You are currently browsing the category archive for the ‘hikmah’ category.

Salam Kamunting,

Dia mencipta dan Dia memilih. Dia bebas dengan kehendak dan mahuNya. DiciptaNya langit dan bumi, lalu dilayarkan lewat  samudera masa dalam 12 bulan yang berulang – ulang. DipilihNya 4 daripadanya, lalu dinobatkan kemuliaannya sebagai bulan – bulan yang haram (mulia). Itulah pilihanNya sedari alam tercipta di tangan dan mahuNya.

Ramadhan adalah daripada 12 tetapi bukan daripada 4 yang terpilih oleh mahuNya itu. Ia terpinggir dari arus kemuliaan tetapi ia tiada gusar! Ia menanti dalam sabar dan rindu. Ia merindu dalam cinta dan tasbih. Saatnya nabi agung terutus, saatnya umat agung terbangkit, ia akan menari dan bersuka ria dalam malam tiada terperi.

Di malamnya, satu daripada 30, dari lapis langit ketujuh tersaksilah pada sekelian alam kejadian janji agung yang terkota oleh al Rabbul Jalil. Turun berjejeranlah dan berbanjar – banjarlah para malaikat Allah didepani ‘al Ruuh’   beralunan lunak tasbih dan tahmid, memuji dan memuja pada meraikan dan merayakan turunnya sebuah janji agung daripada empunya semesta alam, Rabbul alamiin.  

Malam itu al Quran turun. Turunlah dari kota Lauh Mahfuz, dari utuh Ummil Kitab, dari sisi arasyNya yang agung. Turunlah ke lapis terbawah daripada langit yang terhias oleh jutaan bintik – bintik bintang bercahaya berkerdipan bagai lampu – lampu neon di majlis perajaan.

Ia malam penuh berkat. Diberkati dan memberkati. Malam Lailatul Qadr. Malam setanding seribu bulan, sejangkau 80 tahun hayat insani. Berimanlah, beramallah di malam terkota janji ganjaran seribu bulan dalam iman dan amal! Bertempiklah, bertakbirlah, manikam janji yang tidak terperi..

Satu malam yang memberkati 30 malam disekelilingnya. Malam – malam Ramadhan yang penuh keberkatan. Dia bertandang kepada kita, tetapi kitalah tetamunya, bukan dia tetamu kita. Dia menjamu dan kita dijamu sepuas – puasnya.

Al Quran turun dari langit diiring Jibril ‘alaihissalam menuju insan teragung, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam di gua Hira’, gua tauhid dan kebenaran. Bacalah wahai Muhammad, dengan nama Tuhanmu..

Kita di bumi. Al Quran di langit. Ramadhan menarik langit ke bawah dan menolak bumi ke atas. Ramadhan adalah medan masa kita dan al Quran berjabat. Berpeganglah pada tali al Quran sekuat – kuatnya agar kita tidak jatuh ke bumi, ke lembah palsu dan plastik! Atau, al Quran diangkat langit dek tiada yang mengendahinya.

Kallaa!  Tidak sesekali tidak! Inilah umat Muhammad. Tercipta untuk terpilih oleh mahu Empunya alam. Terpilih untuk menjadi pemegang amanah kalamNya yang suci dan yang agung hingga dunia digoncang  janji dan ajal tuannya. Selagi umat Muhammad, selagi itulah al Quran dibaca, ditadabbur dan dilunaskan dalam medan amal dan perjuangan. Dalam hidup dan kehidupan..

Allah, Allah, Allah.. Aku tersyahdu menghirup al QuranMu. Jadikan aku hambaMu. Kerana aku hambaMu.

Selamat berkunjung ke qaryah Ramadhan. Kampung masa yang kudus dan khusyu’ diterangi juntaian neon ayat – ayatNya yang memancar menerangi dunia yang kelam dan gelap.

 

Salam Kamunting,

Isu arak yang tengah panas di Selangor hendaklah difahami sebagai isu kawalan penjualan arak, bukan isu pengharaman arak. Arak adalah haram di sisi Islam. Meminum, menjual, mengangkat dan apa – apa yang bersifat  menyokongnya adalah haram dan berdosa besarlah setiap muslim yang melakukannya.

Jika sebuah negara itu penduduknya Islam semuanya, maka tidak boleh ada satu pun kedai yang dibenarkan menjual arak. Undang – undang Islam mengenainya adalah ketat seketat yang dikehendaki Allah, tuhan yang menciptakan arak lalu mengharamkannya ke atas manusia.

Adapun jika sebuah negara umat Islam itu turut didiami bukan Islam yang menghalalkan arak dalam kehidupan mereka, maka hak untuk mendapatkan bekalan arak itu hendaklah diberikan. Oleh kerana wujud ketakutan ianya mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam, maka penjualan dan pengedaran arak di kalangan masyarakat bukan Islam hendaklah dikawal oleh kerajaan yang memerintah.

Oleh kerana hampir tiada negara umat Islam hari ini yang tegak tanpa minoriti bukan Islam, maka undang – undang pengawalan penjualan arak haruslah diterima pakai dan hendaklah sentiasa disemak agar ianya memberi dan menepati keadilan dan hak kepada semua rakyat.

Hikmat pengharaman arak adalah terlalu jelas. Allah menyebutnya di dalam al Quran agar ianya jelas dan menutup kekeliruan manusia terhadap pengharamannya. Tidak ada ugama yang tidak mengharamkan arak. Yang menjadikannya halal hanyalah penganut ugama masing – masing bergantung kekuatan mereka mengamalkan ugama mereka.

Di negara kita, arak adalah halal. Kerajaan menjadikannya hasil mahsul ekonomi negara. Sedikit kawalan ke atasnya oleh undang – undang negara adalah sekadar untuk mengesahkannya sebagai halal. Ia seperti undang – undang menyekat zina, riba dan rokok. Barang halal yang terkawal, bukan barang haram yang terkawal.

Justeru dalam Islam, ianya adalah isu menghalalkan yang haram. Ia satu dosa besar dan dibalas kehinaan, murka dan neraka tuhan. Ridha ke atas ketetapan ini juga adalah haram dan teramat besar dosa dan kehinaannya di sisi Allah. Justeru sebarang usaha, seruan dan sokongan ke atas pengharaman dan pengawalannya daripada melegari kehidupan umat Islam di negara kita adalah wajib dan diganjari ridha dan ganjaran Allah. Ia melepaskan kita daripada dosa yang dikembangkan oleh pemerintah Islam yang derhaka kepada Allah.

Ia bukan isu sensitiviti. Ia isu iman. Ia samada syurga atau neraka.

Undang – undang negara mengenai arak hari ini adalah menepati kehendak masyarakat bukan Islam yang langsung membuang hukum agama mereka berkenaan arak. Untuk mereka agama mereka. Tetapi ugama mereka bukan untuk kita. Malangnya, pemerintah negara kita yang mengaku muslim berlaku dan bertindak sebaliknya. Ia kemalangan yang menghinakan umat Islam di negara sendiri.

Oleh kerana PAS adalah gerakan Islam nasional yang berusaha menguasai politik dan kuasa demi pelaksanaan dasar dan polisi Islam yang lebih kukuh dalam negara, maka PAS dilihat mampu, bertanggung jawab dan mesti menggunakan kudratnya untuk memastikan penjualan arak di dalam negara menepati kehendak ugama.

Penguasaan PAS di negeri Kelantan selama hampir 20 tahun telah menyaksikan peraturan ke atas kawalan penjualan arak dilaksanakan. Orang Islam dilarang menjual arak, apatah meminumnya. Kebenaran menjual arak adalah terhad kepada sebilangan premis bukan Islam yang tertentu dengan syarat – syarat yang menjamin penyalah gunaannya yang boleh melibatkan umat Islam.

Selepas lebih 10 tahun perlaksanaan berjalan, masyarakat bukan Islam telah memohon supaya ditambah bilangan premis mereka yang dibenarkan menjual arak kerana bertambahnya kependudukan masyarakat bukan Islam terutama di bandar Kota bharu. Kerajaan telah menyemak balik dan akhirnya meluluskan penambahan koata selepas perundingan yang agak memakan masa kerana ketelitian termasuk soal – soal penyalah gunaan yang dilaporkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Penguat kuasaan kawalan penjualan arak di Kelantan pada awalnya telah mendapat tentangan masyarakat bukan Islam yang bimbang hak dan kebebasan mereka dirampas. MCA pernah berhasrat menganjurkan pesta minum arak terbuka sebagai bantahan ke atas perlaksanaan enakmen tersebut, tetapi akhirnya dibatalkan apabila akur dengan tempelakan YAB Tuan guru yang tidak menghalang, malah menyuruh mereka berpesta minum sampai pecah perut. Ketegasan YAB Menteri Besar Kelantan yang mahukan perlaksanaannya berjalan akhirnya telah diterima baik dan berjalan lancar.

Malah, selepas perlaksanaan berjalan, YAB Tuan Guru menerima panggilan dan ucapan terima kasih dan tahniah yang banyak daripada masyarakat bukan Islam terutama golongan wanita yang mendakwa rumah tangga mereka lebih berseri tanpa arak dan judi yang menghantui suami dan keluarga.

