You are currently browsing the category archive for the ‘syiah’ category.

Salam Kamunting,

Dalam tulisan saya terdahulu pasal ‘kewujudan’ anasir Syiah dalam PAS, saya menyebut dua tiga perkara. Saya tandakan Tanah Melayu kita ini adalah bumi muslim Ahlus Sunnah Wal Jamaah berdasarkan galur sejarah kedatangan Islam ke sini. Maka, jadilah kita orang Melayu menikmati Islam yang benar tanpa bersumbat dan berserabut dengan mazhab – mazhab sesat yang lain seperti Syiah dan selainnya.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah dianuti majoriti besar umat Islam di dunia ini. Ia mengumpulkan dan menyatukan pelbagai kelompok dan mazhab umat Islam yang pelbagai. Ia menjadi garis penentu di antara hidayat dan kesesatan di antara kumpulan – kumpulan yang berkumpul di atas nama Islam.

Apabila sebahagian kumpulan Syiah yang sesat itu diterima sebagai benar, maka ia pun segeralah diterima pakai di dalam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Namanya kekal Syiah juga. Syiah yang betul dan diterima.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah himpunan hidayat tertinggi yang dikongsi para ulama Islam yang telah menerima Islam melalui pewarisan yang penuh rapi dan disiplin. Islam diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya melalui garis putih yang memuncak sinarnya. 

Islam dijaga serapinya agar ia sampai ke hujungnya pada hari kehancuran dunia dalam keadaan selamat dan asli untuk diterima oleh umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang terakhir sebelum kejadian qiamat besar.

Adalah mustahil untuk umat manusia menjaga keaslian sesuatu ajaran yang terpaksa menempuh perjalanan masa ribuan tahun tanpa dimasuki dan dicalari unsur – unsur luar yang pasti  mencacatkannya. Justeru hari ini, tiada lagi yang asli daripada ajaran, pemikiran dan agama terdahulu dalam sejarah ketamadunan manusia.

Agama Yahudi dan Nasrani adalah antara contoh agama besar yang terpaksa bertarung dengan kecacatan dan unsur luar yang merosakkan terus keasliannya, lantas dinyahkan daripada menjadi petunjuk samawi yang betul dan benar.

Tiada lagi yang asli hari ini daripada ajaran terdahulu. Kalau ada, maka ia adalah satu mukjizat agung yang tak terfikirkan. Ia mukjizat kerana ia di luar kemampuan dan kuasa manusia untuk menjaganya kecuali ia mestilah daripada Tuhan yang menciptakan langit, bumi dan sekeliannya. Tuhan yang menguasai segala – galanya. Tuhan ar Rabb, tuhan al Ilah. Yang diakuri dan Yang disembah.

Anda tahukan bahawa ia adalah al Quran, sumber pertama kepada agama al Islam. Tiada lagi yang asli kecuali al Quran. Ia mukjizat agung di hadapan manusia yang kerdil dan lemah. Maka tiada yang asli daripada ajaran dan ugama kecuali al Islam. Islam ugama suci dan asli.

Asli bukan kerana kita yang menjaganya. Yang menjaganya adalah Allah sendiri. Allah menjamin penjagaan al Quran daripada sisiNya sendiri. Ini tersebut dan bertakhta di dalam al Quran.

Bagaimana Allah menjaganya?

Pertama, Allah mengutuskan untuk dan bersama al Quran penghulu segala anbiya’. Dia nabi yang maksum daripada kesalahan. Dia membaca al Quran agar dihafazi dan dijaga bacaannya satu persatu agar ianya menjadi kitab ‘tanpa syak’ ( la raiba fihi ). Dia mengajar dan mensyarahkan maksud al Quran ( as sunnah atau al hikmah ) kepada generasi pertamanya ( sahabat ) agar difahami sebaik – baiknya maksud dan kehendak Allah sendiri yang menurunkannya. Dia mendidik dan menyucikan jiwa mereka daripada kesyirikan, syubhat dan syahwat agar mereka nantinya menjadi pewaris unggul yang melorongkan ugama suci ini kepada generasi yang seterusnya.

Kedua, Allah membekalkan untuk al Quran dan as Sunnah dengan pewaris unggul daripada kecintaan dan harapan nabiNya itu, iaitu para sahabat raddhiaLlahu anhum. Begitulah seterusnya sehinggalah kesaktian ini kekal terjaga melalui persaksian nabawi bahawa 300 tahun pertama adalah generasi unggul yang menjadi saksi sepanjang zaman terhadap keaslian dan kejituan al Quran.

