You are currently browsing the monthly archive for Oktober 2011.

Salam Palestin,

Saya dihujani soalan daripada pelbagai pihak terutama rakan-rakan saya daripada pemuda PAS atas tulisan saya semalam. PAS halang atau tidak?

Ia mungkin berpunca daripada satu arahan yang saya kurang periksa kesahihannya yang menghalang ahli PAS daripada menyertai perhimpunan satu juta anjuran sekretariat HIMPUN yang diketuai pemimpin NGO paling dikenali iaitu Cikgu Azmi TERAS.

Berikut adalah apa yang anda perlu fahami daripada kenyataan akhbar presiden PAS, tuan guru Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang yang telah disiarkan 2 hari lepas hasil keputusan mesyuarat Lujnah Politik PAS pusat. Ketua Pemuda dan saya hadir dalam mesyuarat tersebut.

PAS menyatakan pendirian menghormati kehendak sekretariat HIMPUN untuk tidak melibatkan parti-parti politik dalam menggerakkan perhimpunan tersebut. Ini dilihat bagi mengekalkan mereka sebagai pasukan ‘garis tengah’ yang dapat menghimpunkan seramai mungkin umat Islam untuk berhimpun bagi menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha bersama demi menyelamatkan dan memperkasakan akidah umat Islam yang berhadapan ancaman gerakan luar ( jangan lupa, juga dari dalam ) yang berusaha merosakkannya.

Demi menghormati sikap HIMPUN yang begitu jelas menolak keterlibatan beberapa figura UMNO yang tampak beriya-iya lebih awal untuk turut mengambil bahagian, PAS bersetuju untuk tidak terlibat.

Maka tidak ada mobilisasi di peringkat parti, terutama daripada Dewan Pemuda PAS Malaysia yang sesetengah ahlinya telah terlibat lebih awal melalui beberapa pertubuhan NGO, untuk mengerahkan ahli PAS menyertai perhimpunan tersebut.

Walau bagaimanapun, PAS tetap menyatakan sokongan terhadap segala usaha murni oleh pertubuhan-pertubuhan NGO muslim untuk duduk bersama mencari, merumuskan dan menggerakkan resolusi bersama ke arah penyelesaian terbaik menangani krisis umat tersebut.

Sebagai sebuah parti Islam dan gerakan Islam yang menaungi dan membawa aspirasi umat, PAS mengingatkan HIMPUN untuk sentiasa mengekalkan diri dengan sahsiah Islam dan tidak melakukan tindakan yang di luar batasan walaupun dengan niat memartabatkan Islam. Islam, jalannya menuju ketuanan sudah digariskan dengan sempurna oleh al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Segala jalan yang menyalahinya adalah ditolak dan boleh mencemarkan kesucian Islam.

PAS juga mengambil kira kebimbangan awam yang melihat wujud usaha-usaha daripada parti politik tertentu untuk mengambil kesempatan daripada perhimpunan ini bagi mendapat sokongan murahan dengan melakukan provokasi perkauman dan kebencian antara ugama. Justeru PAS menyelar dan memberi ingatan kepada semua untuk menolak usaha-usaha buruk tersebut.

Dengan sokongan yang murni atas usaha murni HIMPUN yang telah berjaya menghimpunkan NGO muslim paling ramai dalam sejarah sebagaimana dimaklumkan, PAS tiada sebarang masalah dan langsung tidak menyekat ahlinya yang terlibat dengan pertubuhan NGO, bahkan atas kapasiti seorang muslim yang berminat untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Harapan PAS perhimpunan tersebut akan mampu meningkatkan kesedaran bersama umat Islam untuk hidup bersatu padu di atas jalan ugama dan berpegang teguh dengan tali Allah. Kesedaran tersebut jika dengan niat yang ikhlas akan melorongkan umat kepada Islam yang syumul yang menjadi cara hidup sempurna buat membebaskan Malaysia daripada belenggu kezaliman dan kehinaan akibat kehidupan yang lari daripada landasan Ilahi.

Secara khusus daripada kami Dewan Pemuda PAS, hari ini sejuta umat Islam berhimpun untuk memperkasakan akidah umat, besok kita berharap sejuta umat Islam berhimpun pula untuk menegakkan syariat Allah.

Allahu akbar wa liLlahil hamd.

Dewan Pemuda PAS Malaysia, sebagaimana telah dipertegaskan oleh ketuanya, Ustaz Haji Nasrudin bin Hasan Tantawi, menyatakan sokongan terhadap usaha beberapa NGO muslim untuk menggerakkan dan mengadakan perhimpunan sejuta umat pada 22 Oktober 2011 ini dengan tujuan menunjukkan keperihatinan bersama terhadap usaha menyelamatkan dan memperkasakan akidah umat Islam daripada diganggu gugat oleh musuh-musuh Islam yang berusaha merosakkan akidah umat.