Masyarakat Islam selamat daripada mendekati dan didekati arak dan masyarakat bukan Islam mula belajar budaya hidup sihat tanpa arak melampau dan mula memahami sensitiviti umat Islam terhadapnya. Yang lebih penting, mereka mula mengenali bahawa masyarakat Melayu yang mengharamkan arak adalah jauh lebih menyayangi mereka berbanding masyarakat Melayu ( baca UMNO ) yang menghalalkan arak.

Pengalaman saya sebagai ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menunjukkan bahawa masyarakat Islam dan bukan Islam telah menjadi begitu sensitif dan sering melaporkan kejadian – kejadian pelanggaran samada oleh orang Islam ( terutama remaja ) atau bukan Islam.

Pastinya arak bukan lagi punca dan ancaman besar kerosakan akhlak dan sosial di Kelantan.

Hari ini anda sedang mendengar isu arak kembali geger dan bising di negeri Selangor yang berada di bawah Pakatan Rakyat yang diterajui PKR.

Anda berhak gusar dan bertindak balas. Tetapi dalam politik, adalah baik tarik tali itu terus berlangsung walau selama mana pun. Putus tali tidak menghasilkan keputusan baik yang dikehendaki.

PAS berhak mengkritik sebagai mana DAP juga. Apabila kita berada di dalam Pakatan Rakyat yang bersifat persefahaman di antara parti – parti yang mempunyai dasar yang berlainan, adalah perlu perselisihan sesama sendiri diselesaikan dengan baik.

Perlaksanaan nilai Islam oleh PAS dalam Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan semudah di Kelantan, malah kesukarannya mudah pula dilihat. Justeru jalan terbaik ialah berusaha mengurangkan jurang selisih melalui perbincangan yang harmoni dan berterusan. Itu selagi kedua – dua pihak bersetuju begitu.

Mungkin wujud beberapa kesilapan bersifat teknikal daripada PAS. Ia boleh berlaku di mana sahaja dan bila – bila saja kerana kesilapan kecil adalah tanda kita ini manusia, bukan malaikat. MPKB – BRI pernah dicabar di mahkamah oleh pemilik premis muslim yang mencabar peraturan Islam yang dilaksanakan. MBKB-BRI kalah dan terpaksa membayar puluhan ribu ringgit. Tetapi PAS telah menang di dalam politik dan kesungguhan untuk melaksanakan kewajiban di atas pundaknya.   

Daripada kesilapan yang diakuri, berapa banyak sejarah kejayaan yang sudah ditempa daripadanya.

DAP pula harus belajar untuk mengendurkan ketegangan yang tidak perlu. Akur bahawa kawalan penjualan arak adalah hak umat Islam yang terabai. UMNO menggadai dan menjual hak ini sekian lama demi kuasa yang telah menyesatkan mereka. UMNO menjual ugama semurah yang mereka mahu.

Kita akur bahawa banyak hak orang Islam dan hak bukan Islam telah dilenyapkan oleh warga BN selama pemerintahan mereka lebih 50 tahun sejak negara merdeka. Jika kita mahu bertahan lama dalam Pakatan Rakyat, tarik tali itu biarlah tidak putus. Kita sedang belajar untuk menunaikan hak.

Usaha PAS Selangor semestinya perlu disokong semua pihak. Jika ada parti politik merasakan ianya tidak menyebelahi mereka, ia bukanlah parti rakyat kerana kawalan penjualan arak adalah hak rakyat dan mengharmonikan rakyat.  Arak bahayanya tiada yang menyangkalnya. Jika ada, sah dia UMNO ultra, tak kiralah dia PAS atau DAP.

Nak ke jadi UMNO?

Salam Kamunting,

Berkata Ibnu Khaldun, “Apabila sesebuah negara telah mencapai umur tua, ia tidak akan bangkit lagi.”

Kata – kata pemikir besar Islam ini mudah difahami. Tua adalah sakit yang tiada ubatnya. Ia bererti tiada lagi di hadapan selain ajal yang menutup segala harapan. Ia melanda manusia, haiwan, pokok tumbuhan dan semua makhluk tuhan.

Dunia ini pun sudah cukup tua. Ia seperti wanita tua bongkok sebagaimana digambarkan kepada al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam pada malam Isra’ dan Mikraj. Sampai masanya dunia ini akan mati. Kiamat adalah kematian bagi dunia ini sebagaimana disebut bahawa kematian setiap diri adalah kiamat kecil untuknya.

Tua mengakibatkan lemah jasmani, bahkan rohaninya juga. Ia tidak mampu lagi sebagaimana kudrat masa mudanya. Apabila ia lemah, penyakit datang dengan mudah dan susah pula dirawati. Ia akan menarik kematian dengan lebih segera.

Justeru kebangunan sesebuah negara dan keruntuhannya diikat oleh hukum alam ( sunnah Allah ) ini. Ia akan terhenti pada umur tuanya. Jika tiada faktor awal lain melandanya, maka ia akan diasak oleh faktor umurnya. Tiada negara yang berjaya dalam tamadunnya kecuali ia akan berakhir juga dengan sebab ketuaannya.

Ibnu Khaldun semasa menulis dan memutuskan kaedah dan sunnah ini sudah pasti melihat dengan jelas sejarah ketamadunan manusia yang terdahulu. Jika anda membaca dan memahami al Quran, terdapat beberapa lagi faktor atau sunnah tuhan yang menyentuh mengenai kejayaan dan kegagalan tamadun manusia.

Pada menetapkan sunnahNya, Allah menegaskan, ” Dan engkau tidak akan dapati sebarang penukaran lagi terhadap sunnah Allah dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan lagi terhadap sunnah Allah.” ( Fathir:43)

Negara kita selepas merdeka, melalui sistem demokrasi barat, telah diterajui oleh pemerintahan Barisan Nasional yang diketuai UMNO. Kini, ia telah mencapai umur lebih 50 tahun. Jika dikira umur sebuah tamadun, ia masih terlalu muda. Tetapi dalam sistem demokrasi hari ini yang memberi kuasa dan kebebasan kepada rakyat untuk melantik dan menukar parti yang memerintah, maka pemerintahan BN dikira sudah cukup tua.

Ia sudah lemah dan tak bermaya lagi.

Anda boleh melihat di dunia hari ini, dalam tempoh 50 tahun, negara – negara yang mengamalkan demokrasi telah mengalami pertukaran dan perubahan kerajaan lebih daripada sekali. Bermula di Amerika, England, India sehinggalah ke negara – negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Jepun, sesetengah perubahan yang berlaku adalah kerana faktor ketuaan yang mengakibatkan kelemahan dalam pemerintahan.

Kerana itu, pendapat ramai penganalisis politik negara yang melihat faktor UMNO dan BN yang telah mencapai umur tua sebagai petanda kejatuhan UMNO dan kerajaan BN bukanlah suatu telahan yang kosong atau sekadar analisis murahan.

Selepas UMNO dilihat memuncak di zaman Tun Mahathir, kemudian mula lemah di hujung pemerintahannya, ia berusaha untuk bangkit di zaman Pak Lah. Kejutan kebangkitan berlaku. Tetapi ia sekadar untuk beberapa tempoh yang pendek sekali. Ia sekadar panadol penahan sakit. Ia diasak oleh penyakit yang mula berakar di zaman Tun Mahathir. Pak Lah yang gagal sering dilihat dan dijadikan mangsa oleh UMNO dan Tun Mahathir sendiri seolah – olah beliau mampu membaiki dan membina kembali apa yang dulu diruntuhkannya sendiri.

Hari ini, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan UMNO dengan laungan perubahan menyeluruh dalam parti kebangsaan itu, ramai yang memberi harapan untuk kebangkitan UMNO kembali. Setiap presiden baru tuahnya pasti ada.

Untuk mengamati benar atau batilnya harapan itu, anda perlulah dahulu melihat dan memerhatikan benar atau batilnya dakwaan bahawa UMNO memang telah disumpah sunnah ‘tua’.

Saya cuba gariskan beberapa fenomena yang mungkin mencetus jawaban yang mujarab untuk memastikan kebenaran dakwaan bahawa UMNO telah tua dan tiada ubat untuknya lagi. Saya adalah anatara yang beriman dengan dakwaan ini.

1) Saya tiada jawaban untuk mengeluarkan UMNO daripada dimamah faktor yang telah menumbangkan rakan – rakannya daripada kalangan pemerintahan tua negara – negara jiran Malaysia. Satu – satunya negara terdekat yang masih selamat ialah Singapura. Adakah anda melihat UMNO sehebat parti pemerintah negara itu?

2) Saya tiada keyakinan langsung untuk mengatakan Datuk Seri Najib mampu membawa perubahan besar dalam UMNO. Pertama, beliau sendiri dipalit dakwaan buruk yang sukar dibersihkan. Mr dirty menggantikan Mr clean. Bolehkah saya meyakini bahawa pakaian kotor adalah lebih memikat berbanding pakaian bersih?

Kedua, UMNO terlalu memerlukan perubahan besar. Perubahan kecil – kecilan, singgul – singgulan, tempel – tempelan adalah membazirkan masa, wang dan harapan. Jiwa kecil Datuk Seri Najib tidak mungkin melakukan yang besar dalam pelan perubahan canangannya.