Ketiga, Allah dengan hikmatNya yang agung menambahkan sengat dan bisa keaslian kitabNya dengan keupayaan umat Islam dalam tempoh emas itu untuk menjadi bangsa celik huruf pertama di dunia. Menulis dan membaca adalah perisai seterusnya selepas aqal dan iman yang bersih dan suci.

Katakanlah, selepas semuanya tertera dalam kitab yang ditulis dan disalin, bolehkan ugama ini dinyahkan daripada menjadi sumber yang asli dan ajaran yang asli juga? Aqal yang akur akan berkata, tidak sama sekali!

Keempat, Allah membekalkan untuk umat ini dengan sekumpulan pejuang daripada ummat nabiNya yang hidup dan mati mereka adalah untuk Islam dan al haq. Merekalah para ulama dan merekalah para mujahidin yang benar dan berani. Merekalah untuk sepanjang zaman berkerja keras dan memerah mujahadah menjaga keaslian ugama daripada penyelewengan penyeleweng dan takwilan mereka yang menyesatkan.

Dalam dunia Islam yang kelam hari ini, Islam tetap dengan cahayanya yang bersinar – sinar untuk terus memberi petunjuk dan memimpin ke arah kejayaan dan kebahagian umat manusia.

Inilah disiplin Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Disiplin yang mencipta sistem yang bersifat mukjizat.

Islam adalah al Quran melalui nabi, kemudian para sahabat, kemudian para tabi’ie dan para ulama muktabar selepas mereka. Ia adalah sistem rapi yang disadur unsur amanah, adil, benar dan kemukjizatan. Allah menetapkannya sebagai ‘laluan sutera’ menuju al Quran sebagai rujukan yang asli, suci dan benar. Tiada kegelinciran dan penyelewengan kecuali dihapuskan oleh sistem ciptaanNya ini.

Pelanggaran terhadap sistem ini akan merosakkan Islam dan rujukannya. Ia akan menghanyutkan Islam dalam nafsu manusiawi yang penuh kekotoran dan kecelaan.

Menerima al Quran dan menolak nabinya, jadilah seperti si Kasim Ahmad dan labu labi kesesatannya.

Menerima nabi dan menolak sahabatnya, jadilah seperti Syiah dengan cinta bertompok dendam melatanya.  

Sekarang anda mesti memahami bagaimana kesesatan Syiah bermula. Bermula sesatnya daripada pangkal dan terasnya. Allah bekalkan penyebaran ugama ini dengan ribuan para sahabat nabi yang mulia yang sengaja diciptakan dan dipilih dengan hikmat rabbaniNya untuk menjadi pewaris agama yang pertama daripada nabiNya.

Syiah menidakkan mereka. Syiah menyempitkan laluan dengan mengerat – ngerat para sahabat dengan api kebencian, permusuhan, dendam, cercaan dan  pelaknatan.

Mencerca para sahabat, termasuk para sahabat agung adalah ketandaan yang sukar dihapuskan daripada mazhab Syiah.

Apabila seribu sahabat menjadi seratus, bayangkan bagaimana kerosakan di dalam pembinaan sumber keaslian Islam.

Apabila Abu Hurairah yang dikenali sebagai periwayat terbanyak sumber ugama daripada nabinya dicincang lumat – lumat oleh Syiah, maka bayangkan bagaimana sempitnya jalan yang dibuka untuk Islam dan umatnya menerima yang asli daripada nabinya. Justeru Syiah terpelanting jauh daripada menerima keabsahan sebagai mazhab yang benar dan diterima Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Di sisi Sunni, rujukan selepas al Quran adalah kitab hadis Bukhari dan Muslim ( sesahih – sahih kitab selepas al Quran ) yang mengumpulkan hadis – hadis terpilih dan terbaik keasliannya daripada nabinya. Syiah menolaknya. Anda bayangkan berapa jaraknya jauh Ahlus Sunnah dan Syiah?

Anda mungkin bertanya, tidakkah Syiah membina rujukannya dengan sistemnya sendiri? Saya jawab, ya. Yang penting, ia takkan sama. Bila tak sama, ia sukar bertemu.

