You are currently browsing the monthly archive for Mei 2011.

Apabila kita secara mudah dapat memahami bahawa sesuatu kejadian yang berlaku secara kebetulan atau tanpa sengaja itu akan semakin mengecil kemungkinannya apabila ianya berulang-ulang, malah akan menjunam ke tahap mustahil akhirnya, maka kita menjadi mudah memahami hakikat alam ini tidak mungkin berlaku dan terjadi secara kebetulan. Ia mesti dengan satu kehendak yang sengaja, berniat dan bermotif.

Kita misalkan lagi, seorang buta yang tidak pernah menembak, tiba-tiba menembak tepat ke sasaran dari jarak 100 meter, walaupun sukar dipercayai, tetapi ‘hukum kebetulan’ akan membenarkan. Tetapi bolehkah dibenarkan jika tembakan tepat itu berulang-ulang sampai 10 atau 100, apatah 1000 kali? Sudah tentu mustahil. Kecuali dia seorang buta yang luar biasa atau buta yang celik!

Sekarang mari kita lihat kepada alam semesta. Anda akan dapati ‘hukum kebetulan’ adalah mustahil secara mutlak. Contoh si buta tadi, walaupun dikira mustahil, tetapi dia adalah manusia yang tetap berakal, berfikir dan berusaha untuk menembak dengan tepat. Adapun alam ini, adakah ‘hukum kebetulan’ itu adalah pemikir? Ia berfikir untuk mencipta dan mentadbir alam ini?

Lihat unsur-unsur gas yang begitu banyak di alam ini, samada di bumi atau di langit, yang terbentuk daripada kesebatian di antara zarah-zarah yang membentuk atom dan molekul, bagaimana dibayangkan satu sistem tetap tak berubah yang membolehkan hidrogen yang paling ringan misalnya, tidak bertukar menjadi uranium yang menakutkan sekali kekuatannya melalui tergelincirnya jumlah dan komposisi elektron, proton dan neutron daripada hukum dan sunnahnya, tanpa kita akur bahawa ia mustahil berlaku tanpa satu kuasa agung yang memperakukan dan menjamin satu hukum pasti padanya? Jika perubahan-perubahan kimia di dunia ini keluar sedikit sahaja daripada hukumnya, nescaya tiada kehidupan apapun yang boleh hidup di dalamnya. Dengan erti, mustahil sistem dan sunnah ini terjadi secara kebetulan. Ini mesti ada akal, kehendak, kesengajaan dan kekuatan yang menguruskannya. Adakah kekuatan itu namanya ‘kebetulan’ atau namanya Allah?

Kemudian, sistem suria ini, dengan bilangan bebola gergasinya yang tak terhitung jumlahnya, bagaimana dibayangkan harmoninya pergerakan mereka di orbit masing-masing tanpa pertembungan sesama sendiri yang jika terjadi, pasti membentuk kiamat ngeri buat kehidupan, adalah tersusun tanpa tangan, kehendak dan kemahuan yang memaksakan hukum ke atasnya? Sedangkan sebuah bandar manusia yang sesak kenderaan yang dialirkan di jalan-jalan raya yang telah ditulis pakai undang-undangnya oleh polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan perancang bandar, hari-harinya adalah cerita kemalangan dan malapetaka! Adakah alam semesta ini telah terbentuk melalui hukum tak sengaja atau kebetulan?!

Bagaimana pula dibayangkan teraturnya kejadian siang dan malam, pertukaran musim, hubungan intim bumi dan bulan, angin dan hujan, lautan dan darat, gas-gas yang beracun dan berkuasa tinggi, hukum graviti dan pelbagai rahsia alam lagi, adakah semuanya itu berlaku secara kebetulan? Maha suci Allah yang menunjuki zatNya melalui penciptaanNya yang menakjubkan.

3) Fenomena kehidupan

Selepas kita memahami bukti pertama dan kedua melalui fenomena barunya alam ini dan fenomena wujudnya satu kehendak ke atas kejadian alam ini, maka mari kita melihat kepada fenomena ketiga yang tersaksi di dalam kehidupan ini yang membuktikan kewujudan dan keesaan Allah. Fenomena tersebut adalah fenomena wujudnya kehidupan atau hayat.