3) Rasuah adalah barah yang membunuh. Ia membunuh negara sebagaimana dadah membunuh manusia. Saya melihat pelan membasmi rasuah dalam UMNO lebih teruk daripada pelan membasmi dadah dalam negara. Jika UMNO sendiri membawa virus rasuah, bagaimana ia mampu menyelamatkan negara daripada rasuah?

Bagi saya, UMNO sedang membunuh diri. PAS tidak akan sempat membunuh UMNO.

4) Saya tidak melihat pelapis dalam UMNO yang dikagumi. UMNO meninggalkan generasi lemah yang ditakuti masa depannya. Bapa  yang meninggalkan anak – anak yang lemah pasti menyaksikan kematian keturunannya. Pertikaian dan kejayaan kumpulan yang dipalit rasuah dalam sayap pemuda UMNO baru – baru ini adalah menakutkan. Adakah anda mampu menyalahi saya di dalam tidak meletakkan harapan kepada generasi pelapis UMNO?

5) Rakyat telah dihidangkan dengan alternatif pemerintahan baru oleh Pakatan Rakyat. Bahkan, cara hidup tawaran Islam yang terbukti berjaya oleh PAS. Rakyat kini boleh menilai dan membezakan. Penutup mata telah dirungkai dan cahaya di hadapan sudah cukup terang.

Adakah anda boleh memberi keyakinan bahawa Kelantan adalah gagal? Anda perlu tahu bahawa tiada yang lebih berani menghukum kegagalan politik melebihi rakyat Kelantan. Mengapa mereka tidak menghukum PAS di Kelantan?

Lima fenomena yang saya sebutkan di atas cukup untuk menjadi sandaran di dalam menentukan kebenaran bahawa UMNO telah mencapai umur tua yang tidak akan menyaksikan kebangkitan lagi. Anda bolehlah merenung lama. Tiada cela berfikir lama untuk masa depan negara. Itu ibadah yang besar.

Ia adalah sebagaimana kata Maulana Abul Hasan Ali an Nadawi dalam komentarnya terhadap hikmah Ibnu Khaldun di atas, ” Justeru tiada lagi faedah di dalam menghabiskan masa dan tenaga untuk mengislah dan menguatkan negara ‘tua’ itu. Sayugia sekali disediakan satu kumpulan yang mampu melakukan inqilab Islami, lalu membentuk sebuah negara Islam yang baru di atas asas agama dan ilmu yang baru.” ( Rujuk kata pengantar oleh Sayyid Sabiq untuk buku ‘HujjatuLlah al Balighah’ oleh al Imam al Dahlawy )

Mengislah UMNO adalah membuang masa menghabis tenaga. Semoga rakyat tahu. Semoga rakyat berani berubah.

Salam Kamunting,

 

Tahniah PAS!

Di masa susah kaulah kawan

Di mana susah kaulah di depan

Untuk  yang lemah kaulah sandaran yang gagah

Untuk yang duka kaulah penawar dan penenang

Dalam ribut dan taufan kaulah tunjang

Dalam gelora dan gelap kaulah menara dan cahaya

Tiada dagang bersamamu

Tiada cemas di belakangmu

Dirimu ada kekuatan

Dirimu adalah kekuatan

Kekuatan jadi mulia bersamamu

kelemahan jadi bacul di hadapanmu

Tahniah PAS!

Musuh tidak nampak kecualimu

Musuh tidak marah kecualimu

Musuh tidak takut kecualimu

Keranamu kebatilan menjadi lebur

Keranamu kezaliman menjadi berantakan

Keranamu kejahilan menjadi hilang

Kaulah kelibat di medan

Kaulah syakhsiyah dalam kembara

Kaulah figura keramaian

Kawan dan musuh menakjubimu

Dia dan mereka menyanjungimu

Aku dan kami mencintaimu

Tahniah PAS!

Beginikah Allah memuliakanmu?

Salam Kamunting,

AlhamduliLlah, saya, isteri dan kakak sulung serta rombongan selamat tiba di tanah air daripada mengerjakan ibadah haji di kota suci Makkah beberapa hari yang lepas. Hati ini terasa sungguh gembira tak tergambar. Kami mengecapi sesuatu yang cukup bebeza sepanjang berada  di bumi penuh barakah itu.

Semoga Allah mengurniakan kami dan seluruh para hujjah baitiLlah al haram tahun ini dengan haji yang mabrur dan diterimaNya sebagai bekal besar menemuiNya nanti.

Terima kasihlah kepada semua sahabat, terutama para penjenguk di blog saya ini yang turut menghulur doa untuk kami semua agar dipermudahkan Allah segala urusan semasa di sana. Hari – hari indah dan sejuk dengan belaian rahmat tuhan itu masih segar terasa di hati ini.

Alangkah hebatnya hadiah tuhan kepada hambaNya dengan kefardhuan mengerjakan haji di Makkah al Mukarramah.

Haji adalah rukun Islam. Ia adalah binaan teras kepada sebuah istana di dada kita yang mesti disempurnakan binaannya sebaik – baiknya. Tak kiralah di masa muda atau tua, apabila masanya tiba, kefardhuan itu telah tertulis, kita mestilah melangkah ke arah menyempurnakannya. Sempurna istana di dada ini, sempurnalah istana kita di syurgaNya nanti.

Haji berbeza daripada rukun – rukunIslam yang lain dalam banyak hal dan segi. Yang besarnya adalah ia memerlukan kos dan persiapan paling banyak. Kemudian ia adalah kefardhuan yang paling sukar dan memenatkan. Ia juga paling menagih pengorbanan dan kesabaran. 

Itu cukup meresahkan rasa kikir di jiwa untuk melaksanakannya. Tetapi, dalam hanya beberapa hari kita melaluinya yang bermula dari hari tarwiyyah pada 8 Zulhijjah sehingga hari tasyriq terakhir pada 13 Zulhijjah, atau kemuncaknya ( pelaksanaan rukun haji ) pada 9 dan 10 Zulhijjah, iaitu pada hari wuquf di Arafah dan hari Haji Akbar keesokannya, segala rasa kikir dengan hijab duniawi itu bertukar menjadi keindahan yang sukar digambarkan. Tirai hijab diangkat sehingga jiwa ini terasa dekat dengan tuhan, terasa dekat dengan hari di mana kita pasti dikerah dan dihambat untuk menemuiNya di hari pembalasan agung tuhan nanti.

Haji adalah hari manusia dihidangkan dengan pelbagai manfaat duniawi dan ukhrawi, kemudian ia memuncak dengan zikir mengingati Allah di setiap detik di tanah haram itu. Jika kita memerhatikan segala bentuk pelaksanaan manasik haji itu, kita hampir pasti meyakini bahawa diam dan berfikir adalah ibadah yang hebat!

Samada anda memilih untuk diam sahaja ketika bertawaf mengelilingi kaabah, atau bersa’ie antara bukit Safa dan Marwah, atau duduk berteleku sendirian melihat kaabah tuhan dan maqam Ibrahim di sisinya, atau kita sekadar berlopongan memerhati ‘manusia’ dan ragamnya, semua itu meluluhkan hati anda bagai dipancur dengan semburan basah rahmahNya, lalu anda tak tertahan menahan air mata daripada mengalir membasahi kulit yang kering kontang dengan dosa dan noda kehidupan. Apabila lidah anda tergerak melantunkan kalimat ‘Allah’ dalam kedalaman makna memahami erti kehambaan dan ketuhanan, hilanglah hiruk pikiuk manusia di sekeliling. Anda memilih untuk tidak malu lagi menangis di hadapan tuhan seolah – olah anda di saat itu adalah anda dan tuhan anda. 

Saya menikmati sekelumit saat – saat seperti itu. Saya yakin ia dinikmati oleh semua para hujjah yang dipilihNya. Kalaulah persediaan iman saya adalah lebih baik, pastinya saya akan lebih menikmatinya sebagaimana orang – orang besar Allah yang dipilih dan dikhususkanNya didunia ini.

Allahu akbar wa liLlahil hamd.

Tuhanku, dengan kayanya Engkau daripadaku dan dengan faqirnya diriku kepadaMu, ampunilah dosaku..

Setiap kefardhuan adalah penuh hikmah. Ia tersendiri dengan pelbagai hikmah. Setiap kita dibuka tirai menikmatinya mengikut kesiapan kita sendiri.

Kayakanlah diri anda dengan kekuatan dan kemampuan sehingga seruan nabi Ibrahim itu menusuk ke telinga dan jantung anda. Saat itu, anda akan berkata benar, labbaikaLlahumma labbaik..

Saya ingin lagi menulis.. Tetapi jari ini sudah penat dek lama berehat. Ia berkata, orang pun tak nak baca yang panjang – panjang. Betul juga auta jari ini.. 

****

Soalan: Tahukah anda amalan terbaik di Malaysia hari ini?

Jawaban: Bergerak ke Kuala Terengganu. ALLAHU AKBAR!

Salam Ramadhan,

Kewajiban semasa kita di bulan Ramadhan ini selain ibadah puasa adalah zakat fitrah. Ia diwajibkan ke atas setiap muslim, samada lelaki atau perempuan, kecil atau besar, merdeka atau hamba, kaya atau miskin. Ia zakat kepala ( individu ) dan bukan zakat harta yang mensyaratkan cukup nisab.