Anda bertanya lagi, bagaimana boleh ada daripada kumpulan Syiah yang diterima Ahlus Sunnah? Saya jawab, sebab mereka tak sama sesama mereka dan sebahagiannya mendekati kita dalam perkara – perkara besar dan akidah. Maka mereka diterima.

Soalan tambahan anda mungkin, tidakkah rujukan mereka tak sama dengan kita? Bagaimana mereka boleh dekat dengan kita? Saya jawab, ya. Bahkan, rujukan dan pengajaran mereka sesama mereka pun tak sama. Selagi Allah dan al Rasul itu di tempat pertama, adalah pendekatan yang didambakan. Adalah persamaan yang ditemui.

Mereka menerima sebahagian sahabat dan para tabi’ien selepasnya. Mereka menerima Ahlul Bait. Di situlah ada pertemuan. 

Soalan besar anda, jadi Syiah bukan kafir? Saya jawab, selagi mereka ahli syahadah ( menerima Allah dan rasul sebagaimana kita ahlus Sunnah ) mereka bukan kafir. UMNO sesat dengan ideologi kebangsaannya. Sesat tak mesti menjunamkan terus ke lembah kekufuran.

Gelap itu macam – macam. Redup, suram, kelam, malap, hitam. UMNO biru gelap. Bila ada hadhari, ia jadi biru gelap pekat. Kufur itu yang hitam terus tanpa tanda putih. Mungkinkah sebahagian UMNO jenis ini, hanya Allah yang tahu, atau Dia memberitahu kita.

Cerah pun macam – macamkan? Kalaulah cerah kita seputih bulan mengambang, itulah iman yang hebat daripada kurniaanNya.

Tidakkah ada fatwa mengkufurkan Syiah? Ya, ada kumpulan Syiah sampai ke sudut itu. Justeru tidak benar meranapkan dan menghumban Syiah dalam satu lembah.

Begitulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ia bertapak di Tanah Melayu sedari awalnya tanpa gangguan ajaran – ajaran lain termasuk Syiah.

Syiah terkeluar akibat penolakannya terhadap sistem rabbani yang memandu ke jalan yang asli dan lurus. Justeru ia digolongkan sebagai sebahagian kumpulan Islam yang sesat.

Saya berhasrat menulis mengenai PAS-Syiah dan usaha taqrib antara sunni-syiah selepas ini, insya Allah.

Salam Kamunting,

Saya belum menulis pasal Syiah apa – apa pun. Hanya sekali saya sentuh, iaitu ketika perang Lubnan – Israel yang terakhir dulu. Saya sebut, usah hiraukan Sunni – Syiah. Mereka adalah tentera tauhid seperti kita tengah menentang sebesar – besar tentera kufur di muka bumi. Saya sebut apa yang disebut oleh Al Qaradhawi masa mengulas isu perang tersebut.

Seawal saya menulis di blog, saya terus diminta menulis mengenai Syiah dalam PAS. Saya katakan, nantilah. Saya tak minat dan saya tak suka campur perihal yang panas – panas, sedang ianya tidaklah sebesar tujuan dan matlamat saya menulis di blog ini. Blog saya adalah untuk PAS dan dakwahnya, selain untuk membaham Islam Hadhari sehingga sesatnya itu tidak lagi difahami secara sesat oleh umat Melayu di negara kita sehingga kedua – duanya jadi sesat. 

AlhamduliLlah, saya fikir saya telah menyumbang sesuatu di blog ini. Saya memiliki peminat yang menjadikan blog saya sebagai bacaan tetapnya ketika berlayar di internet. Ada 10 orang pun cukup, inikan lebih berganda – ganda daripada itu.

Hari ini saya akan sentuh mengenai Syiah. Sentuhan, bukan tamparan. Bukan tamparan, tetapi sentuhan yang mengubati seperti si ibu mengusai rambut si anak yang kepanasan demam, atau sentuhan yang meredakan seperti pak imam lebai mengusap kepala si budak yatim yang kematian sandaran hidupnya.

Saya jadi semacam bila mendengar cerita sekumpulan peminat ( penganut mungkin? ) mazhab Syiah menggunakan nama PAS untuk mengadakan program yang turut mempromosi Syiah dan ajarannya di Kota Bharu baru – baru ini. Kemudian saya lihat ianya diulas pendek oleh timbalan bos saya, Ustaz Nasrudin Tantawi di dalam blognya yang turut meminta saya jangan tak ambil tahu. Ambil tahu dan bertindak.