Kewujudan ini adalah lautan benda atau material. Tetapi, di dalamnya wujud suatu unsur yang lebih menakjubkan iaitu kehidupan. Manusia hari ini dek kerana terlalu menakjubi kehidupan, telah sampai bermati-matian untuk mengesan kewujudan makhluk kehidupan di luar bumi. Tanpa kehidupan, kewujudan benda adalah gersang dan tanpa seri.

Apakah kehidupan? Mereka yang enggan kecuali bertuhankan material dan akal kontang pernah berkata, kehidupan itu berasal usul daripada satu sel yang halus. Daripadanya berlakulah pembiakan, evolusi dan seterusnya lahirlah bilionan kehidupan sebagaimana hari ini!

Manusia itu penuh nafsu dan kedegilan. Semasa perang dunia kedua, perang ideologi juga beriringan. Kerajaan Rusia telah memperuntukkan sejumlah besar kewangan buat saintisnya melakukan kajian untuk suatu yang tidak terfikir oleh manusia sebelumnya, mampukan manusia mencipta kehidupan? Selepas hampir 20 tahun kajian makmal, mereka keluar dengan satu rumusan rasmi yang disiarkan di seluruh dunia, bahawa sesungguhnya ilmu kimia tidak mungkin mampu mencipta kehidupan! Ilmu manusia tiada kekuasaan selain perihal material. Kehidupan bukanlah material. Kehidupan adalah keajaiban yang sukar difahami.

Manusia terus degil. Apabila ditanya, apakah tindak balas kimia dan perubahannya mungkin mencetuskan kehidupan? Mereka menjawab, ya, tetapi ia hanya boleh berlaku di planet lain selain planet bumi! Akhirnya mereka berkonklusi, kehidupan sebenarnya bermula dari satu mikro halus di planet asing terbang melayang di mana-mana dan menemui kesesuaiannya di bumi! Malangnya, kekeliruan semakin sengit dan bertimpa-timpa. Bagaimana ia mampu datang dalam dominan sistem cakerawala yang begitu membunuh kehidupan dan bagaimana pula daripadanya boleh tercipta bilionan kehidupan pula di bumi?

Katakan, mereka terus menjawab, tetapi soalan akhir adalah soalan pertama dan asal, siapakah pula yang menciptakan kehidupan pertama bagi mikro halus di planet asing tersebut? Soalan berulang-ulang yang membingungkan otak manusia yang tidak pernah mahu beriman kepada kekuasaan ilahiyah!

Hakikatnya, apapun benda atau material yang wujud, ia tiada akal untuk memikirkan hukum ke atas dirinya sendiri. Zarah-zarah halus yang menjadi asal pembentukan benda hanya mampu tunduk kepada hukum tindak balas kimia, graviti, haba dan sebagainya di sekitarnya. Adapun kehidupan, ia adalah berbeza yang kelainannya adalah menakjubkan.

Daripada kehidupan parasit mikro seperti ameba, tumbuhan, haiwan dan seterusnya raja alam ini iaitu manusia, kehidupan memiliki apa yang tidak dimiliki oleh benda dan material. Tanah adalah material, tetapi di dalam segenggam tanah ada jutaan kehidupan yang merayap yang berilmu, berkehendak dan berkuasa untuk bertindak! Mereka memiliki sifat-sifat tersebut walaupun pada kadar dan kapasiti yang berbeza-beza sekali.

Kemuncaknya adalah manusia yang memiliki segala kekuasaan ke atas semua kejadian di bumi. Ia adalah kejadian yang diberi kesempurnaan untuk menguasai dan merajai kehidupan. Manusia berupaya untuk menambah ilmu, merumusnya, berkehendak, memilih dan menentukan, seterusnya berkuasa melaksanakan. Kemudian manusia juga memiliki suatu yang sungguh seni. Kita namakannya perasaan! Adakah ini tercipta dari zarah, sel dan bentuk-bentuk yang material dan kebumian sifatnya. Tidak mungkin bukan?

Islam menamakannya sebagai ruh. Mereka terus bertanya, apakah itu ruh? Katakanlah, itu urusan Allah. Kita tiada diberi maklumat mengenainya kecuali terlalu sedikit. Kita hanya mengesani kewujudan dan kehadirannya. Kehidupannya? Allahlah pencipta yang mengetahui segala-galanya.

Sekarang anda telah melihat betapa fenomena kehidupan yang wujud di alam ini adalah sesempurna dalil untuk membuktikan kewujudan dan kekuasaan Allah, tuhan pencipta segala. Maha suci Allah daripada sebarang kekurangan.