Zakat fitrah wajib ke atas setiap insan muslim yang hidup saat tenggelamnya matahari akhir hari bulan Ramadhan, memasuki bulan Syawal ( malam hari raya ). Ketua keluarga mestilah melaksanakannya atas diri dan anak buah di bawah tanggungannya. Terkecuali adalah si fakir yang tidak mampu menyediakan makanan untuk dirinya sendiri pada hari raya tersebut.  

Ia mesti dilaksanakan bermula malam raya sehinggalah sebelum solat Hari Raya eidil Fitri keesokannya. Ia harus juga dilaksanakan lebih awal sepanjang bulan Ramadhan. Melaksanakannya selepas solat raya akan menghilangkan pahala dan keberkatan zakat fitrah. Melewatkan pelaksanaannya sehingga terbenam matahari hari lebaran itu adalah berdosa. Zakat fitrah tidak akan luput sehinggalah ianya dilaksanakan.

Kadar zakat adalah segantang makanan asasi setempat ( seperti beras ) atau senilainya dengan wang. Oleh kerana keperluan hari raya orang faqir miskin adalah pelbagai sepertilah kita, maka sesetengah ulama hari ini melihat melaksanakannya dengan nilai wang adalah lebih baik.

RasuluLlah menetapkan kewajiban dengan timbangan makanan atas dua faktor ( menurut ulamak ): Pertama, masa itu matawang adalah sukar dan bukan medium utama jual beli masyarakat Arab. Kedua, Nilai wang tidak tetap. Ia mungkin berbeza – beza mengikut masa, tempat dan suasana, sedangkan timbangan makanan adalah tetap. Secupak hari itu mengeyangkan sejumlah yang sama hari ini.

Hikmat diwajibkan zakat fitrah:

Hadis riwayat Abu Daud daripada Ibni Abbas radiaLlahu anhu, dia berkata: RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam telah memfardhukan zakat fitrah sempena bulan Ramadhan demi penyucian terhadap orang yang berpuasa di atas perbuatan lalai dan buruk yang dilakukan sepanjang puasa, juga demi memberi makan kepada golongan miskin. Barang siapa menunaikankannya sebelum solat ( Eidil Fitri ), maka ia adalah zakat yang maqbul. Barang siapa yang menunaikannya selepas itu, maka ia adalah sedekah ( tiada lagi pahala zakat fitrah walaupun terlaksana kewajiban itu ).

Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi berkata:

Sesungguhnya orang yang berpuasa tidak boleh lari daripada mencampur adukkan puasanya dengan perkara – perkara yang lalai dan buruk seperti perbualan kosong dan bohong yang dia ucapkan atau dengarinya, atau melihat pada perkara yang tidak diharuskan untuknya, atau lain – lain seumpamanya.

Allah taala pula menghendaki agar orang yang berpuasa itu hidup dalam keadaan yang bersih sekali. Tiada lalai dan tiada dosa. Dia menghendaki sebuah kehidupan di bulan Ramadhan seolah – olah sebuah kehidupan di syurga yang disegerakan untuk manusia di dunia ini. Apabila dihina atau diperangi, maka dia tidak boleh membalas cercaan dengan cercaan juga, atau keburukan dengan keburukan, bahkan hendaklah dia membalas keburukan itu dengan kebaikan dan dia berkata, ” Sesungguhnya saya tengah berpuasa. Sesungguhnya saya tengah berpuasa.”

Inilah dia kehidupan orang yang berpuasa dengan puasanya. Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum. Bahkan ia menahan diri daripada kelalaian dan keburukan, kebisingan dan kejahilan, kebodohan dan kenistaan, kepalsuan dan kebatilan.

Inilah yang Allah tuntut daripada mereka yang berpuasa. Tetapi, siapakah antara kita yang berpuasa yang mampu sampai ke martabat tersebut? 

Sesungguhnya orang yang berpuasa selalu sahaja bercakap lalai dan acap kali dia bercakap nista dan bodoh. Justeru datanglah kefardhuan zakat fitrah di hujung Ramadhan demi membersihkan orang yang berpuasa daripada kemungkinan apa yang akan mengeruhkan kejernihan dan campur baur puasanya itu dengan kekotoran tadi.    

Telah diriwayatkan dalam satu hadis: ” Puasa di bulan Ramadhan itu tergantung di antara langit dan bumi, tidak diangkat ke langit kecuali ditunaikan zakat fitrah.”

Maksud tergantung itu adalah bahawa penerimaan Allah terhadap puasa itu tidak sempurna. Ia tidak sempurna sehinggalah dilaksanakan zakat fitrah tersebut. Dari satu sudut ia membersihkan orang yang berpuasa dan dari sudut yang lain ia memberi kenyang kepada golongan miskin.

RasuluLlah telah bersabda dalam hadis yang lain, ” Cukupkan mereka daripada meminta – minta pada hari raya tersebut.” Jangan dibiarkan si miskin walau seteruk mana faqirnya, sebesar mana keperluannya untuk menghulurkan tangannya meminta – minta pada hari lebaran, hari kegembiraan dan keseronokan.

Wajib ke atas kaum muslimin untuk turut menyertakan golongan miskin bersama – sama bergembira di hari raya tersebut. Justeru zakat fitrah diwajibkan. Ia memberikan golongan faqir sebelum mereka meminta, sebelum dia menjatuhkan air mukanya dan sebelum dia menghulurkan tangannya ( sumber: laman web www.qaradawi.net. )

Islam agama persaudaraan:

Allah suka mengembirakan kita dengan pengampunanNya ke atas kesalahan dan kekurangan yang kita lakukan sepanjang ibadah di bulan mulia ini. Justeru kita dituntut untuk mengembirakan fakir miskin dengan menampung kekurangan mereka demi kegembiraan bersama di hari lebaran.

Apabila anda melihat kewajiban dan hikmat pensyariatan zakat fitrah di atas, jelas sekali untuk kita memahami bahawa Islam adalah ugama persaudaraan antara manusia. Ia telah sedia lama wujud sebelum datangnya seruan – seruan dan slogan – slogan yag sama daripada barat atau timur hari ini.

Ini, apatah anda akan terus meneroka kehebatan Islam berbicara pasal kesamaan dan pembelaan terhadap golongan marhain di bawah dalam setiap serunya. Mereka adalah seperti kita jua.

Jadi, mengapa harus kita memperkecilkan ugama sendiri dengan mendewakan ketinggian ideologi munusiawi yang penuh kepincanagan untuk menyusun cara hidup kita?  

Salam Ramadhan,

Semasa saya mengunjungi ayahanda di hospital untuk memberitakan pemergian saya ke Mesir sebelum bulan Ramadhan baru – baru ini, saya sempat juga menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa orang pelawat yang lain. Sangat biasa saya hanya menjadi pendengar yang tekun sahaja dan jarang mencelah kecuali apabila perlu, saat ayahanda berpaling ke arah saya seperti meminta pandangan daripada saya.

Apabila saya memberi pandangan di hadapannya, saya agak terlalu merendahkan suara sehingga saya sendiri rasa terkilan, bimbang ayahanda gagal memahami maksud saya. Ia mungkin suatu yang negatif dan dilihat tidak memberi manfaat apa – apa. Tetapi, sepanjang dididik sedari kecil di bawah tarbiyah Islamiyah, samada di rumah atau di sekolah, saya mendapatinya sebagai suatu terjemahan kepada adab – adab Islamiyah yang tinggi.

Ia bagi saya adalah penghayatan kepada sebuah kehidupan yang penuh sopan dan teladan yang dianjurkan Islam. Adab dan akhlak mulia adalah isi penting pengajaran dan kehidupan Islamiyah.

Pertama, saya kena memuliakannya sebagai seorang bapa. Ibu dan bapa adalah syarat memasuki ridha dan syurga tuhan. Ia menyentap nikmat perjuangan dan kehidupan jika dialpakan dan dipinggiri kepentingannya. Ayah dan ibu bukan untuk dipohon ampun dan dipeluk cium hanya di pagi raya, bahkan setiap pagi adalah hari raya untuk mereka daripada kita anak – anak. Kita perlu membahagiakan mereka di hadapan dan di belakang mereka. Biar kita menjadi syurga mereka di dunia ini sebelum mereka menjadi syurga kita.

Ibu bapa mana tidak gembira melihat kita tergagap – gagap rentak kita di hadapannya semata – mata kerana ingin menghormati, beradab dan menjaga tata santun kita di depannya. Biar mereka menikmati kita hari ini sebagaimana mereka menikmati kita semasa mereka mendidik kita semasa kecil dahulu. Perhatilah, merekakan terhibur melihat gelagat dan ngomelan cucu – cucu mereka, anak – anak kita itu. Biar sifat keanakan itu masih menjadi pakaian rasmi kita di hadapan mereka, biar besar mana nama kita di sisi masyarakat di luar sana.

Kedua, saya kena memuliakannya sebagai seorang ulama. Ayahanda adalah tok guru di sisi masyarakat. Ia terus memuncak sehingga masyarakat menobatkannya sebagai seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri Islam. Kesultanan pula memuliakan penghormatan rakyat ke atasnya dengan menganugerahkannya pula gelaran kebesaran istana. Panjangnya nama ayahanda, Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin ( Tuan Guru ) Haji Nik Mat ( Alim ). 