Dengan sokongan ini, walaupun tidak akan terlibat secara langsung demi menghormati saranan sekretariat HIMPUN untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai ‘garis tengah’, Dewan Pemuda PAS berharap seluruh umat Islam yang menghadiri perhimpunan solidariti umat yang telah pun mendapat liputan meluas di media tanah air tersebut dapat mencapai kata putus bersama di dalam menyediakan penyelesaian menyeluruh yang dapat membantu umat Islam di dalam mempertahankan dan memperkasakan akidah mereka.

Akidah Islam adalah tanah air umat Islam. Ia adalah matlamat, ruh dan maruah kehidupan di dunia. Ia suci dan tidak boleh langsung dikotori oleh unsur-unsur syirik dan kufur yang menjadikannya rosak dan terputus hubungan dengan rahmat Allah yang luas. Justeru usaha menyubur, memugar dan mempertahankannya daripada dirosakkan oleh anasir-anasir jahat adalah satu kewajiban yang tidak dipertikaikan lagi, bahkan ia mestilah menjadi tali kukuh yang menyatukan seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Ada dua mara bahaya dan kerosakan yang sedang melanda umat Islam di seluruh dunia hari ini dan ianya dirasai secara nyata oleh kebanyakan umat Islam yang perihatin.

Pertama, usaha musuh-musuh Islam untuk memurtadkan umat Islam dan mengeluarkan mereka daripada cahaya syahadah kepada kegelapan syirik dengan menukar ugama Islam yang dianuti kepada ugama selainnya. Gerakan Kristianisasi antarabangsa dengan persekongkolan musuh sepanjang zaman umat Islam iaitu Zionis Yahudi adalah gerakan paling tersusun dan paling giat melaksanakan agenda kotor tersebut.

Kedua, usaha musuh-musuh Islam untuk merosakkan akidah umat Islam tanpa disedari dan tanpa mengeluarkan mereka daripada kalimah syahadah. Gerakan ini telah dipelopori oleh pendukung pemikiran sekularisme yang awalnya bertapak di negara-negara barat dan kemudiannya disebar luaskan ke negara-negara umat Islam di era penjajahan. Pemikiran yang menyempitkan peranan ugama di laman peribadi dan memisahkannya daripada pentas politik dan kehidupan selain menobatkan undang-undang ciptaan manusia tersebut telah disepakati oleh para ulama Islam sebagai syirik dan merosakkan akidah umat Islam yang menganutinya. Islam adalah manhaj kehidupan yang lengkap dan sempurna yang tidak boleh dipisah-pisahkan.

Kedua-kedua kerosakan yang dirancang oleh musuh Islam itu walau bagaimanapun mempunyai tahap kejayaan yang berbeza. Gerakan sekularisme mencapai kejayaan paling besar dalam sejarahnya apabila berjaya meruntuhkan kekuatan umat Islam dari umbinya melalui keruntuhan khilafah Islamiyah terakhir di negara Turki. Gerakan jahat yang akhirnya berjaya menobatkan fahaman sekular di bawah kepimpinan Mustafa Kamal Ataturk yang dianggap sebagai bapa sekularisme tersebut pada hakikatnya telah melangsaikan segala impian sekian lama musuh Islam untuk menjahanamkan akidah umat yang begitu kukuh dan kental bertahan sejak ribuan tahun selepas kebangkitan nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam.

Runtuhnya kerajaan khilafah Uthmaniyah telah mencipta bah besar yang melanda negara-negara umat Islam yang membawa bersama penyakit umat yang paling digeruni iaitu sekularisme. Hari ini, fahaman sesat tersebut terus hidup dengan kekuatan bala tenteranya yang membarah di dalam tubuh umat Islam sendiri.

Adapun gerakan Kristianisasi, walaupun telah ribuan juta ringgit dihabiskan oleh musuh, tetapi ia gagal memperolehi kejayaan besar sebagaimana gerakan sekularisme. Umat Islam gagal dimurtadkan dan gerakan tersebut hanya mampu menyelinap masuk ke tubuh individu dan kelompok umat Islam yang lemah dek kejahilan dan kemelaratan hidup. Dalam erti, mereka gagal mencabut kalimah suci syahadah daripada dada umat Islam seluruhnya kecuali ke atas segelintir umat Islam melalui umpanan-umpanan kebendaan dan projek-projek kebajikan  dengan mengambil peluang daripada penyakit kejahilan dan kemiskinan yang menimpa umat Islam hari ini. 

Berbanding gerakan sekularisme yang melumpuhkan kekuatan tubuh umat daripada dalam dan tanpa disedari, bahaya kristianisasi atau kemurtadan pastinya lebih jelas dan cepat kerana ianya adalah perisytiharan perang langsung ke atas umat Islam apabila ianya terus memutuskan pertalian persaudaraan paling kukuh di anatara umat Islam iaitu kalimah syahadah. Justeru gejala murtad adalah dilihat perlu ditangani secara tegas dan ianya mudah difahami apabila Allah memasukkan hukumannya ke dalam hukum hudud yang tetap di dalam syariahNya.