(Artikel adalah untuk kolum Agama Dan Kehidupan akhbar Siasah)

Semoga Allah merahmati Usamah Bin Laden, menghimpunkannya bersama para syuhada’ di jalan Allah di sepanjang zaman, diketuai Hamzah bin Abdul Muttalib radhiaLlahu anhu. Orang yang hidup sepertinya tiada mengingini selain terbunuh syahid di tangan musuh Allah yang ditentangnya habis-habisan.

Semoga Allah mengurniainya kemuncak keinginannya di dunia dan di akhirat. Di dunia, dia mahu Amerika menjadikannya musuh nombor satu dan di akhirat, dia mahu Allah mengasihaninya di tempat yang pertama.

Kematiannya adalah doanya. Saya pasti dan cukup pasti bahawa setiap mujahid di jalan Allah tiada berdoa selain itu. Selain berebut menerkam dan menikam Abu Jahal, mereka juga berbahagia jika diterkam dan ditikam Abu Jahal dan syahid kerana itu. Jika mereka terkulai di katil kesakitan dan keuzuran, mereka menangisi nasib dan ketakutan jika Allah menentukan bahawa mereka gugur di luar medan perang. Itu, sedang Allah tidak lekang dan undur daripada mengasihi setiap hambaNya yang berjuang di jalanNya walau di mana pun kematiannya.

Kemudian, semoga Allah mengampuni Usamah Bin Laden, menutupi dan menghapuskan segala dosanya di dunia. Setiap manusia pulang kepada Allah dengan dosa dan kesalahan, walaupun dia membawa bersamanya berbanjar-banjar kebajikan dan pahala daripada amal dan kehidupannya di dunia. Keterlanjuran adalah milik setiap hamba dan Usamah Bin Laden juga tiada terlepas daripadanya. Tiada siapapun mampu menyucikannya selain tuhannya yang disembahnya, dicintainya dan keranaNyalah beliau gugur di tangan Amerika, musuh Allah dan umat Islam.

Adakah keganasan berakhir dengan kematian Usamah? Tidak! Keganasan hanya berakhir selepas kematian Amerika! Pengganas adalah Amerika. Dan sesiapa yang menuduh Usamah sebagai pengganas, dia hanya memasuki perangkap dan konspirasi tajaan Amerika, demi melepaskan mereka daripada bebanan dan tuduhan sebagai penaja keganasan di dunia. 

Membunuh adalah keganasan. Tetapi, adakah membunuh keganasan adalah keganasan? 

Kejayaan terbesar manusia hari ini adalah keupayaan melepaskan diri daripada perangkap dan konspirasi Amerika untuk menguasai dunia. Jika tidak, dia hanyalah hidup merangkak di bawah telunjuk Amerika. Otaknya adalah otak Amerika. Dia hamba Amerika. Orang Islam dilarang sama sekali selain menjadi hamba Allah. Berfikir cara al Quran dan berjalan di belakang al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.

Islam adalah ugama keamanan dan keadilan. Islam adalah rahmat untuk sekelian alam. Islam menyeru kepada persaudaraan dan persahabatan sejagat. Kerana itu, seluruh manusia dan anutan mereka bukanlah musuh Islam dan umatnya. Allah menyeru para nabi dan umatnya menjalin keharmonian di antara ugama dan umatnya sampai bila-bila. 

Dakwah? Bukankah dakwah Islam menafikan persahabatan? Tidak. Dakwah adalah seruan untuk jalinan persahabatan yang tulen dan terbuka. Dakwah ialah seruan kepada pembukaan akal dalam semua perkara. Dakwah adalah dengar, lihat, fikir dan putuskanlah secara bebas dan hak. Untuk kamu agama kamu dan untuk kami ugama kami. Tiada kekacauan dan pertembungan apabila manusia benar-benar menghargai akal dan berjalan dengannya.

Jihad? Ya, jihad difardhukan untuk dua perkara besar. Pertama, meneguhkan persaudaraan dan keamanan sesama manusia. Kedua, menyekat kuasa kejahatan daripada meruntuhkan persaudaraan dan keamanan manusia sejagat. Kerana itu, Islam menerima jemputan, bahkan mewajibkan umatnya untuk memerangi keganasan walaupun menimpa orang lain yang tidak beragama dengan agamanya. Itulah sebesar-besar sumbangan Islam demi keamanan seluruh manusia.