Saya fikir sebelum saya bertindak, saya tulis dulu. Itu tanda ambil tahu dan tanda akan bertindak, insya Allah.

Syiah cerita lama. Selama cerita Ahlis Sunnah wal Jamaah lebih kurang. Tetapi di Malaysia, ia cerita baru. Ia tak datang ketika mazhab Ahlus Sunnah datang ke Tanah Melayu bersama penyebaran dakwah Islamiyah pada hari pertamanya dulu.

Maka di sisi masyarakat Melayu, ia tiada kesohoran langsung sehinggalah ianya menjadi tersohor mendadak – dadak dan begitu tiba – tiba sekali sebaik selepas revolusi Khomeini di Iran. Macam mudahnya Islam masuk Tanah Melayu dulu, nampaknya mudah juga mazhab Syiah bertapak di Malaysia. Bezanya, ia meresap mudah kepada segelintir umat Melayu, bukan semuanya.

Cumanya tak mudah sangatlah kali ini. Melayukan bangsa jenis mudah – mudah. Mudah berkira macam cerita Pulau Batu Putih. Kalah pun, kira win winlah. Mudah terima macam WPI. Tergadai tanah pun, terima sajalah demi pembangunan. Mudah lupa macam macam – macam dah yang Melayu telah lupa daripada sengsara dek kerakusan ahli politik mereka. Mudah memaaf dan mudah mengangguk. Paling jelas, mudah meniru. Jadi, apa pelik jika Syiah menjadi tersohor dengan begitu tiba – tiba.

Cumanya, kali ini nampaknya taklah mudah sangat. Syiah hanya meresap dan diterima segelintir yang sedikit sekali. Tetapi saya tak kata ia tak bahaya. Syiah bahaya sekali. Ia merosak dan memunahkan akidah suci yang dibawa oleh nabi kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam untuk umatnya yang sederhana dan sempurna.

Justeru ia jadi sukar untuk masuk ke Malaysia. Sebab ia melibatkan akidah yang telah difahami lebih awal oleh para ulama dan tok – tok guru di negara kita. Ia sejarah lama. Maka bukan payah untuk mengenali Syiah dan ajarannya. Berlambak di dalam kitab – kitab turath yang lama – lama.

Ia tidak seperti fahaman – fahaman baru seperti sekularisme dan nasionalisme yang memang tidak dibincang panjang – panjang, malah kadang – kadang tak tersebut pun dalam kitab – kitab dahulu kala yang beratus – ratus tahun dulu. Maka ia mudah diterima masyarakat Melayu walaupun akidahnya, apa bezanya dengan Syiah. Sama – sama sesat dan salah. Semuanya jenis Ayah Pin juga.

Syiah payah masuk dan diterima sebab pertahanan telah lama dibina kitab – kitab dan para ulama. Sekularisme mudah masuk dan diterima sebab pertahanan baru dibina oleh kitab – kitab dan para ulama kita. Maka di negara kita, sesat kerana fahaman sekularisme jauh mendahului sesat kerana Syiah dan ajarannya.

Lebih malang, sesetengah yang melawan Syiah di negara kita hari ini mendukung sekularisme pula atau bersekongkol dengannya pula. Sunnah lawan Syiah tu ya. Sunnah lawan sekularisme pun ya. Sekularis lawan Syi’ie buat apa? Sesat lawan sesat bukan bawa hasil hidayah apa – apa pun. 

Syiah menyalahi ajaran Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam perkara – perkara besar yang menyentuh akidah. Ia dimasukkan dalam kelompok ajaran – ajaran sesat yang pernah tumbuh melata dalam sejarah kehidupan umat Islam sepanjang zaman. Kebanyakan ajaran – ajaran sesat ini ghaib ditelan zaman. Setiap masa adalah Allah mengutuskan daripada kalangan hambanya yang beriman para ulama yang bermati -matian menentang kesesatan dan penyelewengan dalam beragama.

Islam agama suci. Ia dijaga tuhannya untuk manusia akhir zaman agar mereka tidak keliru untuk memperolehi hidayat dan petunjuk. Umat ini penuh pancaroba ujian hidupnya di akhir zaman. Justeru ia memerlukan cahaya yang terang bersuluh untuk memudahkannya menggapai petunjuk dalam kegelapan. Maka cahaya itu dijaga sebaiknya. Itulah Islam yang dijanji kesuciannya oleh Allah, tuhan Maha Penyayang.