Jika semua masyarakat berebut – rebut untuk memuliakannya, maka mestilah saya kena merebutinya di tempat yang pertama. Dia ayah saya sebelum dia adalah tok guru saya dan semua. Saya mesti memenangi perlumbaan ini di tempat yang pertama.

Ulama besar sungguh di sisi Islam. Ia menjadi besar kerana tiada lagi nabi hari ini. Tiada lagi utusan langsung dari langit atas sebagaimana zaman dahulu kala sebelum kedatangan rasul akhir zaman sallaLlahu alaihi wasallam. Zaman mana ada nabi, tiadalah ulama menjadi besar sebagaimana hari ini yang tiada lagi nabi.

Ulama itu pewaris para nabi. Nabi mewarisi ilmu langit. Kadar mana ilmu itu diwarisi ulama, kadar itulah darjat ulama menjadi tinggi. Oleh kerana nabi kita begitu diangkat ketinggiannya, maka para ulama pewaris pun turut mewarisi dan menerima tempias ketinggian itu. Ulama dijulang kerana nabi dijulang. Ulama dipalang pun kerana nabi dipalang jua.

Ulama mewarisi ilmu dan perjuangan para nabi. Bebanan ulama tak sama dengan bebanan kita orang biasa. Mereka mesti menjaga ugama. Mereka mesti menjaga dakwah. Mereka kena menarik kemaslahatan kepada ummah dan menolak kemudharatan daripada mereka.

Begitu ugama ini dijaga daripada kebatilan dan kerosakan. Ia mesti kekal sebagai ugama suci untuk dianuti jiwa yang mahukan kesucian di dunia ini.

Allahlah yang menjaga ugama ini. Ia mengarahkan malaikat Jibril memeliharanya sehingga terus diwahyukan dan diperolehi al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Kemudian baton penjagaan itu dipegang oleh Nabi Muhammad sehinggalah kewafatannya. Kemudian ia diserahkan kepada para sahabat sebagai ulama dan pewaris pertama ugama ini. Mereka adalah para tuan guru pertama umat Muhammad sebelum kita.

Di sini berlaku lompang yang memisahkan antara dua rasul tuhan ( Jibril dan Muhammad ) dengan para sahabat ( ulama pertama ). Yang pertama disucikan daripada dosa dan kesalahan, sedang yang kedua kekal berhadapan dosa dan kesalahan.

Bagaimana agama ini dijaga oleh para pewaris yang tidak mewarisi kesucian dan ismah ( maksum )? Tidakkah ini mengakibatkan ugama juga akan terdedah kepada pemalsuan dan pemunahan?

Ia adalah persoalan yang besar dan pasti mencetus fitnah. Tetapi Allah yang maha bijaksana lebih mendahului persoalan itu dengan jawaban yang telah pun siap siaga disediakan.

Nabi Muhammad diarah untuk meladeni para sahabat yang akan mewarisi ugama ini daripadanya dengan menjadikan mereka ahli mesyuaratnya. Siapalah para sahabat yang penuh kekurangan untuk diambil timbang pandangan mereka di hadapan ar Rasul yang penuh maksum? Tidakkah cukup sudah segala jawaban jika ianya datang walaupun hanya dari seorang seperti ar Rasul? Apalah gunanya lagi pandangan para sahabat?

Namun begitulah Allah mempersiapkan jawaban buat mengisi kelompangan besar antara kedua – duanya. Betul, al Rasul cukup dengan wahyu dan Allah di sisinya untuk menjaga ugama tanpa pandangan dan jawaban para sahabat, tetapi begitulah amalan syura dihidupkan seawal zaman nabi masih di persada kehidupan buat memahamkan kita bahawa syura ulama adalah pewaris ugama ini.

Seorang nabi tidak diwarisi oleh seorang ulama. Seorang Muhammad yang menjaga ugama itu diwarisi ilmu ugama dan perjuangannya oleh sejumlah ulama yang membentuk syura yang muktabar.

Jumlah yang ramai itulah yang menjadi penyelamat sepanjang zaman kepada perjalananan ugama suci ini untuk terus kekal suci sampai kiamat.

Syura mesti daripada ulama yang mewarisi ilmu al Quran. Ia mesti dipilih oleh para ulama daripada kalangan mereka atau dengan keputusan mereka. Demikian ugama ini menjadi kebal untuk dibolosi anasir – anasir yang akan mencacatkan dan mengotorkan agama suci ini.

Agama bukan milik Ibnu Taimiyah atau Hasan al Banna atau Yusuf al Qaradhawi atau individu mana pun. Juga, ia bukan milik Abdul Aziz, atau Abdul Hadi atau Harun Din atau individu mana pun. Ia milik syura yang dikebalkan Allah dengan kekebalanNya. Himpunan ulama mencipta Ijma’ ulama. Ijma’ ulama adalah sumber ugama selepas Al Quran dan al Hadis. Begitu kita mesti memahamkan diri.

Betul, setiap ulama adalah bintang yang bercahaya. Anda menikmatinya saat langit malam itu cerah, aman dan sejahtera. Namun, apabila awan mula menggulung – gulung dan petir memanah – manah, anda kehilangan petunjuk bintang itu.

Begitulah, anda kehilangan individu ulama itu saat fitnah menyerang umat. Anda memerlukan petunjuk yang lebih jelas dan tepat. Itulah syura ulama yang pasti menunjuki.

Semasa saya menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa pelawat lain di wad Hospital Pakar Perdana itu, seorang exco negeri memberitahu ayahanda bahawa semacam ada usaha untuk menukarkan kepimpinan ulama di dalam PAS dengan kepimpinan Islam. Ia merujuk kepada beberapa isu dalaman yang melanda PAS saat itu. Juga hari ini?

Ayahanda dengan wajah cerianya mencelah, ” Bagaimana mereka boleh memisahkan antara kepimpinan Islam dengan kepimpinan ulama?”

Anda tak rasa hebatkah dengan jawaban ayahanda ini? Jika begitu, anda betul – betul anak murid yang nakal! Atau beballah..

Saya terbawa – bawa hikmah ini sehingga mensyarahkannya kepada adik – adik seperjuangan di bumi Mesir. Dan sehingga sekarang saya akan menghidupkan hikmah ini.

Jika anda seorang doktor, anda diamanahkan menjaga kesihatan tubuh. Jika anda seorang arkitek dan engineer, anda diamanahkan menjaga kesihatan bangunan. Jika anda seorang ekonomis, jagalah kesihatan kocek.

Jika anda bukan seorang ulama, janganlah anda melangkah ulama untuk menjaga ugama dan dakwah ini. Kelak anda marah jika anda digelar anak tak beradab atau murid yang nakal.

Kita dalam PAS jangan jadi budak – budak nakal. Malu kita..

Salam Ramadhan,

Awal bulan Ramadhan ini, ayahanda memberi sebuah nilai yang cukup dalam sekali di dalam kuliah Ramadhannya. Ia melekat di jiwa saya sehingga saya langsung menjadikannya tema tazkirah yang saya masih tidak mahu meninggalkannya hingga ke saat ini ketika kita melangkah memasuki pertengahan Ramadhan.

Hikmat itu berbunyi, ini bulan Ramadhan, bukan bulan puasa.

Masyarakat kita memanggilnya bulan puasa. Hakikatnya, ia telah mengurangkan kekuatan penghayatan terhadap bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan sekadar bulan puasa, bahkan ia adalah bulan yang penuh kelebihan yang sungguh gilang gemilang. Jadi, serulah ia dengan dengan nama bulan Ramadan, bukan bulan puasa.

Mari kita sejenak mengenal tuah dikunjungi bulan yang penuh berkat ini.

Bulan Ramadhan dipilih untuk umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam secara khusus. Sebelumnya, umat terdahulu mengenal kelebihan hanyalah milik bulan – bulan yang haram ( kemuliaan ) iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab ( lihat at Taubah: 36). Allah memuliakan bulan – bulan ini semenjak diciptakan langit dan bumi, lantas ia dikenali dan dijaga kemuliaannya oleh para nabi dan umat – umat terdahulu.

Tiada bulan Ramadhan yang dikenali kebesarannya sehinggalah perutusan junjungan besar al Rasul agung kita. Allah mengangkatnya dengan kedatangannya ke muka bumi di akhir zaman ini.

Ia bukanlah kerana kelahiran baginda adalah di bulan Ramadhan, atau kerana apa – apa kejadian bumi – bumian yang mungkin dijulang sejarah dan kebesarannya. Tidak, bahkan ia adalah kerana berlakunya satu kejadian gilang – gemilang di lapis langit atas. Ia adalah kejadian di alam ghaib yang kesannya adalah pencahayaan seluruh alam dunia yang kelam dan gelap. Kerananya dunia ini kembali brcahaya setelah lama kegelapan yang hampir membunuh kemanusiaan dan kehidupan.

Pada bulan Ramadhan al Quran diturunkan ( lihat al Baqarah: 185 ). Ia berlaku pada salah satu malamnya yang penuh gemilang. Allah menamakannya bulan yang penuh barakah ( Lailatim mubarakah. Rujuk ad Dukhaan:3 ) dan bulan yang penuh kemuliaan dan ketinggian ( Lailatul Qadr. Rujuk al Qadr:1 ).