Itulah maksud jihad bersenjata. Adapun jihad di dalam maknanya yang lebih luas, maka ia semakin melonjakkan Islam ke persada keadilan dan kerahmatan. Jihad, dalam semua sudut dan medannya adalah seruan Allah ke arah ketamadunan manusia dan kemanusiaan sejagat.

Malaysia ini, jika Islam adalah cara hidupnya, akan menyeru kepada persaudaraan dan persahabatan hatta dengan Amerika dan sekutunya, apatah sesama jiran di Asean dan Asia. Tiada sebab untuk Islam bermusuh dengan Amerika dan rakyatnya. Setiap rakyat Amerika, putih dan hitam, semuanya adalah daripada Adam. Adam adalah datuk rakyat Malaysia. Adam adalah nabi dan nabi diturunkan untuk manusia hidup aman damai bertugas memakmurkan muka bumi dengan ilmu yang dianugerahi Allah.

Yang akan membezakan kita dengan kerajaan kita hari ini adalah kebebasan dari telunjuk Amerika. Kita tidak akan berkata, dunia akan aman dengan terbunuhnya Usamah Bin Laden! Itu Amerika, dan sesiapa yang telah berada di bawah telunjuk Amerika akan berkata seperti Amerika berkata. Tiada beza pada tajwid dan makhrajnya.

Adapun kita, jika kita memerintah secara Islam yang syumul, kita akan berkata, kematian Usamah bukan mengakhiri keganasan, bahkan dibimbangi Amerika akan lebih mengganas. Jika begitu, kegiatan memburu Amerika akan menjadi-jadi. Tindakan ganas daripada golongan yang lemah dan tertindas akan berterusan. Amerika hendaklah kembali kepada akal dan sempadannya, menyantuni manusia dan kebebasan mereka untuk hidup harmoni tanpa penjarahan dan penjajahan ke atas negara-negara berdaulat dan bebas.

Islam adalah ugama yang membenci perang dan pertumpahan darah, mengelaknya dan menggalakkan perdamaian di antara semua pihak. Perang adalah pilihan terakhir sebelum kematian dan kehinaan memerangkap kemuliaan.

Mengapa Usamah membenci Amerika? Jawabannya, kerana seluruh dunia, kecuali Israel, membenci Amerika. Malangnya, kebencian itu hanya tertanam di lubuk jantung setiap negara. Negara-negara miskin ketakutan. Negara-negara kaya dan membangun seperti negara kita terpaksa menumpang untuk kekal kaya dan membangun. 

Usamah Bin Laden keluar daripada kongkongan itu dan melewati sempadannya. Hatinya, lidahnya dan tangannya telah bebas. Kebebasannya untuk berkata dan bertindak menjadikannya kambing hitam untuk Amerika menakut-nakutkan dunia agar jangan sesekali menyanggahnya. Usamah diburu dan segala kerja-kerja keganasan di seluruh dunia, Usamahlah puncanya dan denyut nadinya. Adakah anda, jika anda sejenak berfikir, akan mengiyakannya semudahnya? 

Mari mengenali Usamah Bin Laden. Seorang muslim terpelajar. Kelebihan lain adalah kekayaan miliknya. Akidahnya adalah benar. Ahlus Sunnah wal Jamaah dan menjauhi bidaah. Ibadahnya usah dipertikaikan. Beliau memilih zuhud dan jihad. Adakah ini mudah dalam dunia mujahadah melawan nafsu? Akhlaknya begitu tinggi. Seorang yang lembut jiwa dan kata-katanya, membenci kezaliman dan menjunjung kebenaran. Apa lagi selepas akidah, ibadah dan akhlak? Ya, bagaimana pemikirannya?

Di sinilah ruang yang dipersoalkan ulama Islam. Usamah dikaitkan dengan pemikiran yang melampau terutama di dalam bab jihad menentang kezaliman dan kekufuran. 

Sebelum itu, mari bezakan di antara dua yang perlukan kejelasan. Pertama, pemikirannya dan kedua, tindakannya. 