Justeru apabila lahir ajaran – ajaran yang menyesatkan daripada kalangan umat sendiri, ia segera dilenyapkan. Itulah yang berlaku dalam sejarah. Ada yang datang sekejap dan ada yang lebih lama. Hari ini sekejapnya macam ajaran Ayah Pin. Lama sedikit macam ajaran al Arqam. Lama lagi macam ajaran sekularisme yang dipimpin Pak Lah hari ini. Adakah sekularisme takkan hilang? Tidak, ia akan hilang dilipatan sejarah yang menunggu. Tak sekular tak hilang di dunia. Saudaranya, komunisme dah pun luluh hancur.

Dalam banyak – banyak itu, ajaran Syiah boleh kira paling lama. Ia cukup liat dan sukar dilenyapkan. Ia menjadi nanah yang agak lama untuk disembuhkan daripada umat ini. Macam penyakit dalam tubuh, walau ada ubat, tetapi tak semuanya cepat dan sempat disebutkan, malah kadang – kadang membawa maut.

Mengapa Syiah sukar lenyap? Malah, tapaknya tampak kukuh kembali hari ini?

Jawabnya, kerana ia bersandar pada sandaran yang kukuh sekali dan tumbuh di semaian yang subur sekali.

Sandarannya cinta Ahlul Bait. Cinta ahli keluarga RasuliLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Tapak semaiannya adalah sejarah dan peristiwa penganiayaan terhadap mereka yang begitu menyayatkan hati setiap muslim. Ia tumbuh demi cinta dan pembelaan terhadap keluarga Rasulullah.

Apa anda tahu tentang cinta? Anda tahukan. Cinta itu buta dan cinta itu gila. Cinta itu suci dan cinta itu air mata. Cinta membakar keapian dan cinta menyiram salju kesyahduan.

Samada cinta itu suci atau terlarang, anda ternganga mendengarnya. Hati anda terbakar sekali atau hati anda jadi basah kesyahduan. Tak kiralah cinta nabi Allah Yaakob atau cinta Zulaikha pada nabi Allah Yusuf alaihimassalam. Kedua – dua kisahnya adalah epik kehidupan.

Begitulah Syiah. Daripada rasa cinta dan dendam mereka membina diri dan membakar kesucian. Ia buta dalam cinta. Dalam syiah ada cinta bertompok, kecewa melata, dendam kesumat, benci membara dan tuduh – menuduh. Semua terbakar menjadi akidah yang sia – sia.  

Mazhab berdasarkan sentimen dan perasaan. pemujaan dan pentaqdisan. Mazhab yang pernah kerananya  dulu pernah menjadikannya satu agama seperti Yahudi dan Nasrani. Tidakkah mereka mentaqdiskan Isa dan Musa juga selain keluarga mereka.

Begitulah bayangan ajaran Syiah. Ayat – ayat cinta terlarang, lalu bersujud mereka pada sejadah yang cemar dan jelek.  

Mereka berkembang dalam sejarah menjejerkan rasa dan perasaan ini. Maka ia diterima demi cinta yang didakwa suci dan benar.

Iman boleh kerana sentimen, tetapi ia punah nantinya jika tiada ilmu yang benar dan hakiki.

Di negara kita, anda lihat bagaimana ia masuk. Tidakkah ia bermula dengan hangat revolusi, tetapi kini ia kembali kepada asalnya demi gendang dan paluan yang lebih kuat dan bergelombang. Ia kembali kepada nama – nama Ali, Fatimah, Hasan dan Husain serta nama – nama daripada sebuah keluarga paling suci dalam kehidupan manusia. Pastinya ia menggamit rasa penuh perasaan.

Ia pun tumbuh di negara kita. Hari ini ia adalah mazhab kecil. Mazhab sesat yang kerdil tetapi ia telah bertapak dan apabila ia bertapak ia akan jadi barah yang sukar diubati dan dihilangkan. Rasa cinta dan dendam menarik dengan kuat dan kejap sekali.

Ketika kita kuat, ia tak terhalang. Ketika kita lemah hari ini, bagaimana mudah untuk kita menghalangnya? 

 

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Ogos 2014
I S R K J S A
« Jun    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 155 other followers