Ia adalah beberapa ayat daripada wahyu pertama yang diturunkan kepada RasuliLlah sallaLlahu alaihi wasallam yang dibawa oleh Jibril alaihis salam di gua Hira’. Bumi diliputi cahayaNya dan Muhammad itu pun bergelar ar Rasul, utusan akhir Allah di muka bumi.

Atau, ia adalah kejadian ghaib yang diceritakan gambarannya secara hebat. Al Quran adalah kalam Allah yang induk. Ia tersimpan lama di Lauh Mahfuz, di Ummil Kitab di lapis langit ketujuh. Saatnya ar Rasul dipersiapkan untuk diutuskan ke muka bumi, Allah dengan hikmatNya yang maha agung mengarahkan perkenan turunnya Al Quran sekaligus 30 juzuk ke lapis langit dunia sebagai persiapan terakhir sebelum diturunkan kepada rasulNya secara berperingkat – peringkat ke dunia selama 23 tahun.

Justeru ia malam penuh keagungan. Bertolak daripada keagungan itu, Allah menjadikannya untuk diingati setiap tahun. Para malaikat diarah turun berbondongan mera’ikannya diketuai ar Ruh ( Jibril alaihis salam ). Ia malam dihuraikan, diputuskan dan ditentukan segala perkara yang besar – besar. Ia malam ditulis dan ditentukan kejadian dalam setahun, menepati segala yang tertulis lama di azali KitabNya yang pertama. Ia malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Allah menghendaki al Quran disyukuri kedatangannya oleh umat Muhammad. Ia nikmat yang tiada lagi yang lebih besar daripadanya. Tanpanya dunia ini adalah kecelakaan. Segala nikmat adalah celaka tanpanya. Harta, wanita, anak buah, pangkat, kedudukan dan segala kenikmatan adalah putus dan abtar. Ia berakhir dengan ajal yang menunggu. Ia kosong sebaik bertandang ke lubang kubur.

Hanya al Quran yang memberkati. Dengannya kekayaan dan kenikmatan menjadi bertambah dan melimpah ruah di lubang kubur dan di hari akhirat. Al Quran memberkati kehidupan dengan isinya yang penuh nilai dan padat. Ia menunjuki kerana ia adalah petunjuk. Ia menjelaskan kerana ia penuh dengan keterangan – keterangan dan kata putus. Al Quran adalah jawaban yang menjawab kehidupan yang penuh persoalan, tekaan, kebuntuan, kekeliruan dan kepenatan. Ia mencetus rasa sejuk dan nyaman. Ia menjadikan kehidupan penuh bahagia, sopan dan teladan.

Bersyukurlah dengan kedatangan al Kitab yang maha agung ini.

Bagaimana kita mensyukurinya? Adakah dengan membaca al Quran banyak – banyak? Atau mendirikan solat yang panjang – panjang bacaannya? Atau bersedekah dengan segala nikmat yang dikurniakan daripada harta, tenaga, ilmu dan segala – galanya? Ya, tetapi Allah maha berhikmah untuk memilih yang lebih baik daripada itu semua. Ia menetapkan satu ibadah khusus yang penuh hikmat dan kebesaran.

Dia berfirman: ” Maka barang siapa yang menyaksikan kedatangan ( anak bulan ) Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa.” Syukurilah kedatangan al Quran dengan melakukan ibadah puasa. Berlaparlah kamu di siang hari. Kekangi dirimu daripada berlaku dosa sepanjang hari di bulan Ramadhan. Sempurnakan puasamu 30 hari dan bertakbirlah kamu di malam kamu melihat kedatangan Syawal.

Apa kaitan al Quran dengan puasa? Tidakkah lapar itu meletihkan? Tidakkah membaca al Quran dalam keletihan adalah tidak mengkhusyu’kan? Tidakkah…

Ya, manusia sukar mengetahui dan menikmati hikmat berpuasa sehinggalah mereka mengerti hakikat diri sendiri ( meminjam kata Syeikh Yusuf al Qaradhawi ).

Mari memerhatikan dua perkara:

Pertama, al Quran diturunkan sebagai petunjuk untuk seluruh manusia ( hudan linnaas. Lihat al Baqarah: 185 ). Ia seperti turunnya hujan untuk dinikmati seluruh makhluk. Tiada manusia tidak mengerti hujan. Tetapi hampir semua manusia tidak mengerti al Quran dan wahyu. Mereka mengkhianati al Quran saat mereka menikmati hujan.   

Justeru siapakah yang menikmati al Quran? Allah mempertegaskan satu golongan manusia yang mengambil al Quran sebagai petunjuk. Mereka adalah golongan yang bertaqwa kepadaNya ( hudan lil muttaqiin. Lihat al Baqarah:2 ).

Al Quran hanya milik golongan bertaqwa. Al Quran menggamit dan memburu golongan yang hatinya berdenyut dengan rasa takut, gerun, yakin, cinta, mengharap dan bertawakkal kepada Allah.

Syukurilah al Quran dengan mengisi dadamu dengan taqwa.

Taqwa itu sukar. Tiada jalan pintas menuju taqwa. Ia adalah istiqamah dan sabar untuk memperolehinya. Sukar, tetapi Allah tidak menghendaki kesukaran buat hambaNya. Allah menghendaki kemudahan untuk hambaNya. Taqwa itu sukar, tetapi Allah mempermudahkannya.

Berpuasalah. Anda akan menikmati rasa taqwa di dada ( Lihat al Baqarah: 183 ). Berpuasalah 30 hari sepanjang bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap daripadaNya. Kecapilah rasa taqwa.

Tiba – tiba al Quran mendatangi anda. Dia mencintai anda dan anda mencintainya.

Ramadhan adalah bulan al Quran sebelum ianya adalah bulan puasa. Ia mahal kerananya, bukan kerana puasa. Puasa hanyalah kenderaan menuju taqwa yang didamba al Quran.

Kedua, manusia berharga kerana unsur ruhnya. Dengannya ia terbang meninggi ke langit meninggalkan segala mahluk di bumi. Ia mencari kebahagiaan abadi di sisi tuhannya. Itulah keadaan mereka yang memahami.

Tetapi manusia sentiasa gagal memahami. Ia merajakan unsur tanah dalam penciptaannya. Ia melupai ruhnya. Lantas manusia menjadi seperti babi menyondol bumi mencari kekenyangan perut dan nafsu. Ia terpenjara di dalam bekas yang membaluti ruh samawinya. Justeru bagaimanakah menyedarkan diri dengan perlakuan kebinatangan ini?   

Allah memberi jawaban terbaik. Kekanglah nafsumu dengan berpuasa. Nafsumu akan menjadi lemah dan letih. Ia menjadi longlai dalam ikatan kejapnya memenjara dirimu. Saat itu ruh menjadi gagah untuk mendongak keluar membawamu ke alam tinggi melepasi lumpur duniawi tempat nafsumu berkubang dan menggelomor.

Dengan berpuasa, anda sedang mensyukuri Allah yang menurunkan al Quran dengan sebaik – baik cara.

Sekarang anda sudah memahami kaitan di antara Ramadhan, al Quran, taqwa dan puasa. Selamat menghayati bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Semoga Allah menunjuki kita sepanjang masa.

( Untuk bersama menikmati Ramadhan di QARYAH RAMADHAN di Kota Bharu, sila ke http://pemudapc.blogspot.com/ )

Salam Kamunting,

“Hidangkanku secangkir kopi panas.” Begitu isteri saya memahami bahasa hati saya apakala saya memintanya secawan kopi. Ia mesti panas sepanasya.

Bila ia dihidangkan sempurna di atas meja tempat saya membaca, atau menulis, atau mungkin nanti saat saya menonton pasukan premier leaugue saya, Newcastle United menentang Manchester United Ogos ini, jemari saya akan menyentuh perlahan cawan itu dan merasai keperitan panasnya. Jika panas, ia segera menyelinap ke dalam diri menerpa selera di lubuk dalam lalu membukanya. Sebelum lidah bertarung mengurai kepanasan air kopi itu, diri saya telah pun menikmatinya dengan rasa segar membangkit selera.

Jika tidak, saya akan memanggil isteri saya kembali. Bila dia berpusing balik, saya mencebik dan menyengetkan kepala saya. Dia mengetap bibir dan mendengus kemarahan, kadang – kadang melepaskan senjata perempuannya, membebel – bebel entah apa. Ah, saya menikmati telatah seorang isteri yang solehah. Marah itu bukan benci. Marah itu tanda sayang. Marah reda beriring keredhaan. Redha datang bila faham. Isteri saya cukup memahami saya.

Kopi tak panas itu jadi habuannya. Kebetulan ratu permaisuri saya ni suka minum kopi suam. Marah pun reda dan saya menikmati tegukan akhir kopi panas sepanasnya itu pada suhunya yang sudah suam atau langsung dah sejuk.

Aku harap Newcastle aku tak kalah pada Manchester pada perlawanan pembukaan nanti. Aku minat Owen budak baik itu. Sumbat Owen, jangan tak sumbat.

Tetapi sesetengah manusia tak memahami saya.

