Saya pernah menulis mengenai Bob Lokman, bekas insan seni duniawi terkenal yang telah memilih untuk meninggalkan dunianya itu dan berhijrah secara profesional kepada seni baru yang lebih hakiki dan benar beberapa minggu lepas. Saya menulis mengenai taubat, sebab dan hikmah Allah menjadikan kehidupan di dunia ini dipenuhi ujian dan pancaroba.

Saya juga menyatakan harapan untuk segera menemuinya dan mendengar daripadanya mengenai sejarah hidupnya. Walaupun dunianya dulu amat berbeza sekali daripada dunia saya yang telah disusun rapi oleh keluarga semasa kecil, saya sebaik mengetahui kisah taubatnya tiba-tiba rasa terlalu dekat dan rapat dengannya. Ini mungkinlah kerana laluan sutera sejarah keluarga tiba-tiba terlukis di benak hati saya yang membolehkan saya melihat daripada sudut pandang yang lebih menyegarkan jiwa. Datuk saya, Tuan Guru Hj Nik Mat Alim adalah anak murid kepada Tok Kenali, ulama besar legasi bumi bertuah Kelantan dan Tanah Melayu. Bob Lokman pula adalah cicit Tok Kenali.

AlhamduliLah saya akhirnya berpeluang menemuinya dalam pertemuan yang tidak dirancang. Pertemuan lewat malam di rumah sahabat karib saya, ustaz Riduan Mohd Nor sebelum saya berangkat ke Beting Maro, Sarawak keesokannya telah memperkenalkan saya secara lebih dekat dan ianya cukup mengesankan jiwa. Saya termenung panjang juga selepas itu, jerih cuba menguraikan beberapa kisah hidupnya yang menarik bahkan menakjubkan juga agar saya dapat menyelami, memahami seterusnya menasbih dan mensyukuri betapa agungnya kelebihan dan rahmat Allah ke atas hambaNya.

Betullah kata orang, zuriat yang solehahke mana pun melencong, suatu hari titihannya itu akan kembali menariknya ke pangkal. Doa orang-orang soleh makbulnya tak terhalang oleh masa dan ketika. Mereka berdoa sampai mati kepada tuhan yang tak akan mati sampai bila-bila pun. Maka saatnya, biar pun beribu tahun sang hamba soleh itu telah mati, Allah memakbulkan doanya lalu kelebihan dan kerahmatan mungkin saja tertumpah kepada mana-mana zuriatnya yang telah lurus di jalan atau melencong. 

Doa adalah senjata orang mukmin. Justeru orang-orang soleh akan hidup dengan doa sebagaimana kita hidup dengan makan dan minum. Oleh kerana zuriat adalah kurnia tuhan yang begitu berharga dan tak ternilai, maka mereka akan sentiasa menyebut-nyebutnya di dalam doa mereka di hadhrat Ilahi. Lihatlah doa para nabi atau hayatilah doa nabi Ibrahim misalnya dan lihat bagaimana Allah memakbulkan kemuncaknya selepas sekitar lima ribu tahun kemudian. Nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam adalah sebutan hangat lidah datuk kita itu.

Begitulah saya lihat Bob Lokman. Begitulah yang Bob Lokman rasakan. Begitulah juga apa yang telah dia ceritakan kepada ustaz Riduan Mohd Nor, lalu sahabat saya ini segera coretkannya di dalam buku terbarunya, ‘Aku, Isabella dan Tok Kenali.’ Sahabat saya ini, jika boleh saya puji -Allah taala saja yang boleh menyucikan hambaNya- sangat mahir menulis, rajin dan dedikasi sekali. Travelog hidayah yang ditulisnya banyak juga. Yang terakhir ini bukanlah satu-satu yang terbaik, tetapi ia satu keberanian daripadanya bercerita mengenai orang lain dan cerita itu bukan fiksyen dan buat-buat. Ia cerita benar. Ia cerita hidayah Allah. Di dunia ini tiada cerita besar sebesar cerita hidayah.

Cerita di dalam buku ‘A Doctor In The House’ misalnya walaupun tebal, tetapi ia bukan cerita hidayah Allah. Ia hanya cerita besar-besar buatan manusia. Di sisi Allah, ia kecil saja. Yang besar dan terbesar ialah cerita hidayah Allah ke atas hamba-hambaNya. Tak kiralah hambaNya itu besar atau kecil. Semuanya jadi besar. Kerana itulah.

