Tazkirah Ramadhan 30 saat (12)

Ramadhan adalah sebuah madrasah tarbiah ruhiyyah dari langit. Tempoh pengajiannya sebulan. Hari ini kita hampir menyempurnakannya. Adakah kejayaan menyempurnakan bilangan dan tempoh pendek itu diiringi kejayaan memperolehi ijazah dari Allah? Itulah harapan setiap kita.

Pakaian graduasi bercirikan tiga sulaman yang indah; Rabbaniah, insaniah dan menyebar kebaikan dan menentang kemungkaran.

Adapun rabbaniah (الربانية), maka ia adalah niat yang ikhlas pada ibadah puasa di siang hari. Tidak makan, tidak minum, tidak menyetubuhi isteri dan tidak mendekati syahwat dan maksiat. Hanya Allah yang tahu. Walaupun boleh disembunyikan daripada manusia, kita tetap bertahan demi arahan Allah. 

Inilah sulaman yang paling indah. Ikhlas dan fokus menuju keredhaan Allah. Kita telah banyak belajar memahami ikhlas. Manusia tak diperlukan, hanya Allahlah tumpuan utama. Al Shomadiyyah (الصمدية)

Adapun sulaman insaniah (الانسانية), maka ia terpancar pada islah diri menuju Allah dan islah diri dalam kehidupan bermasyarakat. Puasa adalah kenderaan menuju taqwa. Dengan taqwa, jalan menuju Allah terbentang jelas. Hati menjadi medan islah, pembaikan dan pembinaan, bukan lagi pembinaan luaran dan fizikal yang sementara, menggoda dan palsu. Manakala hati menjadi mulia dan bersih, ia memancarkan sifat-sifat terpuji dan budiman. 

Ia mencintai kehidupan kurniaan Allah. Ia menjadi pemurah dan ingin berbakti kepada kehidupan dan masyarakat. Maka ia melihat peranannya yang besar membina kemanusiaan yang sebenar. Maka kebaktian menjadi tarikannya. Ringan tulangnya membantu dan memberi kepada masyarakat dan seluruh kehidupan.

Inilah sulaman yang mengagumkan. Islah diri menuju Allah dengan berbakti kepada kehidupan adalah kelahiran baru manusia. Manusia yang jarang dilihat, tetapi sayugia sekali lahir hanya dari madrasah ini. 

Adalah sulaman menyebar kebaikan dan menentang kemungkaran (نشر الخير ومجاهدة الشر), maka ia adalah matlamat kebangkitan umat nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Umat diutus untuk amar makruf dan nahi mungkar. Sifat rabbaniah dan insaniah di atas menjadi pakaian yang sesuai untuk umat nabi menjadi saksi kekuatan mereka melaksanakan tugas dan amanah agung khilafah di muka bumi. Bulan Ramadhan bagai lampu terang benderang menyuluhi kehebatan umat Islam ini.

Itulah taqwa yang didamba di bulan ini. Taqwa adalah asas islah, pembinaan dan kebangkitan umat manusia. Dan ia hanya milik umat Muhammad صلى الله عليه وسلم.  

Taqwa adalah melaksanakan arahan dan menjauhi larangan. Ahli taqwa akur pada kebenaran dan al haq lalu menunaikannya, menolak kemungkaran dan menjauhinya. Mereka takutkan Allah, tuhan yang tiada satupun yang tersembunyi daripadaNya.

Ahli taqwa bekerja dan beramal dengan kitab Allah. Mereka menghalalkan dan mengharamkan mengikut kata al Quran. Mereka tidak mengkhianati amanah, tidak rela dalam kehinaan, tidak derhaka dan tidak memutuskan hubungan, menyambung orang yang memutuskan, tidak menyakiti jirannya dan memaafkan orang yang menzalimi diri mereka. Kebaikan diharapkan daripada mereka manakala kejahatan tiada datang daripada mereka. 

Begitulah cerita taqwa. Hanya orang beriman memiliki sifat ini. Begitulah Ramadhan, sebuah madrasah intensif dengan silibus suci daripada langit. Semoga kta semua lulus cemerlang.

Selamat Hari Raya Eidul fitri..

About these ads