Bila saya kemukakan nas dan sirah serta praktikal gerakan Islam menghadamkan politik damai dalam perjuangan menuju keredhaanNya, teman yang menghujah saya itu membalas, yalah, nas itu satu hal. Tapi UMNO ni bla bla bla. Taring kemarahan saya segera menyeringai. Kalau tidak kerana saya cepat memacak tanda bodoh jahil di atas kepalanya, pasti saya ketuk kepalanya dengan cawan kopi panas di depan saya lalu berkata, ” Bodoh lebih baik daripada degil. Kamu ni degil.” Kawan saya ini hanya jahil.

Bolehkah anda menghujah nas dengan perkiraan dan jenis strategi bebal otak anda? Saya bacakan nas dan menghurainya, anda pun berkata, “Yang Allah kata tu ye lah. Tapi bla bla bala..”  Apa kita diajar beradab begitu di depan Allah? Lihat al Hujurat:1-2.

Hujah nas mesti didepani nas juga. Samada anda datangkan nas lain atau anda mentafsir nas yang sama dalam kerangka ilmu tafsir dan takwil yang dibenarkan. Anda tak boleh menolaknya dengan hujah bengal bingal otak anda. Salah, lemah dan tak beradab namanya di sisi agama.     

Jangan jadi sesat seperti segolongan manusia yang melayan ayat al Quran yang memuji kebesaran para sahabat ar Rasul sallaLlhu alaihi wasallam dengan tafsiran dan takwilan sesat demi semata – mata nak menegakkan bahawa kebenaran dan kebesaran hanya milik Ali karramaLlahu wajhahu dan ahlil Bait sahaja, bukan untuk seluruh para sahabat.

Allah menyuruh kita berdamai bila musuh miring untuk berdamai. Abaikan dulu soal tipu daya. Allah bersama kita menolong kita. Jika Pak Lah nak tipu, tipulah. Allah takkan bersama Pak Lah pun. Apa takut? Bila Pak Lah tipu, Allah tipu Pak Lah. Tipah tertipu, Pak Lah lagi tertipu.

Berdamai! Kamu takut? Allah bersama. Dia tunjukkan jalan untuk mengelak daripada ditipu atau, jika Dia benarkan tipu daya berlaku, Dia sendiri ambil risiko tipu daripada kita. Bila dia ambil, sekali lipat Allah pukul balik musuh yang menipu.

Allah tidak membebankan kita dengan risiko rugi ditipu. Allah bebankan kita dengan keberanian untuk berdamai.

Ingat, berani untuk berdamai!

Sesetengah anda takut untuk berdamai. Allah telah menjawabnya. Anda mesti berani untuk berdamai. Allah mahu dan sukakan perdamaian.

Muzakarah itu damai. Muqabalah itu damai. Ia berbeza pada bezanya dan ia sama pada samanya.

Anda melihat balah dua ulama pada sisi pandang balah PAS-UMNO. Ah, langit dan bumi antara keduanya. Mereka menjunjung al Quran sedang yang satu lagi, satunya menjunjung, satu lagi memijak! Samakah?

Sekarang, ayahanda telah kata, tiada beza antara kami. Pertemuan dibenarkan.. Ya, mereka orang politik. Takkan nak bincang matematik. Mereka bincang politik. Politik itu kehidupan. Politik itu dunia dan akhirat.

Sesetengah anda merancang untuk berhimpun di pejabat agung menyatakan sokongan pada tok guru. Apa, kamu ingat menyayangi tok guru adalah dengan membenci tok guru yang lain. Kamu ingat menyayangi Ali adalah dengan membenci Umar. Bodoh..

Perang berjalan, manakala damai, berikan jalan untuknya.

Isteriku, hidangkanku secangkir kopi panas. Aku mahu terus berperang. Damai itu hanya rehat mengesat hanyir darah yang mengalir..

Salam Kamunting,

Ramai datang bertanya saya mengenai rundingan PAS-UMNO. Saya jadi laku untuk disoal sebab saya sendiri telah menulis di laman ini mengenainya. Saya menyokong, sedang yang bertanya itu pelbagai. Ada yang datang bertanya sambil membawa kalungan tahniah, ada yang membawa selambak kekeliruan dan yang betul – betul berang dan marah, belum datang lagi walaupun ada yang memang betul – betul berang dan marah dengan tulisan saya.

Bila saya jawab, harapan saya ia menenangkan mereka. Itulah harapan daripada sebuah jawaban. Tapi, siapalah saya untuk menenangkan semua, sedang persoalannya adalah besar. Ia isu terbaru politik semasa walaupun ia bukanlah baru dalam politik Malaysia, apatah politik Islam.

Saya rasa elok untuk dikongsi beberapa persoalan dan jawaban yang merungkai.

1) Bila Islam akan berdaulat di Malaysia dan bagaimana?

Jawaban saya: Bila itu janji Allah. Bila Allah berjanji maka janjiNya adalah benar dan dekat. Dunia ini terlalu dekat dan akhirat itu tidak jauh. Cukuplah bagi seorang mukmin itu sebuah keyakinan yang terpaku di hatinya. Keyakinanlah asas segala pergerakan dan natijahnya.

Bagaimana? Ia berlaku dengan sunnah Allah dan jadualNya. Islam itu milikNya dan kita hanya menikmati perjalanannya. Apabila Allah menghendaki, dijadikan hambaNya yang beriman itu tersedia dengan kekuatan yang cukup, kualiti dan kuantiti, lalu tercetuslah kemenangan yang di nanti.

Kualiti itu mendahului. Ia bermaksud taqwa, ikhlas dan menjadikan ar Rasul sebagai ikutan ( mutaba’at ul Rasul ). Kemudiannya adalah kuantiti. Dihijrahkan ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam demi menyempurnakan tuntutan bilangan yang diperlukan untuk sebuah kemenangan Islam. Dulu satu mampu menewaskan sepuluh. Adapun untuk ummat Nabi akhir zaman, ia memerlukan satu jumlah yang lebih baik ( Rujuk al Anfal:64-65 ).

Bagaimana di Malaysia? Ia sama. Sunnah Allah berjalan. Dalam bicara konteks demokrasi pilihan raya hari ini, Islam akan berdaulat dengan penyempurnaan tuntutan sunnahNya jua.

Kita perlukan undi kualiti. Setiap kita ada satu undi. Tetapi undi seorang ‘Carburator Dung’ untuk PAS tak sama dengan undi seorang tuan guru. Undi tuan guru mengaut ribuan undi pengikutnya. Itulah undi kualiti. Jikalah kita pemilik undi kualiti..

Maka tiadalah jalan untuk perjuangan ini tanpa kehadiran para ulama yang bertaqwa.

Kemudian, kita perlukan undi umat Islam yang ramai. Islam didaulatkan oleh umatnya jua. Tiada dalam sunnah Allah golongan bukan Islam menjadi pendukung kemenangan sebelum umat Islam sendiri. Mereka sekadar membantu. Sesetengah mereka yang dibuka pintu hatinya oleh Allah. Allah memegang hati setiap manusia.

Bangsa Melayulah yang akan memenangkan Islam di Malaysia jika ianya hari ini. Melayu adalah kekuatan Islam. Yang akan memenangkan Islam di Malaysia adalah Melayu PAS, Melayu UMNO dan semua Melayu. Kemudiannya adalah undi muslim bukan Melayu. Undi mereka mungkin lebih berkualiti tetapi bukan pada kuantitinya.

Kemudiannya pula adalah undi bukan Islam. Beberapa individu bukan Islam ( musyrikin ) membantu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam di dalam perjuangan baginda. Di dalam negara kita, akan ada sekelompok bukan Islam yang terpesona dengan Islam dan kecewa dengan sistem lain yang akan membantu Islam. Ramaikah? Mungkin, tetapi ia tak mungkin diimpikan daripada mereka melebihi harapan kepada umat Melayu Islam sendiri.

Gobala mungkin ya, tetapi belum lagi Tian Chua, apatah Xavier Fernandes.

Di Kelantan, Islam tidak menang kecuali sesudah Melayu UMNO dan Melayu atas pagar beralih kepada PAS. Samada mereka mendaftar sebagai ahli PAS atau Allah memaut hati mereka untuk mengundi PAS. Jadilah PAS menang dalam demokrasi berpilihan raya.

Justeru, kemenangan Islam adalah melalui gerakan Islam yang dipimpin ulama ( kualiti ) dengan sokongan bangsa Melayu seramainya.

Jika anda memahami ini, maka anda akan faham mengapa orang UMNO begitu bernilai untuk PAS demi kemenangan Islam.

Jika anda memahami ini, maka anda akan faham bagaimana mendekati UMNO adalah tuntutan yang tidak akan berubah dan pudar.

Jika anda memahami ini, anda akan faham betapa berusaha memecahkan tembok keras UMNO yang memagari dan menutup orangnya daripada didekati adalah tuntutan sepanjang masa.

Jika anda sudah faham, fahamilah bahawa berunding dengan UMNO yang telah membuka pintu itu adalah peluang keemasan untuk memperkenalkan Islam kepada ahli UMNO yang telah lama dikongkong  pemikiran mereka.

Saya mengupas dalam konteks kita di dalam sistem demokrasi hari ini. Allah lebih tahu bila dan bagaimana sebenarnya. 1% adalah usaha, 99% adalah tawakkal. Sekelumit kecil daripada kita. Itupun kerana Allah inginkan untuk kebaikan kita. Seagungnya adalah penyerahan segala daya dan upaya kepada Allah jua. Itulah akidah kita para pejuang.