Ustaz Riduan yang pemurah itu menghadiahkan satu naskhah buku tersebut kepada saya. Satu sahaja walaupun sifat pemurahnya itu lebih daripada satu. Banyak. Mungkin banyak lagi yang dia nak kena hadiahkan kepada ramai sahabatnya yang lain. Saya bukanlah satu-satunya sahabat baiknya. Banyak dan ramai lagi. Semua sahabat baiknya, walaupun tak sepemurahnya atau sesetengahnya pula ada yang sampai tahap kedekut walaupun tidaklah maha kedekut, kebanyakannya mahukan ustaz Riduan hadiahkan saja bukunya kepada mereka. Bukan setakat hadiah, percuma pula. 

Maka setiap kali buku barunya memasuki pasaran, adalah sejumlah buku yang dia akan peruntukkan khas untuk tujuan mengekalkan sifat dan kedudukannya sebagai seorang paling pemurah daripada kalangan para sahabatnya yang begitu berpelbagaian darjat kemurahan masing-masing itu. Begitulah ustaz Riduan dan para sahabatnya. Itu belum lagi diambil kira adakah mereka akan membacanya apabila menerima buku percuma tersebut atau pun tidak. Kalau nak kira, hah, macam-macam lagilah kepelbagaian darjat mereka itu. Apapun ustaz Riduan ini, walaupun Aiman ambil kisah, dia tetap tak kisah.

Saya? Oh, saya telah membacanya. Itu pun setelah selesai pilihan raya negeri Sarawak dan semasa penerbangan balik hampir dua jam dari Sibu ke Kuala Lumpur melalui penerbangan Air Asia. Oleh kerana Air Asia ‘kedekut’ untuk menyediakan minuman percuma di dalam pesawatnya, maka terpaksalah saya ‘teguk’ buku ustaz Riduan yang percuma itu. 

Oh ia sungguh menghilangkan dahaga. Walaupun keletihan, saya terus membacanya sampai habis sampai lupa itu mengantuk dan lupa juga untuk tertidur! Pertemuan pertama di rumah ustaz Riduan banyak berkisar ceritanya mengenai dakwah awam dan remaja. Saya tidak berpeluang menjelajah seluruh sejarah dan sirah Bob Lokman. Apabila saya membaca buku travelog baru ini, saya hampir memperolehi apa yang saya inginkan daripada Bob Lokman.

Sejarah hidup dan pengalaman beliau sungguh menjanjikan pengajaran, ibrah dan kesedaran. Sungguh unik dan menginsafkan. Anda perlu membacanya jika anda enggan berada di pihak yang rugi macam UMNO dan pengikutnya. Sungguh, beliau begitu mahu kisah dan perjalanannya menuju hidayah Allah dikongsikan bersama. Beliau yakin perjalanan hidup di jalan penuh liku dan duri saat remaja dan dewasanya jika dikongsi akan menjanjikan kesedaran bersama. Itulah yang beliau sedang kongsikan bersama khalayak yang menghadiri ceramahnya yang tak putus-putus hari ini.

Kini, Bob Lokman adalah pendakwah di medan dakwah dan masyarakat. Menambah serinya, beliau bersama PAS berdakwah di dalam dan untuk masyarakat. Siapa tidak kenal PAS dan jasanya? 

Beli dan bacalah buku travelog hidayah ini. Isinya berat, bahasanya ringan. Ia tidak seperti buku pecah panggung ustaz Riduan sebelumnya, ‘Menerjang Badai’ yang berat bahasanya bagai seberat isinya jua. Kedua-duanya amat baik untuk dibaca. Jangan minta percuma daripadanya. Anda bukan sahabat baiknya seperti saya dan jika pun anda mendakwa sebagai sahabatnya juga, takutilah sifat buruk sebahagian sahabatnya yang tidak pun membaca walau diberi percuma daripada menjangkiti anda. Walaupun Aiman dan ustaz Riduan tak kisah, saya kisah. Ini saya kisahkan untuk anda, kawan.

About these ads