Prestasi PAS Kelantan dalam PRU13

PAS menang di Kelantan adalah sebagaimana jangkaan awal. Kekalahan dengan tambahan kerusi kepada BN juga sudah dijangka. Tetapi PAS gagal dalam usaha mengurangkan jumlah kerusi dimenangi BN kurang daripada 10 kerusi.

PAS memenangi kerusi bandar, kerusi maju ilmu (kecuali Kok Lanas yang memiliki undi pos tentera yang besar di Kelantan), undi Cina dan yang paling ketara, undi anak muda dan perantauan. PAS memperolehi majoriti besar yang ketara di Parlimen Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa, 3 kawasan yang padat, maju dan berpelajaran.

Aura TGNA adalah antara faktor utama yang boleh difahami dengan mudah. Faktor penindasan oleh Putrajaya terhadap Kelantan juga menjadi antara faktor utama selain persembahan pentadbiran kerajaan negeri yang berjaya mengurangkan kesilapan dan kesalahan walaupun berhadapan beberapa cabaran yang agak rumit.

Kekalahan dengan tambahan beberapa kerusi kepada BN adalah faktor bersifat tempatan. Di daerah selatan dan hulu seperti Gua Musang dan Jeli, PAS masih gagal memecah kebuntuan dengan kalah di semua kerusi DUN dan parlimen. Masyarakat di sana masih kurang pendedahan media baru yang menjadi senjata utama PAS memasuki setiap rumah. BN terus berjaya memerap pemikiran rakyat untuk kekal menyokong mereka.

Persembahan calon atau wakil rakyat terdahulu adalah juga menjadi faktor utama. Rakyat menunjukkan protes mudah dengan tidak mengundi calon tersebut atau parti sendiri. Ia tindak balas yang menjadi budaya politik rakyat Kelantan. Yang mengurangkan keketaraannya adalah kefahaman umat Islam Kelantan yang jelas dan sebati bahawa parti Islam perlu dijunjung dan parti sekular mesti ditolak.

PKR kurang menyengat di Kelantan. Rakyat Kelantan hanya mengenal PAS dan BN. Kefahaman lama dan selesa ini gagal diubah walaupun rakyat Kelantan menerima kehadiran PKR dan DSAI dalam politik tanah air. Kelantan adalah cerita Islam lawan sekularisme. Hijau atau biru tua. PKR kalah di semua 3 kerusi parlimen dan hanya menang di 1 kerusi DUN.

Faktor yang kekal adalah penipuan dan manipulasi undi oleh BN. Undi pos, politik wang, ugut dan kelemahan SPR terus menjadi senjata BN memenangi undi secara khianat.

PAS Kelantan perlu kekal membangun bersama Islam dalam memajukan negeri Kelantan. Ketelusan perlu ditambah baik. Ada beberapa aspek pentadbiran dan pengurusan yang lebih baik di negeri Selangor dan Pulau Pinang yang perlu ditiru dan dipelajari. Kejayaan memenangi PRU selama 6 penggal berturut-turut (double hatrict) mungkin boleh melemahkan, jika tiada islah yang ketara. 

Dengan kepimpinan baru menggantikan TGNA, pembaharuan mesti dilakukan dalam beberapa aspek yang acap ditegur dan dikritik agar parti tidak lagi terlalu bergantung kepada aura tuan guru untuk kekal diterima rakyat Kelantan yang berani dan dinamik.

Wakil-wakil rakyat (saya juga) perlu kerap diberi peringatan dan teguran di dalam menunaikan kerja dan amanah parti dan rakyat. Pemilihan calon PRU perlu diteliti dan ditimbang sebaiknya demi mengurangkan kesilapan.

Adalah baik jika PAS bertanding di semua kerusi parlimen di Kelantan demi menjamin pertambahan kerusi PAS dan PR dalam PRU akan datang. Baik juga untuk peringkat DUN walaupun keperluannya tidak begitu meruncing. PKR masih boleh berperanan di dalam pentadbiran negeri Kelantan.

Masyarakat perlu didekati dengan ilmu, kemudian khidmat dan kemudiannya adalah bantuan kewangan. Ia kaedah mengekalkan sokongan yang padu dan kekal, bukan longgar dan sementara sifatnya. 

Semoga PAS Kelantan kekal menerajui perubahan dan kemaraan rakyat ke Putrajaya demi Malaysia baru yang lebih bebas dan adil.

Ini adalah pandangan awal saya. Semoga bermanfaat.

About these ads