Adapun tindakannya yang dikaitkan dengan keganasan, maka ia sukar dipastikan. Amerika menuduhnya mengganas di mana-mana, sedangkan beliau hanya berada di Afghanistan (mungkin kadang-kadang menyusup ke Pakistan). Di situlah beliau memulakan jihad dan mengakhirinya. Ulama Islam sepakat bahawa jihad di Afghanistan adalah sah demi menghalau penjajahan Rusia. Oleh kerana kerajaan Afghanistan hari ini adalah kerajaan boneka Amerika dengan tentera Amerika terus menguasai negara tersebut, adalah sukar untuk menafikan hak rakyatnya terus berjihad menghalau Amerika keluar dari negara mereka. Di Afghanistan, bagi akal yang sihat, mereka mudah saja menjawab, siapakah pengganas pertama? Amerika atau Usamah?

Oleh kerana tindakan Usamah di Afghanistan sering dikambing hitamkan oleh Amerika, janganlah anda menghukum Usamah daripada sudut dan dimensi ini. Kita memerlukan lebih maklumat yang benar tanpa mengangkat ‘riwayat-riwawat Israeliyat-Amerikiyat’ ke darjat sahih sebagai hujah dan bukti.

Adapun pemikirannya, maka inilah yang dipertikaikan dan seterusnya ditolak sebahagiannya oleh ulama Islam secara jelas. Bahagian yang ditolak adalah pandangan jihadnya yang melampaui had yang dibenarkan. Melampau di dalam memahami jihad adalah penyakit umat yang diwarisi sejak ratusan tahun hasil kefahaman yang salah terhadap ajaran Islam mengenai jihad.

Kesucian kefardhuan al jihad yang diselubungi pemikiran dan kefahaman yang salah, khususnya pemikiran al Qaedah akhirnya mencetuskan kekalutan di dalam tindakan keganasan sesetengah jentera jihad umat Islam. Kesannya adalah buruk. Tumpahnya darah yang haram ditumpahkan melalui siri-siri pengeboman di tempat awam di seluruh dunia adalah ditolak oleh Islam dan seluruh ulama Islam sepakat menolaknya.

Perang adalah di tempat perang yang disyara’kan, bukan di mana-mana tempat dan masa. Itu kefahaman jihad yang salah dan batil.

Amerika mengambil kesempatan melancarkan perang terhadap umat Islam seluruhnya dengan mengapi-apikan kelibat Usamah Bin Laden sebagai pengganas antarabangsa. Hasilnya, mereka menghalalkan kedatangan mereka di mana-mana, terutama di negara-negara Islam demi memburu dan memerangi Usamah, al Qaedah dan keganasan global. 

Tidakkah Amerika telah menobatkan diri sebagai polis antarabangsa, di sebalik hakikat diri sebagai pengganas antarabangsa? Dunia yang ketakutan dan bisu mengiyakan Amerika. Usamah tidak! 

Selepas anda memahami ini, fahami juga bahawa Amerika sedang memerlukan pengganas baru untuk dikambing hitamkan. Usamah dan pemikirannya yang dipertikaikan itu telah tumpul. Umat Islam semakin memahami jihad yang sebenar dan telah semakin banyak kumpulan pelampau ugama terutama di Mesir mula kembali kepada pemikiran Islam dan jihadnya yang lebih benar dan sah. Amerika tidak suka umat Islam mengenali Islam yang benar (maaf, macam UMNO!). Jihad Palestin oleh HAMAS semakin diterima umat Islam seluruhnya. ia adalah pelaksanaan jihad yang dikawal selia oleh para ulama Islam agar ianya menjadi sebaik-baik contoh kepada maksud jihad bersenjata yang diterima Islam.

Justeru usaha Amerika memadamkan jihad telah gagal!  Usamah perlu dibunuh segera. Sekarang, anda hanya perlu menanti penobatan angkatan pengganas Islam baru oleh Amerika dengan watak dan pakaian baru. Tunggulah, dan haram ke atas anda mengaminkan Amerika sebagaimana itulah pengucapan pemimpin negara kita yang dimamah ketakutan terhadap Amerika itu.

Semoga Allah mengasihani Usamah Bin Laden, penghidup dan peniup jihad Islami menentang Amerika dan Israel. Kerananya umat terus hidup dengan ruh, bukan merangkak di jasad yang kering..

Berbanding dua teori sebelumnya, teori bahawa alam ini wujud secara azali tanpa pencipta yang memulakannya sebenarnya adalah teori yang paling dibincangkan secara akliah untuk menolak teori hakiki bahawa alam ini sebenarnya adalah sentuhan ciptaan Allah yang maha agung.

