Sepanjang tempoh berkempen PRU13 di Parlimen Pasir Mas baru-baru ini, saya kerap ditemuramah oleh para wartawan daripada pelbagai akhbar dan penyiaran. Antara yang agak eksklusif adalah para pengkaji politik daripada luar negara seperti Singapura dan Australia.

Antara yang acap ditanya oleh mereka adalah berkaitan keyakinan atau telahan saya mengenai kemenangan PR dalam PRU kali ini. Lebih menarik adalah kekuatan PAS di negeri Kelantan dan kerusi Parlimen Putrajaya yang begitu kuat gema dan hangatnya yang telah berjaya membakar semangat para petugas parti untuk mencipta kejayaan merampas Putrajaya dan membentuk kerajaan baru pilihan rakyat.

Jawaban saya untuk Kelantan adalah mudah. Sengit tetapi Kelantan akan terus kekal di bawah PAS. Mereka bertanya, mengapa sengit? Saya kata, politik Kelantan tak pernah tak sengit. Rakyat Kelantan celik politik lebih awal mendahului negeri-negeri lain. Apabila rakyat celik politik, maka ahli politik tidak lagi boleh tidur. Kelekaan akan dihukum.

Jawaban saya untuk Parlimen Putrajaya pula agak berbeza daripada keyakinan para wartawan sendiri yang melihat kilauan PR sepanjang kempen berjalan di sana. Saya kata, kami sedang berlawan dalam pilihan raya umum di seluruh negara kecuali di Parlimen Putrajaya. Bagi saya, ia adalah sebuah pilihanraya kecil dalam sebuah pilihan raya umum. 

Sifat pilihan raya kecil adalah keramaian dan kebisingan. Tetapi yang ramai dan bising hanyalah para penyokong. Mereka memiliki segala kekuatan kecuali satu. Mereka tidak memiliki kertas undi. Adapun para pengundi, kebanyakan mereka berehat di rumah menunggu hari mereka memangkah dan menghukum. Jika di pedalaman, mereka menunggu wang. Di Putrajaya pula, mereka menunggu gaji kerajaan memerintah. PR tak bayar mereka gaji.

Maka saya beritahu wartawan, untuk ‘pilihanraya kecil Putrajaya’, saya kira sukar buat PAS.

Adapun untuk kemenangan PR dalam PRU13, saya gagal untuk memberi jawaban walaupun sekadar telahan. Saya hanya kata, saya tak tahu nak kata. Saya berikan mereka beberapa sebab;

Pertama, pergerakan undi kepada PR tidak menyeluruh di kalangan orang Melayu. Ia hanya diyakini bergerak di kalangan masyarakat bermaklumat di bandar dan kalangan anak muda. Oleh kerana PAS bertanding di banyak kawasan majoriti Melayu, manakala kemenangan PR pula banyak bergantung kepada kepada pertambahan kerusi PAS, maka agak sukar untuk saya membuat telahan kemenangan atau kekalahan bagi PR kali ini.

Kedua, jika pun PAS menang lebih baik di kerusi-kerusi majoriti Melayu yang ditandingi, kemenangan PR masih terlalu bergantung kepada lonjakan besar di Sabah dan Sarawak. Oleh kerana PAS, apatah lagi saya sendiri kurang maklumat lengkap mengenai pergerakan undi sebenar di Sabah dan Sarawak, selain hanya bergantung harap kepada kemenangan PKR dan DAP yang bertanding di banyak kawasan di sana, maka saya katakan kepada rakan-rakan dan wartawan, saya tak boleh nak kata apa-apa mengenai keputusan PRU13. Tunggu 5 haribulan nanti. Dalam menunggu, kita buat kerja termampu.

Keputusan yang diperolehi pada 5 haribulan adalah tidak mengejutkan saya. Saya mudah menerima takdir Allah dalam PRU kali ini berbanding kejutan takdir Allah dalam PRU 2004 yang begitu menggegar bahtera perjuangan PAS.

PAS menang lagi di Kelantan. Ia agak sengit kerana BN hanya memerlukan lagi 3 kerusi untuk menafikan majoriti dua pertiga PAS mentadbir Kelantan. Saya gembira menumpang kegembiraan rakyat Pasir Mas berjaya melunaskan nekad mereka untuk mengalahkan calon yang telah mengkhianati mereka pada 2008. Kuntuman bunga raya bertaburan di kuburan politik khianat dan rasis.

PAS kalah lagi di Putrajaya. Ia agak sukar diterima para penyokong yang begitu kuat bekerja. Tetapi tidak saya dan tidak bagi mereka yang melihat seperti saya lihat. Tetapi adakah kota Putrajaya tidak akan runtuh? Saya kata, Putrajaya adalah kota hijau. PAS akan tiba di sana pada PRU14 nanti. Go Green..

