud firman Allah: ‘Dan ingatlah ketika kamu berkata; ‘Wahai Musa, kami tidak akan beriman denganmu sehinggalah kami dapat melihat Allah secara terang-terangan’, lalu kerana itu kamu telah disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya.’ al Baqarah;55 

Dalam ayat lain Allah menjelaskan lagi maksudnya: ‘ Golongan ahli kitab telah meminta daripadamu (wahai Musa) agar kamu turunkan ke atas mereka sebuah kitab daripada langit. Maka sesungguhnya mereka sebelum itu telah meminta daripada Musa suatu yang lebih besar daripada itu. Mereka berkata,’Tunjukkan kepada kami Allah itu secara nyata.’ Maka (kerana itu) mereka telah disambar petir dengan sebab kezaliman mereka sendiri.’ al Nisa’ 153.

Hujung ayat di atas menjelaskan betapa permintaan mereka untuk melihat Allah itu sebenarnya bukanlah lahir daripada keinsafan dan keadilan, bahkan ianya lahir daripada kezaliman diri mereka terhadap kebenaran yang telah nyata di hadapan mereka. Jikalah mereka melayani rasul dan kebenaran itu dengan penuh keadilan..

Keempat-keempat faktor di atas adalah penyakit yang melanda manusia. Ia menyebabkan manusia gagal mengoptimumkan penggunaan akal yang begitu perkasa itu untuk melihat kewujudan Allah dengan begitu mudah. Jahil, takabbur, seleweng dan zalim terhadap kebenaran telah menghalang akal daripada berkerja untuk tuannya sebagaimana fungsi asalnya. Apabila seseorang itu ditimpa penyakit, maka banyak perkara menjadi terkandas dan gagal. Segala keputusan dan hukumannya sering kali salah dan merugikan.

Justeru apabila manusia menolak untuk memperakui kewujudan tuhan yang satu yang menciptakan segala-galanya, maka ia bukan bermula daripada kegagalan akal yang disediakan oleh al khaliq untuk setiap anak Adam, bahkan ia disebabkan penyakit yang perlu diubati daripada terus membantutkan peranan akal. Adalah teramat malang untuk menolak wujud bakteria yang begitu halus itu semata-mata kerana kegagalan mata untuk melihatnya sebagaimana malangnya menolak kebesaran matahari berbanding bumi semata-mata kerana mata melihatnya lebih kecil.

Begitulah Allah. Dia terlalu agung dan tinggi (al Azim, al Aliy) untuk diukur oleh mata dan terlalu halus dan seni (al Latif) untuk dikuasai mata dan seluruh panca indera. Segala pengenalan terhadapNya hendaklah dengan akal.

Sebagai contoh, cuba lihat televisyen di hadapan anda. Kemudian letakkan jari menyentuh kelopak mata anda. Bukankah mata anda melihat jari itu lebih besar daripada televisyen tersebut? Tetapi anda berkeras dan yakin bahawa televisyen itulah yang lebih besar. Sekarang anda menolak pandangan mata anda. Kenapa? Kerana anda lebih meyakini akal dan anda bersedia sepenuhnya untuk melihat dan berhukum dengan akal.

Kalau dalam kehidupan seharian pun kita secara mudah menolak hukum panca indera, mengapa manusia terus berkeras menggunakannya untuk melihat Allah? Begitulah Allah mempertegaskan kepada kita bahawa penyakitlah punca keengganan itu.

Sekarang kita perlu menetapkan satu jalan yang benar menuju Allah agar kita boleh berjalan dengan penuh keseronokan dan tidak lagi terkeluar daripada landasan yang akan menyesatkan.

Ketahuilah bahawa Allah telah menjadikan tanda-tanda kebesanNy yang bertebaran di dalam kehidupan ini sebagai satu-satunya jalan mengenaliNya. Tanda-tanda itu disebut sebagai ‘al aayaat’. Kemudian untuk mengesannya, tiada cara dan alatan lain selain akal, fikir dan ilmu. Itulah syarat yang utama.

Ini kerana manusia akan mengesan tanda-tanda tersebut dengan akalnya. Dengan akal terus berfikir dan memerhati, manusia akan mengenal tuan yang mencetuskan tanda-tanda tersebut. Kemudian jika tanpa ilmu, manusia akan gagal mengesan kewujudan tanda-tanda tersebut, apatah mengenal tuannya. Jadi segala-galanya menuntut akal untuk berfungsi; menuntut ilmu, melihat tanda dan seterusnya memerhati dan merumuskan.

Allah mencabar manusia (lihat al Ahqaf;4), setelah mempertegaskan penciptaanNya, agar mereka membawakan kitab terdahulu atau walau sedikit daripada peninggalan ilmu manusia yang menunjukkan bahawa ada zat selainNya yang telah menciptakan bumi ini. Cabaran ini pasti sekali tidak mungkin mampu dijawab oleh manusia. Kenapa? Kerana selagi manusia menambah ilmu, selagi itulah Allah muncul sebagai tuhan yang menciptakan alam ini. 

Begitu ilmu membantu akal untuk berfikir dan berkerja mengesan tanda-tanda kekuasaan Allah taala di alam ciptaanNya ini.

Di mana tanda-tanda ini dapat dilihat? Ya, Allah telah menempatkannya di dalam tiga tempat; Pertama, di alam raya ini. Kedua, di dalam kitab al Quran sendiri. Ketiga, di dalam mukjizat para nabi dan karamah para aulia’.

Anda memerhatikan keagungan pelbagai ciptaan di bumi dan langit dan bagaimana ia bergerak dan hidup. Kekaguman terhadap keunikan ciptaan itu akan memperlihatkan kepada anda tanda-tanda yang meyakinkan bahawa ia telah terhasil daripada ciptaan tuhan yang maha berkuasa. Kemudian apabila anda membaca al Quran dan kebenaran segala isinya yang menerangkan pelbagai dan sungguh berbisa itu, anda akan terus terpanar dan fana di hadapan zatNya yang maha agung. 

Begitu juga Allah mempermudahkan untuk manusia melihat kekuasanNya dengan memperagakan pelbagai mukjizat dan karamah para nabi dan aulia’Nya yang terhasil melalui carikan adat, sebab dan kebiasaan yang menunjukkan bahawa ia tidak mungkin berlaku kecuali Allahlah penyebabnya yang tidak dapat dilihat.

Justeru ketika manusia hari ini begitu beriman dan taasub dengan kehebatan akal dan ilmu yang ada di sisi mereka, maka tiada uzur lagi buat manusia mengenepikan peranan akalnya itu untuk mencari dan menemui penciptanya yang maha agung.

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘agama dan kehidupan’ akhbar Siasah)

About these ads