Untuk menentukan bahawa keazalian itu adalah milik Allah, bukan milik alam ini yang hanyalah bersifat baru yang diciptakan, ulama Islam awal telah mengemukakan penghujahan akal yang hebat seperti pembahagian kewujudan ini kepada dua iaitu suatu yang berdiri sendiri (jauhar) seperti matahari dan tubuh manusia dan kedua, suatu yang tidak boleh berdiri sendiri (aradh) malah bergantung wujudnya kepada jauhar tadi seperti sifat panas dan sihat.

Mereka berkata, tidak ada jauhar kecuali adalah aradh yang melaziminya. Setiap aradh adalah baru. Ini kerana panas dan sakit misalnya tidak boleh wujud kecuali didahului oleh sejuk dan sihat. Begitulah sebaliknya. Maka sejuk misalnya memerlukan sebab atau pemula yang akan menukarkannya kepada panas. Pemula itulah pencipta. Oleh keran jauhar tidak boleh ada tanpa aradh, maka jauhar juga adalah baru sifatnya. Setiap yang baru adalah diciptakan. Oleh kerana alam ini adalah jauhar, maka ia adalah baru dan diciptakan. 

Hujah sebegini terlalu logika dan awangan sifatnya bagi kita hari ini. Tetapi perkembangan pesat sains moden kini telah menemukan kita dengan jawaban bersifat hukum alam yang pasti bagi membenarkan teori akliah lama di atas. 

Antaranya adalah hukum pergerakan haba yang mencetuskan kehidupan di alam ini. Tanpa haba alam ini adalah mati dan tiadalah kehidupan. Hukum haba menetapkan bahawa isi alam ini sedang menuju proses penyejukan dan kehilangan haba secara berperingkat yang pasti berakhir dengan kematian alam ini. Selagi matahari memancar, bintang bergemerlapan dan bumi ini dikayai bermacam kehidupan, maka ia membuktikan pergerakan haba dan tenaga yang mestilah terhasil dan bermula dari saat yang tertentu. 

Teori sains mengenai haba menetapkan bahawa selagi mana pergerakan haba berlaku di alam ini, maka ia tidak mungkin berlaku secara azali tanpa permulaan kerana kepanasan itu tidak mungkin bermula sendiri selepas kesejukan. Kalau azali sifatnya, ia mesti terus sejuk. Sejuk adalah kematian. Jika mati, bagaimana alam ini wujud pula? Apabila alam ini terbukti tidak azali, maka keazalian adalah milik Allah semutlaknya. Dialah pemula dan pencipta haba dan segalanya dan tiada apapun yang memulakanNya. Lihatlah bagaimana teori ulama Islam ratusan tahun lepas telah dibenarkan oleh hukum sains moden.

Antara hukum sains moden yang ditemui adalah hukum pergerakan elektron di dalam sel setiap kehidupan. Sains moden membongkar kewujudan zarah kecil yang menjadi asas yang membentuk setiap kewujudan setiap sesuatu di alam ini. Ia terbentuk daripada jalinan tenaga elektrik positif dan negatif antara proton, elektron, nukleus dan neutron. Elektron berpusing mengelilingi nukleus pada kelajuan melampau tanpa henti. Pergerakan menakjubkan ini jika berakhir akan mengakibatkan elektron ditarik kepada nukleus yang akan mengakhiri kehidupan zarah seterusnya kehidupan ini pada skala yang lebih besar.

Sesuatu yang bergerak dan berpusing semestinya perlu bermula dari satu noktah permulaan masa dan tempat. Oleh kerana noktah yang memulakan pergerakan elektron itu tidak dapat dikesani, maka noktah itu sendiri sebenarnya adalah juga noktah mula kepada kewujudan sesuatu zarah dan jirim. Maka kita memperolehi suatu hukum yang pasti bahawa wujud alam yang bermula dengan pergerakan menakjubkan dalam zarah itu adalah bermula dari satu titik mula. Sesuatu yang tiada tidak boleh memulakan sesuatu apatah mewujudkan sesuatu. Maka tiada lagi yang memulakan pergerakan itu selain satu kuasa agung yang memulakan pergerakan dari noktah awal tersebut. Kuasa itu adalah Allah yang esa.