2) Tidakkah UMNO itu ditakuti kejahatan mereka dan disempadani tipu daya dan makar mereka? Apa lagi yang diharapkan daripada mereka selepas mereka sendiri menetang Islam mendahului DAP sendiri?

Jawaban saya: Ya, sejarah kejahatan UMNO siapa boleh mengubahnya? Tipu daya adalah sebahagian kejahatan. Tetapi, adakah penyelesaiannya adalah dengan hanya menjauhinya? Sedang anda memerlukan orang UMNO untuk didekati. Memanggil dari jauh tidak sama dengan memanggil dari dekat. Dari dekat anda mudah didengari dan mudah dikenali.

Adakah kita ini buruk sehingga dijauhi sesudah dikenali atau kita pasti didampingi sesudah dikenali kebaikan kita?

Kemudian, adakah kita sudah begitu lemah untuk berhadapan tipu daya mereka? Mengaku kalah sentiasa selepas perit ditipu berkali – kali. Adakah kita lemah atau bilakah pula kita akan gagah? Tidakkah kita sendiri yang berkata dan berbangga bahawa kitalah lebih kuat hari ini?

UMNO jahat kerana mereka berkuasa. DAP sudah pun tunjuk belang sebelum mereka berkuasa. Mereka tidak pernah menerima sistem Islam. Hanya wujud beberapa individu yang tampak bersedia menerima. Apa beza dengan UMNO? Anda yakin mereka lebih baik? Yakin? Atau itu hanya satu telahan daripada jutaan. Anda kata UMNO sudah terbukti. Saya kata, DAP sudah terbukti. Adakah anda menunggu bukti sesudah mereka berkuasa?

Kemudian, sudahkah anda membaca dan memahami ayat ini ( al Anfal:61-62 ) sejelasnya sebelum anda bermati – matian bertempik – tempik menolak rundingan dan menganggap bodoh terhadap penerima rundingan ( sebagaimana ucapan seorang pemimpin di PUTIK ) ?

Mari saya tuliskan maksudnya: “Dan jika sekiranya mereka ( musuh ) condong untuk berdamai, maka condonglah kamu kepadanya ( terimalah perdamaian ) dan bertawakkallah kepada Allah. sesungguhnya Dialah tuhan yang maha mendengar dan maha menegtahui. Dan jika mereka mahu menipu dayamu, maka cukuplah Allah untukmu ( sebagai pelindung ). Dialah tuhan yang memperkukuhkan engkau dengan pertolonganNya dan dengan orang – orang yang beriman.”

Lebih cemerlang jika anda memahami bagaimana ayat ini menyusul selepas ayat ke 60 dan disusuli ayat 63. Di situ ada keindahan sungguh. Belajar berilmu dan jangan asyik membodohkan orang. Nanti kamu diperbodohkan.

Ayat di atas mudah difahami maksudnya. Tetapi anda akan lebih jelas jika menelaah tafsirnya. Cari dan baca sendirilah. Saya malas nak tulis panjang – panjang.

Kemudian pula, sudahkah anda meneliti dan fana dengan fiqh perjanjian Hudaibiyah di antara ar Rasul dan kaumnya yang musyrikin di Makkah? Jelaskah di kotak faham anda bagaimana demi perdamaian dan keluhuran, ar Rasul memilih penangguhan 10 tahun ( atas kertas perjanjian ) memasuki Kota Makkah dengan kemenangan daripada memilih kemungkinan kemenangan keesokannya melalui serangan dan libasan pedangnya yang perkasa ke atas kota pembukaan itu?

Cerita panjang Hudaibiyah bacalah sendiri. Ada masa saya akan ulas, insya Allah. Sekarang saya malas.

Kita hanya tahu politik perang dengan UMNO. RasuluLlah tahu berperang dan tahu berdamai dengan UMNO Makkah. Baginda mengajar kita politik.

Adakah anda tak nak belajar politik damai sesudah anda mahir politik perang? Nak tak nak? Hah..?

Atau, jika anda mahu menjenguk ke Palestin hari ini, maka di sana ada pelajaran.

Israel itu zalim dan terzalim. Ia membunuh dan membakar. Antara senjatanya, perjanjian damai. PLO seribu kali terperangkap dalam perdamaian. Kemudian datang HAMAS yang lebih baik sebagai pengganti demi perjuangan yang lebih suci.

Adakah HAMAS berkata, NO for peace with Israel?  Tidakkan? HAMAS terlibat dengan pertemuan, rundingan dan gencatan senjata dengan Yahudi itu. Bezanya, HAMAS lebih sedia dan lebih cemerlang berbanding PLO dan Fatah sebelumnya. HAMAS pun ditipu, tetapi Israel mengaku HAMAS semakin kuat.

Begitu politik damai!

PAS dan HAMAS, pada perjanjian Hudaibiyah itu adalah ikutan yang baik buat semua pejuang Islam.

Saya tidak akan kata PAS pasti bertambah kuat selepas berdamai dengan UMNO. Saya hanya akan kata, PAS mungkin akan bertambah kuat. Pandai – pandailah pemimpin kita bawa diri. Struktur parti PAS gagah untuk membuat keputusan. Saya yakini.

UMNO tidak akan rugi jika PAS kuat. UMNO hanya rugi jika mereka semakin jauh daripada Islam. PAS untuk semua. PAS untuk UMNO dan PAS untuk bukan Islam juga.

3) Bagaimana dengan PKR? Tidakkah kita diangap pengkhianat? Kita pengkhianat rakyat?

Saya yakin PKR tidak akan dipinggirkan. Salah besar jika PAS meminggirkan PKR. Tetapi salah lebih besar jika PKR meminggirkan Islam. Jika PKR meminggirkan kepentingan Islam, PKRlah yang mengkhianati PAS.

Saya hanya tahu bahawa PAS berkerja sama dengan PKR sesudah wujud persefahaman bahawa PKR, jika diberi kuasa bersama, mereka akan memberi ruang lebih selesa untuk Islam dan menyekat usaha – usaha membantutkan laluan kepada Islam. Itulah yang saya tahu dan itulah yang anda kena tahu kerana itulah siasah syar’ieyah pada segala maksudnya ( maqasid ).

Selepas pilihan raya yang menyaksikan segenggam kuasa telah diberi dan PKR diberi mandat untuk terus memburu kuasa, PAS menuntut satu penegasan semula atas jaminan sebelumnya.

Apakah jaminan untuk Islam yang lebih baik jika bersama PKR? UMNO sudah datang dengan tawaran baru yang tidak pernah dicadangkannya sebelum ini. UMNO datang begitu sebab mereka lemah dan mereka mengaku kita kuat hari ini. Saya yakin tawaran UMNO menggiurkan. Di dalamnya ada madu. Di dalamnya ada racun juga.

PAS perlu mengukur pada pengukur Allah. PAS hanya setia pada satu iaitu Islam. Selagi Islam, PAS tidak akan khianat pada rakyat. Ini, kecualilah rakyat lari daripada Islam. Maka jangan kata PAS khianat. Yang khianat ialah rakyat.

Politik tiada hukum selain siasah syar’ieyah. Siasah syar’ieyah bergerak bagai air yang mengalir. Di mana Islam dijunjung, di situlah ia bertakhta.

Jangan hidup dalam teka teki kehidupan. Teka teki membingungkan. Hiduplah pada yang pasti. Tiada yang pasti selain Islam. 

4) Adakah PAS akan bergabung dengan BN?

Dua yang saya tahu dan dua yang saya tak tahu.

Yang saya tahu ialah pertemuan telah berlaku. Mungkinkah akan wujud persefahaman, saya tak tahu.

Yang saya tahu ialah tiada pernah wujud usaha bergabung dengan BN. Ia jauh sekali dari tuntutan siasah syar’iyah hari ini. Mungkinkah ia berlaku, saya tak tahu.

Saya harapkan persefahaman berlaku demi Islam. Saya tak harapkan penggabungan berlaku. Saya tak nampak baiknya berbanding hodohnya.

5) Tidakkah ahli PAS akan marah jika perdamaian PAS – UMNO berlaku? Bagaimana jika rakyat marah, apatah bukan Islam? 

Adakah anda boleh bayangkan ahli PAS akan marah pada pemimpinnya? PAS bergerak dalam kerangka sebuah gerakan Islam. Ia hidup dengan kekuatan sendiri yang tiada dalam parti politik lain. Dengan jaminan seorang ketua dan syura yang ditaati, adalah sukar dibayangkan ahli bangkit melawan.

Marah itu mungkin berlaku. Marah itu tanda sayang. Marah itu akan reda bila datang keredhaan.

Ya, rakyat mungkin marah sesetengahnya. Tapi ia akan diganti dengan yang lain. Rakyat adalah sokongan yang ditagih, tetapi dalam politik ia seperti angin. Ia datang dan ia berlalu. Yang tetap hanyalah daripada yang memahami perjuangan.

Begitulah bukan Islam. Dalam sejarah politik Malaysia, PAS bukan pengkhianat bangsa dan negara, apatah agama.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

November 2014
I S R K J S A
« Jun    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 156 other followers