Keputusan PRU13 adalah kemenangan buat BN dan kekalahan buat PR. PAS melalui presidennya menyeru rakyat menerima kekalahan. Ia adalah takdir Allah. Dalam bahasa yang lebih lunak dan menjinakkan hati yang beriman, kita menerima takdir Allah bahawa kita kalah PRU13 melalui penipuan dan manipulasi undi oleh BN. Kita menerima takdir Allah bahawa perjuangan membersihkan SPR belum tamat.

Tinggal dulu perihal penipuan oleh BN. Kita bicara kemudian, atau anda boleh membacanya segera di dalam banyak artikel pendedahan dan pembongkaran. 

PAS gagal memikat undi orang-orang Melayu di seluruh negara. Di Kelantan sendiri, PAS gagal membantu PKR mengekalkan kemenangan di 3 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada 2008. 

Ia adalah ketakutan yang dijangkakan walaupun tidak diharapkan berlaku. walaupun begitu, PR seperti diyakini, telah berjaya mengasak rapat BN di seluruh semenanjung Malaysia. PR menambahkan kerusi di DUN dan Parlimen semenanjung.

Adapun di Sabah dan Sarawak, PR tumbang. Sabah dan Sarawak melenyapkan harapan PR memenangi Putrajaya. BN Sarawak memenangi 25 daripada 31 kerusi, manakala di Sabah, BN menang 22 daripada 25 kerusi yang dipertandingkan.

Hakikatnya, janji DSAI perihal Sabah dan Sarawak hancur berkecai. Jika ia berdasarkan culaan dan makrifat yang kukuh dan berwibawa, maka ia membayangkan betapa lemahnya jentera DSAI mencula dan memakrifatkan. Jika ia sekadar janji manis menakluk harapan, maka lihatlah betapa ramai penyokong PR yang menjadi mangsa kencing manis akibat janji manis bergula DSAI.

Saya tidak faham politik janji manis dan harapan meranap gunung. Sepanjang saya berguru politik dengan dengan TGNA, TGHH dan guru-guru politik dalam PAS, saya tidak pula diajar begitu selain berkata benar dan tegas.

Ya, DSAI bukan PAS dan beliau tidak perlu mengguna pakai kaedah PAS. Tetapi saya jadi keliru melihat sebahagian mangsa adalah ahli dan pendukung PAS. Sesetengah sukar memahami maksud ‘menerima takdir Allah’ yang dianjur presiden PAS sehingga menganggapnya sebagai menyerah kepada kezaliman BN yang mempergunakan SPR. Saya sukar memahami sesetengah ahli PAS tidak memahami maksud beriman kepada takdir Ilahi.

Samada saya menyalahkan DSAI atau menyalahkan ahli dan pendukung PAS sendiri yang terlalu kemaruk janji manis DSAI, saya tangguhkan buat sementara. Kerana mungkin juga kedua-duanyalah yang bersalah.

Pada sekitar 2010, Dewan Pemuda PAS Malaysia merumuskan melalui dapatan yang dihasilkan kajian yang menyeluruh, bahawa PAS mestilah menumpukan usaha memikat hati orang Melayu yang masih liat untuk berubah. Pemuda mengingatkan semua jentera parti agar menjaga hati orang-orang Melayu agar PAS dilihat mampu menggantikan UMNO. PAS perlu bertegas dengan isu orang-orang Melayu sebagaimana UMNO dilihat begitu. Bezanya, PAS hanya perlu menampilkan penyelesaian cara Islam yang adil dan bersifat memakmurkan hubungan antara kaum tanpa faham rasis UMNO. Justeru ia akan menambah undi Melayu selain mengekalkan undi bukan Melayu kepada PAS.

Justeru Dewan Pemuda PAS Malaysia telah berusaha menjuarai isu-isu Melayu dan Islam. Saya yakin kami telah memperolehi hasil yang agak positif.

Sebelum PRU13 berlangsung, saya bertanya kenalan yang akses sumber BN. Dia yakin BN kekal dengan kemenangan lebih 140 kerusi. Saya cuba menolak dengan beberapa hujah. Tetapi beliau selamba menjawab, BN yakin menang besar di Sabah dan Sarawak. PAS akan hilang banyak kerusi, tak akan menambah di semenanjung. Saya senyap dalam keliru.

Bila PAS hilang hanya satu kerusi, saya terus menadah syukur. PAS tidak sebagaimana cula BN. Bila PR kalah teruk di Sabah dan Sarawak, saya terima takdir bahawa cula BN lebih berjaya dan cula kita hanya janji manis. 

Pada tuan presiden, saya percaya. Pemuda PAS berjuang bersama di barisan hadapan.
 

About these ads