PAS paling ke depan menangani isu murtad semenjak awal lagi dan sumbangannya di dalam kebangkitan umat Islam dalam isu Natrah dulu tidak boleh dinafikan lagi. Ia memuncak apabila ahli parlimen PAS beberapa kali membawa usul di parlimen agar meluluskan akta murtad. UMNO adalah penghalang dan pembangkang tegar akta murtad daripada diluluskan pada masa itu. Hakikat yang perlu difahami adalah bahawa mara bahaya besar yang melanda umat Islam itu jelas bukan keutamaan UMNO dan langsung bukan keperihatinan mereka.

Apabila hari ini, para pemimpin Islam di dalam seluruh pertubuhan Islam mula bercakap mengenai bahayanya cubaan memurtadkan umat Islam yang berlangsung secara senyap atau terbuka, maka ianya adalah hasil sumbangan pemahaman yang telah dimulakan oleh PAS. Justeru PAS memandang tinggi usaha seluruh umat Islam untuk berhimpun memahamkan umat dan mendesak kerajaan agar segera melakukan sesuatu yang lebih tegas melalui undang-undang yang diaktakan demi mencegah pencabulan ke atas maruah dan ruh umat Islam. Ianya samada mengenakan hukuman ke atas individu muslim yang murtad atau pun hukuman ke atas pihak luar yang secara langsung melakukan usaha ke arah memurtadkan umat Islam.

Melalui usaha bersama ini, maka akidah umat akan lebih selamat dan menjadi perkasa dengan kesedaran bersama yang tinggi. Dengan sokongan tanpa belah bagi, PAS yang menjadi parti Islam dan harapan umat di negara ini mengharapkan himpunan sejuta umat anjuran sekumpulan besar NGO muslim di bawah sekretariat HIMPUN yang dipengerusikan oleh Cikgu Azmi daripada TERAS dan Dr Yusri daripada Pembela akan menjadi medan yang baik untuk menyatukan umat Islam agar berdiri teguh di atas akidah Islam yang suci.

Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia, apa-apa yang boleh menyatukan umat Islam di atas landasan yang benar, maka ia mestilah dipugar dan jangan sesekali ditinggalkan. Kesatuan umat Islam adalah kewajiban dan amanah yang mesti dilaksanakan dengan sesungguh hati.

Adalah amat membanggakan apabila UMNO semakin lunak dan mula celik mata untuk turut masuk padang walaupun dengan kaki bangkunya. Beberapa pemimpinnya seolah-olah meleleh liur mereka untuk menjadi pemain utama walaupun tanpa signal daripada ‘coach’. Walaupun ia satu petanda yang baik bahawa tekanan yang telah diberikan oleh seluruh umat Islam telah menyentuh benak dan hati pedal UMNO, Dewan Pemuda PAS berharap agar sekretariat HIMPUN tidak diganggu dengan anasir-anasir politik murahan yang cuba mengaut keuntungan politik secara yang tidak bermaruah dan cemar.

UMNO penyakitnya adalah barah sekularisme. Ia menyebarkannya dari awal penubuhannya dan pemerintahannya yang panjang tidak menjanjikan apa-apa selain penyuburan faham syirik tersebut dan menambahkan lagi kerosakan kepada orang-orang Melayu Islam dengan pelbagai gejala buruk, selain merosakkan kefahaman orang-orang bukan Islam terhadap ugama Islam. Jika tidak kerana gerakan dakwah oleh para pejuang Islam, sudah pastilah umat Islam akan hanyut dan tenggelam dengan peluru ciptaan musuh Islam dari barat yang begitu ampuh itu.

Justeru Dewan Pemuda PAS sentiasa konsisten mengingatkan seluruh umat Islam agar melihat kepada bahaya sekularisme sebagaimana mereka telah menunjukkan keperihatinan yang tinggi kepaa gejala murtad dan kehancuran akidah yang melanda umat Islam hari ini. UMNO, jika mahu benar-benar sihat hendaklah mengubati dirinya sendiri sebelum beriya-iya menjadi doktor untuk umat Islam. Dengan itu, selagi UMNO enggan berubah dan enggan meninggalkan daki-daki jahiliyah penjajah, Dewan Pemuda PAS sekali lagi memberi ingatan murni kepada seluruh umat Islam agar berhati-hati dengan pakej politik murahan yang akan mencemarkan niat dan usaha murni sekretariat HIMPUN untuk mencapai matlamat ugama yang besar.

Selamat berhimpun dan selamat maju jaya untuk Cikgu Azmi dan rakan-rakannya yang telah melakukan kerja besar demi ugama, bangsa dan tanah air.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Oktober 2011
I S R K J S A
« Jul   Nov »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 156 other followers