Tanpa memperakui kewujudan kekuasaan agung itu, maka manusia akan terus terkapai-kapai lemas mencari hakikat kehidupan dan tidak mungkin lagi menemuinya kerana mereka telah menolak satu hakikat paling pasti iaitu wujudnya satu kuasa mesti yang memulakan pergerakan yang mencetuskan kehidupan segala sesuatu.

Antara hukum sains lain yang menolak teori bahawa alam ini wujud secara azali tanpa pencipta adalah perihal tenaga matahari atau bintang. Dari mana tenaga yang terhasil di matahari dan bintang? Dan bagaimana ia mengekalkan kepanasannya itu? Sains menjawab bahawa ia terhasil daripada tindak balas zarah-zarah dan gas dalam matahari yang saling bertembungan sesama sendiri yang menyebabkan berlakunya penghasilan haba dan tenaga yang besar. Sebagaimana proses penghasilan haba dan tenaga pada sesuatu jirim akan menyebabkannya semakin kehilangan bilangan zarahnya, maka begitulah matahari akan secara berterusan kehilangan zarahnya sedikit demi sedikit walaupun pada jumlah yang begitu kecil. 

Pemindahan dan pertukaran zarah kepada tenaga yang berterusan  yang mengakibatkan kesusutan pada zarah matahari dan bintang pada hakikatnya menjadi bukti yang jelas bahawa matahari dan segala isi cakerawala sebenarnya tidak azali. Ini kerana sesuatu yang azali tidak boleh berubah kerana perubahan adalah sifat kebaruan. Setiap yang baru mesti bermula dan berakhir. Jika begitu, yang kekal azali hanyalah Allah, tuhan yang memula dan menyudahkan.

2) Fenomena kemahuan ilahiyah

Selepas kita memahami bukti pertama melalui fenomena barunya alam ini, maka mari kita melihat kepada fenomena kedua yang tersaksi di dalam kehidupan ini yang membuktikan kewujudan dan keesaan Allah. Fenomena tersebut adalah kehendak ilahiyah di dalam kehidupan. Ia bermaksud sesuatu yang berlaku di alam ini adalah dengan kesengajaan dan kehendak, bukan berlaku secara kebetulan.

Sebagai contoh, anda ditunjukkan satu jawaban yang tepat bagi satu soalan matematik tahap SPM. Anda bertanya, siapakah yang menjawab soalan ini? Anda diberitahu oleh seorang guru yang terpercaya bahawa ia dijawab oleh seorang kanak-kanak 4 tahun yang lemah. Adakah anda akan mempercayainya? Tentu agak mustahil untuk anda memperakuinya tetapi anda mungkin menerima saja kerana ia mungkin satu kebetulan! 

Kemudian anda ditunjukkan pula dengan 10 jawaban tepat kepada 10 soalan matematik tahap SPM dan anda diberitahu bahawa kanak-kanak tersebutlah yang menjawabnya. Pada tahap ini, keyakinan anda kepada guru tersebut bertambah pudar. Bagaimana dibayangkan kaedah ‘kebetulan’ boleh diguna pakai lagi?

Sekarang bayangkan jika anda diberitahu 100 atau 1000 soalan SPM itu telah dijawab tepat oleh kanak-kanak biasa itu. Saat itu anda pasti memuktamadkan kemustahilannya dan anda mungkin saja menganggap guru itu sebagai pembohong paling besar!

Maksudnya, walaupun kejadian kebetulan itu boleh berlaku di mana-mana pun, ia tidak mungkin berulang-ulang dalam kes yang sama. Mengikut hukum logika, nisbah berlakunya kebetulan itu akan terus mengecil jika lawannya bertambah. Untuk satu soalan objektif dengan pilihan jawaban A dan B misalnya, nisbah ketepatan jawaban di antara kebetulan dan kesengajaan adalah 1:2. Tetapi jika pilihan jawaban yang diberikan adalah 10, maka nisbah untuk ketepatan jawaban secara kebetulan akan semakin mengecil kepada 1:10 sahaja. Bagaimana jika pilihan jawaban untuk soalan objektif itu adalah 1000. Adakah mungkin bagi seorang kanak-kanak biasa untuk soalan 125×22 akan memangkah jawaban tepat  secara kebetulan iaitu 2750 dari 1000 pilihan jawaban objektif yang disediakan?  Mustahil! 

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2011
I S R K J S A
« Apr   Jul »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 156 other followers